home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : IBU PEJABAT FELDA, JALAN PERUMAHAN GURNEY Tarikh/Date : 08/10/83 Tajuk/Title : DI UPACARA PEMBUKAAN RASMI BANGUNAN IBU PEJABAT FELDA Assalamu 'alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Dato' Rais Yatim, Menteri Kemajuan Tanah dan Kemajuan Wilayah, dan Yang Berbahagia Datin Masnah; Yang Berbahagia Tan Sri Raja Alias, Pengerusi Lembaga Pengarah FELDA; Dif-Dif Kehormat, Tuan-tuan dan puan-puan sekalian. Saya mengucapkan terima kasih kepada Yang Berhormat Dato' Rais Yatim Menteri Kemajuan Tanah dan Kemajuan Wilayah dan Lembaga Pengarah FELDA kerana memberi peluang kepada saya untuk berucap dan seterusnya merasmikan bangunan Ibu Pejabat FELDA ini. 2. Tidak dapat dinafikan bahawa FELDA, selama 27 tahun penubuhannya, telah membuktikan kemampuannya sebagai sebuah agensi Kerajaan yang mempunyai pengurusan yang bermutu. Di sini saya mengambil peluang untuk mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada setiap anggota FELDA yang telah menjamin prestasi FELDA sebagai sebuah agensi yang berjaya. Dan kepada para peneroka sekalian, sukalah saya mengambil kesempatan ini untuk menyampaikan penghargaan Kerajaan di atas kerjasama mereka di dalam berbagai peringkat pembangunan tanah yang dilaksanakan. 3. Di sini ingin saya tegaskan betapa pentingnya amanah dalam pengurusan. Sama ada badan yang diurus ialah badan berkanun, atau syarikat Kerajaan atau syarikat-syarikat swasta, tidak ada suatu sifat yang lebih penting daripada amanah. Tanpa amanah maka akan berlakulah bermacam-macam penyelewengan. Mungkin mereka yang tidak beramanah ini berpendapat bahawa penyelewengan mereka tidak akan dikesan. Saya ingin tegaskan di sini kepada orang-orang yang tidak takut kepada Tuhan ini, bahawa lambat laun kesalahan mereka akan didedah. Pada ketika itu agak terlalu lewat untuk mendapat perlindungan daripada orang-orang tertentu yang mungkin rapat dengan mereka. Kerajaan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan, sama ada melalui pentadbiran ataupun undang-undang. 4. Mereka yang tidak beramanah ini bukan sahaja merosakkan badan yang diserah kepada mereka untuk mengurus tetapi membawa nama buruk kepada kaum dan golongan mereka. Masyarakat akan menganggap kumpulan mereka memang tidak boleh dipercayai. Dengan ini maka orang lain yang tidak berdosa juga akan merasai bahang dan kesan penyelewengan mereka. Tidaklah keterlaluan jika saya katakan mereka ini mengkhianati bangsa dan negara kita. Bahasa yang saya gunakan ini mungkin dianggap keterlaluan. Tetapi mereka ini amat mengecewakan kita. 5. Sebenarnya bagi orang yang beramanah, pengurusan adalah tugas yang amat mudah. Yang diperlukan ialah kerajinan, kerana ilmu pengurusan boleh diserap dengan mudah di zaman ini. Juga kerajinan memikul segala tugas yang dipertanggungjawabkan akan menentukan tidak ada pembahagiaan dan kehilangan yang boleh merugikan. Sebaliknya jika pengurus menganggap tugasnya tamat pada jam empat petang dan tidak bermula sehingga 8 pagi besok, maka sudah tentu penyeliaan yang berkesan tidak akan tercapai. 6. Nyatalah di sini bahawa cuma dua perkara yang penting pertama amanah dan kedua kerajinan. Mereka yang tidak memiliki dua sifat ini atau tidak berminat terhadapnya lebih baik tidak memasuki bidang pengurusan. Jika mereka cuba, pada satu hari mereka akan menghadapi balasan kerana mereka tetap akan gagal. Tuan-tuan dan puan-puan sekalian. 