home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	HOTEL MERLIN, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	28/07/83 
Tajuk/Title  	: 	DI PERASMIAN PEMBUKAAN KONVENSYEN 
			TIGA TAHUN SEKALI CUEPACS 




Encik T. Narendran, Yang di Pertua CUEPACS; Dif-dif Kehormat; Tuan-tuan
dan puan-puan yang dihormati sekelian.

Saya mengucapkan terima kasih kepada CUEPACS kerana menjemput saya dan
isteri saya ke majlis ini, dan di atas penghormatan yang diberikan kepada
saya untuk memberi ucapan dan merasmikan Konvensyen ini.

2. Sebagaimana kita maklum, salah satu perbelanjaan yang besar yang perlu
ditanggung oleh Kerajaan ialah untuk membiayai perkhidmatan awam. Dengan
jumlah kakitangan awam kira-kira 700,000 orang yang berkhidmat di dalam
berbagai cabang perkhidmatan awam dari jumlah 14 juta orang penduduk, ini
menjadikan nisbah seorang anggota perkhidmatan awam kepada 20 orang
penduduk yang perlu diberi perkhidmatan. Dan jika dilihat dari jumlah
tenaga pekerja pula, satu daripada 8 orang tenaga pekerja adalah di dalam
Kerajaan. Dari jumlah hasil Kerajaan Persekutuan sebanyak 16.7 ribu- juta
ringgit dalam tahun 1982, Kerajaan Persekutuan telah membelanjakan lebih
daripada 1/3 iaitu sebanyak 6.7 ribu- juta ringgit untuk gaji termasuk
elaun dan pencen.

3. Angka-angka yang saya sebutkan ini menunjukkan bahawa Kerajaan
merupakan majikan yang terbesar, dengan begitu ramai pekerja yang perlu
dibiayai. Walaupun ada pendapat yang berkata Kerajaan tidak sepatutnya
memikir tentang pulangan atau 'return' dari kos yang besar ini, tetapi
rakyat yang membiayai perbelanjaan ini melalui aneka jenis cukai berhak
mengharap akan perkhidmatan yang memuaskan. Haruslah diingat bahawa
kakitangan Kerajaan adalah juga rakyat dan khidmat dari kakitangan
Kerajaan akan membawa kebaikan kepada mereka sendiri sebagai rakyat.

4. Saya berbangga dengan gerakan kesatuan sekerja di Malaysia, khususnya
CUEPACS, yang telah menyambut baik seruan Kerajaan untuk mengadakan
khidmat yang bersih, cekap dan beramanah dan untuk mempertingkatkan daya
pengeluaran. Di negara yang demokratik, Kerajaan yang sebenar ialah
rakyat. Anggota Kerajaan yang terdiri dari ahli politik cuma diberi kuasa
dan tugas memerintah kerana tidak mungkin semua rakyat mentadbirkan
negara. Bahawa rakyatlah yang sebenar berkuasa menjadi jelas memandangkan
mereka boleh menurunkan Kerajaan yang dipilih, atau sebahagian atau
orang-orang tertentu dalam Kerajaan tersebut, lima tahun sekali. Keadaan
adalah berlainan dengan pegawai dan kakitangan yang kekal. Jawatan-jawatan
mereka adalah terjamin dari sebarang tindakan oleh rakyat. Cuma
suruhanjaya perkhidmatan sahaja yang boleh bertindak terhadap kakitangan
Kerajaan mengikut undang-undang tertentu.

5. Namun demikian, oleh kerana kesatuan-kesatuan sekerja dalam Kerajaan
dan CUEPACS tidak bertindak di luar batasan seperti yang berlaku di
beberapa negara lain, khidmat Kerajaan tidaklah tergendala kerana tindakan
perusahaan yang tidak bertanggungjawab. Negara berasa terhutang budi
kepada CUEPACS dan lain-lain kesatuan kakitangan Kerajaan kerana sikap
ini, terutama di waktu Kerajaan dan negara menghadapi kemelesetan
ekonomi. Saya percaya walaupun kepimpinan CUEPACS mungkin bertukar, sifat
bertanggungjawab ini akan dikekalkan.

Tuan-tuan dan puan-puan sekelian.

6. Sejak adanya kesatuan sekerja nasib pekerja sudahpun berubah menjadi
lebih baik. Di waktu konsep "general trades union" digubalkan, pekerja
menghadapi penindasan yang tidak berperikemanusiaan. 'General trades
union' menjadi penting supaya gerakan sekerja dapat menangkis penindasan
dengan tindakan yang bukan sahaja mengancam majikan yang menindas tetapi
juga majikan-majikan lain. Akhirnya melalui "general strike" pekerja dapat
mengancam negara jika negara tidak sanggup membendung majikan yang ganas.

