home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : KOTA BAHRU, KELANTAN Tarikh/Date : 16/04/83 Tajuk/Title : DI PEMBUKAAN MUKTAMAR PARTI BERJASA Bismillahi rahmanir rahim. Yang Mulia Pegerusi Majlis; Yang Berhormat Datuk Muhammad bin Nasir, Yang Di Pertua Agung Berjasa; Ketua-ketua dan wakil-wakil parti-parti komponen Barisan Nasional; Dif-dif kehormat; Tuan-tuan dan Puan yang dihormati sekelian, Asalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, Saya bersyukur ke hadrat Allah subhanahu wataala, ucapan. Saya mengucapkan ribuan terima kasih atas jemputan untuk menghadiri majlis ini dan atas penghormatan yang diberikan kepada saya. 2. Tempoh selama saya memegang jawatan Perdana Menteri dan Pengerusi Barisan Nasional adalah amat menarik sekali dari segi perkembangan politik negara. Bukan sahaja Barisan Nasional dengan parti-parti komponennya mencapai kejayaan di dalam Pilihanraya 1982, tetapi, dengan kewibawaan Barisan Nasional, dan Kerajaan yang ada, pergolakan dalam parti-parti pembangkang semakin ketara. Adalah jelas bahawa parti-parti yang membenarkan extrimisme menjadi cara perjuangan mereka tidak dapat diterima oleh sebahagian besar rakyat negara ini yang ingin hidup aman-damai dan berbaik-baik. Dengan perkataan lain, pemerintahan Kerajaan Barisan Nasional, dengan usaha-usaha konkrit dan dasar-dasar yang diterima rakyat telah memperkukuhkan lagi kedudukan kita. Tuan-tuan dan puan-puan, 3. Sebagai orang Islam sudah tentulah menjadi tujuan kita untuk meninggikan syiar Islam di negara ini dan menyumbangkan apa-apa jua yang boleh mengukuhkan lagi perpaduan dan perkembangan Islam di kalangan umah di peringkat antara bangsa. Usaha-usaha meningkatkan syiar Islam mestilah dilihat pada dua peringkat, iaitu peringkat negara, dan peringkat antara bangsa. Kedua-dua peringkat ini saling mempengaruhi. 4. Kemajuan syiar Islam di negara kita tidak dapat dipisahkan dari perjuangan kebangsaan dan nasionalisme. Sabda Nabi salallahu'alaihi wasaalam "Hubbul watan minal iman", iaitu "cintakan tanah air merupakan sebahagian dari iman". Maksud hadis ini dengan jelasnya memperlihatkan kepada kita pentingnya Islam diperjuangkan di dalam konteks nasionalisme sesebuah negara. Perjuangan mempertingkatkan syiar Islam dalam konteks universal, tanpa penyesuaian dengan perjuangan dalam sesuatu keadaan, mungkin akan melemahkan perjuangan itu sendiri dalam jangka panjang. 5. Malangnya ada sesetengah golongan yang cuba mengaburkan mata umat Islam dengan tanggapan bahawa nasionalisme tidak mempunyai tempat di dalam perjuangan Islam. Sebenarnya tanggapan seperti ini hanyalah merupakan permainan politik bagi memperkecilkan usaha-usaha Kerajaan dalam mengembangkan syiar Islam. Umat Islam di negara ini harus sedar bahawa kita merupakan hanya setengah daripada jumlah penduduk negara ini dan kita juga lemah di dalam berbagai-bagai bidang. Jika kita hanya khayal dengan keangkuhan bahawa kita kuat dan berkemampuan penuh untuk berbuat apa sahaja tanpa memikirkan suasana dan implikasinya, kita hanya bermain dengan api. Sementara kita merupakan setengah daripada jumlah penduduk negara ini, apakah boleh kita membuat kesimpulan bahawa jumlah ini mempunyai tahap keimanan yang begitu tinggi semuanya untuk berjihad, sedangkan kita sedar bahawa sebahagian daripada umat Islam di negara kita yang masih lemah dari segi spiritual dan materialnya. Umat Islam bukan sahaja dipengaruhi oleh unsur-unsur yang tidak sihat, malahan umat Islam kurang perpaduan, dan malang pula telah disemai dengan ajaran-ajaran yang boleh memecah-belahkan oleh setengah-setengah oportunis politik dan pengembang- pengembang agama yang menyeleweng. 