home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	KEDIAMAN RASMI PERDANA MENTERI 
			JEPUN, DI TOKYO 
Tarikh/Date 	:	24/01/83 
Tajuk/Title  	: 	DI MAJLIS JAMUAN MAKAN MALAM OLEH 
			PERDANA MENTERI JEPUN ENCIK 
			YASUHIRO NAKASONE, 




Tuan Yang Terutama, Encik Yasuhiro Nakasone; Puan Nakasone; Tuan Yang
Terutama-Tuan Yang Terutama; Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati
sekelian.

Bagi pihak isteri saya dan ahli-ahli rombongan, ingin saya rakamkan rasa
sukacita kami dapat melawat negara Jepun, dan mengucapkan setinggi-tinggi
terima kasih kepada Tuan Yang Terutama, Kerajaan dan rakyat Jepun atas
sambutan mesra dan meriah sejak ketibaan kami di sini. Saya juga
mengucapkan terima kasih di atas majlis jamuan yang diadakan ini, dan juga
di atas kata-kata aluan Tuan Yang Terutama sebentar tadi.

2. Tuan Yang Terutama, saya amat menghargai kesudian Tuan Yang Terutama
menerima kunjungan saya ini, walaupun dalam suasana kesibukan setelah baru
sahaja dilantik memegang jawatan tertinggi sebagai Presiden Parti Liberal
Demokratik dan sebagai Perdana Menteri. Saya sedar bahawa Tuan Yang
Terutama perlu menumpukan banyak perhatian kepada soal-soal dalam negeri
dan juga isu-isu antarabangsa. Saya yakin, sebagai seorang tokoh
berkalibar dan dedikasi, yang cergas selama 37 tahun dalam berbagai
lapangan, Tuan Yang Terutama pasti dapat memikul tugas dan tanggungjawab
yang berat ini dengan jayanya.

3. Pagi ini kita telah berpeluang bertukar-tukar fikiran mengenai beberapa
perkara. Saya merasa sukacita bahawa kita mempunyai hasrat yang sama,
iaitu supaya perhubungan antara negara kita, yang mana kini adalah erat
dan mesra, dapat dipertingkat dan diperluaskan lagi demi faedah bersama.

4. Malaysia dan Jepun kerap mengadakan perbincangan, dan kedua-dua negara
sentiasa berkerjasama rapat dalam bidang ekonomi dan politik di peringkat
hubungan dua-hala, wilayah dan antarabangsa. Dalam konteks hubungan
dua-hala, saya menyanjung tinggi bantuan yang telah diberikan terhadap
usaha-usaha pembangunan Malaysia. Saya amat gembira di dalam perbincangan
kita pada pagi ini, Tuan Yang Terutama telah menunjukkan kesediaan dan
keikhlasan untuk terus membantu kami di masa-masa hadapan. Di peringkat
wilayah, Malaysia, sebagai salah sebuah negara anggota ASEAN, telah
memperolehi beberapa faedah daripada kerjasama ASEAN-Jepun. Di peringkat
antarabangsa pula, Malaysia menghargai peranan aktif yang dimainkan oleh
Jepun dalam dailog Utara-Selatan, dan juga sokongan Jepun terhadap
aspirasi negara-negara membangun untuk membawa perubahan kepada asas
sistem perhubungan ekonomi antarabangsa yang wujud, yang tidak lagi sesuai
dan juga tidak adil.

Tuan Yang Terutama, 

5. Jepun merupakan rakan perdagangan Malaysia yang terbesar. Jumlah
dagangan tahunan antara kedua-dua negara telah meningkat lebih dari US$5.3
ribu juta, dan jumlah ini dijangka akan terus meningkat. Negara Jepun juga
merupakan penyumbang pelaburan asing yang terbesar bagi Malaysia. Hakikat
bahawa negara Jepun bekerjasama erat dengan Malaysia dalam program
perindustriannya adalah amat membanggakan. Saya yakin, kedua-dua negara
memperolehi faedah daripada kerjasama ini. Oleh itu kami sentiasa
mengalu-alukan lebih banyak lagi pelaburan dari Jepun.