7. Alhamdulillah, berkat kuasa kesatuan sekerja dan senjata tindakan
perusahaan, sedikit demi sedikit nasib pekerja diperbaiki sehingga
penindasan tidak berlaku lagi, walaupun kadangkala terdapat kes seperti di
Selancar Empat. Masyarakat dan Kerajaan juga terpaksa mengubah sikap dan
mengadakan jentera, serta undang-undang yang melindung
pekerja. Demikianlah perubahan yang berlaku sehingga di beberapa buah
negara kesatuan sekerja membentuk parti politik yang berjaya mendirikan
Kerajaan.

8. Sepatutnya Kerajaan yang didirikan oleh kesatuan sekerja mendapat
sokongan dari mereka dan terpelihara dari sebarang ancaman tindakan
perusahaan. Hakikatnya adalah berlainan dari teori. Di Britain, di waktu
Kerajaan Buruh memerintah, lebih banyak mogok berlaku sehingga negara yang
kaya-raya itu menjadi lemah dan tidak lagi dapat bersaing dengan negara
lain. Walaupun jelas bahawa kelemahan Britain disebabkan oleh tindakan
yang melulu oleh kesatuan sekerja, kesatuan-kesatuan sekerja tidak hirau,
bahkan mereka membuat tuntutan-tuntutan yang lebih tidak munasabah lagi.

9. Dahulu kesatuan sekerja ditubuh untuk membendung penindasan. Yang
penting dahulu ialah sikap yang berperikemanusiaan dari majikan. Tetapi
sekarang kesatuan dan senjata pekerja di Barat tidak lagi diguna untuk
membenteras penindasan. Sebaliknya senjata ini digunakan untuk menambah
kepada pendapatan yang sudah ada, walaupun pendapatan itu sudah
melimpah. Bukan sahaja buruh yang membuat tuntutan, bahkan mereka yang
menerima gaji yang berpuluh ribu sebulan pun mengugut untuk mendapat lebih
lagi, dan sesudah diberi, masih menuntut lagi.

10. Di Barat, layanan yang adil sudah tidak ada kaitan dengan tindakan
perusahaan. Yang mendorong ke arah tindakan perusahaan ialah keangkuhan
kuasa-kuasa gerakan massa (mass movement) dengan tindakan perusahaan yang
boleh mengancam bukan sahaja majikan tetapi masyarakat tempatan dan
negara. Kemampuan majikan melayan tuntutan tidak lagi diambilkira. Begitu
juga kesan buruk terhadap harga dan "competitiveness" barang-barang
keluaran tidak diperdulikan.

11. Kadangkala, walaupun kesatuan dan pegawainya tidak bersetuju, pekerja
teruskan juga tindakan perusahaan. Pegawai yang lemah kerapkali mengikuti
kehendak ahli kesatuan kerana ingin mengekalkan jawatannya. Dengan ini
tanggungjawab pun dihapuskan dan nafsu bermaharajalela.

12. Oleh kerana industri negara Barat telah hilang "competitive
edge" kerana beberapa sebab termasuk gaji atau upahan yang terlalu tinggi,
maka timbullah desakan supaya sekatan import digunakan untuk menjamin
"viability" industri dan peluang bekerja. Dengan ini maka industri negara
buruk kepada pekerja tempatan. Demikianlah kuatnya pengaruh kesatuan
sekerja negara Barat sehingga pekerja di negara membangun masih terus
menyokong mereka dan memberi kuasa kepada orang-orang tertentu walaupun
yang untung adalah pekerja negara maju dan yang rugi ialah pekerja negara
membangun.

13. Apa yang saya perkatakan ini adalah kenyataan. Tidak ada niat dari
Kerajaan Malaysia untuk menindas pekerja atau membelakangkan kesatuan
sekerja. Tetapi, hakikat yang kita perlu akui ialah keadaan sekarang tidak
sama dengan keadaan pada abad kesembilan belas di waktu sistem kesatuan
sekerja digubal. Tujuan pekerja di Eropah tidak sama dengan tujuan pekerja
di Malaysia dan di lain-lain negara membangun. Mereka ingin hidup mewah
dan cuba mempengaruhi pekerja kita dengan cara hidup mereka, walaupun
dengan tindakan mereka itu, ekonomi negara kita akan rosak dan pekerja
kita akan menganggur. Jika mendapat peluang, kesatuan sekerja asing tidak
segan-segan campurtangan dalam urusan ekonomi dan politik rumahtangga
kita. Mereka sanggup bertindak terhadap harta kita di negara mereka,
kerana mereka tahu kita tidak akan mengancam harta mereka di sini.

