home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : BANGUNAN IBU PEJABAT PERNAS, JALAN RAJA LAUT, KUALA LUMPUR Tarikh/Date : 01/07/83 Tajuk/Title : DI MAJLIS PELANCARAN OPERASI BANK ISLAM MALAYSIA BERHAD, Yang Berhormat Menteri-Menteri; Dif-Dif Kehormat; Tuan-tuan dan Puan-puan sekelian. Assalamu 'alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Saya bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala, kerana dengan limpah kurnia dan izinNya, dapat kita sekelian berkumpul di majlis yang bahagia ini, untuk sama-sama menyaksi dan merestui pelancaran operasi salah satu institusi terpenting di negara kita, iaitu Bank Islam Malaysia Berhad. 2. Kita bersyukur, kerana pada hari ini, segala usaha dan titik peluh berbagai pihak, yang dipertanggungjawab untuk mengkaji dan melaksanakan projek Bank Islam ini, telah membuahkan hasil yang konkrit. Majlis pada hari ini menandakan kejayaan peringkat pertama; kejayaan ini hanya satu cabaran bagi kejayaan yang kedua, yang lebih penting, iaitu kejayaan sebenar Bank ini, dari segi semua aspek prestasinya. Bersama-samalah kita bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala, di atas taufik dan hidayahNya, memandu dan memudahkan segala usaha kita dalam melaksanakan projek ini. Bersama-samalah kita berdoa, semoga dengan berkat, hidayah dan petunjukNya pula Bank Islam Malaysia akan mencapai tahap kejayaan dan prestasi yang boleh dibanggakan oleh setiap anggota umat Islam khasnya, dan rakyat Malaysia amnya. 3. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih dan penghargaan kepada semua pihak yang telah memberi khidmat, dan sumbangan, bagi menjayakan penubuhan Bank Islam ini. Khususnya, saya ucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Yang Mulia Raja Tan Sri Mohar, Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Kebangsaan Bank Islam dan ahli-ahli Jawatankuasa-Jawatankuasa berkenaan, dan Dr. Halim Ismail, Pengarah Urusan Bank Islam Malaysia serta lain-lain pegawai yang telah berusaha dengan bersungguh-sungguh, tanpa kenal penat-lelah untuk mengendalikan kerja-kerja penubuhan Bank ini mengikut satu jadual yang ketat. Demikian juga, tidak lupa saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yang Berhormat Encik Anwar Ibrahim, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, yang telah memberi perhatian personal bagi menjamin kejayaan projek ini. Tuan-tuan dan puan-puan sekelian. 4. Sebagai sebuah negara yang agama rasminya ialah agama Islam, dan 53 peratus penduduknya beragama Islam, sudah tentulah negara Malaysia perlu mempunyai kemudahan-kemudahan bagi umat Islam bergerak dalam semua bidang mengikut lunas-lunas dan prinsip-prinsip Islam. Masalah yang timbul dalam usaha mengamalkan prinsip-prinsip dan ajaran tidak berasas kepada prinsip atau ajaran itu sendiri tetapi berasas kepada tafsiran dan kelemahan-kelemahan manusia. Islam sebagai agama Allah Subhanahu Wataala yang sesuai untuk semua tempat dan semua masa, tidaklah dibentuk demikian rupa sehingga menimbul masalah dan menjadi beban kepada penganut-penganutnya. Sebaliknya, agama Islam memberi banyak kelonggaran supaya orang Islam dapat hidup sempurna, walaupun keadaan sekitar mereka berbeza-beza dan berubah. Demikianlah toleransi dan kelonggaran dalam Islam sehingga tidaklah menjadi masalah kepada orang Islam jika mereka terpaksa atau memilih untuk tinggal di negara bukan Islam atau di kalangan orang bukan Islam. Rasulullah s.a.w. telah mengarah sekumpulan dari penganut agama Islam berhijrah ke Habsyah, negara Kristian, untuk menyelamatkan diri mereka. Dan mereka yang berhijrah ini tidaklah terpisah dari agama Islam walaupun mereka tinggal dalam alam bukan Islam. 5. Malangnya sepanjang sejarah Islam selepas wafat Nabi Muhammad s.a.w. terdapat orang-orang yang tidak puas hati dengan kelonggaran yang diberi ini. Bagi mereka ini yang sunat pun hendak diwajibkan dan kelonggaran yang diberi berkenaan dengan yang wajib, mereka ketepikan dengan berbagai alasan. Mereka hendak supaya tidak ada tolak-ansur sama sekali dalam Islam. Dan ada di antara mereka yang membuat hukum sendiri yang mereka ingin paksa orang Islam lain patuh kepadanya, jika tidak mahu dikecam oleh mereka sebagai tidak Islam. 