home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	IBU PEJABAT PERKIM, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	22/10/83 
Tajuk/Title  	: 	DI MAJLIS KESYUKURAN DI IBU 
			PEJABAT PERKIM 




Assalamu 'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj, Yang di-Pertua
PERKIM; Dif-Dif Kehormat; Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian.

Saya bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dapat bersama-sama
menunaikan sembahyang fardu isya' dengan wakil-wakil PERKIM dari seluruh
Semananjung Malaysia dan wakil-wakil BINA dari Sarawak dan USIA dari Sabah
di Majlis Kesyukuran ini.

2. Saya mengucapkan tahniah kepada pemimpin-pemimpin PERKIM, terutamanya
Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman, yang telah berusaha untuk membina
sebuah bangunan secantik ini sebagai salah satu sumber kewangan bagi
kegiatan PERKIM pada masa depan. Bangunan ini adalah satu lambang kejayaan
PERKIM, yang juga menjadi contoh dan pengajaran kepada umat Islam bahawa
usaha adalah kunci kejayaan.

3. Bilangan umat Islam di dunia kian bertambah. Islam telah menjadi agama
kedua besarnya di Eropah. Di Britain, misalnya terdapat 1.5 juta orang
Islam, dan di Denmark pula dua orang memeluk agama Islam setiap
minggu. Dua puluh lima tahun yang lalu, hanya 25% penduduk Afrika beragama
Islam, tetapi pada masa sekarang jumlah orang Islam telah meningkat
sehingga pada tahun 1980, 50% penduduk Afrika terdiri dari umat Islam.

4. Ini bererti agama Islam terus menerus berkembang dan jumlah umatnya
terus meningkat. Kalau kita mengkaji sejarah, jelaslah jumlah umat Islam
terus bertambah terutama sekali disebabkan faktor-faktor akal dan rohani,
atau 'intellectual and spiritual qualities'. Thomas Arnold, seorang
penjajah Inggeris dan penyebar agama Kristian, dalam bukunya 'The
Preaching of Islam,' menyatakan faktor utama yang dapat menarik lebih
ramai orang lain memeluk Islam ialah contoh kehidupan orang-orang Islam
itu sendiri. Ia memberi contoh Ricoldus de Monte Crucis, seorang pendita
Dominican yang melawat Asia Barat pada hujung abad ketigabelas yang
memuji-muji orang-orang Islam. Beliau juga menyebut bahawa dalam
tulisan-tulisan barat mengenai Perang Salib banyak terdapat puji-pujian ke
atas peribadi dan perangai orang-orang Islam. Bahkan pemimpin-pemimpin
agama Kristian memuji Khalifah-Khalifah Othmaniyah. Misalnya Makarios,
Ketua Gereja Orthodox pada abad tujuh belas pernah berdoa "Wahai Tuhan,
kekalkan Kerajaan Othmaniyah selama-lamanya kerana mereka berlaku adil
terhadap semua agama.......". Sejarah telah membuktikan bahawa selama
1,400 tahun umat Islam telah menjamin dan melindungi pengikut-pengikut
agama lain di negara-negara Islam.

5. Walaupun pertumbuhan ini membanggakan, kita juga harus sedar bahawa
berpuluh-puluh juta umat Islam di negara Soviet akan pupus dalam satu
generasi dan apa yang akan tinggal adalah kumpulan ethnik yang berasal
dari orang Islam. Keadaan ini harus menjadi pengajaran kepada umat Islam
-- betapa ideologi komunis dapat menghapuskan Islam.

Tuan-tuan dan Puan-puan, 

6. Contoh-teladan daripada umat Islam sendiri adalah merupakan dakwah yang
paling berkesan. Dalam kehidupan sehari-hari, kalau kita sendiri tidak
mengamalkan nilai-nilai Islam, bagaimanakah kita dapat menarik minat orang
lain terhadap Islam. Misalnya, ramai orang Asli yang langsung tidak mahu
mendengar apa-apa penjelasan mengenai agama Islam. Seminar Dakwah di
kalangan orang Asli, yang diadakan pada bulan Mei 1980, telah mengemukakan
maklumat bahawa orang-orang Melayu yang tinggal berdekatan dengan orang
Asli tidak menunjukkan budi pekerti dan contoh teladan yang baik kepada
orang Asli, dengan mencuri buah-buahan dan lain-lain hasil tanaman mereka,
serta memandang rendah dan tidak mahu mendampingi atau memberi kerjasama
kepada mereka.

