home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : HOTEL HILTON, KUALA LUMPUR Tarikh/Date : 28/11/82 Tajuk/Title : UPACARA PENYAMPAIAN ANUGERAH AKHBAR MALAYSIA 1981 Yang Amat Berhormat Timbalan Perdana Menteri Dato Musa Hitam dan Datin Maria; Dif-dif Kehormat; Jawatankuasa Pengelola Anugerah Akhbar Malaysia; Saudara-saudari yang dihormati sekelian, Malam ini adalah malam untuk para wartawan. Saya sendiri, walaupun sering bertemu dan ditemui oleh para wartawan, jarang sekali dapat bertemu sekali gus, secara serentak, dengan begini ramai para wartawan, dalam suasana yang ramah dan mesra pula. Oleh itu, pada kesempatan yang sangat baik ini, saya terlebih dahulu mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada para wartawan sekelian, dari semua jenis media, yang telah turut memainkan peranan yang positif dalam usaha membina dan membangunkan negara yang kita cintai ini. 2. Saya juga mengucapkan tahniah kepada Institut Akhbar Malaysia, dan Jawatankuasa Pengelola, yang telah berjaya menyelenggarakan Anugerah Akhbar Malaysia kali yang kedua ini. Saya percaya, usaha yang baik seperti ini, apabila dilaksanakan dengan jujur dan bersungguh-sungguh, akan mendatangkan hasil yang berguna untuk kita semua. 3. Semenjak saya memasuki gelanggang politik, saya mempunyai banyak sebab untuk berterima kasih kepada para wartawan. Walaupun ada beberapa kerat yang tidak begitu bersimpati dengan saya, tetapi umumnya, "treatment" yang saya dapati dari akhbar dan lain-lain media tidaklah mengeciwakan, bahkan memberangsang dan memberi semangat kepada saya. Dan ini pula bukan semenjak menjadi Menteri, atau Perdana Menteri, tetapi semenjak dari masa saya masih menjadi "backbencher" pada pertengahan tahun enam-puluhan. Saya amat terhutang budi kepada wartawan sekelian. Sebab itulah saya tidak dapat mengikut nasihat supaya tidak terlalu kerap berjumpa dengan wartawan kerana saya terlalu mudah "shoot my mouth" atau latah. "Excuse" saya ialah kepada masalah "boat people" dan membuka pintu untuk mereka. 4. Tetapi saudara-saudari, "the affairs of state" tidak boleh diuruskan dengan latah sepanjang masa. Kita harus ada rancangan dan pengurusan yang menitikberatkan matlamat yang tertentu. Dalam pengurusan ini, bukan sahaja Kerajaan yang perlu memainkan peranan, tetapi semua rakyat dalam semua bidang perlu memainkan peranannya masing-masing. Buruh yang mencuci longkang dan memotong rumput mempunyai peranan seperti jugalah menteri dan pegawai tinggi. Memang tanggungjawab berbeza-beza, tetapi mandur tanpa buruh dan anak buah tidak akan dapat menjayakan apa-apa. Dalam konteks pembangunan negara, Menteri dan Perdana Menteri adalah mandur sahaja. Semua rakyat adalah kakitangan negara. Masing-masing mempunyai tugas dan harus menjalankan tugas dengan sempurna. Dan di antara kakitangan negara ialah wartawan-wartawan. (Saya harap ini tidak menyinggong sesiapa.) Saudara-saudari sekelian. 5. Di sini izinkan saya memberi sedikit pandangan sebagai mandur pertama tentang peranan wartawan dan media massa. Tidak siapa boleh menyoal bahawa wartawan dan media massa 6. Kuasa bermaksud tanggungjawab. Kuasa tanpa tanggungjawab bermakna anarki ataupun "dictatorship." Siapa yang memiliki kuasa tidak penting. Tanpa sikap bertanggungjawab oleh pihak yang berkuasa, anarki dan "dictatorship" tetap akan wujud. 