6. Kelemahan-kelemahan dan sikap seperti inilah yang menimbul masalah dalam pelaksanaan dan serapan prinsip dan ajaran Islam dalam masyarakat Islam. Penubuhan Bank Islam Malaysia sepatutnya disambut baik oleh semua orang Islam. Tetapi kita masih dengan bermacam-macam tohmahan yang sepatutnya tidak didengari. Ada yang mengecam kenapa masih ada di negara ini bank-bank lain jika kita sudah ada bank Islam. Dan ada pula yang berkata Bank Islam tidak Islam kerana pekerjanya akan memakai necktie. Tuan-tuan dan puan-puan, 7. Penubuhan Bank Islam di Malaysia bukanlah satu manifestasi keangkuhan orang Islam atau satu usaha simbolik untuk mempamirkan keIslaman negara ini. Penubuhan Bank Islam ini adalah satu usaha untuk meyakinkan bahawa penerapan ajaran Islam ke dalam ekonomi negara ini tidak akan membawa kemalangan. Untuk ini yang diperlukan bukan satu "gesture" atau simbol tetapi satu usaha mewujud dan mengurus yang boleh menentukan bank cara Islam boleh memainkan peranannya dalam ekonomi yang moden. 8. Kita tidak ada rancangan untuk menghapuskan bank-bank lain bukan sahaja kerana bukan semua penduduk negara ini terdiri dari orang Islam tetapi sistem bank yang digunakan oleh seluruh dunia adalah berasas kepada sistem "commercial banking" yang diamalkan sekarang. Malaysia bergantung kepada perdagangan dengan seluruh dunia, terutama dengan negara-negara yang bukan Islam. Untuk mengurus perdagangan walaupun Bank Islam boleh memainkan peranan, bank-bank lain masih diperlukan. Harus diingat bahawa semua negara-negara Islam masih menggunakan sistem Bank Perdagangan atau "Commercial Bank" dan bank jenis inilah yang terbanyak sekali ditubuhkan sejak minyak menjadi punca kekayaan bagi beberapa buah negara Islam. Adanya bank-bank "commercial" tidak bermakna bahawa negara-negara berkenaan sudah tidak Islam. Begitu juga adanya bank Islam tidak menjadikan sesebuah negara itu Islam. Jika benarlah Bank Islam menjadikan sesebuah negara itu negara Islam maka Switzerland, the Bahamas dan Luxembourg mestilah dianggap sebagai negara Islam kerana bank-bank Islam telah ditubuhkan atau bergerak di negara-negara ini. 9. Bank Islam Malaysia diiktiraf sebagai bank Islam kerana asas pengurusannya tertakluk kepada hukum-hukum Islam atau tidak bertentangan dengan hukum-hukum tersebut. Ianya bukan menjadi bank Islam kerana dimiliki oleh orang Islam, atau cuma berniaga dan memberi khidmat kepada orang Islam sahaja, atau cuma mempunyai perhubungan dengan bank atau perniagaan Islam sahaja atau pekerjanya terdiri semata-mata dari orang Islam. Hakikat yang tidak boleh dinafikan ialah perniagaan dan perusahaan di dalam negara ini dan di seluruh dunia tidak dimiliki semata oleh orang Islam. Sebenarnya kerana kelalaian mereka, orang Islam amatlah lemah dalam bidang ekonomi. Sumber alam yang melimpah yang dikurniakan oleh Tuhan kepada orang Islam tidak mendatangkan kekuatan pada mereka kerana mereka lebih asyik dengan kegiatan lain yang kurang mengukuhkan kedudukan mereka. Oleh kerana ini maka tidak ada kemungkinan dan tidak ada hasrat bahawa Bank Islam digunakan semata-mata oleh orang Islam. Jika kita hendak membuktikan bahawa Bank Islam boleh memainkan peranannya dalam ekonomi moden maka adalah penting ianya memberi khidmat tanpa mengira anutan pelanggan-pelanggan. Ini tidak melanggar apa-apa kehendak agama Islam. Cuma mereka yang mempunyai tafsiran yang sempit sahaja yang akan memikir bahawa Bank Islam adalah untuk orang Islam sahaja. Keislaman Bank Islam berasas kepada cara pengurusannya dan bukan kerana orang Islam menjadi pemilik atau pelanggan atau pengurus. 