6. Dalam keadaan seperti ini yang harus menjadi tumpuan perhatian umat Islam yang inginkan kekuatan dan kemajuan umah, ialah mengikis tabiat mencemar Islam dan menyemai konflik di kalangan umat. Dalam keadaan di mana sebahagian dari umat Islam kita masih lemah dari segi keimanan dan kemajuan, strategi yang paling sesuai ialah untuk memperkukuhkan asas-asas kedua-dua aspek ini, tanpa bertindak secara buta-tuli mengikut emosi, yang boleh menimbulkan implikasi yang akhirnya akan menambahkan lagi kelemahan kita. 7. Sesebuah negara tidak serupa dengan negara lain. Keadaan kita di Malaysia juga berbeza dengan keadaan di negara-negara lain. Apa-apa jua yang akan kita lakukan bagi memperkukuhkan kedudukan umat Islam dan syiar Islam di negara kita mestilah mengambil kira keadaan yang berbeza ini. Tindakan-tindakan kita mestilah mementingkan matlamat akhir di mana nilai-nilai Islam yang sebenarnya diamalkan oleh umat Islam, dan dapat menjadi ukuran dan contoh baik-buruk bagi rakyat Malaysia seluruhnya. Islam tidak menganjurkan paksaan supaya orang lain menjadi Islam, dan ini adalah kerana Islam merupakan agama rasional, dan agama yang boleh menarik minat semua orang. Tetapi ini mestilah dengan ketinggian Islam sendiri dari segi nilai dan amalannya. 8. Tidak guna kita mengadakan lebel itu Islam dan ini bukan Islam jika umat Islam tidak mengamalkan nilai-nilai Islam. Sebaliknya, jika kita menganjurkan amalan nilai-nilai Islam dengan semangat firman Allah subhanahu wataala yang maksudnya "berdakwahlah dengan cara yang lemah-lembut", dan umat Islam seluruhnya mengikut prinsip-prinsip dan nilai-nilai Islam, dengan sendiri nilai-nilai ini akan meresap ke dalam keseluruhan aktiviti-aktiviti kita. Ini tidak semestinya berlaku dalam masa yang singkat dan dibuat dengan gopoh-gapah tanpa perkiraan bahawa negara kita merupakan negara majmuk dan mempunyai masalah-masalahnya yang tersendiri. 9. Melalui sejarah, perkembangan Islam di zaman Rasullullah sallallahu'alaihi wassalam yang memakan masa selama 23 tahun, kita dapat meneliti satu hikmat pentingnya strategi dan diplomasi dalam mengembangkan syiar Islam. Jika dikehendakiNya tentulah Allah subhanahu wataala menjadikan kaum Kurish Islam dalam masa yang sesingkat-singkatnya tanpa Rasullullah sallallahu'alaihi wassalam melalui berbagai-bagai liku perjuangan. Hikmat perjuangan Rasullullah sallallahu'alaihi wasaalam ialah supaya kita berhati-hati tanpa kehilangan semangat dan perkiraan dalam mengembangkan syiar Islam. Ketika semangat Islam berkubar dengan kencangnya ketika ini, kita harus menjamin kejayaan perjuangan kita melalui tindakan-tindakan yang munasabah atau tanpa mendatangkan mudarat kepada kita. Kita mesti pentingkan pemerintahan yang adil dan bertanggungjawab. Ini dikehendaki oleh Islam. 10. Salah satu perkara yang merugikan umat Islam ialah wujudnya pemikiran setengah-setengah golongan yang memisahkan apa yang dipanggil sebagai ulamak dengan bukan ulamak, yang mendapat didikan Islam di institusi tempatan dan institusi negara-negara Islam, yang kononnya lebih Islam dengan yang kurang Islam. Bagi kita memperjuangkan Islam, yang penting ialah semua orang Islam, tidak kira latar belakang, kemahiran dan kelayakan, menggemblingkan ilmu pengetahuan, kepakaran dan kemampuan mereka sebagai satu tenaga yang menyeluruh bagi faedah kemajuan umat Islam. Kalau kita lihat di zaman keagungan Islam dahulu, tokoh-tokoh Islam yang terkemuka adalah dari berbagai-bagai bidang, dan yang dikatakan ulamak ialah mereka yang berilmu pengetahuan tinggi dalam berbagai-bagai ilmu dan bukanlah semata-mata golongan fukuha atau ahli-ahli fekah. Tetapi zaman kita ini perkataan ilmu yang sebenarnya memberi maksud sains dihadkan bagi pakar hukum, dan ada kalanya Islam seseorang diukur secara adat orang yang memakai pakaian tertentu. Bagi kepentingan Islam, pengertian yang luas dan hikmat-hikmat Islam harus benar-benar difahami oleh kita umat Islam, lebih-lebih lagi jika kita mahukan kejayaan. Tuan-tuan dan puan-puan sekelian, 11. Islam sebagai agama rasional yang tidak perlukan mukjizat dan peristiwa-peristiwa yang mencarit adat untuk diterima, adalah agama yang mementingkan beberapa prinsip yang unggul untuk kemajuannya. Prinsip kesederhanaan, berusaha, berdikari, tolong-menolong, hormat-menghormati, amanah dan lain-lain lagi adalah nilai-nilai baik yang boleh diterima oleh semua orang. Nilai inilah yang sepatutnya menjadi kenderaan usaha menerapkan nilai-nilai Islam di dalam kehidupan di negara kita. Bukan pandangan ekstrim dan tindak-tanduk yang boleh menakutkan orang lain, tetapi pandangan yang akan memberi manfaat kepada Islam. Bukan cara paksaan yang akan memberi manfaat kepada Islam, tetapi dengan cara menunjukkan kebaikan Islam. 