home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	STADIUM TUN RAZAK, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	19/03/83 
Tajuk/Title  	: 	DI MAJLIS PELANCARAN KEMPEN 
			"KEPIMPINAN MELALUI TAULADAN"\




Assalamu 'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan selamat pagi saudara dan
saudari sekelian.

Saya bersyukur ke hadrat Allah subhanahu wataala, kerana dengan izinNya,
kita dapat bersama-sama berkumpul pada pagi ini, baik di Stadium mahupun
di mana-mana sahaja saudara-saudari berada, untuk membulat dan membaharui
azam kita bagi meningkatkan taraf pencapaian, serta mutu dan hasil kerja
masing-masing, selaras dengan cita-cita ke arah mencapai kesejahteraan,
keteguhan dan kedaulatan negara.

2. Negara kita Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum yang sedang
membangun. Sementara kita telah mencapai satu tahap kemajuan yang boleh
dibanggakan sejak merdeka hampir 26 tahun dahulu, tetapi kita masih jauh
ketinggalan jika dibandingkan dengan negara-negara yang sudah maju. Kita
bukan berhajat semata-mata kepada kehidupan yang mewah, tetapi kita sedar
bahawa tidak ada penghormatan kepada negara dan bangsa yang daif dan
mundur. Untuk memelihara maruah dan kehormatan kita, maka kita haruslah
menguasai segala bidang yang kini dimiliki oleh bangsa-bangsa yang
maju. Hanya apabila kita setanding dengan mereka baharulah kita tidak akan
dipermain dan diperbudak-budakkan. Cuma mereka yang tidak bermaruah sahaja
yang sanggup bangsa dan negaranya dihinakan. Hajat dan matlamat kita yang
utama ialah memelihara kedaulatan negara dan maruah bangsa kita Malaysia.

3. Memandang kepada hakikat ini, maka Kerajaan telah berjanji akan
mendirikan sebuah pemerintahan yang bersih, cekap dan amanah. Janji ini
dibuat kerana pemerintahan yang bersih, cekap dan amanah bukan sahaja akan
membolehkan kita mencapai kemajuan yang pesat, tetapi rakyat
keseluruhannya akan hidup lebih bahagia hasil dari amalan nilai-nilai yang
mulia ini. Kita tidak syak bahawa pemerintahan yang bersih, cekap dan
amanah akan melicinkan pentadbiran dan urusan Kerajaan, mempertingkatkan
lagi daya pengeluaran dan menjadikan negara ini stabil, kukuh dan kuat.

4. Tetapi janji asal dibuat semata-mata oleh pemimpin politik Kerajaan
sahaja. Tidak ada janji yang sama yang dibuat oleh pegawai dan kakitangan
Kerajaan yang mana tugas merekalah yang akan membawa hasil yang
diidamkan. Oleh kerana pentadbiran yang bersih, cekap dan amanah cuma
memberi makna jika pemimpin serta pegawai dan kakitangan memiliki
sifat-sifat yang dijanjikan, maka pemimpin Kerajaan yang terdiri dari ahli
politik dan perkhidmatan awam terpaksalah membuat ikrar untuk berusaha
menanam dan menentukan nilai-nilai tersebut diamalkan. Tidak ada usaha
yang lebih penting daripada memanjangkan janji-janji tadi kepada pegawai
dan kakitangan Kerajaan. Inilah sebabnya yang hari ini kita semua
berhimpun untuk berikrar.

5. Ikrar pula tidak bermakna melainkan ia diamalkan. Untuk menentukan
janji yang dibuat ditunaikan maka yang utama yang perlu mengamalkan janji
ialah pemimpin sendiri. Tidak ada gunanya pemimpin menyeru kepada kebaikan
jika ianya sendiri tidak mengamal apa yang diseru olehnya. Memang benar
pemimpin, sebagai manusia biasa, tidak sunyi dari kesilapan. Tetapi
pengikut akan memaafkan perbuatan yang tidak disengaja, asalkan usaha
dibuat untuk mengamal yang baik dan kesalahan dibetulkan. Kesilapan yang
dimaksudkan di sini bukanlah berasas kepada fitnah yang sering dilempar
tetapi adalah kesilapan yang nyata. Perbuatan memfitnah adalah satu
perbuatan keji yang tidak harus dibuat oleh sesiapa.