10. Bank Islam Malaysia adalah institusi yang moden yang dikehendaki memenuhi keperluan modal dan kewangan dalam ekonomi yang moden. Walaupun Islam mempunyai panduan bagi semua kegiatan harian manusia tetapi panduan ini adalah secara umum. Untuk mengurus sebuah bank banyak sistem dan cara yang terperinci mestilah digunakan. Begitu juga banyak bidang-bidang yang baru yang berkehendakkan peranan bank ini. Kita tidak syak bahawa bermacam-macam soal akan timbul berkenaan dengan urusan Bank Islam ini jika ianya hendak dijalankan dengan berkesan tetapi dengan tidak melanggar apa-apa hukum Islam. Itulah sebabnya satu badan rujukan yang dianggotai olah pakar-pakar agama diadakan. Dan bagi Bank Islam badan ini ialah Majlis Pengawasan Shariah. Dalam hubungan ini kita sedar bahawa kita mempunyai banyak kelemahan, kerana mereka yang arif dalam bidang agama tidak pakar dalam bidang ekonomi dan bank, dan sebaliknya mereka yang cekap dan terlatih dalam ekonomi dan banking tidak begitu tinggi pengetahuan agamanya. Kita bernasib baik mempunyai seorang yang terlatih dalam bidang agama dan ekonomi serta bank sebagai Pengarah Urusan Bank Islam. Tetapi seorang sahaja tidak mencukupi. 11. Saya berharap mereka yang akan ditugaskan memberi pandangan agama akan memeriksa sedalam-dalamnya masalah yang akan dihadapi oleh Bank Islam dalam menjalankan tugasnya sebagai bank. Ada kemungkinan jika masalah khidmat bank yang moden tidak diperiksa dengan teliti maka sekatan-sekatan yang berasas kepada pandangan yang terlalu orthodox akan menggagalkan Bank Islam ini. Jika bank ini gagal maka kepercayaan bahawa Islam adalah sesuai untuk semua zaman dan tamadun akan lumpuh. Ini akan membawa kepada fikiran bahawa Islam tidak sesuai dengan kemajuan. Jika pada hari ini terdapat ramai orang Islam dan beberapa negara Islam membelakangkan Islam dan ajarannya, dan setengahnya pula menerima Marxisme dan lain-lain ideologi yang bertentangan dengan Islam sebabnya ialah kerana ada mereka yang mudah membuat tafsiran Islam yang jelas menjadikan masyarakat Islam masyarakat yang mundur yang selalu meminta-minta kepada orang lain. Dalam keadaan maruah sudah tidak ada lagi, Islam dapat diperkecil dan dihinakan oleh mereka yang memang tidak suka kepada Islam. Mereka inilah yang mendakwa bahawa agama adalah candu masyarakat dan mereka ini jugalah yang mempengaruhi orang-orang Islam yang sudah keciwa supaya menolak Islam dan menerima ideologi-ideologi yang anti-Islam. 12. Justeru itu kejayaan Bank Islam Malaysia bukan sahaja untuk bank atau untuk ekonomi negara. Kejayaannya ada kaitan yang rapat dengan masa depan orang Islam dan agama Islam. Mungkin ada yang berpendapat ini semua tidak penting dan yang penting ialah pegangan kepada ajaran Islam yang benar. Masalahnya bukan pegangan kepada yang benar tetapi apa dianya ajaran Islam yang sebenar. Mereka yang berkepentingan sering membuat tafsiran yang secucuk dengan kepentingan mereka dan mendakwa bahawa tafsiran merekalah yang benar. Kemungkinan ialah tafsiran sempit yang dibuat oleh mereka tidak sebenarnya menepati ajaran Islam. Kita tahu bahawa pentafsir-pentafsir agama Islam yang terkemuka dan dihormati tidak sependapat dalam banyak perkara. Sebab itulah wujud berbagai mazhab dalam Islam sedangkan di zaman Nabi s.a.w. cuma ada satu sahaja mazhab dan tafsiran. Oleh itu tidaklah boleh dikatakan bahawa tafsiran yang dibuat oleh seorang atau sekumpulan tetap sahih. Tafsiran-tafsiran yang lain juga boleh diterima. Yang tetap dan benar ialah agama Islam tidak diturunkan supaya menyusahkan orang Islam atau menjadikan mereka mundur dan tertinggal di belakang di dunia ini. Mereka yang sering membuat tafsiran yang negatif dan tidak membangun dan tidak pula memberi alternatif yang membangun dan menjadikan orang Islam mundur dan dihina oleh orang lain sehingga mereka lemah iman, tafsiran mereka ini tidak boleh dianggap benar jika ada tafsiran yang lebih positif. Jika tidak ada tafsiran yang positif maka perkara ini perlu dikaji lagi. Tuan-tuan dan puan-puan, 13. Baru-baru ini Al-Malik Fahd dari Arab Saudi telah mengsyorkan supaya pintu ijtihad dibuka semula kerana dunia sekarang amat berbeza dengan keadaan di antara zaman Nabi hingga ke zaman Abbasiyah. Berbezanya dunia zaman sekarang dengan zaman dahulu amatlah ketara dan mempunyai kesan