7. Satu penyelidikan yang dibuat baru-baru ini ke atas orang-orang Cina
yang memeluk agama Islam di Kuala Lumpur menunjukkan 40% daripada mereka
memeluk agama Islam oleh kerana pengaruh kawan-kawan Islam mereka. Di
Amerika pula 44% memeluk agama Islam melalui pengaruh kawan juga. Ini
menunjukkan bahawa dakwah yang paling berkesan ialah penyampaian melalui
contoh teladan dan tingkah laku dalam kehidupan sehari-hari. Sifat amanah,
jujur, taat, berperikemanusiaan dan sebagainya sudah tentu dapat
menjelaskan tentang nilai-nilai Islam.

8. Di samping itu, seperkara yang penting bagi orang-orang yang memeluk
agama Islam ialah ajaran akhlak yang lengkap dan cara kehidupan yang mudah
diamalkan. Di Amerika, satu penyelidikan telah menunjukkan bahawa 72%
lelaki yang memeluk agama Islam berpendapat bahawa Islam tidaklah lebih
sulit diamalkan daripada agama mereka sebelumnya. Tentulah tidak benar
bahawa peraturan-peraturan Islam menyusahkan mereka yang memeluk agama
Islam. Di sini kita pentingkan nilai-nilai rohaniah seperti keimanan,
kejujuran, keikhlasan dan kemuliaan yang dituntut oleh Islam. Janganlah
Islam ditakrif sebagai rupa bentuk fizikal yang kononnya menggambarkan
orang Islam, atau pun menekankan perkara-perkara kecil terlebih
dahulu. Islam hanya menuntut amalan yang terdaya dilakukan oleh seseorang
itu pada satu-satu ketika.

9. Tersebarnya Islam ke setiap pelusuk dunia merupakan hasil dakwah semua
umat Islam. Mereka mempunyai semangat dan azam untuk menyampaikan risalah
Islam kepada semua. Setiap orang Islam, wajib membimbing manusia kepada
perbuatan yang baik dan menasihati mereka supaya berhenti daripada
perbuatan buruk. Inilah sebabnya setiap orang Islam dikehendaki mengamal
serta menyampaikan kebenaran dan kebaikan. Tugas ini bukanlah tugas orang
yang digaji untuk mengajar agama semata-mata, tetapi menjadi tugas seluruh
umat Islam. Sebenarnya pertubuhan-pertubuhan seperti PERKIM merupakan satu
perkembangan baru dalam sejarah Islam, kerana sebelum abad dua puluh,
tugas menyebarkan Islam hanya dijalankan oleh orang perseorangan.

10. Oleh kerana tidak ada kependetaan, atau 'sainthood', dalam Islam,
ianya bererti penyebaran agama Islam merupakan tanggungjawab setiap orang
Islam. Orang yang memeluk agama Islam selalunya memeluk Islam kerana
mereka mengerti kelebihan dan keagungannya, dan oleh yang demikian mereka
sendiri menjadi penyebar Islam. Islam mudah diamalkan kerana apa yang
diwajibkan oleh Islam boleh diamal dengan mudahnya. Jika masalah amalan
timbul, ini ialah kerana ada pihak yang hendak mewajibkan yang sunat dan
mengukur keislaman dengannya. Yang wajib adalah wajib kerana Allah
Subhanahu Wataala menentukannya. Yang sunat pun demikian. Adalah salah
bagi sesiapa mencuba meminda hukum Allah Subhanahu Wataala dan menilaikan
keislaman melalui pindaan ini. Sebenarnya cuma Allah Subhanahu Wataala
sahaja yang boleh menilaikan keislaman sesiapa.