12. Di negara kita pada hari ini, Islam telah menjadi satu perkataan yang menimbulkan banyak reaksi. Kita tidak mahu Islam menjadi 'counter productive' sebagaimana di setengah-setengah tempat di mana Islam tinggal nama sahaja, sedangkan pengaruh-pengaruh kepercayaan lain dapat memikat orang-orang Islam yang kebanyakan lemah dari segi keimanan dan kebendaan. Jika Islam hanya dapat menakut-nakutkan orang tentulah dengan mudah Islam akan ditinggalkan, apatah lagi jika cara-cara yang digunakan oleh orang lain lebih menarik dan halus. 13. Politik yang mencemarkan Islam akan merugikan umat Islam. Perjuangan politik untuk Islam tidak seharusnya didorongkan oleh nafsu untuk mencari kuasa dan mendapat jawatan. Sesuatu parti politik, kerana berada di luar Kerajaan menyemaikan idea-idea ekstrim bukan sahaja akan menjejaskan usaha-usaha Kerajaan bagi memajukan umat Islam, tetapi secara tidak langsung telah memupuk satu bentuk musuh yang akan memakan parti itu sendiri. Ini telah terbukti dengan pergolakan di dalam PAS. Kerana inginkan kuasa, ada ahli-ahli PAS yang cuba memikat hati umat Islam dengan idea perjuangan Islam yang sempit dan perjuangan redikal ala-Iran. Sepatutnya PAS, sebagai parti yang dikatakan parti Islam, menunjukkan nilai-nilai keIslamannya dalam perjuangannya, bukan sebagaimana parti-parti pembangkang seperti DAP yang memang tidak menonjolkan nilai-nilai Islam. Kita bukan hendak mengajar, tetapi cuma mengingatkan mereka bahawa Islam mementingkan umatnya berfikir dan bertindak secara bertanggungjawab, dan lebih mementingkan kejayaan bagi Islam bukan kerana mahukan kuasa. 14. Dengan kajian terperinci kita sedang membina institusi-institusi Islam bukan sahaja bagi memudahkan umat Islam tetapi supaya umat Islam, setingkat demi setingkat, akan mengamalkan nilai-nilai Islam. Ini pun kita dicaci, kononnya kita tidak jujur, dan cuma mengadakan semua ini untuk mengaburi mata umat Islam. Kejujuran adalah di hati dan kita tidak harus mempermain dan mempersendakan Islam. 15. Banyak yang perlu kita buat bagi memajukan negara, membawa kebahagiaan kepada rakyat dan umat Islam. Kita perlukan sokongan dan kerjasama bagi memudahkan kita mencapai cita-cita kita ini. Usaha-usaha untuk meningkatkan daya pengeluaran negara, memperkemas jentera pentadbiran yang bersih, cekap, beramanah yang menjadi tauladan, memupuk kerjasama di kalangan semua sektor, mengukuhkan nilai-nilai mulia dan disiplin di kalangan rakyat semuanya adalah untuk sebagai satu persaudaraan ke arah matlamat masa depan kita yang lebih cemerlang ini. 16. Setiap parti komponen Barisan Nasional telah dapat bekerjasama bagi kebaikan dan masa depan negara ini. Keadaan ini akan menjamin usaha-usaha kita akan dapat diteruskan bagi kebaikan semua. Berjasa, sebagai salah sebuah parti dalam Barisan Nasional telah sama-sama membuat sumbangan kepada kebahagiaan bersama. Kalau hendak diukur siapa yang lebih banyak membuat sumbangan tentulah susah. Landasan kita adalah jelas, cuma yang penting bagi kita di dalam Barisan Nasional ialah memperkukuhkan lagi jentera parti, menjamin perpaduan dan memupuk kelahiran barisan pemimpin bagi menjamin Barisan Nasional akan sentiasa berkemampuan memberi kepimpinannya yang dinamis. 17. Tentulah Muktamar ini akan membincangkan banyak perkara. Saya cuma dapat mengucapkan selamat berbincang dan selamat maju jaya. 18. Dengan ini juga saya merasmikan Muktamar Berjasa dibuka. Wabillahi taufik, walhidayah, wassalamu 'alaikum warahmatullahi wabarakatuh. |