kepada dunia Islam dan orang Islam. Sungguhpun pintu ijtihad dikatakan sudah ditutup tetapi kita tahu ramai yang membuat bermacam-macam tafsiran sendiri berkenaan dengan keadaan zaman moden ini. Oleh kerana ramai yang membuat tafsiran tanpa pengetahuan yang cukup dan juga kerana mempunyai kepentingan-kepentingan tertentu maka kekeliruan berlaku dengan luasnya di kalangan umat Islam. Dalam bidang kewangan dan bank, kekeliruan ini amatlah ketara. Kesannya ialah orang Islam dengan mudahnya dipisah dari kekayaan yang dikurniakan oleh Tuhan kepada mereka. Hari ini tiga per empat dari hasil minyak negara Islam dilabur atau disimpan satu-per-empat diguna untuk membeli barang dan alat buatan orang Barat termasuk kontrek bekalan dan binaan raksaksa yang dimenangi oleh orang Barat atau orang bukan Islam. Dari beratus-ribu juta ringgit hasil minyak di negara-negara Islam, Malaysia cuma menerima pelaburan sebanyak dua atau tiga ratus juta. Pada satu hari minyak ini akan kering dan kita akan lihat negara Islam dan umat Islam sekali lagi merana. 14. Kita tidak boleh salahkan orang lain yang keadaan ini berlaku. Jika pada hari ini kekayaan negara-negara Islam tidak boleh dilabur di negara Islam sebabnya ialah kerana kita sendiri memilih untuk menyekat perkembangan ekonomi negara Islam. Kita memilih jalan yang merugikan ini kerana pentafsir agama membuat pertamanya, tafsiran yang sempit dan keduanya, tidak memberi alternatif yang boleh menggantikan sistem Barat yang mereka dakwa tidak mengikut kehendak agama Islam. 15. Bank Islam yang kita tubuh hari ini ialah alternatif kita; satu cara mematuhi hukum-hukum Islam dalam pengurusan wang dan ekonomi moden. Bank seperti ini tidak ada di zaman Nabi s.a.w. atau zaman khalifah-khalifah yang berikutan. Tetapi tidak adanya Bank Islam di zaman tersebut tidak bermakna ianya tidak boleh diadakan di zaman ini. Hari ini kita menunaikan ibadat haji dengan kapal terbang dan dengan duit kertas, cek dan bekalan-bekalan lain yang tidak ada di zaman Nabi s.a.w. Ini tidak bermakna bahawa kita tidak menunaikan rukun Islam yang kelima. Cara-cara yang kita guna adalah alternatif kita mengikut zaman yang sudah berubah ini. Begitu juga dengan bank Islam yang kita tubuhkan ini. Ianya masih menepati kehendak agama Islam di samping mengambilkira sistem kewangan dan kegiatan ekonomi yang sudah berubah. Jika kita tidak mempunyai jawapan terhadap soalan dan masalah dunia moden, jika kita semata-mata berkata ini dilarang dan itu dilarang maka lambat laun akan hilanglah kepercayaan kepada agama Islam, terutama kepercayaan bahawa agama Islam adalah untuk semua zaman dan bukan untuk zaman Nabi sahaja. 16. Jika tidak kerana politik, bank ini akan diterima oleh semua orang Islam di Malaysia dengan mudahnya. Malangnya kerana politik menjadi lebih utama dari agama kepada sebahagian dari rakyat negara kita ini, maka pengwujudan bank ini sudah menarik tohmahan dan kecaman dari beberapa pihak tertentu. Saya berharap orang Islam akan sedar akan sebab-sebabnya kritik ini dilempar dan menolak dakwaan yang dibuat. Sebaliknya orang Islam yang ingin melihat umat Islam dan agama Islam berkembang maju dan kekal di dalam hati penganut-penganutnya hendaklah memberi sokongan dan menentukan Bank Islam ini mencapai kejayaan. 17. Saya yakin jika sambutan yang baik diberi kepada bank ini dan orang Islam dan lain-lain pelanggan bank beramanah dalam semua perhubungan dengan bank ini, maka perkembangan bank ini akan berlaku dengan pesatnya. Jika Bank Islam Malaysia berjaya bukan sahaja bank-bank Islam yang lain akan ditubuhkan di Malaysia tetapi di seluruh dunia Islam dan di luar dunia Islam akan terdapat bank Islam untuk berkhidmat dalam ekonomi yang moden dan maju. Tuan-tuan dan Puan-puan, 18. Saya berdoa bahawa bank ini akan terus maju dan dengan ini, dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Mengasihani saya dengan sukacitanya merasmikan Bank Islam Malaysia Berhad dan cawangannya yang pertama. Wabillahi taufik walhidayah wassalamu alaikom warahmatulahi wabarakatuh. |