home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	MELALUI RADIO DAN 
			TELEVISYEN MALAYSIA 
Tarikh/Date 	: 	30/08/83 
Tajuk/Title  	: 	PERUTUSAN HARI KEBANGSAAN 	
			YANG KE 26 




Assalamu 'alaikum warahmatullahi wabarakatuh, dan Selamat Malam kepada
semua rakyat Malaysia.

Esok iaitu pada 31hb. Ogos, 1983 genaplah negara kita Malaysia berusia 26
tahun.

2. Alhamdulillah, dengan limpah rahmat, dan hidayat Allah Subhanahu
Wataala, dan dengan persefahaman dan muafakat, kita telah dapat menghadapi
berbagai cabaran pada tahun ke-26 kita merdeka. Keadaan kemelesetan
ekonomi antarabangsa masih berterusan. Walaupun ada tanda-tanda yang
menunjukkan keadaan sudah mula menjadi semakin baik, kita mestilah
berhati-hati bagi menjamin bahawa segalausaha yang telah dibuat selama 26
tahun untuk membina negara kita tidak terjejas. Tanggungjawab memelihara
kemerdekaan dan kehormatan negara bukanlah tanggungjawab pihak-pihak
tertentu, seperti para pemimpin, atau pegawai kerajaan, ataupun pihak
tentera dan polis semata-mata. Tugas ini merupakan tugas bersama, dan
tidak seorang pun yang cintakan negara boleh menganggap dirinya
dikecualikan.

3. Peranan utama setiap orang daripada kita dalam memelihara negara yang
kita sayangi ini ialah dengan sentiasa memberi keutamaan kepada
kepentingan umum dan kepentingan jangka panjang lebih daripada kepentingan
diri dan kepentingan jangka pendek. Setiap tindakan kita, walau dalam apa
keadaan sekalipun, hendaklah sentiasa mengambil kira keadaan di negara
kita, dan sejauh mana sesuatu tindakan itu akan mendatangkan keburukan
atau kebaikan kepada masyarakat dan negara akhirnya. Kita harus ingat
bahawa tindakan tiap seorang walaupun kecil kesannya tetapi amat berkesan
apabila dijumlahkan kesemuanya. Sebab itu walau apa pun peranan kita dalam
masyarakat, kita tidak boleh memandang ringan akan kesannya. Apa yang
terjadi kepada individu atau masyarakat adalah balasan kepadanya. Jika
dibuat baik, baiklah balasannya. Jika buruk, buruklah balasannya. Allah
Subhanahu Wataala maha adil.

4. Peristiwa 13 Mei 1969 telah kita alami sebagai satu peristiwa yang
pedih. Baru-baru ini beberapa negara tetangga kita telah mengalami
peristiwa berdarah seperti yang kita alami dahulu. Kesan daripada
peristiwa-peristiwa seperti ini adalah amat mendalam sekali -- sebagai
luka ia meninggalkan parut dan menjadi ingatan sepanjang masa. Oleh itu
kita harus berhati-hati supaya perasaan dan emosi tidak terlalu menguasai
tindak tanduk dan fikiran kita pada bila-bila masa sekalipun. Kita tidak
harus lupakan hakikat bahawa kestabilan adalah sesuatu yang amat
berharga. Sekali tergugat mungkin kita akan kehilangannya buat
selama-lamanya. Kestabilan adalah asas kemajuan, dan kemajuan bersama
adalah landasan kebahagiaan kita.

5. Walaupun kita sedang menghadapi tekanan kemelesetan ekonomi, kita tidak
harus lupa bahawa kita mempunyai peluang keemasan untuk membimbing negara
kita ke arah satu tahap kemajuan yang setanding dengan negara-negara
maju. Bahkan dari usaha-usaha untuk memperseimbangkan pembangunan kita
dengan kemajuan kebendaan dan kerohanian, kita mempunyai asas untuk
mencapai kejayaan lebih dari apa yang kita duga. Namun demikian, semuanya
ini adalah amat bergantung kepada sejauh mana kita dapat bersama-sama
berganding bahu dan berusaha.