14. Perbezaan keadaan di zaman sekarang dan zaman dahulu perlu
dikaji. Apakah sistem dan tindakan yang sesuai dalam abad kesembilan belas
dan awal dua-puluhan masih sesuai di suku terakhir abad dua-puluhan
ini? Apakah cara konfrontasi, ugutan dan tindakan perusahaan diperlukan
untuk mengatasi masalah sekarang? Apakah sosial, ekonomi dan "political
cost" sistem lama tidak merugikan kita akhirnya? Apakah keuntungan bagi
orang lain dari tindakan perusahaan kita? Soalan-soalan ini bukan
ditujukan kepada kesatuan sekerja dan pekerja semata-mata.

15. Sebenarnya dalam masyarakat moden ada tiga pihak yang yang bersengketa
dan juga Kerajaan. Dalam konfrontasi majikan dengan pekerja, pihak yang
ketiga ialah Kerajaan. Oleh itu soalan-soalan tadi ditujukan bukan
semata-mata kepada pekerja dan kesatuan mereka, tetapi juga majikan (dan
mungkin persatuan majikan) dan Kerajaan. Ketiga-tiga pihak ini hingga
sekarang berpendapat bahawa pekerja dengan majikan adalah musuh dan segala
tindakan mestilah berasas kepada permusuhan ini. Bahawa mungkin ada
perhubungan cara lain antara majikan dengan pekerja tidak terlintas di
hati sesiapa.

16. Sebenarnya di zaman moden ini perhubungan antara majikan dan pekerja
lebih merupakan perhubunghan antara dua rakan, atau "partners". Sebagai
rakan, mereka menghadapi masalah dan nasib yang sama. Anggapan majikan
bahawa pekerja boleh digugurkan bila-bila masa jika rugi, dan anggapan
pekerja bahawa mereka boleh meninggalkan satu majikan untuk pergi bekerja
dengan majikan yang lain apabila gaji ditawar lebih tinggi sedikit, adalah
salah belaka. Oleh kerana majikan dan pekerja adalah rakan perkongsian dan
bukan musuh, maka Kerajaan pula perlu mengubah sikap, undang-undang dan
cara bertindak terhadap kedua-dua pihak.

17. Inilah sebabnya yang, antara lain, Kerajaan mengesyorkan "in-house
union" dan bukan "trade union". Dalam semua trade, syarikat-syarikat yang
ditubuhkan tidak semuanya sama besar dan sama kuat. Percubaan menyamakan
layanan antara syarikat-syarikat kecil dan besar akan yang buruk bukan
sahaja kepada majikan tetapi juga kepada pekerja. Sebaliknya
syarikat-syarikat kecil adalah sama penting dengan syarikat-syarikat besar
dalam membangunkan ekonomi negara. Jika diberi peluang, syarikat yang
kecil inilah yang akan menjadi syarikat yang besar.

18. Dalam "in-house union", pekerja-pekerja tidak dibahagikan mengikut
trade, tetapi sebaliknya semua pekerja adalah ahli kesatuan sebuah
syarikat. Nasib mereka terikat dengan kuatnya kepada maju-mundurnya
syarikat. Terpulanglah kepada mereka menentukan kejayaan syarikat
mereka. Oleh kerana majikan menganggap pekerja sebagai rakan dan majikan
sedar akan peranan pekerja menjayakan syarikat, maka majikan terpaksa
melayan pekerja sebagai rakan yang berhak mendapat imbuhan dari usaha
mereka. Majikan tidak lagi perlu berunding dengan orang asing yang
memimpin 'general trade union'. Rundingan akan diadakan dalam
keluarga. Jika "in-house union" ini diamalkan bersama dengan "life-time
employment" dan bayaran bonus mengikut paras keuntungan yang didapati,
maka besar kemungkinan tindakan yang tidak bertanggungjawab oleh pihak
majikan atau kesatuan tidak berlaku.

19. Walaupun demikian, harus diingat bahawa sistem tidak menjamin
kejayaan. Yang memberi kesan kepada sistem ialah mereka yang
menyertainya. Tetapi kemungkinan "in-house union" berjaya dalam zaman
moden ini adalah lebih tinggi dari sistem trade union yang 'impersonal',
yang diasaskan kepada anggapan bahawa pekerja dan majikan adalah musuh.