6. Kepimpinan melalui tauladan yang baik adalah cara yang berkesan sekali
bagi menentukan kebaikan diamal oleh semua. Tidak ada kebaikan dari tabiat
bercakap lain dan membuat lain. Sebab itulah thema kempen yang bermula
pada hari ini ialah "Kepimpinan Melalui Tauladan". Tauladan memang
merupakan beban yang berat. Namun demikian, bagi mereka yang ikhlas, yang
ingin melihat negara ini aman dan maju-jaya, dihormati dan dibanggakan,
beban yang berat ini tentulah akan dipikul dengan hati yang tabah.

Saudara-saudari sekelian.

7. Kita semua yang berkumpul pada hari ini adalah pemimpin di samping
menjadi pengikut atau anak-buah. Mereka yang tidak hadir juga
demikian. Setiap orang dari kita mempunyai ketuanya dan mempunyai orang di
bawah jagaannya. Jika tidak pada hari ini, pada satu hari nanti kita tetap
akan jadi pemimpin. Oleh itu, setiap orang dari kita perlulah awal-awal
lagi menunjuk tauladan yang baik yang boleh meyakinkan semua pihak dan
menentukan pentadbiran negara ini berjalan dengan cukup berkesan.

8. Tauladan yang pertama yang perlu kita tunjukkan ialah kebersihan dalam
semua aspek, kebersihan moral dan kebersihan fisikal. Kebersihan moral
bermakna sentiasa berfikiran bersih dan menjalankan tugas kita seperti
yang telah kita janjikan, tanpa muslihat atau niat yang tidak baik. Kita
tidak harus melewat-lewatkan kerja kerana ingin mendapat sogokan. Kita
tidak harus mengambil apa yang bukan hak kepada kita. Kita tidak
sepatutnya terlibat dengan sebarang jenayah dan rasuah. Kita tidak harus
menyalahgunakan kuasa dan kita tidak harus sombong dan angkuh.

9. Kita harus tertib dari segi pakaian dan kelakuan serta menentukan
keadaan di sekeliling kita, sama ada di tempat kerja atau di rumah, juga
bersih dan teratur. Kita harus mengelak dari mencemar alam
sekeliling. Pendek kata, semua yang dianggap bersih, kita amalkan, dan
semua yang dipandang jijik dan hina kita jauhkan diri.

10. Berkenaan dengan kecekapan pula kita tentu maklum akan
pentingnya. Tidak ada kerja yang boleh dibuat dengan sempurna tanpa
kecekapan. Sementara pelajaran di sekolah membekal kita dengan asas-asas
pengetahuan, kecekapan cuma boleh diperolehi melalui latihan tertentu dan
pengalaman. Oleh itu berlatihlah sepanjang masa, tuntutlah segala ilmu
yang berkaitan, dan amalkanlah tiap sesuatu kerja berkali-kali sehingga
kecekapan diperolehi. Setiap orang dari kita mempunyai kebolehan yang
istimewa, dan kebolehan ini boleh dicanai melalui amalan yang
berturut-turut. Oleh itu berusahalah.

11. Kita tidak harus puas hati kerana kita boleh buat sesuatu. Kita perlu
meningkatkan lagi kebolehan kita sepanjang masa melalui penyelidikan,
pelajaran dan amalan. Insya-Allah, jika kita tekun dan tabah hati,
akhirnya kecekapan kita akan meningkat. Kualiti mestilah dijadikan
matlamat kita, kerana kualiti membawa manfaat kepada kita dan kepada
masyarakat. Negara yang ditadbir oleh orang yang cekap akan menjadi lebih
maju dan kukuh. Sudah tentu maruah negara akan lebih terpelihara.

12. Janji yang ketiga yang perlu kita amalkan ialah amanah. Sebenarnyalah
amanah amat penting bagi manusia yang bermasyarakat. Tanpa amanah,
kucar-kacir tetap akan berlaku. Jika kita tidak boleh harap atau
pertanggungjawabkan apa-apa sesuatu kepada sesiapa, adalah mustahil kita
dapat menguruskan kerja atau kewangan, serta harta Kerajaan dan harta
rakyat. Kerja dan urusan Kerajaan tidak boleh diserah kepada seorang
sahaja. Ramai yang akan terlibat dengan pengurusan pentadbiran. Jika
anggota Kerajaan tidak boleh dipercayai, maka akan hancurlah Kerajaan, dan
akan wujudlah anarki yang akan mengancam diri kita sendiri.