6. Perindustrian memerlukan pasaran bagi barang-barang yang
dikeluarkan. Jepun boleh, dan harus membantu membuka pasarannya kepada
lebih banyak barang-barang buatan dari Malaysia dan juga lain-lain negara
membangun amnya. Ini merupakan satu masalah. Dengan hubungan antara Jepun
dan Malaysia yang semakin meningkat, kita tidak dapat mengelakkan diri
daripada masalah yang mungkin timbul dari masa ke semasa. Walau
bagaimanapun, saya yakin, rasa persefahaman akan membolehkan kita
menyelesaikan apa-apa jua masalah dengan baiknya.

Tuan Yang Terutama, 

7. Suasana ekonomi antarabangsa yang wujud sekarang sesungguhnya merupakan
yang paling genting pernah dialami sejak zaman kemelesetan tahun
1930an. Semua negara di dunia merasai kesan buruk kemelesetan sekarang
ini. Negara-negara yang menerima kesan yang paling buruk ialah
negara-negara membangun yang mana Malaysia juga tidak terkecuali. Antara
kesan kemelesetan ialah harga komoditi telah jatuh menjunam; Malaysia,
sebagai pengeluar utama beberapa jenis bahan mentah penting seperti getah,
timah, minyak sawit dan balak, telah mengalami kesan yang buruk akibat
hasil eksport yang begitu rendah. Justeru itu, projek-projek pembangunan
Malaysia juga terjejas. Dalam konteks inilah kami memerlukan kerjasama dan
persefahaman sahabat-sahabat untuk membantu kami mengurangkan kesan
kejatuhan pendapatan agar projek-projek pembangunan dapat diteruskan, dan
justeru itu menjamin kestabilan ekonomi dan politik dan seterusnya
menyumbangkan kepada kestabilan dan keamanan rantau ini.

8. Negara Jepun adalah salah sebuah negara yang termaju di dunia. Ia
adalah negara yang kedua besarnya di kalangan Dunia Bebas yang
menyumbangkan 10 peratus daripada pengeluaran ekonomi dunia. Ia berjaya di
mana ramai yang lain telah gagal. Walaupun dalam suasana kemelesetan
ekonomi yang berpanjangan, Jepun telah dapat mencatit kadar pertumbuhan
Keluaran Negara Kasar yang menarik perhatian negara-negara maju yang lain
yang mana di antaranya mencatit pertumbuhan negatif. Kejayaan Jepun ini
adalah disebabkan oleh sikap positif rakyat Jepun terhadap kerja mereka,
iaitu dorongan komitmen dan kesanggupan mereka untuk berusaha. Itulah
sebabnya saya telah menggesa rakyat Malaysia untuk "Memandang ke
Timur" dan mempelajari dari Jepun. Mungkin kerana penentuan sejarah,
selama ini kami sentiasa memandang ke Barat. Kini, kami ingin mencapai
tahap perhubungan yang seimbang antara Barat dengan Timur. Sebenarnya
bukanlah tahap kekayaan material dan kemajuan teknologi Jepun semata-mata
yang kami cita-citakan. Gesaan saya ialah supaya bangsa Malaysia
mencontohi rakyat Jepun dari segi sikap dan ethika kerja, dan sistem
pengurusan yang saya percaya menjadi faktor utama dalam pembangunan dan
perindustrian Jepun yang pesat.