20. Bagi negara, segala tindakan perusahaan adalah tidak wajar dan
merugikan. Di sini, negara bermakna rakyat, kerana kerugian akibat mogok
dan lain-lain akan mengurangkan hasil-mahsul Kerajaan untuk dibelanjakan
kepada rakyat. Dalam persaingan antara negara, tindakan perusahaan tetap
akan melemahkan negara yuang terlibat. Negara yang maju sekalipun akan
lumpuh apabila diserang bertalu-talu dengan tindakan perusahaan. Dalam
negara yang ekonominya lumpuh, tambahan pendapatan yang didapati oleh
pekerja tidak bermakna, kerana inflasi akan meningkat dan nilai matawang
akan jatuh. Semua yang saya perkatakan ini dapat disaksi dengan jelasnya
di beberapa negara maju di Barat.

Tuan-tuan dan Puan-puan, 

21. Satu perkara yang menarik perhatian pekerja dalam Kerajaan ialah
rancangan Kerajaan untuk menswastakan beberapa perkhidmatan
Kerajaan. Ramai yang khuatir bahawa jika tindakan ini diambil mungkin
mereka akan menemui nasib yang malang.

22. Kerajaan tidak ada niat untuk memburukkan nasib sesiapa. Rancangan
pengswastaan terpaksa dijadikan satu alternatif bagi Kerajaan kerana
khidmat yang dimiliki oleh Kerajaan sudahpun bertukar corak dan memerlukan
perbelanjaan yang amat tinggi. Sebagai contoh, satu projek telefon yang
besar pada tahun 1960 memerlukan perbelanjaan $500,000/-, tetapi projek
telefon exchange pada tahun 1982 memerlukan komitment sebanyak 10 juta
ringgit. Berhadapan dengan masalah ini, Kerajaan mempunyai tiga
pilihan: pertama, menangguhkan pembangunan, kedua, berhutang atau ketiga,
serahkan kepada pihak swasta.

23. Jika pembangunan ditangguhkan, maka negara dan rakyat tidak akan
maju. Jika hutang terlalu banyak, maka beban kewangan negara akan
meningkat sehingga tidak dapat dipikul. Sebab itulah, untuk beberapa
bidang, Kerajaan memilih untuk menswastakan perkhidmatan
Kerajaan. Pekerja-pekerja Kerajaan akan diberi peluang memilih sama ada
ingin kekal dengan Kerajaan atau ingin bekerja dengan majikan baru. Apa
yang diharapkan ialah pekerja tidak cuba menggunakan objektif Kerajaan
untuk meminta lebih dari hak mereka, seperti telah berlaku dahulu dengan
beberapa pihak. Janganlah ganggu pembangunan negara untuk rakyat kerana
terlalu mengutamakan kepentingan diri sendiri. Sikap yang sedemikian akan
mengganggu pembangunan negara, dan jika pembangunan negara terganggu
akhirnya pekerja itu sendiri yang akan rugi.

Tuan-tuan dan Puan-puan, 

24. Saya juga ingin menyentuh sedikit mengenai Persyarikatan
Malaysia. Saya harap tidak lagi timbul kekeliruan antara Persyarikatan
Malaysia dengan Penswastaan atau "Privatisation". Persyarikatan Malaysia
bermakna khidmat yang baik diberi oleh kakitangan Kerajaan kepada pihak
swasta kerana kejayaan mereka menguntungkan negara, Kerajaan dan
kakitangannya. Sebenarnya gaji yang dibayar kepada kakitangan Kerajaan
adalah hasil dari kutipan cukai dari swasta. Dari 6.7 ribu-juta ringgit
bagi membiayai gaji, elaun dan pencen kakitangan awam dalam tahun 1982,
sejumlah 5.2 ribu-juta ringgit adalah dari hasil berbagai cukai yang
dikenakan ke atas sektor swasta. Memandang kepada hakikat ini, maka
amatlah wajar kita memberi layanan yang baik kepada swasta. Lebih banyak
mereka untung lebih banyaklah cukai yang dapat kita kutip, dan lebih besar
kemungkinan mengadakan semakan gaji. Sebarang perkara yang menghalang
pihak swasta dari mendapat keuntungan akan mengurangkan ongkos Kerajaan
untuk perbelanjaan pentadbiran dan lain-lain. Oleh itu anggaplah Malaysia
sebagai sebuah syarikat dalam mana kita dan syarikat swasta bekerja kerana
kepentingan bersama. Inilah yang dikatakan 'Malaysia Incorporated' atau
Persyarikatan Malaysia. Jangan rasa irihati jika kerja kita menolong
swasta mendapat berjuta-juta ringgit, kerana 45 peratus dari keuntungan
mereka adalah hak Kerajaan. Dan Kerajaan tidak melabur satu sen pun.