7. Sebaliknya, kuasa amatlah penting untuk kesejahteraan dan kebahagiaan masyarakat. Tanpa kuasa, sekali lagi akan muncul keadaan yang anarkis. Oleh kerana ini kita tidak rasa iri hati kerana wartawan dan media massa berkuasa. Sebaliknya pihak Kerajaan ingin merayu kepada wartawan-wartawan supaya menggunakan kuasa yang ada pada mereka untuk membantu pembangunan negara yang kita cintai ini. 8. Kerajaan tidak mempunyai lain niat melainkan untuk menjadikan negara ini negara yang aman dan makmur dengan membawa kebahagiaan kepada semua penduduk. Wakil-wakil yang hari ini membentuk Kerajaan tidak berniat untuk memperkayakan diri melalui kuasa yang diberi kepada mereka. Tujuan dan matlamat Kerajaan ialah semata-mata mengabdikan diri kepada negara dan penduduknya. 9. Malangnya Kerajaan, walaupun begitu luas kuasanya, walau bagaimana jujur sekalipun, tidak dapat dengan sendirinya membangunkan negara kita ini. Untuk pembangunan negara, tiap-tiap seorang rakyat hendaklah memainkan peranan masing-masing dengan rajin dan jujur. Di sinilah terdapat Penyerapan ini bermula semenjak zaman penjajah lagi dan telah meningkat kerana sistem demokrasi memberi kuasa memilih Kerajaan kepada rakyat. Jika perniagaan rugi, Kerajaan mesti ada ganti-rugi, jika harga jualan jatuh, Kerajaan mesti beri subsidi, jika harga barang naik atau inflasi berlaku, Kerajaan mesti tambahkan gaji dan kurangkan cukai. Oleh kerana kepercayaan bahawa segala malapetaka yang menimpa diri harus diatasi oleh Kerajaan maka "resilience" atau ketahanan rakyat sudah pun lumpuh. Kerajaan yang memerintah rakyat yang lemah tidak mungkin menjadi Kerajaan yang kuat. Dan Kerajaan yang lemah yang memerintah rakyat yang lemah tidak mungkin mewujudkan negara yang kukuh dan kuat. 10. Kelemahan yang terdapat di kalangan rakyat sekarang ini boleh diatasi. Apa yang diperlukan ialah perubahan sikap, perubahan ke arah mewujudkan rakyat yang lebih rajin dan lurus, yang boleh berdikari, yang sanggup mempertahankan maruah. Untuk mencapai matlamat ini segala alat pelajaran dan pengetahuan adalah penting. Dan di antaranya ialah akhbar dan wartawan. saudara-saudari ingin melihat negara ini, dan rakyatnya maju dan hidup bahagia. Memandang bahawa yang penting ialah sikap rakyat, maka tentulah saudara-saudari akan memainkan peranan yang positif dalam usaha menjadikan rakyat Malaysia rakyat yang rajin, jujur dan berdikari. 12. Cara mana sikap ini dapat dibentuk oleh akhbar dan media lain ialah perkara yang saudara-saudari lebih mengetahui. Pepatah "The Pen is Mightier than the Sword" bermakna lebih banyak boleh dibuat oleh Pena daripada Pedang. Sebagai patriot, sebagai golongan yang bertanggungjawab, saya yakin, pena saudara-saudari akan ditajam dan digunakan untuk membentuk peribadi yang dikehendaki. Bukan sahaja Kerajaan akan menganggap saudara-saudari sebagai rakan seperjuangan tetapi rakyat akan berterima kasih akhirnya walaupun mereka tidak akan begitu terhibur dengan tulisan wartawan yang tidak berminat dengan perkara-perkara yang "sensational," dengan skandal seks dan cerita-cerita dongeng. 13. Dalam banyak perkara, saya adalah "old-fashioned." Saya masih bercakap berkenaan patriotisme, berkenaan bekerja kuat, mengutamakan kepentingan umum dan lain-lain. Di zaman ini patriotisme dianggap kolot. Ramai dari anak Malaysia tidak segan-segan memburukkan nama Malaysia di luar negeri supaya dapat tepokan belakang dari orang Barat khususnya. Ramai yang menganggap kerajinan bekerja sebagai pengabdian kerana ini adalah fesyen di Barat. Ramai yang mengutamakan individu lebih daripada masyarakat sebagai tanda kebebasan. Walaupun dianggap kolot, saya masih percaya kepada nilai-nilai lama -- kerana ada bukti-bukti yang jelas bahawa nilai-nilai lama ini membawa kebaikan kepada pengamalnya. 