13. Setiap pegawai Kerajaan, sama ada berpangkat rendah atau tinggi,
diberi kuasa. Kuasa ini diberi, kerana tanpa kuasa, urusan kawalan yang
menjadi tanggungjawab Kerajaan tidak dapat dijalankan. Malangnya, kuasa
mudah disalahgunakan. Apabila disalahgunakan, kuasa tidak lagi menjadi
alat pengawal tetapi akan menghalang, serta merosakkan segala kegiatan
masyarakat. Sama ada kuasa yang dimaksudkan ialah kuasa mengeluar lesen
penjaja, atau kuasa melulus projek ratusan juta, penyalahgunaannya tetap
membawa akibat yang buruk kepada masyarakat. Akhirnya, semua rakyat akan
rugi akibat tidak adanya amanah ini.

14. Demikian juga dengan urusan biasa Kerajaan. Jika surat dari rakyat
dihilangkan, atau pembayaran tidak dibuat mengikut jadual, atau arahan
dicuaikan, maka pentadbiran akan menjadi lemah dan tidak berkesan. Dan
pentadbiran yang lemah dan tidak berkesan akan mengekalkan negara ini
sebagai negara membangun, dan penduduknya daif dalam segala bidang. Kita
akan dikeji dan dihinakan sepanjang masa.

15. Tentulah jelas bahawa tanpa pentadbiran yang bersih, cekap dan amanah
di semua peringkat, dari pemimpin politik dan pegawai pentadbiran awam
yang tertinggi hingga ke budak pejabat, negara ini dan bangsa Malaysia
tidak akan maju-jaya dan tidak akan dihormati oleh sesiapa. Akan sia-sia
sahajalah kemerdekaan yang kita capai kerana maruah kita akan terus berada
di tahap yang lama, tahap orang yang dijajah, tahap hamba yang hina. Tidak
ada sesiapa pun yang boleh kita salahkan oleh kerana nasib kita telah
berada di dalam tangan kita sejak 26 tahun yang lalu.

16. Inilah sebabnya yang kita mahu pemerintahan yang bersih, cekap dan
beramanah. Tetapi kita akui bersih, cekap dan beramanah sahaja tidak
mencukupi. Kita perlu sifat-sifat yang lain bersama. Kita perlu kepada
disiplin, kepada ketertiban dan kesopanan, kepada keberanian, kepada
budi-bahasa yang baik, kepada kerajinan, dan lain-lain lagi nilai yang
mulia, yang boleh menjadikan kita lebih bahagia. Semua nilai-nilai ini
dituntut oleh semua agama. Semua nilai ini mencerminkan tanggungjawab dan
timbang rasa yang diperlukan dari manusia yang hidup dalam
masyarakat. Semua nilai ini membuktikan kesayangan manusia kepada
masyarakat, bangsa dan kepada negaranya. "Habul watan minal iman".

17. Dengan melafazkan ikrar pada hari ini kita membuat pengakuan bahawa
kita akan menunjuk tauladan yang baik sebagai pemimpin. Amalan yang baik
akan membawa kebaikan bukan sahaja kepada perkhidmatan awam, tetapi kepada
seluruh masyarakat, termasuklah diri sendiri. Tidak ada kerugian dari
khidmat yang baik kerana kebaikan yang akan didapati dalam masyarakat akan
dirasai juga oleh kita sendiri.

18. Memandang kepada hakikat ini, tentulah kita tidak boleh menganggap
bahawa khidmat yang kita beri adalah barang jualan untuk sekian banyak
upahan sahaja. Apakah berkhidmat kepada diri sendiri memerlukan bayaran
oleh orang lain? Bagi yang insaf pula, apakah khidmat kepada orang lain
tidak merupakan satu tanda peradaban yang baik? Tidakkah khidmat untuk
masyarakat merupakan satu ibadat? Jika kita menjawab 'ya' kepada
soalan-soalan ini, maka khidmat yang kita beri mestilah lebih daripada
semata-mata untuk mencari nafkah. Dan tentulah kita akan sanggup memberi
khidmat yang lebih baik kerana matlamat yang mulia ini.

