home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	BUKIT MAHKAMAH, JALAN TUN PERAK, 
			KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	03/09/83 
Tajuk/Title  	: 	DI UPACARA MELETAKKAN BATU ASAS 
			BANGUNAN MALAYAN BANKING 




Yang Berbahagia Dato Jaafar Hussain, Pengerusi Lembaga Pengarah Malayan
Banking; Dif-Dif Kehormat; Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati.

Saya mengucapkan terima kasih kepada Lembaga Pengarah dan Pengurusan
Malayan Banking kerana memberi penghormatan kepada saya untuk melakukan
upacara Meletakkan Batu Asas Bangunan Malayan Banking pada petang ini.

2. Sebagai sebuah negara membangun, Malaysia perlukan satu kumpulan tenaga
pekerja yang dedikasi terhadap kerja masing-masing. Setiap pekerja, walau
apa jawatannya sekalipun, mestilah berdedikasi kepada institusi atau
agensi di mana mereka berkhidmat supaya segala objektif institusi dan
agensi dapat dicapai.

3. Di negara kita, umumnya sifat dedikasi para pekerja, termasuklah para
pegawai pengurusan institusi kewangan dan bank-bank perdagangan, tidak
begitu kuat. Gejala berpindah tempat kerja dari satu institusi ke satu
institusi masih lagi lumrah. Kadang-kadang seseorang pegawai hanya leka
mencari-cari peluang jawatan baru yang menawarkan gaji yang lebih lumayan
di tempat-tempat lain. Kesah "mencuri" atau 'pinching' oleh sesebuah bank
akan seseorang pegawai bank lain, dengan menawarkan gaji dan kemudahan
yang lebih lumayan, tidak asing bagi kita. Gejala ini, walaupun sekarang
tidak sebegitu teruk seperti beberapa ketika dahulu, tetapi ia masih
berlaku.

4. Salah satu akibatnya ialah pekerja itu tidak dapat mengumpul pengalaman
yang perlu di satu-satu bank. Pengalaman adalah cara yang berkesan sekali
bagi meningkatkan kecekapan dan mutu kerja, dan ini bukan sahaja akan
menguntungkan majikan tetapi juga pekerja itu sendiri. Sebaliknya
pemindahan pegawai yang terlatih merupakan satu kerugian bagi kedua-dua
pihak. Di samping itu, gejala 'pinching' ini akan mengecewakan program
latihan yang dijalankan oleh sesebuah bank. Apabila sesebuah bank
menjalankan program latihannya, harapannya adalah bagi meningkatkan
kecekapan dan mutu kerja. Tetapi apabila pegawai yang terlatih meletakkan
jawatan kerana ditawar dengan gaji yang lebih oleh bank lain, maka bank
asal tadi terpaksa melatih pegawai lain. Ini melibatkan kos tanpa faedah
yang sepatutnya. Kalau amalan ini berterusan, ia akan menumpulkan minat
sesebuah bank untuk mengendalikan latihan bagi kakitangannya. 'Pinching'
ini akan berterusan selagi terdapat bank-bank yang ingin meningkatkan
kecekapan dan mutu pengurusannya melalui cara yang mudah dan 'unethical'.

5. Saya berharap gejala "mencuri" kakitangan daripada bank-bank lain ini
akan dikurangkan dan kemudian diberhentikan sama sekali. Sebaliknya semua
bank harus meningkatkan program latihan masing-masing semoga taraf
profesionalisme kakitangan akan terus meningkat. Usaha ke arah
meningkatkan profesionalisme kakitangan sistem bank seluruhnya bukan
sahaja membawa keuntungan kepada bank-bank, malahan keuntungan dan
kesejahteraan kepada negara juga. Di samping itu bank-bank mestilah ingat
bahawa kakitangan yang cekap dan berdedikasi mestilah dilayan secara adil
dan menggalak. Mereka harus diberi peluang naik pangkat dan pendapatan
dengan secukupnya. Adalah lebih untung melayan kakitangan sendiri yang
layak dari menawar upahan yang tinggi kepada orang yang tidak setia dari
institusi lain. Jika mereka tidak setia kepada majikan asal mereka, mereka
juga tidak akan setia kepada kita.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian, 

6. Kerajaan sentiasa menggalakkan peningkatan daya pengeluaran dalam
perusahaan dan semua lapangan ekonomi negara. Dalam persaingan ekonomi
tidak ada cara yang lebih mustajab bagi menjamin kejayaan dari peningkatan
daya pengeluaran. Bahkan daya pengeluaran ini merupakan 'solution' yang
paling berkesan sekali bagi menghadapi kemelesetan ekonomi dewasa
ini. Melaluinya hasil pengeluaran dapat ditingkatkan tanpa tambahan modal
atau tenaga kerja. Dengan perkataan lain, peningkatan daya pengeluaran
bermakna penurunan kos. Dengan itu, bukan sahaja margin keuntungan akan
bertambah tetapi persaingan dengan 'competitors' lain akan lebih berjaya
dan mungkin penjualan lebih laris. Sementara kecekapan pengurusan dan
teknologi pengeluaran boleh memainkan peranan dalam meningkatkan daya
pengeluaran, perkara yang terpenting dan berkesan sekali ialah kerajinan,
ketekunan dan disiplin yang tinggi. Kesemua ini belum mencapai tahap yang
tinggi di Malaysia. Sekaranglah masanya kita harus memulakan tindakan dan
usaha bagi meningkatkan daya pengeluaran.