9. Selaras dengan ini Malaysia telah membuat keputusan, dan ingin
menghantar lebih ramai penuntut ke Jepun untuk belajar di
institusi-institusi pelajaran tinggi di negara Jepun dan untuk menghantar
pelatih-pelatih untuk bekerja sambil belajar di dalam
organisasi-organisasi perusahaan Jepun di mana mereka dengan sendirinya
dapat melihat dan mendapat dorongan dari sikap dan ethika kerja
Jepun. Dalam bulan September yang lepas, kumpulan pertama pelatih telah
tiba di Jepun, dan lebih ramai lagi akan dihantar kemudian. Tentu sekali
program ini tidak mungkin berjaya tanpa sokongan dan kerjasama penuh
daripada berbagai pihak di negara Jepun yang mana kami amat berterima
kasih dan terhutang budi. Dalam hal ini, kami harap negara Jepun akan
terus memberi kerjasama di masa hadapan. Faedah daripada kerjasama ini
bukan sahaja dinikmati oleh kami, tetapi juga oleh negara Jepun, kerana
dengan kerjasama ini akan meletakkan satu asas yang kukuh bagi perhubungan
yang lebih bererti dan berpanjangan antara kedua-dua negara dan rakyat
kita.

Tuan Yang Terutama, 

10. Hasrat Malaysia ialah untuk memperbaiki mutu kehidupan rakyatnya. Kami
boleh mencapai matlamat ini dengan lebih cepat jika sumber-sumber yang ada
pada kami dapat digunakan dengan produktif. Oleh sebab itu, kami ingin
melihat suasana di rantau Asia Tenggara pulih semula menjadi aman dan
stabil supaya kami dapat menumpukan segala perhatian kepada usaha-usaha
pembangunan, dan dengan cara demikian meningkatkan ketahanan
kami. Malaysia dan rakan-rakannya dalam ASEAN telah menekan dan
menjelaskan bahawa kami tidak dapat, dan tidak boleh menerima
campur-tangan tentera asing di Kampuchea atau di mana-mana jua sebagai
satu cara menyelesaikan masalah. Pendudukan kuasa asing yang berterusan di
Kampuchea telah menarik penglibatan kuasa-kuasa besar di Asia Tenggara dan
menjejas keamanan dan kestabilan rantau ini, dan sesungguhnya ini
mengancam keamanan dan keselamatan dunia. Isu Kampuchea mestilah
diselesaikan dengan secepat mungkin selaras dengan Pengisytiharan
Persidangan Antarabangsa Mengenai Kampuchea dan ketetapan-ketetapan lain
oleh Bangsa-Bangsa Bersatu yang releven yang telah diterima dan disokong
oleh masyarakat antarabangsa. Dengan perkataan lain, pencabulan ke atas
kedaulatan dan kehormatan wilayah Kampuchea mestilah dihentikan melalui
pengunduran penuh semua pasukan tentera asing, dan rakyat Kampuchea diberi
hak dan kebebasan menentukan masa depan mereka sendiri. Malaysia
mengalu-alukan penubuhan Kerajaan Campuran Demokratik Kampuchea di bawah
pimpinan Putera Norodom Sihanouk sebagai satu langkah positif ke arah
penyelesaian masalah Kampuchea secara aman. Kami amat terhutang budi
kepada Jepun di atas sokongannya yang berterusan dalam hal ini. Kami harap
negara Jepun akan melakukan apa-apa jua usaha yang patut untuk membantu
Kerajaan Campuran Putera Sihanouk supaya keamanan dan kestabilan dapat
dipulihkan semula di wilayah kami dan memungkinkan hasrat kami untuk
menjadikan Asia Tenggara sebagai Rantau Aman, Bebas dan Berkecuali menjadi
kenyataan.

Tuan Yang Terutama, dan Tuan-tuan dan Puan-puan sekelian, 

11. Sekarang saya menjemput tuan-tuan dan puan-puan sekelian untuk
bersama-sama saya mengucap selamat kepada Tuan Yang Terutama Perdana
Menteri Yasuhiro Nakasone dan Puan Nakasone, dan kepada persahabatan yang
erat antara Kerajaan dan rakyat Malaysia dan Jepun.

 



 


 











 
Google