home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : MELALUI RADIO DAN TELEVISYEN MALAYSIA (RTM) Tarikh/Date : 01/07/83 Tajuk/Title : PERUTUSAN HARI RAYA AIDIL FITRI Bismillahir rahmanir rahim. Assalamu 'alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Saudara-saudari Muslimin-muslimat yang dihormati sekelian, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahilhamd. Wataala dan bersyukur kita kepada Allah kerana dengan pada keesokan hari setelah kita berjaya berpuasa selama satu bulan. 2. Kegembiraan Hari Raya ialah kerana kita telah berjaya dalam jihad yang lebih besar dari peperangan mempertahankan umat Islam. Nabi Mohammad s.a.w. telah bersabda sewaktu pulang dari peperangan bahawa jihad yang lebih besar yang menunggu mereka yang kembali dari medan perang ialah peperangan melawan nafsu. Sudah tentu jika kita berjaya dalam peperangan yang besar ini maka sepatutnyalah kita gembira dan kita rayakan hari kemenangan ini. 3. Hadith ini menekankan tentang betapa pentingnya melawan nafsu. Jika mengawal nafsu adalah begitu penting dalam Islam tentulah ada sebabnya. Ibadat dalam Islam, termasuklah ibadat puasa, bukanlah suatu ritual yang kita amalkan tanpa sebab atau semata-mata untuk membezakan agama kita dari agama lain, atau untuk kita pamirkan betapa kita berpegang kepada agama kita, atau untuk semata-mata mendapat pahala dan ganjaran di akhirat. Ibadat dalam Islam jelas mempunyai tujuan untuk menjadikan umat Islam umat yang mulia, umat yang berjaya, umat yang bahagia. Jika pada hari ini umat Islam berada dalam keadaan yang daif, dijajah oleh orang lain, lemah dan mundur, sebabnya bukanlah kerana keadaan ini dituntut oleh agama Islam, tetapi sebaliknya ialah kerana kita tidak menimba sepenuhnya ajaran-ajaran yang terdapat dari ibadat dalam Islam. Ramai kita yang lebih utamakan rupa bentuk Islam dan tidak isi kandungannya. Ramai kita yang berpuas hati jika kita mudah dikenal sebagai orang Islam, walaupun untuk menentukan ini, kita membelakangkan seruan Islam ke arah kebaikan, ke arah persaudaraan dalam Islam, ke arah kebahagiaan dan kejayaan. 4. Sebaliknya jika kita renungkan akan ibadat dalam Islam tidak dapat tidak kita akan sedar akan segala ajaran yang terkandung di dalamnya. Dan jika kita menyerapkan ajaran ini dalam kehidupan kita, sudah tentu kita akan mendapat banyak nikmat daripadanya. Ibadat puasa yang baru sahaja kita amalkan adalah di antara ibadat yang terpenting yang mempunyai banyak pengajaran untuk kita hidup dan mati dengan lebih sempurna. 5. Yang pertamanya ibadat puasa mengajar kita tentang kebaikan membendung nafsu. Semua jenis kejahatan dan kegagalan berasas dari kegagalan melawan nafsu. Jika kita sakit umpamanya kita dikehendaki pantang dari berbagai jenis makanan dan kegiatan. Nafsu kita terhadap yang dilarang perlu kita bendung jika kita ingin kesihatan. Dalam menjalankan tugas kita nafsu mendorong supaya kita malas. Jika kita tidak lawan nafsu, maka sudah tentu kerja kita tidak akan sempurna. Penerimaan rasuah juga berasas kepada nafsu. Kawalan nafsu seperti yang kita lakukan diwaktu berpuasa, jika diserapkan ke dalam kehidupan harian kita, tentulah dapat menghindar kita dari terlibat dengan rasuah. Dalam perniagaan, jika kita melawan nafsu daripada menguasai kita dan kita tidak mungkir janji, tidak tamak, tidak menipu, maka kejayaan kita adalah lebih terjamin. Banyak lagi contoh kebaikan yang boleh didapati dari tidak membenar nafsu menguasai diri. Kita tahu semua ini, tetapi kawalan nafsu yang kita amalkan di waktu berpuasa, kita tidak teruskan kepada kehidupan harian kita. Oleh itu kita tidak mencapai kejayaan yang sepenuhnya, atau kita gagal terus. 