Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	PERSIMPANGAN L/RAYA PERSEKUTUAN DGN 
			JLN KE L/TERBANG SUBANG 
Tarikh/Date 	: 	24/03/83 
Tajuk/Title  	: 	DI MAJLIS PERASMIAN MERCUTANDA 




Pengerusi Kumpulan UMW, Dif-dif Kehormat, Tuan-tuan dan puan-puan
sekelian.

Terlebih dahulu saya mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur
majlis kerana memberi peluang kepada saya berucap sepatah-dua kata di
majlis ini.

2. Baru-baru ini Kerajaan telah menganjurkan konsep Persyarikatan Malaysia
atau "Malaysia Incorporated".

Walaupun konsep ini bukanlah konsep yang baru kepada kebanyakan orang,
tetapi mungkin ada yang terkeliru dengannya. Secara ringkas, saya ingin
jelaskan bahawa "Malaysia Incorporated" bermakna pemerintah dan swasta
bukanlah sektor yang bertentangan antara satu dengan yang satu lagi,
tetapi adalah anggota yang sepakat dalam usaha menjadikan negara lebih
efisien dan "competitive". Dalam konsep ini Kerajaan harus berusaha secara
positif untuk menjayakan peniaga dan pengusaha, dan mereka pula harus
menganggap Kerajaan sebagai rakan yang perlu dibantu kerana Kerajaan bukan
sahaja ditugas untuk pembangunan dan kestabilan negara, tetapi adalah
sebahagian dari jentera yang boleh menjayakan segala kegiatan ekonomi
negara. Hasil dari kerjasama dan tolong- menolong ini ialah negara akan
kaya dan stabil, yang sudah tentu membawa manfaat kepada Kerajaan, kepada
peniaga dan pengusaha, dan kepada rakyat keseluruhannya. Sebagai satu
persyarikatan, keupayaan Malaysia bersaing dengan negara lain dalam bidang
perdagangan dan perusahaan adalah lebih tinggi. Sebaliknya, jika Kerajaan
dan swasta asyik berkonfrontasi, "efficiency" dan "productivity" negara
ini tidak dapat dipertingkatkan, dan kita tidak mungkin bertanding dengan
negara lain dengan jayanya. Demikianlah konsep Malaysia Incorporated dan
maksudnya.

3. Sepertimana kita semua maklum, Kerajaan wujud bukan dengan tujuan
memberi peluang kerja kepada pegawai dan kakitangan semata-mata. Kerajaan
juga tidak diadakan untuk memberi kuasa kepada orang-orang
tertentu. Pegawai, kakitangan dan ahli politik diberi gaji dan kuasa
adalah semata-mata untuk mengawal keadaan dalam negara, dan perhubungan
luar, supaya negara terpelihara dari huru-hara yang menjejaskan
pembangunan dan kekukuhan negara. Hasil dan cukai yang dikutip bukan
sahaja untuk bayaran upah kepada anggota Kerajaan tetapi adalah untuk
penyediaan, pembinaan dan penyelenggaraan segala kemudahan yang diperlukan
oleh rakyat -- termasuk peniaga dan pengusaha.

4. Tetapi, sungguhpun Kerajaan mengadakan peruntukan untuk infrastraktur
dan lain-lain, mustahil semua yang diperlukan dapat dibiayai atau
disediakan oleh Kerajaan. Rakyat di semua peringkat masih dikehendaki
berusaha untuk menentukan keadaan dalam masyarakat menjadi lebih
bahagia. Sebab itulah badan-badan sukarela ditubuh, dan tabiat yang baik
digalakkan. Tidak ada Kerajaan di dunia ini yang boleh mengawal keadaan
alam sekeliling sepenuhnya jika rakyat suka melakukan jenayah, menipu,
mencemar alam sekeliling, dan mencetuskan huru-hara sepanjang masa.

5. Sebab itu, dalam usaha kita untuk mengindahkan alam sekeliling kita,
setelah pembangunan mencemarnya sedikit- sebanyak, bukan sahaja Kerajaan
yang perlu berusaha, tetapi orang ramai juga perlu berusaha. Peranan yang
terpenting sekali dari orang ramai ialah mengelak dari mencemar alam
sekeliling. Bagi yang mampu pula, mereka patut berusaha sendiri bukan
sahaja untuk menjaga keadaan yang sedia ada tetapi juga mengindahkan
keadaan di sekeliling rumah-tangga dan kampung halaman mereka. Dan bagi
mereka yang lebih mampu, seperti hartawan-hartawan dan syarikat-syarikat,
mereka patutlah membantu Kerajaan dalam usaha mengindahkan alam
sekitar. Dengan ini, maka Kerajaan dan rakyat, melalui syarikatsyarikat
dan hartawan-hartawan, akan menjadi satu badan, atau corporation -- atau
persyarikatan yang bergerak untuk kebaikan negara, sekurang-kurangnya
dalam bidang pemeliharaan alam sekeliling.

