home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	HOTEL HILTON, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	02/12/82 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS MAKAN MALAM TAHUNAN 
			PERSATUAN PEMAJU PERUMAHAN MALAYSIA 




Yang Berhormat Senator Kee Yong Wee, Yang Di Pertua Persatuan Pemaju
Perumahan Malaysia; Dif-Dif kehormat; Tuan-tuan dan Puan-puan yang
dihormati sekelian.

Saya mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Pemaju Perumahan Malaysia
kerana telah sudi menjemput saya ke majlis pada malam ini. Sebagaimana
biasa, hidangan makanan yang disediakan perlu pula "dibayar" dengan
ucapan. Oleh itu saya mengambil kesempatan ini untuk melahirkan beberapa
pendapat dengan tuan-tuan dan puan-puan sekelian di majlis pada malam ini.

2. Di Malaysia terdapat banyak persatuan dan kesatuan yang mengumpul
orang-orang yang mempunyai "common interest" dengan tujuan memelihara
kepentingan bersama. Keadaan ini memanglah satu keadaan yang sihat yang
dialu-alukan oleh Kerajaan dan negara. Tetapi semata-mata memelihara
kepentingan sendiri tentulah merupakan satu objective yang "limited" dan
"selfish". Tiap-tiap satu kumpulan adalah sebahagian daripada masyarakat
biasa dan perlu mengambilkira kepentingan masyarakat juga.

3. Sebagai seorang doktor saya juga menjadi ahli persatuan
perubatan. Persatuan perubatan di Malaysia mewarisi segala 4. Kita tahu
bahawa di zaman sebelum ideologi kebendaan dapati persatuan-persatuan
perubatan British lebih mengutamakan quality khidmat mereka kepada
masyarakat daripada lain-lain motif yang "selfish". Di antara prinsip yang
dijunjung oleh persatuan-persatuan dahulu ialah "the Hippocratic
Oath". Para doktor tidak akan mendedah masalah pesakit-pesakit yang
dirawat oleh mereka. Juga para doktor tidak akan mengiklankan kepakaran
mereka. Banyak lagi "restriction" yang persatuan perubatan dengan sukarela
mengenakan kepada ahli-ahli mereka demi kepentingan masyarakat dan
kehormatan profesion kedoktoran. Demikianlah kesan "self-imposed
restriction" ini sehingga siapa juga yang menjadi doktor secara otomatis
mendapat kepercayaan dari orang ramai.

5. Sebaliknya jika dibanding dengan lain-lain sistem perubatan dari Timur,
kepercayaan dan kehormatan tidak diberi semata-mata kerana seseorang itu
memasuki bidang perubatan. Di Malaysia bomoh, dukun dan sinseh tidak
dihormati sehingga kebolehan dan sikap tiap-tiap seorang dari mereka
dikenali oleh orang awam beberapa lama.

Walaupun ada di antara mereka yang dihormati tetapi profesion mereka
sendiri tidak mendapat penghormatan.Namun demikian ini tidak meletak
mereka setaraf dengan doktor yang dilatih secara Barat.

Tuan-tuan dan Puan-puan sekelian.

6. Satu lagi perkara yang persatuan profesion di Barat menitikberatkan
ialah penerbitan atau "publication research and findings" berkenaan dengan
ilmu atau ciptaan baru.

Persatuan-persatuan profesional sering mengadakan perjumpaan dan
menerbitkan majalah yang menjelaskan ilmu-ilmu baru yang diterokai oleh
ahli-ahli. Biasanya di Timur jika seseorang mendapat ilmu baru ia akan
menyembunyikan untuk kegunaan dirinya sahaja. Kepentingan profesion tidak
diambilkira, jauh sekali kepentingan masyarakat. Yang diutamakan ialah
keuntungan yang boleh diperolehi oleh dirinya dari teknik atau ilmu atau
ciptaan yang dibuat olehnya. Kerapkali kematiannya akan melenyapkan
ilmu. Jika pun ilmu itu disebarkan ini terhad kepada keluarga, ataupun
ilmu itu dijual.

7. Amalan ini berbeza sekali dari amalan Barat di mana segala yang dicipta
atau diselidik diberitahu kepada 8. Dengan cara ini maka pengetahuan
masyarakat manusia bertambah sepanjang masa. Kita di Malaysia juga telah
mewarisi dan mendapat nikmat dari aktiviti persatuanpersatuan profesional
dan "learned societies" kerana fikiran terbuka mereka.