6. Pelajaran yang kedua yang boleh didapati dari ibadat berpuasa ialah hikmat berkorban. Korban adalah satu amalan yang penting dalam Islam dan di waktu berpuasa kita mengorbankan sebahagian dari kelazatan hidup kita. Dengan ini kita sepatutnya menjadi manusia yang lebih insaf dan lebih bersyukur akan nasib yang baik yang kita dapati. Kita juga akan insaf akan penderitaan saudara-saudara kita yang tidak begitu bernasib baik. Sudah tentu masyarakat yang tahu bersyukur dan insaf akan menjadi masyarakat yang lebih bertimbang rasa dan tenang. Masyarakat seperti ini tetap akan mendapat lebih banyak nikmat dan kebahagiaan dari masyarakat yang angkuh dan mudah lupa segala nikmat yang mereka telah terima. 7. Jika pada hari ini orang Islam berada dalam keadaan yang tidak tenang dan tidak bahagia, bersengketa sesama sendiri, daif dalam segala bidang, dihina dan ditindas oleh orang lain, sebabnya ialah kerana mereka tidak insaf dan tidak bersyukur. Apabila mereka merdeka dan dapat memerintah diri sendiri mereka tidak lagi menghargai kebebasan mereka. Sebaliknya mereka mencari bermacam-macam isu supaya berlakulah perpecahan di kalangan mereka. Dengan itu peluang keemasan yang dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wataala untuk memperbaiki kedudukan mereka diketepikan, bahkan disalahguna sehingga kemajuan dan kebahagian hidup mereka tidak tercapai. Mereka tidak sanggup membelakangkan sedikit kepentingan diri, iaitu berkorban, untuk kebaikan masyarakat Islam keseluruhannya, yang mana ini akan membawa kebaikan yang lebih berkekalan kepada mereka. Dalam kesibukan mereka dengan memenuhi kehendak semasa diri sendiri, maka hilanglah peluang untuk mengukuhkan benteng pertahanan mereka buat masa depan. Inilah peristiwa yang kita lihat di Asia Barat dan di lain- lain tempat di mana orang Islam berada. 8. Kesabaran menjadi ajaran yang ketiga yang boleh didapati dari ibadat puasa. Cuma orang yang sabar sahaja yang boleh membendung kemahuan mereka sehingga tiba masa mereka berbuka puasa. Jika kita jadikan kesabaran ini sebagai sebahagian dari sifat kita sepanjang masa, nescaya kita akan menjadi manusia yang lebih berjaya. 9. Tiap-tiap satu usaha memerlukan kesabaran. Tidak ada keuntungan atau kebaikan yang boleh dicapai dengan serta merta. Semuanya memerlukan pelaburan fikiran, tenaga dan lain-lain lagi dengan berpanjangan sebelum hasil yang berkekalan dicapai. Jika kita menuntut ilmu, kesabaran adalah perlu. Jika kita berniaga, kesabaran adalah penting. Jika kita mahu sesuatu, kesabaran adalah perkara utama. Jika kita ingin bangunkan negara, atau meninggikan maruah dan kehormatan, kita terpaksa bersabar. 10. Tetapi kita dapati jarang sekali kita menunjuk kesabaran. Kita hendak semuanya hari ini juga. Kita tidak boleh tunggu-tunggu lagi terutama apabila kita hendak sesuatu dari pihak lain. Justeru itu kita kerap kali gagal kerana persiapan kita tidak mencukupi atau sikap kita tidak begitu menarik. Sebelum kita mempelajari dengan mencukupi sesuatu kecekapan, kita sudah cuba mengguna kecekapan itu. Kadang-kadang kita anggap masa untuk mempelajari sesuatu sebagai pembaziran dan kita tidak mempelajarinya. Dan kita tidak fikir panjang lagi jika ditawar upah yang lebih baik sebelum kita layak menerima sesuatu tugas. Oleh itu, kerap kali urusan dan usaha kita tidak membuahkan hasil yang diharapkan dan kita serta masyarakat kecewa. 11. Kebersihan juga menjadi satu pelajaran dari ibadat berpuasa. Kebersihan yang dimaksudkan termasuklah kebersihan hati, tubuh-badan dan alam sekeliling. Tetapi kita hadkan kebersihan ini kepada tahap yang minima dan perkara tertentu sahaja. Kita tidak perluaskan amalan kebersihan kepada alam di sekeliling kita. Kita tidak panjangkan tabiat baik ini di luar bulan puasa dan dalam lain-lain kegiatan kita. Oleh itu, kita tidak mendapati banyak manfaat yang sepatutnya kita dapati dari amalan kebersihan dalam ibadat puasa. 