6. Mungkin soal ditimbul tentang faedah yang akan diperolehi oleh individu
atau syarikat yang "public-spirited" ini. Secara terus dan langsung,
mungkin tidak ada balasan. Saya juga yakin, syarikat yang menyumbangkan
wang-ringgit dan tenaga tidak berharap kepada balasan secara
langsung. Tetapi, secara tidak langsung banyak manfaat akan diperolehi
oleh mereka yang "public-spirited" ini. Negara yang indah dan bersih
dengan sendirinya akan membawa kemakmuran yang akan dinikmati oleh orang
yang "public spirited" tadi. Tidak ada keuntungan bagi hartawan dan
syarikat yang wujud dalam masyarakat dan negara yang miskin dan daif.

7. Kerajaan, baru-baru ini, telah menumpukan perhatian kepada pembersihan
dan pengindahan negara. Sementara kebanyakan dari tempat-tempat awam
diselenggarakan sendiri oleh Kerajaan, sebagai sebahagian dari konsep
tanggungjawab bersama Kerajaan dan swasta, Kerajaan telah menjemput
syarikat-syarikat untuk mengambil-alih tanggungjawab untuk mengindahkan
kawasan-kawasan tertentu oleh mereka. Sambutan daripada pihak swasta boleh
dikatakan menggalakkan. Di antara yang terbesar ialah rancangan raksaksa
di persimpangan jalan ke lapangan terbang yang telah ditawar oleh Syarikat
UMW, sebuah syarikat yang terkemuka di Malaysia. UMW, di bawah pimpinan
Dato Eric Chia, telah membawa cadangan untuk mengindahkan kawasan ini dan
membina satu mercutanda yang boleh menjadi "land-mark" kepada
pelawat-pelawat dari luar negeri serta penduduk negara ini sendiri. Projek
ini adalah projek yang terbesar sekali yang pernah dicadangkan secara
sukarela oleh syarikat swasta dalam program mengindahkan negara ini. Saya
diberitahu bahawa sejuta ringgit telah dibelanjakan untuk pembinaan menara
jam dan taman di sekelilingnya. Selain dari itu pihak UMW pula sanggup
membelanja hampir enam ribu ringgit sebulan untuk menyelenggarakan kawasan
ini. Saya ingin mengucap tahniah dan terima kasih kepada Dato Eric Chia
dan Syarikat UMW kerana menyambut seruan Kerajaan dan orang ramai. Sikap
yang seperti inilah yang akan menjadikan Malaysia sebuah negara yang
dihormati dan disanjung tinggi. Saya berharap hartawan dan
syarikat-syarikat lain akan mencontohi tauladan UMW dalam bidang
ini. Insya-Allah mereka akan mendapat banyak manfaat darinya.

8. Seperkara yang boleh dibanggakan ialah projek ini disiap-sedia dalam
jangkamasa empat bulan sahaja. Ini mencerminkan "efficiency" syarikat UMW
dan pengurusannya, yang mana ini bolehlah dijadikan sebagai contoh
pengurusan baik kepada swasta mahupun kepada
Kerajaan. "Efficiency" seperti ini amatlah secocok dengan hasrat dan
desakan Kerajaan. Sekali lagi saya mengucap tahniah kepada UMW kerana
kecekapannya.

9. Program mengindahkan negara menjadi lebih penting kerana proses
pembangunan kerap-kali mencemar alam sekeliling dan meluputkan keindahan
semulajadi. Kita bernasib baik kerana negara kita begitu subur sehingga
penanaman pokok-pokok menjadi begitu mudah. Oleh itu, kita patutlah
mengambil peluang menjaga suasana persekitaran kita. Pengindahan Malaysia
akan menjadikan negara kita bukan sahaja lebih cantik dipandang, tetapi
juga lebih selesa dan tenteram. Oleh itu, program ini seharusnyalah diberi
sokongan oleh semua pihak.

10. Tentulah Kerajaan akan membantu individu, yayasan dan pihak swasta
yang ingin menjayakan program pengindahan Malaysia, dan lain-lain program
bagi faedah masyarakat. Tetapi, ini seharusnyalah dilihat sebagai
kerjasama dan tidak menambahkan beban kepada Kerajaan. Dari masa ke
semasa, cara-cara yang lebih sesuai bagi memperbaiki lagi kerjasama ini
haruslah dikaji bersama.

11. Dengan ini saya, dengan sukacitanya, merasmikan projek Mercutanda
binaan Syarikat UMW ini.

 



 


 











 
Google