home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	ODITORIUM BESAR ANGKASAPURI 
			KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	19/02/83 
Tajuk/Title  	: 	DI MAJLIS PELANCARAN KEMPEN ANTI 
			DADAH PERINGKAT KEBANGSAAN 




Assalamu 'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Yang Amat Berhormat Dato Musa Hitam, Timbalan Perdana Menteri; Yang
Berhormat Menteri-Menteri; Yang Amat Berhormat Ketua-Ketua
Menteri; Dif-dif Kehormat; Tuan-Tuan dan Puan-Puan sekelian.

Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Jawatankuasa Kempen Anti Dadah
yang terdiri dari wakil semua negeri atas usaha merancang dan menjayakan
Kempen Anti Dadah yang bermula pada hari ini.

2. Masalah dadah bukanlah satu perkara baru. Sebagaimana kita maklum, ia
telah meresapi masyarakat kita sejak beberapa tahun lalu. Juga masalah ini
bukanlah satu masalah yang terhad kepada negara kita sahaja; ia adalah
masalah sedunia. Malangnya masalah dadah ini tidak begitu diambilberat
sebagai satu perkara yang amat serius oleh masyarakat umum. Tetapi bagi
keluarga penagih dadah, tidak ada sesuatu yang lebih menyiksa daripada
kesan penagihan kepada penagih dan kepada ibu bapa, sanak-saudara dan
keluarga keseluruhannya. Ancaman dan keloh-kesah yang disebabkan oleh
penagih terhadap keluarga menghilangkan sama sekali kebahagiaan hidup
sehingga ibu dan bapa, anak dan isteri terus merana. Bagi masyarakat dan
negara, bukan sahaja beban bertambah, tetapi sebarang urusan dan kerja
tergendala. Sebenarnyalah dadah merupakan satu kecelakaan yang amat besar
yang boleh menghapuskan kebahagiaan dalam keluarga, dalam masyarakat dan
dalam negara. Bagi yang menjadi penagih, mereka sebagai bangkai bernyawa
yang tidak berfaedah kepada diri sendiri atau sesiapa. Sekali terjatuh
dalam lembah kehinaan ini, tidak mungkin mereka bangun. 

3. Biasanya rakyat menunjukkan reaksi secara spontan apabila berhadapan
dengan sesuatu wabak penyakit seperti taun, demam denggi dan sebagainya,
dan mereka sanggup menggembeling tenaga, dan bekerjasama untuk
mengatasinya kerana mereka sedar akan ancaman terhadap diri mereka dan
keluarga mereka sendiri. Begitu juga dengan ancaman komunis terhadap
demokrasi, kita mendapat reaksi positif dari rakyat sehingga kita dapat
membendungnya. Malangnya ancaman dadah tidak menimbulkan tahap reaksi yang
seharusnya. Ada mereka yang masih memikirkan ancaman dadah tidak akan
melibatkan diri mereka, dan mereka tidak nampak dengan jelasnya yang
penagihan dadah boleh mengancam kesejahteraan diri mereka, bahkan
kebahagiaan zuriat mereka.

4. Sejak beberapa tahun lalu Kerajaan dan juga beberapa badan sukarela
telah mengambil tindakan untuk membendung dan membenteras ancaman dadah di
kalangan masyarakat kita. Sungguhpun Kerajaan dan badan-badan yang
berkenaan telah menjalankan tugas masing-masing dengan giat, statistik
menunjukkan bahawa bilangan penagih dadah masih bertambah. Pada masa ini
bilangan penagih yang berdaftar adalah lebih kurang 79 ribu orang. Jika
nisbah bagi setiap orang penagih dadah yang didaftarkan terdapat pula
sekurang-kurangnya tujuh lagi yang tidak didaftarkan, bilangan penagih
dadah di negara kita adalah tidak kurang dari setengah juta orang, iaitu
satu jumlah yang menakutkan. Bukan sahaja golongan ini menjadi beban
kepada masyarakat, tetapi pengaruh mereka ke atas masyarakat umum adalah
sangat buruk dan meluas. Masyarakat yang dikuasai oleh dadah akan dilanda
oleh berbagai jenayah dan tidak akan mempunyai maruah dan peradaban. Sudah
tentu masyarakat ini tidak akan berupaya mempertahankan diri atau
membangunkan negara, sama ada dalam bidang material atau
spiritual. Lambat-laun masyarakat ini akan hancur atau dikuasai oleh orang
asing.

5. Menyedari bahawa pengedar dadah adalah penjenayah yang terbesar yang
menyebabkan wabak penyalahgunaan dadah ini, Kerajaan telah menguatkuasakan
undang-undang yang keras. Pengedar dadah adalah sejenis penjenayah yang
amat kejam dan tidak bertimbang rasa. Kerana tamak, mereka sanggup
memperdaya dan menjerat kanak-kanak sekolah sehingga terdapat penagih yang
berumur 10 tahun. Sekali terperangkap penagih tidak dapat melepaskan diri
lagi. Secara tidak langsung kanak-kanak yang terperangkap ini sudah
dihukum mati, kerana bukan sahaja hidup mereka tidak mungkin lagi sempurna
tetapi umur mereka tetap disingkatkan. Demikianlah kesan dadah dan
demikianlah kejam dan zalimnya pengedar dadah. Bagi mereka yang memikir
hukuman terhadap pengedar adalah terlalu berat, tidak ada usaha yang lebih
baik dari menyebar amaran kepada yang berminat menjadi pengedar bahawa
mereka mungkin dihukum mati. Adalah terlalu lewat jika jenayah sudah
dilakukan.

