home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	KEM TERENDAK, MELAKA 
Tarikh/Date 	: 	17/02/83 
Tajuk/Title  	: 	DI UPACARA PERASMIAN UJIAN 
			KEMAHIRAN MENEMBAK TENTERA DARAT 
			YANG KEDUA 




ASSALAMU 'ALAIKUM WARAHMATULAHI WABARAKATUH.

Yang Amat Berhormat Encik Abdul Rahim bin Datuk Tamby Chik, Ketua Menteri
Melaka; Yang Berhormat Abang Abu Bakar, Timbalan Menteri Pertahanan; Yang
Berhormat Encik Anwar Ibrahim, Timbalan Menteri, di Jabatan Perdana
Menteri; Yang Berbahagia Tan Sri Jeneral Ghazali Mohd. Seth, Panglima
Angkatan Tentera; Yang Berbahagia Tan Sri Jeneral Zain Hashim, Panglima
Tentera Darat; Dif-dif Kehormat; Perajurit-perajurit yang saya hormati
sekelian.

Saya bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan limpah
kurniaNya dapat kita bersama-sama di upacara pembukaan Ujian Kemahiran
Menembak Tentera Darat tahun 1983, pada pagi ini.

2. Di antara tugas-tugas utama sesebuah Angkatan Tentera di masa aman
ialah menjalankan latihan, iaitu bagi melengkapkan para perajurit dengan
segala pengetahuan, kecekapan dan kemahiran untuk menghadapi sebarang
kemungkinan. Kita tidak dapat menjamin apa yang akan berlaku pada hari
esok. Kita juga tidak selalu dapat mempastikan bila musuh akan
bertindak. Oleh yang demikian, latihan-latihan mestilah dilaksanakan
berterusan dan dengan penuh daya usaha, kepintaran dan dengan
bersemangat. Dengan cara ini, setiap anggota angkatan tentera akan
sentiasa cekap, cekal dan bersedia menghadapi sebarang kemungkinan.

3. Saya merasa bangga kerana Tentera Darat telah dapat terus mengadakan
acara-acara seperti ini sebagai salah satu langkah ke arah memenuhi
keperluan latihan yang saya sebutkan tadi. Walaupun Ujian Kemahiran
Menembak ini akan menanam semangat pertandingan antara unit-unit, tetapi
konsep memberi latihan adalah lebih penting. Janganlah menang-kalah
dipentingkan, tetapi mereka yang cekap patut berusaha meningkatkan
kecekapan masing-masing, dan yang kurang cekap, patutlah berlatih
lagi. Adalah menjadi harapan negara supaya kecekapan angkatan tentera
keseluruhannya akan semakin meningkat.

4. Kemelesetan ekonomi dunia, dan langkah-langkah jimat-cermat yang
diambil oleh negara juga melibatkan angkatan tentera. Ia tidak seharusnya
menjadi batu penghalang kepada usaha-usaha latihan. Malahan kita hendaklah
mengambil keadaan ini sebagai satu cabaran atau ujian ke atas kemampuan
kita meneruskan tugas di dalam serba kesempitan. Cabaran ini akan
mempastikan sejauh manakah kemampuan daya pemikiran dan keazaman kita bagi
mengatasi segala kekurangan. Dalam peperangan sebenarnya, kita akan
menghadapi berbagai cabaran dan berbagai kesempitan. Angkatan tentera yang
bersemangat akan berjaya mengatasi apa-apa kesempitan dan masalah. Saya
yakin para perajurit kita mempunyai semangat untuk mengatasi kesempitan di
masa kemelesetan ekonomi ini, yang boleh dikatakan kecil jikalau
dibandingkan dengan kesempitan segala-galanya di masa perang.