Tuan-tuan dan Puan-puan, 

25. Tahun ini CUEPACS akan memilih kepimpinan yang baru. Saya ingin
memberi pengakuan bahawa Kerajaan sanggup dan akan bekerjasama dengan
sesiapa juga yang dipilih. Kerajaan berharap akan dapat menjalin
perhubungan yang berasas kepada perkongsian atau 'partnership' antara
CUEPACS dengan Kerajaan sebagai majikan. Konfrantasi tidak ada tempat
dalam perhubungan ini. Kerajaan tidak berbeza dari syarikat dalam
perjalanannya. Lebih efisien pentadbiran Kerajaan, lebih banyak hasil akan
diperolehi oleh Kerajaan. Dengan hasil yang lebih ini, kita akan buat
peruntukan untuk semua Kerajaan. Selain dari itu, Insya-Allah kita akan
timbang kemungkinan menyemak semula skim gaji bila tiba masanya.

26. Walaupun pendapatan kita adalah penting, saya berharap kita semua
tidak bekerja semata-mata kerana gaji. Kita perlu kerja kerana kepuasan
yang didapati dari tugas yang dijalankan dengan sempurna atau "job
satisfaction". Saya yakin saudara-saudari tentu tidak suka Malaysia
dikenal dan dihina sebagai sebuah negara yang mempunyai pentadbiran yang
lemah, kakitangan yang malas dan terlibat dengan rasuah. Oleh itu,
patutlah kita tingkatkan kecekapan dan daya pengeluaran kita sepanjang
masa. Sebenarnya, kitalah yang akan mewarisi hasil tindakan kita
ini. Lebih produktif kita, lebih baiklah kehidupan kita. Sebaliknya,
kitalah yang akan menjadi malang jika kita tidak meningkatkan daya
pengeluaran kita.

27. Saya juga berharap walau siapa pun memimpin CUEPACS mereka tidak akan
lupa bahawa Malaysia masih sebuah negara yang membangun. Sepertimana orang
yang miskin yang berlagak sebagai orang yang kaya akan menderita akhirnya,
begitu juga Malaysia tidak boleh berlagak dan mengamal amalan-amalan
negara yang kaya. Negara yang kaya boleh memberi layanan yang istimewa
terhadap tuntutan pihak-pihak tertentu dan boleh mengatasi masalah yang
berlaku akibat tindakan yang keterlaluan, tetapi negara membangun akan
lumpuh dan menderita jika dihadapi dengan masalah yang sama. Tiada siapa
di negara ini akan mendapat faedah jika negara kita lumpuh dan menjadi
pengemis seperti beberapa negara membangun yang lain. Hakikat yang perlu
kita ingat selalu ialah, akhirnya yang menguntungkan semua pihak dalam
negara yang demokratik ialah kekayaan negara, hasil dari peningkatan daya
pengeluaran semua pihak.

Tuan-tuan dan puan-puan, 

28. Saya meminta maaf kerana tidak dapat menunaikan kehendak
saudara-saudara tentang beberapa tuntutan. Walau bagaimana pun, saya
berjanji masalah kebajikan pekerja akan diberi pertimbangan sewajarnya
bila keadaan mengizinkan. Bersabarlah, dan bersama-samalah kita berusaha
untuk mewujudkan perkhidmatan awam yang baik, dan bersama-samalah kita
berdoa semoga keadaan ekonomi segera pulih supaya kita dapat mengatur
strategi dan program yang lebih kemas lagi bagi faedah semua, termasuk
golongan pekerja awam. Sementara itu berjimat-cermatlah dan kerjalah
dengan lebih efisien dan produktif.

29. Akhir kata, saya mengucapkan terima kasih kepada CUEPACS yang mewakili
anggota perkhidmatan awam sekelian di atas pemberian Pingat Emas kepada
saya, walaupun berat rasanya untuk saya menerimanya, kerana saya belum
membuat apa-apa yang melayakkan saya mendapat penghormatan ini, dan saya
tidak dapat menunaikan tuntutan saudara-saudari, dan terpaksa pula meminta
kerjasama saudara-saudari untuk terus bersabar dan membuat sumbangan bagi
memperbaiki perkhidmatan awam. Sekali lagi, saya mengucapkan terima kasih
kepada Yang Di Pertua CUEPACS dan saudara-saudari sekelian, dan dengan ini
saya dengan sukacitanya merasmikan Konvensyen ini dibuka.

Terima kasih.

 



 


 











 
Google