7. Negara kita merupakan satu-satunya negara yang melaksanakan program penempatan semula masyarakat di rancangan-rancangan pembangunan pertanian. Sesungguhnya para peneroka FELDA merupakan golongan yang amat bertuah. Mereka ini bertuah kerana bilangan mereka yang berminat untuk mendapat tanah adalah berkali ganda lebih tinggi daripada kawasan tanah yang boleh diusahakan. Peneroka FELDA telah dibekalkan dengan tanah yang luas berserta dengan rumah dan kawasan untuk bercucuk tanam. Walaupun kos untuk membuka sesuatu rancangan FELDA boleh dikatakan tinggi, namun demikian Kerajaan telah membuktikan hasratnya untuk membela nasib anggota masyarakat yang tidak mempunyai tanah. FELDA bukan sahaja berjaya malahan FELDA telah diberi sanjungan tinggi oleh agensi-agensi antarabangsa. 8. Sebagaimana kita maklum, FELDA telah ditubuhkan untuk membela golongan masyarakat yang tidak mempunyai tanah. Hari ini kita bukan sahaja dapat berbangga dengan kemajuan FELDA untuk memenuhi objektif-objektif pembangunan tanah tetapi juga dari segi sumbangannya terhadap pertumbuhan ekonomi negara. FELDA merupakan salah satu agensi terbesar yang menyumbangkan kepada eksport negara dan pertukaran asing. FELDA juga telah memasuki bidang-bidang lain yang ada kaitan dengan hasil ladang-ladang getah, kelapa sawit dan lain-lain tanaman yang diusahakan olehnya. 9. Walaupun FELDA berjaya tetapi satu perkara yang mendukacitakan ialah bahawa dengan perkhidmatan yang diberikan oleh FELDA telah wujud segolongan peneroka yang asyek menyemaikan sikap bergantung kepada FELDA dan menyalahkan FELDA dan Kerajaan atas apa jua kelemahan diri mereka. Mereka harus sedar bahawa Kerajaan telah membelanjakan wang yang begitu besar bagi penempatan mereka, dan peraturan untuk membolehkan Kerajaan mendapat semula pulangan kepada pelaburan ini haruslah dianggap sebagai satu yang termesti dan wajar. Gejala menganggap Kerajaan sebagai "badan kebajikan" di mana semua perkhidmatan dianggap percuma dan pinjaman tidak perlu dibayar balik akan merosakkan pemikiran rakyat dan melemahkan Kerajaan yang akhirnya akan merugikan pihak-pihak yang menerima perkhidmatan dan bantuan Kerajaan itu sendiri. Mereka yang menerima bantuan harus sedar bahawa masih ramai orang lain yang memerlukan bantuan. Mereka tidak harus menganggap mereka sahaja yang harus dibantu oleh Kerajaan. 10. Ada golongan peneroka yang begitu manja dan bersikap sebagai puteri lilin. Mereka mahu menjadi pengurus dan bukan pekerja di tanah mereka. Mereka lebih suka mengupah orang lain untuk membuat kerja-kerja yang sepatutnya dilakukan oleh mereka sendiri. Sebenarnya masyarakat Melayu telah kehilangan semangat meneroka yang dipunyai oleh datuk nenek kita. Kita harus insaf bahawa beratus-ratus tahun dahulu datuk nenek kita telah menjelajah di kawasan pedalaman ketika itu dengan hanya alat-alat seperti kapak, parang dan cangkul sahaja. Merekalah yang meninggalkan kepada kita pokok-pokok durian, pokok-pokok kelapa dan memungut hasilnya sahaja. 11. Dahulu, tidak ada agensi untuk membantu datuk nenek kita meneroka di kawasan pedalaman. Yang membantu mereka ialah iman dan semangat meneroka. Mereka tahu bahawa dengan bekerja kuat sahajalah mereka dapat memenuhi keperluan hidup dan mendapat keredaan Allah Subhanahu Wataala. Tetapi, hari ini, berbagai agensi telah diwujudkan untuk membantu berbagai golongan supaya mereka dapat memperbaiki taraf hidup mereka. Sepatutnya rakyat amat bersyukur kerana keadaan telah berubah dan kita sekarang tidak perlu menempoh kesulitan sebagaimana yang dialami oleh datuk nenek kita dahulu. Kalau kita masih mengekalkan sikap mahu bersenang-senang dan tidak mengamalkan pepatah Melayu "Berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian; bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian," masyarakat