home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	PDG LETAK KERETA, BENTENG SELERA, 
			JLN MUNSHI ABDULLAH K.L. 
Tarikh/Date 	: 	02/10/83 
Tajuk/Title  	: 	DI MAJLIS PELANCARAN KEMPEN 
			KEBERSIHAN SELURUH NEGARA 




Yang Berhormat Dato Dr. James Ongkili, Pengerusi Jawatankuasa Pusat Kempen
Kebersihan; Yang Berhormat Menteri-Menteri; Dif-Dif Kehormat; Tuan-tuan
dan Puan-puan sekalian.

Assalamu 'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Saya mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Kebangsaan Kempen
Kebersihan Seluruh Negara dan Jawatankuasa Upacara Pelancaran kerana
memberi kesempatan kepada saya melancarkan Kempen Kebersihan Seluruh
Negara pada pagi ini.

2. Kebersihan adalah penting dalam kehidupan kita.

Sesungguhnya tidak ada sesiapapun yang suka kepada keadaan sekeliling atau
persekitaran yang kotor dan penuh dengan sampah sarap. Dari kecil lagi
kita dididik supaya sentiasa menjaga kebersihan selaras dengan kehendak
agama dan masyarakat. Semua agama mengajar kita supaya menjaga kebersihan
dan menjadikannya amalan harian dalam kehidupan kita. Demikianlah utamanya
kebersihan sehingga bagi orang-orang Islam, kebersihan adalah sebahagian
daripada iman.

3. Keadaan yang kotor dengan sampah sarap dan bau busuk bukan sahaja
menimbulkan pemandangan yang jelek dan rasa jijik bahkan membawa keburukan
dan menjejaskan kesihatan kita. Kebersihan membawa kesempurnaan hidup
kepada semua orang. Kalau keadaan di rumah kita bersih, kita lebih
terpelihara dari berbagai jenis penyakit yang dibawa oleh serangga dan
kuman. Di sekolah kebersihan membawa keselesaan kepada murid dan guru yang
mana akan menolong pengajaran dan penyerapan ilmu dengan lebih
sempurna. Kalau tempat berniaga pula bersih, kita dapat menarik lebih
ramai pelanggan dan memperolehi pendapatan yang lebih. Kalau tempat kerja
kita bersih, kita dapat mewujudkan suasana kerja yang baik yang akan
menimbulkan daya pengeluaran yang lebih tinggi. Kalau kampung, bandar dan
negara kita bersih, maruah kita tidak akan terjejas dan kita akan
dihormati oleh orang lain. Oleh itu adalah menjadi tanggungjawab setiap
orang daripada kita untuk menjaga kebersihan rumah dan halaman kita,
kawasan-kawasan perumahan, tempat-tempat kerja tempat-tempat awam .

4. Walaupun kebersihan itu baik, malangnya sebahagian besar daripada kita
cuma menerima kebenaran ini tanpa mengamalkannya. Seperti apa jua yang
baik, masyarakat kita nampaknya hanya dapat menerima sesuatu kebaikan itu
jika dipaksa dan dikawal oleh undang-undang. Sikap ini akan merugikan
masyarakat dan individu kerana ia membawa kepada perbelanjaan
penguatkuasaan dan segala masalah yang datang dengan usaha menguatkuasakan
seperti penyalah-gunaan kuasa, rasuah, tekanan dan lain-lain. Adalah lebih
baik sesuatu yang baik, seperti kebersihan, diamalkan tanpa paksaan.

5. Tanggungjawab menjaga kebersihan selalunya dianggap sebagai tugas pihak
berkuasa. Pandangan ini adalah salah. Tidak ada Kerajaan di dunia ini yang
boleh membersihkan alam sekitar jika rakyat mengotorkannya sepanjang
masa. Apakah dapat Kerajaan menghantar tukang sapu untuk mengutip atau
menyapu setiap kali kita membuat sampah. Benarnya perkara ini dapat
dilihat apabila orang ramai berkumpul di satu-satu tempat seperti di
pertunjukkan di Taman Perdana umpamanya. Sampah yang dibuang menjadikan
Taman Perdana sebagai taman sampah pada keesokan harinya. Tidak mungkin
pembersihan dibuat oleh pekerja dengan serta merta. Pandangan di taman
yang indah ini menjadi begitu buruk sekali. Sebaliknya jika tiap seorang
daripada kita sedar akan kebersihan dan berasa bertanggungjawab, maka
dengan tidak mengotorkan keadaan di sekeliling kita di mana-mana juga kita
berada, maka masalah pekerja tidak menang untuk membersihkan kawasan di
bawah jagaan mereka tidak akan timbul. Tentulah jelas bahawa kebersihan
bukan hasil dari kerja menyapu-cuci tetapi lebih bergantung kepada tabiat
masyarakat tidak suka membuat sampah. Sebenarnya yang diperlukan cuma
sedikit sahaja, iaitu tidak membuang sampah melainkan di tempat-tempat
yang disediakan.