11. Apabila Islam berkembang ke benua Afrika, kehidupan orang-orang Afrika
yang memeluk agama Islam berubah dan mereka menjadi manusia berpakaian
kemas, dan mereka mengingini kampung mereka menjadi bersih, mereka menjaga
kehormatan perempuan dan mereka bekerja dan berusaha. Dalam pentadbiran,
keputusan-keputusan dibuat mengikut peraturan dan bukan menurut nafsu atau
kehendak seseorang. Oleh kerana orang-orang Islam bersih, sembahyang dalam
waktu dengan izin Allah, berusaha keras, menjauhkan benda-benda yang tidak
baik, bertolak ansur dan menghormati orang lain, jujur dan amanah, maka
orang-orang bukan Islam pun tertarik dan memeluk agama Islam. Inilah cara
Islam disebarkan di gugusan kepulauan Melayu. Seseorang yang memeluk agama
Islam mempunyai perasaan harga diri dan keperibadian yang menguatkan
keimanannya dan menarik orang-orang lain memeluk agama Islam.

12. Orang Islam tidak pernah menolak yang baik dari kebudayaan orang-orang
lain selagi ianya tidak bercanggah dengan asas-asas Islam. Orang-orang
Islam sentiasa menghormati adat istiadat, kebiasaan dan perasaan
tempatan. Orang-orang Islam sentiasa menunjukkan sifat ingin menolong
orang yang susah dan sehingga hari ini banyak orang daripada kasta-kasta
rendah di India memilih agama Islam kerana mereka dilayan dengan baik oleh
orang-orang Islam. Islam sentiasa melawan segala bentuk penindasan,
eksploitasi dan kezaliman. Bagi bangsa Roma dan Farsi, Islam membebaskan
mereka dari satu sistem pemerintahan yang tidak adil. Sistem ekonomi Islam
diasaskan kepada persamaan, keadilan, kesederhanaan, berdikari, pencegahan
penindasan dan monopoli, menepati janji, amanah dan pembahagian zakat
kepada mereka yang kurang bernasib baik. Ini menarik orang untuk menganuti
agama Islam.

13. Sebuah Kerajaan Islam atau sebuah Kerajaan yang berusaha untuk memupuk
nilai-nilai Islam dalam pentadbirannya tidak akan menjadikan rakyat bukan
Islam sebagai rakyat kelas dua. Ini telah dibuktikan oleh sejarah
negara-negara Islam. Semua menikmati hak yang sama dan sama-sama
menunaikan kewajipan masing-masing terhadap masyarakat dan negara.

14. Percubaan negara-negara barat yang memisahkan agama daripada lain-lain
kegiatan masyarakat telah menyebabkan ciptaan ideologi seperti
kapitalisma, sosialisma dan komunisma. Pemisahan ini telah membawa
kesan-kesan yang buruk sehingga ramai dari orang Barat sekarang kehilangan
haluan. Anak muda di barat sekarang menghadapi 'crisis of identity,
feeling of insecurity' dan telah jadi 'alienated' atau terasing dari
masyarakat. Maka wujudlah 'Hippism', 'Punks', 'hedonists', 'anarchists'
dan lain-lain yang menghapuskan perbezaan antara haiwan dengan insan.

15. Dalam keadaan seperti ini cuma Islam dan nilai-nilai universal yang
diakui oleh manusia yang waras yang boleh memberi harapan kepada
masyarakat manusia. Sebab inilah maka Kerajaan telah menentukan bahawa
nilai-nilai Islam akan diserapkan dalam pentadbiran negara Malaysia yang
kita cintai ini.

16. Islam adalah agama dakwah. Dalam Islam dakwah dan toleransi tidak
bercanggah. Toleransi Islam membenarkan bukan hanya kewujudan lain-lain
agama, kepercayaan dan kebudayaan, tetapi juga sistem undang-undang
peribadi yang berbeza. Setiap orang Islam mengharapkan nilai-nilai mulia
diamalkan oleh semua orang di dunia ini.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian, 

17. Akhirnya, sekali lagi saya merakamkan penghargaan kepada yang Teramat
Mulia Tunku dan lain-lain pemimpin PERKIM kerana memberi peluang kepada
saya berucap di Majlis Kesyukuran ini.

Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamu'alaikum Waramatullahi Wabarakatuh.

 



 


 











 
Google