12. Banyak lagi hikmat yang terdapat dalam dan daripada ibadat puasa. Semuanya boleh menolong mengatasi banyak masalah kehidupan kita. Bahkan kemajuan dan kejayaan kita dalam kehidupan sehari dapat dicapai dengan lebih mudah jikalau segala ajaran dari ibadat puasa dapat kita teruskan sepanjang masa dan kita tidak jadikan puasa sebagai satu ritual agama Islam untuk mempamirkan ke Islaman kita. 13. Kerajaan sedang berusaha untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang mengamalkan asas-asas Islam kerana kita percaya ianya akan membawa kebaikan kepada semua pihak, sama ada orang Islam atau bukan Islam. Kita mencuba usaha ini dengan penuh kesabaran kerana kita tahu akan kesan buruk yang akan datang dari tindakan yang tergesa-gesa yang didorong lebih oleh nafsu daripada kehendak ajaran Islam sendiri. Kita telah elak paksaan kerana paksaan tidak secucuk dengan agama Islam. Banyak perubahan-perubahan yang telah kita usahakan dengan cara pujuk dan hikmah. Memang benar kita tidak berjaya sepenuhnya tetapi Insya-Allah di mana kejayaan dicapai ianya akan lebil kekal. 14. Tetapi negara tidak menjadi negara semata-mata kerana adanya Kerajaan. Negara wujud kerana adanya rakyat dan masyarakat. Jika Kerajaan sahaja yang berusaha, tetapi rakyat cuma menonton di pinggir, mustahil perubahan- perubahan yang ditujukan akan tercapai. Rakyatlah yang perlu bertindak dan mengamalkan segala kebaikan sebelum matlamat dapat dicapai. 15. Jika segala ajaran yang kita perolehi dari ibadat berpuasa diteruskan, jika kita membendung nafsu, sedia berkorban, sabar dan bersih fikiran dan tubuh-badan serta sekitar kita, sudah tentu kita akan mencapai kejayaan yang lebih bagi diri kita, bagi masyarakat dan bagi negara kita. Jika kita mundur sekarang, jika umat Islam berporak- peranda, jika kita terpaksa bergantung pada orang lain, sebabnya ialah kerana segala kebaikan yang kita lakukan di waktu berpuasa kita anggap sebagai ritual ibadat semata- mata. Kita harapkan ganjaran bagi diri kita sendiri di akhirat, tetapi tidak anggap kebaikan yang dituntut di waktu berpuasa sebagai satu pelajaran dan latihan untuk kehidupan harian kita yang lebih sempurna. Justeru itu kita tidak teruskan sifat-sifat yang baik yang kita amalkan di waktu berpuasa. Apabila tamat sahaja bulan puasa kita balik kepada tabiat yang asal, tabiat yang tidak dapat membawa kejayaan kerana ianya bercanggah dan bertentangan dengan prinsip-prinsip agama yang kita anuti. 16. Negara kita Malaysia ditakrifkan sebagai negara yang sedang membangun. Kita belum lagi sampai ke tahap negara yang sudah maju. Tetapi kita suka meniru amalan-amalan buruk penduduk negara yang sudah maju. Jika mereka suka mengambil tindakan yang mengancam masyarakat sebagai satu cara untuk mendapat tuntutan mereka, kita juga anggap cara itu sebagai hak bagi kita. Jika negara yang maju suka berehat lebih dari bekerja, kita juga mahu berehat. Jika negara maju mempunyai kemudahan-kemudahan awam yang terbaik sekali, kita juga mendesak supaya kemudahan-kemudahan ini diadakan. 17. Bahawa negara kita adalah negara yang sedang membangun dan tidak mampu mengadakan kemudahan tersebut, kita tidak mengambil kira. Kita sering dipengaruhi oleh fikiran dan falsafah orang-orang dari negara maju tanpa mengambilkira kesesuaian falsafah itu. Sebaliknya kita tidak mengambilkira bahawa kemajuan negara maju dicapai setelah beratus tahun mereka berusaha, bekerja kuat dan mengikat perut. Kita mahu kemewahan mereka tanpa usaha dan korban mereka. Kita hendak semua dengan percuma. 18. Sikap dan sifat ini adalah bertentangan dengan pelajaran yang kita amal dan kita dapati dari ibadat puasa. Balasan yang baik cuma datang selepas berusaha, selepas berkorban dan selepas bersabar. Pelaburan adalah penting untuk mendapat ganjaran baik di dunia atau di akhirat. Ganjaran yang didapati selepas usaha dan korban akan lebih dihargai kerana ia adalah satu hasil usaha kita dan bukan sesuatu yang datang bergolek percuma. 