19. Sebab itu, saya ingin tekankan, iaitu semua kita harus bekerja bukan
setakat upahan yang kita terima, tetapi lebih dari itu, iaitu kerana
bangsa, negara dan kerana Tuhan yang memberi begitu banyak nikmat kepada
kita. Janganlah kita terlalu berkira akan titik-peluh kita yang bernilai
sekian banyak, tetapi hendaklah kita jalankan tugas kita kerana ini adalah
sumbangan kita kepada masyarakat dan negara kita sendiri. Nikmat yang kita
dapati dari sebuah negara yang stabil, dan yang aman damai, tidak boleh
kita lupakan, bahkan patut kita sedar, dan insaf, dan kita bersyukur
kerananya. Dan kita akan dapati lebih banyak nikmat kerana kesyukuran
kita.

Saudara-saudari sekelian, 

20. Negara kita adalah negara berbilang kaum. Sungguhpun perasaan
perkauman terpaksa diakui, tetapi umumnya, kita hidup aman damai, dan kita
mempunyai perhubungan yang baik antara satu kaum dengan kaum yang
lain. Berbanding dengan lain-lain negara berbilang kaum atau berbilang
agama, di mana begitu kerap rusuhan antara kaum berlaku dengan pembunuhan
yang ramai, kefahaman dan harmoni antara kaum di Malaysia boleh kita
banggakan.

21. Tetapi, kerjasama dan kefahaman ini masih boleh diperbaiki. Dalam
negara kita, tidak dapat tidak anggota-anggota dari kaum-kaum yang
berlainan terpaksa bekerja bersama-sama di mana-mana tempat. Akan terjadi
pula keadaan di mana ketua dan pekerja terdiri daripada kaum-kaum yang
berlainan. Biasanya, dalam keadaan ini, perasaan tidak puas hati akan
timbul, dan tuduhan penindasan, sabotage dan sebagainya akan disuarakan.

22. Mungkin sungutan dan tuduhan ini berasas, tidak kira yang mana satu
kaum yang membuat dakwaan. Tetapi, elemen syak wasangka kerana berlainan
kaum biasanya membesarkan peristiwa-peristiwa yang kecil. Jika terdapat
pula orang yang berkepentingan, maka syak wasangka ini ditokok tambah,
sehingga ketegangan berlaku, dan kerja tidak dapat dijalankan dengan
baik. Peristiwa-peristiwa seperti ini berlaku dalam jabatan-jabatan
Kerajaan, dan juga dalam firma-firma swasta. Tentulah nyata, bahawa
keadaan seperti ini tidak sihat, dan tidak menolong membangunkan
negara. yang berbilang kaum ini, kita tidak dapat elak dari bercampur-gaul
di antara kaum di waktu bekerja. Adalah lebih baik bagi semua pihak jika
kita semua cuba mengurangkan perbuatan diskriminasi, dan jika berlaku
sedikit-sebanyak perbuatan yang boleh menimbulkan keraguan tentang sikap,
kita ketepikan sahaja, dan kita tumpukan kepada kerja yang perlu dibuat
dengan sempurna. Mereka yang sempurna kerjanya, lambat laun akan dihormati
dan disegani dan akan diberi layanan yang saksama. Dengan perkataan lain,
terimalah hakikat hidup, dan bekerja dalam masyarakat majmuk, dan
sesuaikanlah diri dengan hakikat ini. Kurangkanlah tuduh-menuduh, tetapi
sebaliknya, eratkan perhubungan antara kaum, baik di waktu bekerja atau
selepasnya.

Saudara-saudari sekelian, 

24. Dalam usaha kita mempertingkatkan taraf hidup kita, serta kebahagiaan
masyarakat dan negara, kita mempunyai dua pilihan -- satu pilihan jangka
pendek, dan satu lagi ialah pilihan jangka panjang. Mereka yang
membenarkan nafsu menguasai diri akan memilih keuntungan jangka
pendek. Walaupun 'nikmatnya' akan dirasai lebih awal, tetapi akhirnya
kesan buruk akan melanda dirinya. Orang yang selalu mengutamakan faedah
jangka pendeklah yang kerap terlibat dengan rasuah, kecurangan dan
berbagai lagi amalan yang tidak baik.