6. Peranan undang-undang dalam menghalang merebaknya penyalahgunaan dadah
memang tepat, tetapi akhirnya yang betul-betul berkesan ialah kesedaran
masyarakat tentang buruknya akibat penagihan dadah. Jika masyarakat sedar
dan bertanggungjawab maka awal-awal lagi akan disemai dalam hati dan
fikiran kanak-kanak tentang kehinaan dan bahaya menjadi penagih. Jika
anak-anak kita membesar dengan kepercayaan bahawa penyalahgunaan dadah
adalah satu jenayah yang dahsyat, yang lebih buruk dari mencuri dan
menyamun, maka mereka akan mengelakkan diri dari terlibat dengan
dadah. Jika ibu bapa mengambil berat bukan sahaja terhadap didikan
anak-anak mereka, tetapi juga mengawasi gerak-geri mereka di zaman serba
bebas ini, kemungkinan mereka menjadi penagih akan berkurangan.

7. Oleh itu setiap anggota masyarakat, terutama yang dewasa dan mempunyai
anak atau adik dalam lingkungan umur yang merbahaya mestilah memikul
tanggungjawab ini. Janganlah tunggu sehingga nasi menjadi
bubur. Berhati-hatilah tentang gerak-geri mereka yang di bawah jagaan kita
supaya bersama-sama dapat kita hapuskan gejala ini.

8. Dari segi rawatan dan pemulihan, banyak wang-ringgit dan tenaga telah
disalurkan oleh Kerajaan untuk merawat dan memulihkan mereka yang telah
dihinggapi oleh tabiat dadah.

Malangnya sebilangan besar daripada penagih yang telah dirawat dan
dipulihkan telah balik semula kepada tabiat lama dan menjadi penagih
semula. Statistik di kalangan negara-negara maju menunjukkan hampir 90
peratus daripada penagih dadah yang telah dipulihkan berbalik kepada
tabiat penagihan mereka dalam jangka masa 4 atau 5 tahun. Bukti-bukti
seperti ini adalah sangat mengecewakan. Sungguhpun begitu kita tidak harus
berputus asa dan mesti terus berikhtiar mencari jalan untuk menjamin
pemulihan yang kekal dan berkesan. Sesungguhnya pemulihan yang kekal
memerlukan kerjasama pihak ibubapa, keluarga penagih dadah dan masyarakat
amnya.

9. Memandang kepada hakikat ini, peperangan melawan penyalahgunaan dadah
perlulah ditumpu kepada "prevention" lebih dari yang biasa dibuat
dahulu. Segala badan sukarela dan jabatan Kerajaan yang terlibat mestilah
menyusun satu strategi baru yang bertujuan menyekat perkembangan tabiat
ini. Selain dari usaha untuk menyekat kemasukan dadah dan pengedarannya,
orang ramai mesti dikejutkan berkenaan bahaya dadah dan didorong supaya
mengambil bahagian yang aktif dalam kempen pencegahan yang perlu
diteruskan sepanjang masa.

10. Berhubung dengan ini, Kerajaan akan melaksanakan satu konsep baru
dalam pemulihan penagih dadah melalui apa yang dinamakan 'Pusat
Serenti'. Mengikut konsep ini, kakitangan daripada beberapa agensi yang
berkaitan dengan rawatan dan pemulihan penagih dadah akan dipusatkan di
satu tempat.

Agensi-agensi berkenaan termasuklah Kementerian Kebajikan Am, Kementerian
Kesihatan, tentera, polis, PEMADAM, Bahagian Agama Jabatan Perdana Menteri
dan Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan.

Tuan-tuan dan puan-puan sekelian 

11. Selaras dengan kempen yang dilancarkan hari ini, Kerajaan akan juga
mengambil beberapa langkah bagi menentang gejala dadah ini. Kerajaan akan
meminda peruntukan undang-undang dalam Akta Dadah Merbahaya 1952 bagi
mengetatkan lagi undang-undang tersebut. Saya berharap peruntukan
undang-undang yang baru ini akan memberi kuasa yang lebih kepada pihak
penguatkuasa. Di samping itu, Kerajaan akan menubuhkan satu Pasukan
Petugas Anti Dadah di Jabatan Perdana Menteri bagi menyelaras semua
kegiatan memerangi dadah di negara kita. Pasukan Petugas ini akan
dianggotai oleh pegawai-pegawai yang dipinjamkan dari berbagai Kementerian
dan Jabatan yang terlibat dalam gerakan anti dadah. Cawangan-cawangan
Pasukan Petugas ini akan juga ditubuhkan di semua negeri.

12. Kepada agensi-agensi kerajaan dan badan-badan sukarela yang terlibat
dengan pencegahan, penguatkuasaan dan pemulihan, saya berharap semua usaha
hendaklah dibuat bagi meningkatkan lagi mutu program pencegahan dadah
kerana kepentingan sesuatu kempen ialah kesannya, dan kesannya bergantung
kepada prestasi programnya.

Tuan-tuan dan Puan-puan sekelian, 

13. Dengan ini saya dengan sukacitanya melancarkan Kempen Anti Dadah ini
dengan rasminya.

Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamu 'Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 



 


 











 
Google