home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : HOTEL HILTON, KUALA LUMPUR Tarikh/Date : 19/06/83 Tajuk/Title : DI MAJLIS MAKAN MALAM KELUARGA UTUSAN MELAYU Saudara-saudara yang dihormati sekelian. Majlis pada malam ini membawa seluruh anggota keluarga Utusan Melayu dalam satu suasana meriah untuk bersuka-suka dan bermesra sesama sendiri. Orang ramai biasanya tidak tahu bahawa usaha mengeluarkan sesebuah akhbar memerlukan begitu ramai tenaga pekerja yang perlu mengendalikan berbagai-bagai aspek tugas. Biasanya seseorang tidak memikirkan selain daripada apa yang dapat dibacanya apabila dia mendapat naskah akhbarnya setiap pagi. 2. Di dalam kehidupan moden di mana saluran komunikasi menjadi satu alat yang penting bagi membolehkan seseorang mengetahui tentang peristiwa-peristiwa di sekelilingnya ataupun peristiwa-peristiwa yang berlaku di dunia, akhbar menjadi satu keperluan seharian. Ramai dari kita yang ketagih dengan akhbar dan jika sesuatu pagi kita tidak mendapat naskah kita, kita akan merasa seolah-olah hidup kita pada hari itu tidak lengkap. Begitulah yang dialami oleh kebanyakan kita. 3. Pengeluaran sesebuah akhbar memerlukan tenaga yang ramai yang kebanyakannya pula memerlukan pengalaman dan kemakmuran. Sesebuah akhbar yang berjaya bergantung kepada tenaga pekerja yang bertanggungjawab dan mempunyai sifat profesionalisme yang tinggi. Bagi kita di Malaysia, Utusan Melayu merupakan satu akhbar yang begitu panjang sejarahnya. Utusan Melayu adalah salah satu saluran utama yang menggemblengkan semangat nasiolisme Melayu dan telah bersama-sama memainkan peranan di dalam memperjuangakn kemerdekaan negara dan membela nasib masyarakat Melayu. 4. Utusan Melayu telah menjadi salah satu perusahaan akhbar dan percetakan yang terbesar di negara kita. Kumpulan Utusan Melayu bukan sahaja mengeluarkan akhbar tetapi juga majalah dan buku, dan bagi menyesuaikan dengan keadaan masa keluaran Kumpulan Utusan Melayu tidak lagi terhad kepada penerbitan yang bertulisan jawi malah yang bertulisan rumi. Demikian juga bagi memenuhi selera pembaca yang semakin meningkat dan meluas ilmu pengetahuannya, ruangan-ruangan tertentu telah diubah suaikan. 5. Sesebuah akhbar mempunyai peranan yang penting di dalam sesebuah negara. Sesuatu keadaan boleh menjadi keroh hanya dengan tindak-tanduk sesebuah akhbar. Turun naik seseorang juga banyak bergantung kepada akhbar. Itulah sebabnya kadang-kala seseorang begitu takut untuk mendekatkan diri kepada masyarakat wartawan. Ini bukanlah bermakna bahawa wartawan tidak bertanggungjawab. Tetapi, sebagaimana juga di dalam apa-apa kumpulan tentu terdapat seorang-dua yang sama ada oleh sebab sifat cuai ataupun kerana motif-motif tertentu boleh menjejas imej profesionalisme sesebuah penerbitan. 6. Sedikit sebanyak wartawan di negara kita terpengaruh dengan dunia luar, khususnya pengaruh Barat. Di Barat sememangnya terdapat tokoh-tokoh wartawan yang berkelibar tetapi tidak kurang pula terdapat mereka yang hanya bermati-matian membuat kecaman terhadap sesiapa juga kecuali dirinya sendiri. Saudara-saudar tentu tahu tentang cerita-cerita mengenai wartawan-wartawan yang setiap masa mengitip hinggakan sanggup membongkarkan hal-hal peribadi seseorang sehinggakan hidup orang lain tidak lagi bebas dari intipan mereka. Sebenarnya gambarn seperti ini menunjukkan tingkah-laku orang gila dan bukan dari keluarga wartawan professionlisme. 7. kita masih bernasib baik kerana masyarakat kita masih mempunyai nilai-nilai timur yang mementingkan kehormatan orang lain. Apa-apa juga konsep professionalisme kita mestilah berteraskan kepada nilai-nilai mulia ini. Masyarakat kita adalah masyarakat yang mementingkan kebaikan dan profesionlisme kita juga dalam apa jua bidang aktiviti kita mestilah juga berpandukan kepada usaha memupuk kebaikan. Saya yakin perkara ini telah diterima sebagai asas panduan wartawan-wartawan kita. Kita tidak harus hanyut dengan pengaruh wartawan-wartawan liar, asing yang mungkin berpendapat bahawa menggunakan alat media massa untuk kebaikan umum sebagai propaganda. Kita harus bertanyakan diri kita apakah hanya mencari-mencari keburukan itu bukan propaganda. |