25. Bagi yang mengutamakan faedah jangka panjang, korban perlu dibuat
dahulu sebelum nikmat yang lebih berkekalan dapat dirasai. Kata pepatah,
"Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian apa gunanya". Sebab itu kita
disuruh berkorban kerana korban boleh membawa nikmat akhirnya, nikmat yang
lebih berkekalan. Oleh itu kita semua patutlah utamakan kebaikan jangka
panjang. Adalah lebih baik kita tekun bekerja sekarang, kerana bukan
sahaja kita akan mendapat faedah yang lebih baik kemudian, tetapi dengan
negara ini menjadi lebih bersih dan maju- jaya, zuriat-zuriat kita pun
akan turut mengecapi nikmat. Mereka akan hidup bermaruah tinggi, dihormati
oleh semua orang, dan mereka akan lebih berupaya menentukan zuriat mereka
pula berada dalam keadaan yang lebih mulia. Oleh itu, berkorbanlah untuk
agama dan tanahair kerana korban membawa nikmat yang lebih kekal kepada
pengamalnya.

Saudara-saudari sekelian, 

26. Hari ini kita akan lafazkan ikrar -- ikrar untuk menunjuk tauladan
yang baik, ikrar untuk mengamalkan segala nilai yang mulia, ikrar untuk
menjadikan negara kita lebih kukuh dan maju-jaya, dan ikrar untuk
menjadikan masyarakat berbilang kaum kita ini, masyarakat yang lebih
bahagia, bersatupadu dan berjaya. Dengan nada yang serius kita ikrar untuk
membina negara kita supaya tidak siapa boleh memandang rendah atau
menghina kita. Insya-Allah, jika kita pegang kepada ikrar ini, kita akan
capai matlamat kita.

27. Sebagai petanda bahawa ikrar kita adalah ikrar yang datang dari hati
yang suci, dibuat dengan ikhlas, kita perlu membuktikan pegangan kita
kepada ikrar ini. Kita perlu membuat satu pengorbanan sebagai bukti dan
tanda keikhlasan ikrar ini. Saya ingin menganjurkan supaya, sebagai satu
simbol yang nyata dan berkesan, kita semua mengorbankan 15 minit dari masa
kita khas untuk masyarakat dan negara. Kita semua harus datang ke pejabat
pada masa yang ditetapkan, tetapi kita tinggalkan pejabat 15 minit lebih
lewat dari masa yang ditetapkan. Ini adalah sebagai khidmat rela kita
kepada masyarakat dan negara. Insya-Allah kita semua akan mendapat nikmat
daripadanya.

28. Syor saya ini ialah syor sahaja. Tidak ada paksaan dalam perkara
ini. Tetapi, oleh kerana amalan ini adalah amalan yang baik, dan kita
berikrar akan "Memimpin Melalui Tauladan", saya yakin negara dan
masyarakat tidak akan dihampakan. Walau bagaimanapun, kita perlu ingat
bahawa ikrar kita belum dapat dipenuhi jika kita beri khidmat percuma ini
sahaja. Banyak lagi yang perlu diamalkan oleh kita supaya ikrar yang
dibuat mempunyai makna.

29. Acara pada hari ini melibatkan pegawai dan kakitangan Kerajaan
sahaja. Tetapi, tauladan yang kita tunjuk pada hari ini tentulah akan
dicontohi oleh pihak swasta jua. Malaysia memerlukan rakyat yang bersih,
cekap dan beramanah, yang rajin dan berdisiplin untuk menjadikan negara
kita selamat dan maju jaya. Kerajaan sahaja tidak mungkin berkesan jika
pihak swasta dan orang awam keseluruhannya tidak memberi kerjasama dan
tidak mengamalkan amalan yang baik yang kita utarakan.

30. Insya-Allah keinsafan dan kesyukuran akan membawa balasan yang baik
kemudiannya. Bersama-samalah kita berdoa semoga kita diberi taufik dan
hidayah serta kekuatan untuk melaksanakan azam kita ini dengan jayanya.

31. Dengan harapan ini, saya dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha
Penyayang, melancarkan kempen "Kepimpinan Melalui Tauladan".

Wassalamu 'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan terima kasih.

 



 


 











 
Google