7. Salah satu sektor di mana daya pengeluaran patut dipertingkatkan ialah
perusahaan pertanian dan industri kecil kampung di luar bandar. Ekonomi
pertanian dan usaha-usaha lain di kampung tetap penting dalam konteks
pembangunan yang seimbang di seluruh negara. Bukan sahaja usaha pertanian
akan dapat memenuhi keperluan makanan dan pertanian negara, tetapi juga
memajukan ekonomi dan mutu kehidupan penduduk luar bandar, dan memenuhi
cita-cita negara, terutama Dasar Ekonomi Baru. Satu langkah bagi
meningkatkan daya pengeluaran di luar bandar ialah penggunaan mesin
pertanian. Pinjaman wang dari bank amatlah perlu untuk membolehkan
petani-petani membeli dan menyelia mesin-mesin. Di sini bank-bank perlu
mempunyai kepakaran dalam bidang pengurusan pertanian. Ramai petani yang
membeli jentera pertanian tanpa mengambilkira kawasan yang hendak
dikerjakan itu ekonomik atau tidak. Mereka jarang sekali mengambilkira
bahawa sementara kerbau yang digunakan dahulu tidak perlu 'maintenance',
boleh beranak, dan boleh disembelih bila sudah tua untuk dimakan, jentera
disebaliknya pula memerlukan 'maintenance', akan 'depreciate' dan akhirnya
kena 'write-off' bila sudah tua. Jika peruntukan tidak dibuat awal-awal
lagi untuk membeliganti, beban hutang akan bertimbun.

8. Kerajaan sedang mengkaji kemungkinan mengadakan 'cooperative farming'
ataupun ladang berkelompok melalui cantuman tanah-tanah yang bersempadan
supaya sesuatu unit ladang menjadi cukup besar untuk membiayai cara
pengurusan dan alatan yang lebih moden. Bank-bank patutlah memberi bantuan
bukan sahaja dari segi pinjaman tetapi juga dari segi kajian 'feasibility'
dan pengurusan. Unit-unit penasihat patut ditubuhkan oleh bank-bank dengan
anggota yang terdiri dari mereka yang cenderung, faham dan bersimpati
dengan masalah petani dan konsep ladang berkelompok.

9. Satu lagi usaha Kerajaan untuk menambah pendapatan penduduk luar bandar
dan petani ialah dengan mengadakan industri kecil. Ladang-ladang
berkelompok yang disebutkan tadi patut mengadakan industri yang sesuai
dengan mengguna sumber-sumber alam dan tenaga setempat. Pihak bank patut
juga menolong mengenal-pastikan jenis-jenis industri yang sesuai, membuat
kajian 'feasibility' awalan dan memberi pinjaman yang diperlukan. Jika
boleh, unit-unit yang tertentu dalam bank patut menolong mengawasi bahawa
pengurusan industri-industri ini berjalan dengan baik. Dengan cara ini
bukan sahaja pendapatan petani akan bertambah tetapi daya pengeluaran dan
ekonomi negara dapat ditingkatkan. Sudah tentu bank juga akan mendapat
keuntungan dari kepesatan ekonomi luar bandar.

10. Seruan supaya bank-bank memberi kemudahan pinjaman yang lebih tinggi
di luar bandar tidaklah keterlaluan oleh kerana bank-bank di negara ini
keseluruhannya mencatitkan kadar pertumbuhan dua digit yang berterusan
sejak awal tahun 1970an lagi. Kadar pertumbuhan tidak terjejas walaupun
pada musim kemelesetan ekonomi dewasa ini. Sektor-sektor ekonomi yang
mampu membantu Kerajaan mengembangkan ekonomi negara seharusnya berbuat
demikian kerana kesejahteraan dan kestabilan negara akan membawa
kesejahteraan kepada semua rakyat akhirnya, termasuklah pemilik dan
pekerja bank.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian, 

11. Saya ingin mengambil kesempatan ini menyentuh tentang pertumbuhan
bangunan- bangunan di bandar-bandar besar negara kita, terutama Kuala
Lumpur yang mempunyai banyak bangunan-bangunan pencakar langit. Kekurangan
tanah sebagai tapak untuk pejabat-pejabat dan kedai-kedai perniagaan di
bandar-bandar telah memaksa kita mendirikan bangunan tinggi seperti
bangunan Malayan Banking ini.

12. Bangunan-bangunan tinggi di Kuala Lumpur ini menggambarkan secara
tidak langsung, tahap pembangunan dan kemajuan satu-satu masyarakat. Di
samping itu, senibina bangunan-bangunan pun boleh menggambarkan kebudayaan
dan kesenian satu-satu bangsa.

13. Dalam usaha menerap ciri-ciri senibinaan Malaysia bagi
bangunan-bangunan tinggi ini, kita tidak payahlah membelanjakan banyak
wang. Begitu juga kita tidak perlu mengurangkan kegunaan, atau utility,
bangunan itu hanya untuk menerapkan ciri-ciri itu. Apa yang saya maksudkan
ialah menerapkan nilai ini dengan kos yang berpatutan. Saya berasa bangga
kerana para akitek kita tidak lagi memandang sinis akan syor mengadakan
'architectural identity' kita tetapi sebaliknya telah menerima dan
membincang akan cara-cara identiti ini boleh diperkenalkan. Saya berharap
bangunan-bangunan baru di bandar-bandar akan direka dengan semangat ingin
melambangkan identiti senibina kita yang tersendiri ini. Pelawat ke Kuala
Lumpur mestilah sedar dan ingat akan Kuala Lumpur walaupun ia membuat
lawatan ke sini sekali sahaja. Bangunan Secretariat atau Bangunan Sultan
Abdul Samad, yang dahulu melambangkan Kuala Lumpur sudah tenggelam dalam
banjir pencakar langit.

14. Akhirnya, sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada pihak
penganjur kerana memberi peluang kepada saya untuk berucap petang ini.

Terima kasih.

 



 


 











 
Google