19. Yang harus kita ingat ialah dalam pembangunan negara, kita masih di peringkat berusaha dan berkorban, iaitu peringkat berpuasa. Oleh itu kita patutlah memikul beban kita dengan hati yang tabah dan sabar. Segala ganjaran yang sudah didapati oleh orang lain adalah hak mereka. Ganjaran yang sama di dunia dan di akhirat akan menjadi hak kita selepas kita berkorban dan berusaha, insya-Allah. Tuhan tidak akan menghampakan kita, jika kita jujur dan insaf akan apa yang sudah pun ada pada kita, dan kita berusaha dan bertekun untuk kebaikan yang bertambah. 20. Balasan yang akan datang mungkin tidak dalam zaman kita. Mungkin segala usaha kita akan mengambil masa berpuluh atau beratus tahun. Kita tidak harus keciwa kerana Allah Subhanahu Wataala sudah janjikan balasan bagi orang Islam di akhirat. Apa yang kita lakukan ialah satu jenis jihad dan jihad tidak bergantung kepada ganjaran di dunia. Oleh itu kita harus sabar, walaupun kita tidak merasai hasil dari usaha kita. Tuan-tuan dan Puan-puan 21. Pada esok hari kita akan merayakan kemenangan kita melawan nafsu. Perayaan ini cuma bermakna jika amalan puasa kita menjadikan kita umat yang lebih sabar, lebih sanggup berusaha dan berkorban untuk kebaikan di masa hadapan. Janganlah kita anggap hari raya semata-mata sebagai hari untuk bergembira, hari memenuhi kehendak hati dan nafsu kita, hari melupakan segala korban yang telah kita lakukan pada bulan puasa. Sebaliknya teruskanlah sifat-sifat dan amalan baik yang telah kita amalkan selama sebulan berpuasa. Insya-Allah kita akan hidup lebih bahagia, kita akan menjadi insan yang lebih insaf dan kita akan mendapat balasan di akhirat kelak. 22. Ini tidak bermakna bahawa suasana Hari Raya harus muram. Hari Raya Aidilfitri dikurniakan kepada kita sebagai satu ganjaran. Juga Hari Raya ialah hari kedamaian, hari kita bersalam-salaman, memohon maaf dari kawan dan lawan, melupakan segala buruk sangka dan salah faham antara kita sesama kita. 23. Justeru itu Hari Raya harus memperkenalkan kebaikan di kalangan orang Islam. Kita harus menerima kawan dan lawan tanpa mengambilkira anutan mereka. Orang yang bukan Islam juga harus mendapat layanan dan persahabatan kita pada hari yang bahagia ini. Oleh itu terimalah segala kunjungan dengan hati yang terbuka, dengan wajah yang berseri. 24. Bagi orang bukan Islam pula, saya harap mereka akan bersama-sama menyambut hari ini. Tidak ada masa lain yang "good-will" melimpah di kalangan orang Islam selain dari Hari Raya. Di hari inilah yang patut kita semaikan bibit-bibit perpaduan kaum yang kita idamkan untuk negara kita. Lebih ramai orang bukan Islam melawat orang Islam di Hari Raya, lebih baiklah persahabatan yang akan terjalin di negara kita. Saya yakin semua orang Islam akan membuka pintu rumah dan pintu hati mereka kepada semua rakan mereka pada hari yang mulia ini. Islam adalah agama kedamaian dan Hari Rayalah yang kita harus buktikan sifat damai dalam Islam sepenuhnya kepada semua pihak, kepada yang Islam dan yang bukan Islam. Berilah makna kepada "Assalamualaikum" (Peace be with you) dengan sepenuhnya pada hari yang mulia ini. Tuan-tuan dan puan-puan, Saudara-saudari sekelian 25. Saya berdoa agar kita dapat merayakan Hari Raya Aidilfitri ini dengan sempurna. Bagi pasukan keselamatan kita, saya berharap mereka akan tabah hati, walaupun terpisah dari anak isteri dan keluarga pada hari raya ini. Insya-Allah pada Hari Raya yang akan datang mereka akan berada dengan keluarga. Negara terhutang budi kepada askar dan polis kita yang menjalankan tugas supaya kita semua dapat merayakan Hari Raya dalam keadaan terlindung dan terpelihara. 26. Bagi pihak Kerajaan dan bagi pihak diri saya juga, saya mengucapkan Selamat Berhari Raya kepada semua Muslimin dan Muslimat. Bergembiralah pada hari kemenangan ini. Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillahilhamd. |