home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : HOTEL HILTON, KUALA LUMPUR, Tarikh/Date : 20/11/83 Tajuk/Title : DI MAJLIS PELANCARAN ZAMALAH ATAU FELLOWSHIP SASTERA BERITA HARIAN, Pengerusi Majlis, Dif-dif Kehormat; Tuan-tuan dan puan-puan sekalian. Saya mengucapkan terima kasih kepada penganjur acara malam ini kerana menjemput saya untuk bersama-sama dalam pertemuan ini, dan atas penghormatan untuk berucap kepada para golongan intelek dan penulis. 2. Ilmu pengetahuan mempunyai peranan yang amat penting sekali dalam sesebuah masyarakat. Penguasaan ilmu pengetahun membezakan taraf tamadun sesebuah masyarakat dengan masyarakat yang lain, antara masyarakat primitif dengan masyarakat bertamadun. Ilmu pengetahuan juga adalah asas kuasa bagi seseorang individu atau sesuatu golongan kerana ilmu pengetahuan adalah alat yang dapat membekal dan mempertingkatkan segala bentuk kemampuan bagi seseorang atau kumpulan. Demikianlah juga dengan sesuatu masyarakat. Di sinilah letaknya peranan dan pengaruh golongan intelek dan penulis. 3. Tetapi, wujudnya golongan intelek dan penulis tidak semestinya menentukan kesan yang bernilai, membina, sihat dan berkesan kepada masyarakat. Ini adalah disebabkan ilmu pengetahuan mempunyai asas falsafahnya, dan asas falsafah inilah yang mencorakkan bentuk penekanan dan kesan hasil intelektual dan penulisan di dalam sesuatu masyarakat. Falsafah ini pulalah yang menjadi penghubung antara berbagai golongan di dalam masyarakat. Falsafah yang mempunyai arah bagi membina masyarakat yang sihat, dengan perselariannya di kalangan berbagai golongan di dalam masyarakat -- pemerintah, cendikiawan dan karyawan serta rakyat -- akan mengukuhkan asas dan jentera bagi pembentukan identiti dan nilai kenegaraan serta nilai hidup anggota masyarakat. 4. Bagi kita sekarang soal pertama ialah apakah kita sebagai anggota masyarakat Malaysia telah menghayati semua aspek falsafah negara Malaysia yang maju, moden dan bermaruah. Di sini yang penting ialah sama ada kita dapat menerima hakikat bahawa semua yang baik adalah menjadi harapan dan hasrat kita. 5. Dalam zaman moden, sistem komunikasi telah menjadi alat pembentukan masyarakat yang penting, dan para intelek dan penulis menjadi golongan penting yang menggerak dan mempengaruhi sistem ini. Dengan perkataan lain, pemikiran dan masa depan sesuatu masyarakat, dengan langsung dan tidak langsung, dikuasai oleh para intelek dan penulis. Oleh itu, soal kedua ialah sejauh mana para intelek dan penulis dapat menguasai bidang-bidang ilmu pengetahuan tertentu yang dapat membantu mereka membuat sumbangan yang maksima kepada masyarakatnya. Sekarang, dengan tradisi perkembangan ilmu pengetahuan mengikut disiplin-disiplin tertentu, seseorang hanya terdedah kepada disiplinnya sahaja, jika ia tidak berusaha untuk mengumpul pengetahuan yang luas di luar sistem pengetahuan yang formal. Penggunaan sesuatu disiplin sahaja tidak boleh menjadikan seseorang sebagai manusia yang lengkap. Itulah sebabnya akhir-akhir ini, konsep multidisiplin dan interdisiplin amat ditekankan. Tetapi, apa konsep sekalipun tidak dapat menjamin pengetahuan yang menyeluruh kecuali seseorang itu mempunyai minat dan cintakan ilmu pengetahuan. 