Tuan-tuan dan Puan-puan, 

6. Kempen ini adalah kempen kesedaran. Kita keluar beramai-ramai untuk
membersih kawasan kerana sekian lama kita telah mengotorkannya dan tidak
mungkin pekerja biasa membersihkan dengan sempurna. Selepas kempen ini
mereka boleh menjalankan tugas dengan lebih mudah. Tetapi sama ada mereka
boleh menjaga kebersihan bergantung kepada kesedaran kita terhadap
tanggungjawab kita selepas kempen ini. Jika kita sentiasa menjaga
kebersihan maka kerja pembersihan bolehlah dibuat oleh pekerja dengan
sempurna. Yang penting dalam kempen ini ialah kesedaran kita akan
tanggungjawab kita sepanjang masa selepas kempen ini tamat. Jika tabiat
menjaga kebersihan tersemai dalam hati kita kerana kempen ini, maka
bolehlah kita katakan kempen ini berjaya. Jika selepas ini kita balik
kepada tabiat lama maka sia-sia sahajalah kempen ini.

7. Kempen ini adalah bagi tempoh lebih kurang satu bulan dan meliputi
seluruh negara, dan melibatkan semua peringkat Tempatan, bandar-bandar dan
kampung, serta badan-badan swasta, badan-badan sukarela dan semua lapisan
masyarakat negara ini. Sumbangan dan penyertaan sukarela oleh badan-badan
swasta, badan-badan sukarela, kelab kebajikan dan orang-orang persendirian
dalam menjayakan Kempen dan program kebersihan ini adalah amat bermakna
sekali ke arah menjadikan kebersihan sebagai nilai dan cara hidup
kita. Ini akan mencerminkan kesanggupan semua pihak untuk memikul sesuatu
tanggungjawab bersama. Dengan cara ini, kita sama-sama dapat berusaha
menjadikan kebersihan sebagai salah satu ciri identiti rakyat dan negara
kita dan seterusnya mempastikan supaya satu persekitaran yang bersih
diwujudkan di seluruh negara.

Tuan-tuan dan puan-puan, 

8. Kita sering bertanya apakah nilai Islam yang hendak diserapkan oleh
Kerajaan. Saya ingin nyatakan di sini iaitu kebersihan adalah satu
daripadanya. Sepertimana kita dikehendaki bersih dan tempat juga bersih
apabila kita sujud kepada Tuhan, begitu jugalah dalam alam yang kita hidup
ini keadaan mestilah bersih. Dengan ini maka satu lagi nilai Islam akan
kita amalkan.

9. Kempen ini merupakan satu permulaan sahaja. Yang lebih penting ialah
melalui Kempen ini semua pihak hendaklah menjadikan kebersihan diri dan
sekitar sebagai tanggungjawab kita sepanjang masa. Pihak-pihak yang
mempunyai kakitangan dan alat hendaklah mengatur sistem dan cara menjaga
kebersihan kawasan masing-masing dengan kemas dan teratur sepanjang
masa. Saya harap perkara ini sentiasa diberi perhatian supaya Kempen ini
tidak menjadi satu perkara yang dipandang ringan oleh sesiapapun.

10. Saya berharap Kempen ini akan mencapai matlamat kita untuk memupuk
kesedaran tentang nilai kebersihan dan keperluan mewujudkan satu
"environment" yang bersih di seluruh negara dan menanam perasaan
tanggungjawab awam yang baru di kalangan semua lapisan masyarakat.

11. Dengan ini saya dengan sukacitanya melancarkan Kempen Kebersihan
Seluruh Negara dengan rasminya.

Wabillahi taufik walhidayah, wassalamu 'alaikum warahmatullahi
wabarakatuh.

 



 


 











 
Google