6. Di dalam sesebuah negara berbilang kaum seperti negara kita, kemajuan
tidak mungkin dicapai melainkan jika kita dapat mengurangkan tumpuan kita
kepada soal-soal perbezaan dan kepentingan yang berlainan, dan sebaliknya
kita utamakan unsur-unsur persamaan dan kerjasama. Bagi bumiputera,
tertinggalnya mereka di belakang berbanding dengan kaum lain, menyebabkan
perasaan iri hati dan benci yang ketara. Sebaliknya, bagi bukan bumiputera
pula, terganggunya kemajuan mereka kerana perlunya mereka menunggu
bumiputera, juga menimbulkan rasa kecewa dan muram. Tetapi, jika emosi
diketepikan, maka kedua-dua pihak tentu akan mengaku bahawa tidak mungkin
mereka mendapat layanan seratus peratus seperti dikehendaki oleh
mereka. Sebenarnya di negara-negara yang penduduknya terdiri dari satu
kaum pun, perbezaan taraf sosial - misalnya miskin dan kaya, bandar dan
luar bandar, pekerja dan majikan, dan lain-lain. Jika hakikat ini diakui
dan diterima, dan dengan senang hati segala urusan diteruskan dengan
dedikasi tanpa terlalu dipengaruhi emosi dan sentimen, nescaya kita akan
berjaya dan kehidupan menjadi lebih tenang dan aman bagi semua pihak.

7. Maksud perkara ini ditekankan ialah supaya kita terima keadaan yang
tidak dapat dielak dan diubahkan ini dengan tenang dan menjalankan
tugas-tugas kita. Mereka yang dapat berbuat demikian bukan sahaja akan
berjaya tetapi kehidupan mereka akan lebih sempurna dan bahagia. Bagi
penduduk Malaysia yang berbilang kaum penerimaan hakikat dan dasar oleh
semua pihak akan membolehkan kita bekerjasama antara satu dengan lain dan
kerjasama ini tetap akan membawa lebih banyak hasil.

8. Penerimaan dasar dan sekatan-sekatan yang tidak dapat dielak dalam
masyarakat majmuk yang tidak seimbang pembangunannya hendaklah dilakukan
secara ikhlas. Melepas batuk di tangga atau pengamalan dasar secara tidak
jujur, umpamanya usahasama di mana Ali tidur atau digalak supaya tidur
oleh Baba, bukan sahaja akan menjejaskan pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru
tetapi mungkin akan memaksa supaya lebih banyak masa diperuntukkan untuk
mencapai matlamat yang ditentukan. Oleh itu amalkanlah Dasar Ekonomi Baru
dengan jujur. Lebih cepat matlamat ini dicapai, lebih pendeklah masa yang
diperlukan untuk menjayakan dasar. Dasar Ekonomi Baru bukan sahaja soal
angka-angka matlamat yang dicapai, tetapi lebih penting dari itu ialah
perseimbangan kecekapan dan kebolehan. Jika ini sudah dicapai maka segala
pertandingan antara kaum, apabila berlaku, tidaklah akan menjadi
pertandingan yang tidak adil, di mana satu pihak jauh lebih kuat dan
berkeupayaan dari pihak yang ditandinginya. Keupayaan bertanding dengan
asas-asas yang sama dari semua aspek akan membawa keyakinan kepada semua
pihak dan mengurangkan perasaan syak wasangka antara kaum.

9. Dalam kita berusaha menjalankan berbagai kegiatan pembangunan,
janganlah kita lupa bahawa di dalam zaman moden ini terdapat berbagai
gejala yang boleh merosakkan masyarakat. Di antara gejala ini ialah
pengaruh dadah. Dadah adalah amat merbahaya sekali kerana ia boleh
melemahkan keseluruhan ketahanan kita sehingga kita dengan mudah boleh
ditewaskan oleh orang lain. Sebenarnya dadah boleh dan mungkin dijadikan
alat oleh musuh kita untuk menghancurkan kita. Keluarga yang mempunyai
anggota yang terlibat dengan dadah tentu tahu akan penderitaan yang
dialami. Dan masyarakat yang dipenuhi dengan penagih dadah akan menderita
sama seperti keluarga yang terlibat. Oleh itu perangilah dadah seperti
kita perangi syaitan.

10. Bersempena dengan Hari Kebangsaan negara kita kali ini, marilah kita
bersama-sama berusaha meningkatkan persefahaman untuk mengukuhkan lagi
ketahanan kita dalam menghadapi cabaran-cabaran semasa dan akan
datang. Negara Malaysia adalah negara kita dan kita amat bertuah menjadi
anak watannya. Bersama-samalah kita menggembleng fikiran dan tenaga ke
arah kemajuan dan kesejahteraan negara kita.

Selamat sejahtera.

Wabillahi taufik walhidayah, wassalamu 'alaikum warahmatullahi
wabarakatuh.

 



 


 











 
Google