5. Menyentuh tentang 'keazaman', ianya juga adalah satu daripada matlamat
yang hendak disemaikan di sebalik dasar 'Pandang ke Timur'. Kita semua
tahu negeri Jepun telah hancur di dalam Peperangan Dunia Kedua. Begitu
juga Korea Selatan mengalami kerosakan besar akibat peperangan. Kalau
ditinjau dari segi kemusnahan yang dialami oleh negara-negara berkenaan,
mereka tidak akan dapat bangun dalam masa seratus tahun. Akan tetapi,
rakyat kedua-dua negara ini telah mempelajari dari pengalaman tersebut dan
menjadikannya sebagai satu cabaran bagi mengukuhkan azam untuk terus hidup
dan maju. Hasil dari keazaman ini kedua-dua negara tersebut bukan sahaja
dapat membangun semula tetapi kemajuan mereka juga merupakan salah satu
yang mengkagumkan di dunia selepas peperangan tersebut.

6. Oleh kerana kita menghadapi kemelesetan ekonomi ini, semua Jabatan
Kerajaan termasuklah Angkatan Tentera dikehendaki berjimat-cermat serta
berhati-hati terutama sekali tentang pembelian alat-alat baru dan
pengambilan tambahan anggota tentera. Namun demikian kita semua mempunyai
keupayaan untuk berkembang dan membangun dari segi kecekapan, kemahiran
dan menebalkan semangat. Pada masa ini kita harus mengambil peluang ini
bagi menempah kemajuan dari aspek-aspek yang saya sebutkan tadi.

7. Dalam hal ini Cogankata Tentera Darat 'Satu Peluru Satu Musuh' adalah
bersesuaian dan menepati matlamat Tentera Darat sendiri. Cogankata ini
membawa pengertian dan menuntut setiap anggota Tentera Darat mempunyai
kemahiran menembak dengan cekap dan tepat. Kalau kita teliti, cogankata
ini juga membawa pengertian untuk berjimat-cermat. Ianya mengingatkan kita
supaya tidak membazir dalam apa jua, sesuai dengan kemahuan dan dasar
negara untuk berjimat-cermat. Jika dibandingkan dengan beberapa negara
lain, negara kita masih bernasib baik. Malaysia bukan sahaja subur, tetapi
kaya dengan hasil buminya. Akan tetapi, ini tidak bermakna kita boleh
terus hidup bermewah-mewahan dan membuat apa sahaja
sewenang-wenangnya. Kita mestilah melatihkan diri kita supaya tidak
membazir.

Para perajurit sekelian, 

8. Saya berharap Ujian Kemahiran Menembak Tentera Darat ini akan
menanamkan semangat persaingan yang sihat di kalangan anggota-anggota
Tentera Darat. Semangat ingin mengatasi pihak lawan perlu disemai dan
dipupuk supaya menjadi sebati dengan jiwa setiap perajurit. Semoga
semangat ini dapat dihalakan kepada musuh dalam peperangan, atau tatkala
menentang musuh negara.

9. Saya telah difahamkan bahawa ujian kemahiran menembak ini adalah salah
satu daripada acara sambutan Jubli Emas Tentera Darat. Pada hemat saya,
Tentera Darat kita telah cukup dewasa dan mempunyai sejarahnya yang
tersendiri. Banyak kejayaan yang telah dicapai selama ini dan tidak kurang
juga pengalaman-pengalaman pahit yang dirasai oleh Tentera Darat kita
dalam melalui liku-liku perjuangannya. Rakyat dan negara Malaysia amat
menyedari akan hakikat ini. Seluruh rakyat menghargai perjuangan dan
pengorbanan yang telah dicurahkan selama ini oleh seluruh angkatan tentera
amnya, dan tentera darat khasnya.

10. Justeru itu, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat
menyambut perayaan Jubli Emas kepada seluruh anggota Tentera Darat. Semoga
Allah Subhanahu Wataala akan memberi perlindungan dan kekuatan kepada
saudara-saudara untuk meneruskan perjuangan bagi mempertahankan negara
kita ini. Di samping itu bersama-samalah kita berdoa kepada Allah
subhanahu wataala semoga roh-roh perajurit kita yang terkorban dicucuri
rahmat dan mendapat tempat yang mulia di sisiNya.

11. Dengan ini, saya dengan sukacitanya mengisytiharkan acara Ujian
Kemahiran Menembak Tentera Darat tahun 1983 ini dimulakan dengan rasminya.

Wabillahi taufik walhidayah, wassalamu 'alaikum warahmatullahi
wabarakatuh.

 



 


 











 
Google