Melayu dan rakyat Malaysia seluruhnya akan menjadi satu bangsa yang lemah yang hilang kehormatan diri. 12. Dunia moden ialah dunia perlumbaan. Yang malas akan ketinggalan, cuma yang sanggup berusaha akan berjaya. Seseorang yang enggan berusaha akan tertinggal jauh di belakang. Begitu juga, sesebuah negara yang rakyatnya tidak dapat menerima hakikat bahawa mereka harus bekerja kuat untuk berjaya, negara itu sendiri akan ketinggalan dalam persaingan dengan negara-negara lain. 13. Kita adalah sebuah negara membangun. Oleh sebab dalam banyak perkara kita bergantung kepada negara-negara lain, nasib kita tidak dapat menjadi lebih baik jika kita tidak berusaha untuk mengubah nasib kita ini. Dengan dasar untuk meningkatkan perindustrian dan mempelbagaikan sektor pertanian kita telah beransur-ansur dapat mengurangkan kesan-kesan akibat pergantungan kita kepada negara-negara lain yang mengimport dua atau tiga hasil pertanian utama kita. Walaupun kita menjadi pengeluar utama getah, bijih timah, balak dan minyak sawit, dan akhir-akhir ini petroleum telah mencapai taraf yang penting dari segi hasil negara, kedudukan ini dengan sendirinya tidak dapat menjamin kemakmuran dan masa depan kita. Sekali harga jatuh, atau permintaan berkurangan, kita mengalami beban kesusahan bukan sahaja bagi Kerajaan tetapi bagi rakyat keseluruhannya. Keadaan ini menjadikan kita, lebih-lebih lagi rakyat yang bergantung kepada berbagai jenis bantuan, amat terikat dengan keadaan dan suasana ekonomi dunia. 14. Keadaan kemelesetan beberapa tahun kebelakangan ini telah menimbulkan kesan yang amat buruk khususnya kepada negara membangun. Alhamdulillah, kesannya terhadap kita tidak sebegitu teruk jika dibandingkan dengan kebanyakan negara lain. Tetapi pengalaman ini harus menjadi satu pengajaran yang berkesan kepada kita bahawa kita mesti meningkatkan daya pengeluaran kita dan memperkukuhkan ketahanan kita di dalam semua bidang. Kerajaan, dengan sendirinya, tanpa kesedaran dan kesanggupan rakyat tidak dapat berbuat apa-apa, walaupun dengan dasar-dasar yang terbaik sekali. Itulah sebabnya akhir-akhir ini Kerajaan telah membuat beberapa perubahan kepada dasar-dasar yang wujud bagi membolehkan satu gerakan yang berpadu dilaksanakan untuk mempertingkatkan daya pengeluaran seluruh negara. Bukan sahaja kita perlukan setiap orang bekerja kuat, berdisiplin dan dedikasi malahan kita juga hendaklah menyemai dan mengamalkan nilai-nilai yang mulia supaya kita dapat menjadi satu bangsa yang bahagia, makmur dan bermaruah. Tuan-tuan dan puan-puan sekalian, 15. Masyarakat luar bandar adalah sebahagian daripada anggota masyarakat Malaysia yang penting yang dapat membantu menggerakkan nadi bangsa ke arah kemajuan. Tempoh masa 20 tahun yang akan datang ini mempunyai banyak cabaran. Kalau kita inginkan kejayaan kita mestilah berani dan tabah hati menghadapi dan mengatasi cabaran-cabaran ini. Kalau tidak, kita akan ketinggalan dan kita akan dikuasai atau dijajah secara tidak langsung oleh negara-negara lain. 16. Terdirinya Ibu Pejabat FELDA yang baru ini harus menjadi titik permulaan kepada tekad dan kegigihan yang tinggi bukan sahaja kepada anggota organisasi FELDA tetapi juga kepada para peneroka dan masyarakat desa amnya. Adalah menjadi harapan Kerajaan bahawa kita semua dapat menunaikan tanggungjawab kita untuk memenuhi hasrat mewujudkan Malaysia yang makmur dan bahagia. Dengan harapan ini saya dengan sukacitanya merasmikan pembukaan Ibu Pejabat FELDA yang baru ini. Wassalamu 'alaikum warahmatullahi wabarakatuh. |