9. Memandang kepada kebaikan yang didapati dari dasar dan prinsip
persatuan-persatuan profesional di Barat, saya berharap sikap dan
pendirian persatuan-persatuan di Malaysia juga diasaskan dengan amalan
yang sama.

Tuan-tuan dan Puan-puan sekelian.

10. Ahli-ahli Persatuan Pemaju Perumahan Malaysia sudah tentu bersetuju
mengadakan persatuan ini untuk memelihara kepentingan bersama. Ini tidak
menjadi masalah dan memang wajar. Tetapi Persatuan Pemaju Perumahan
Malaysia patutlah memikir dan memberi tempat kepada etika profesion dan
kepentingan masyarakat.

11. Tiap-tiap profesion memerlukan "Code of Ethics" yang digubal oleh
profesion itu sendiri. "Code of Ethics" ini ialah untuk menjaga imej dan
kehormatan profesion. Untuk menentukan bahawa "Code of Ethics" ini
berkesan, sesuatu profesion mestilah berupaya mendisiplinkan
ahli-ahli. Dalam pada itu badan yang dipilih untuk menguatkuasakan code
ini mestilah jujur dan ikhlas dan tidak bertindak kerana kepentingan
pihak-pihak tertentu.

12. Selain daripada "Code of Ethics" persatuan profesion hendak juga
menitikberatkan khidmat kepada masyarakat.

Persatuan profesion bukan Kesatuan Sekerja. Ancaman untuk menyusahkan
masyarakat kerana layanan yang tidak memuaskan berkenaan dengan apa-apa
tuntutan dan lain-lain tidak patut disokong atau diusahakan oleh persatuan
profesional.

Sebaliknya Persatuan hendaklah sanggup mengambil tindakan disiplin
terhadap mana-mana ahli yang mencemar nama baik profesion dengan tindakan
yang tidak bertanggungjawab terhadap masyarakat.

13. Perkara yang ketiga yang perlu diusahakan oleh persatuan profesion
ialah mempertingkatkan pengetahuan profesion melalui penerbitan, seminar,
kursus pengurusan binaan dan lain-lain. Segala kaji-selidik atau discovery
oleh ahli-ahli hendaklah disiarkan dalam majalah-majalah profesional dan
dibincang dalam seminar dan lain-lain perjumpaan.

14. Dengan cara ini saya yakin mutu profesion di Malaysia bukan sahaja
akan meningkat tetapi profesion berkenaan akan dihormati.

15. Saya berbangga kerana Persatuan Pemaju Perumahan Malaysia, sudah
menunjuk minat untuk bersikap lebih bertanggungjawab kepada
masyarakat. Malaysia memerlukan banyak rumah kediaman, terutama untuk
mereka yang berpendapatan rendah. Kerajaan telah mengambil beberapa
langkah untuk memudahkan pemilikan rumah oleh rakyat. Tetapi matlamat
Kerajaan dan rakyat belum lagi dicapai sepenuhnya.

16. Memang benar banyak masalah pentadbiran yang mengganggu pembinaan
rumah-rumah oleh pemaju-pemaju perumahan. Pihak Kerajaan sedia berunding
dan membetulkan mana yang salah.

Tetapi pihak Persatuan Pemaju Perumahan pula mestilah cuba mengatasi
setengah masalah ini dengan sendiri.

17. Kerajaan menganggap pihak swasta sebagai "partners in
development." Oleh itu segala halangan bukanlah menjadi dasar
Kerajaan. Saya berharap satu "working relations" yang baik akan wujud
antara Kerajaan dengan Persatuan Pemaju Perumahan Malaysia.

18. Perusahaan perumahan memang menjadi satu perusahaan yang boleh
menguntungkan pengusaha. Sebagai seorang yang biasa menjadi pemaju
perumahan, saya tahu sedikit mengenai perkara ini. Tetapi janganlah
terlalu menumpukan kepada keuntungan yang besar sehingga kepentingan
rakyat dan negara diketepikan.

19. Saya berharap Persatuan Pemaju Perumahan Malaysia akan sedia
mendisiplinkan ahli-ahlinya jika terdapat sikap yang tidak diingini di
kalangan mereka. Tanpa ketegasan persatuan tidak akan menjadi badan yang
berguna kepada ahli dan sudah tentu tidak akan dihormati oleh masyarakat.

20. Sekianlah sahaja dan sekali lagi saya mengucapkan berbanyak terima
kasih kepada Persatuan Pemaju Perumahan Malaysia kerana menjemput saya ke
majlis malam ini.

Terima kasih.

 



 


 











 
Google