14. Di kalangan wartawan juga tentulah ada yang moden dan ada yang "old-fashion." Saya ingin merayu kepada yang moden supaya memikir semula tentang nilai-nilai baru dari Barat ini. Kita adalah negara membangun. Kita perlu memperkukuhkan negara kita. Dalam negara kita pula terdapat masalah kaum dan "inequitability." Jika negara yang kaya-raya boleh jadi kucar-kacir dan lemah kerana nilai-nilai moden ini, apatah lagi negara membangun seperti Malaysia. Apakah kita akan terlalu rugi jika kita dikatakan tidak moden. Apakah sanjungan tinggi orang Barat terhadap kita lebih utama dari kejayaan dan ketahanan negara dan bangsa kita. Bagi saya jawapannya mudah. Adalah lebih baik negara dan bangsa kita menjadi kuat dan bahagia dari segala puji-pujian dan tepukan belakang dari orang Barat. Wartawan Malaysia hendaklah berusaha supaya nilai-nilai Barat yang negatif dikikis, bukan sahaja dari diri sendiri tetapi dari semua rakyat. 15. Kerajaan telah memikir semula dan hasil kajian ini ialah "Look East Policy" kita. "Look East" tidak bermakna kita akan membeli barang semuanya dari negara-negara Timur. Yang kita sanjung tinggi dan kita alu-alukan ialah nilai hidup yang dimiliki oleh beberapa bangsa Timur. Sebenarnya kita yang baik, kita tidak pula begitu mengamalkannya. Jadi "Look East" ini ialah untuk mempelajari cara mengamal nilai-nilai yang sudah pun kita percayai dalam segala urusan kita. 16. Sekali lagi wartawan dan media massa mempunyai peranan yang penting. Memang benar kita tidak boleh serap semua nilai-nilai Jepun atau Korea. Memang benar ada amalan orang Timur yang tidak perlu dan tidak baik untuk ditiru. Tetapi tentulah semua wartawan tahu bahawa maksud Kerajaan ialah menyemai dan memupuk nilai yang baik sahaja. Tidak ada niat untuk meniru patriotisme bangsa lain sehingga sanggup "hara-kiri", tetapi apakah taat setia kepada negara, kepada perusahaan yang memberi peluang kepada kita, satu keburukan? "Look East" bukan bermakna meniru secara buta-tuli, tetapi memilih yang baik dan menolak yang buruk. Inilah yang perlu dijelaskan oleh akhbar dan wartawan -- bukan kerana hendak sokong Kerajaan tetapi kerana bertanggungjawab, kerana sayang kepada negara sendiri, kerana ingin maju dan bahagia. Semua ini adalah sentimen yang agak "old-fashioned," tetapi nilai dan sikap yang baik tidak patut dikebelakangkan semata-mata kerana "it is no longer the in-thing." 17. Malam ini ialah malam untuk para wartawan. Malam ini bukan malam untuk syarahan atau "unsolicited advice" dari Perdana Menteri. Apa yang telah saya perkatakan bukanlah sebagai nasihat Perdana Menteri tetapi adalah semata-mata rayuan dari seorang rakyat kepada saudara-saudari sebagai rakyat negara ini. Kita tinggal di negara ini, kita berlindung di negara ini. Tentulah wajar kita bersikap bertanggungjawab dan mencintai negara ini. Saudara-saudari sekelian. 18. Malam ini kita meraikan juga tokoh-tokoh wartawan yang telah menang Anugerah Akhbar Malaysia 1981. Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada mereka. Saya harap dan saya yakin mereka akan memainkan peranan, bukan sahaja sebagai wartawan, tetapi sebagai rakyat negara yang kita cintai ini. Sekian, terima kasih. |