6. Katakanlah seseorang wartawan yang diserahkan bidang politik untuk menjadi liputannya. Tidak cukup baginya mengikuti persidangan parlimen untuk menjadikannya seorang wartawan yang berkalibar. Tidak cukup dengan mengambil beberapa kursus di sesebuah institusi pelajaran tinggi. Ia mesti berminat untuk membaca apa-apa jua mengenai politik dan sistem politik, perkembangan politik, penyelidikan politik, membaca jurnal dan makalah dan meneliti apa-apa jua yang mempunyai hubungan dengan politik. Tentulah di sini bukan sahaja pentadbiran dan ekonomi, tetapi juga psikologi, misalnya. Begitu juga dengan seseorang intelek atau cendikiawan. Kalau bidangnya ialah ekonomi, kecondongannya terhadap ekonomi akan menjadikannya seorang yang berat sebelah dan tidak, atau kurang mengambilkira terhadap aspek-aspek lain di dalam sesuatu huraiannya. Itulah sebabnya dewasa ini banyak terdapat bentuk penulisan yang hanya mengambilkira sesuatu sudut sahaja hingga mengelirukan pembaca yang kurang lengkap ilmu pengetahuannya. 7. Perkara yang ketiga ialah cara penyampaian sesuatu penulisan. Kita mungkin pernah mendengar ungkapan 'Good English is simple English'. Ini benar bagi apa-apa bahasa jua pun -- bahasa yang baik ialah bahasa yang mudah. Kalau bahasa merupakan alat perantaraan antara manusia, bahasa yang mudah tentulah menjadi alat penyambung yang paling luas. Malangnya di dalam masyarakat kita terdapat golongan yang seolah-olah berselindung di sebalik bahasa yang kononnya tinggi tetapi sukar difahami untuk menyampaikan hasil pemikiran mereka. Sekiranya konsep bahasa yang mudah merupakan bahasa yang berkesan tidak diterima oleh para penulis, pengaruh penulis akan menjadi begitu terbatas sekali. Apalah gunanya sesebuah hasil sastera yang hanya boleh difahami dan dinikmati oleh beberapa orang sahaja. 8. Di sini suka saya menyentuh tentang kekaburan pendapat mengenai mutu seni. Ada di kalangan kita yang sanggup berdalih dengan hujah-hujah yang lemah bagi mempertahankan mutu seni dan mutu sastera yang lemah. Sebagai contoh, saya ambil pendapat setengah-setengah pihak yang mengatakan hasil sastera dan filem kita tidak bermutu kerana mereka tidak dapat memasukkan unsur-unsur yang dapat mengghairahkan, misalnya babak-babak seks dan lain-lain. Pendapat seperti ini bukan sahaja dapat mempengaruhi pemikiran peminat seni kita tetapi memesongkan hakikat sebenarnya bahawa mutu sesuatu hasil seni tidak bergantung kepada unsur seks. Banyak filem Barat, misalnya, yang tidak mempunyai unsur seks tetapi dipilih sebagai filem yang terbaik, malah ada filem yang tidak mempunyai pelakun wanita pun menjadi filem yang disanjung tinggi oleh peminat filem. Kalau D.H. Lawrence terkenal dengan 'Lady Chatterley's Lover' yang mempunyai babak yang mengghairahkan, Kafka dan Hemingway dapat menghasilkan karya-karya yang bermutu tanpa menggunakan unsur-unsur seks. Para sasterawan kita juga boleh menjadi penulis yang berkalibar seperti Kafka dan Hemingway atau Pramoedya Ananta Toer jika dipupuk dengan sikap cintakan ilmu pengetahuan, dan mutu kerana mutu semata-mata, dan bukan kerana 'commercialism'. Selagi kita berdalih untuk mempertahankan kelemahan-kelemahan kita selama itulah kita tidak dapat menghasilkan sesuatu yang baik kerana kita sentiasa mengejar impian dan ingin menjadi orang lain bukan diri sendiri yang bermaruah dan berkemampuan. 9. Begitu juga di kalangan penulis, konsep kebebasan menjadi satu pendirian yang amat dipertahankan. Sesiapa juga pentingkan kebebasan, tetapi kebebasan mutlak tidak wujud di mana-mana, dan kebebasan tanpa sempadan dan tanggungjawab menjadi asas bencana dan kehancuran. Di dalam konteks sesebuah masyarakat dan negara, kebebasan sesuatu pihak dan golongan hanyalah sekadar ia tidak mengancam kepentingan umum dan kepentingan ramai. Sesebuah masyarakat atau negara tidak boleh dianggap sebagai sebuah makmal bagi mengeksperimen sesuatu teori sosial. Kita tidak boleh menguji sejauh mana sesuatu kebebasan sebelum ianya mendatangkan kehancuran dan penderitaan kepada anggota-anggota masyarakat. Adalah menjadi lumrah di kalangan wartawan dan pengkritik sosial bahawa peraturan-peraturan tertentu hanya menyekat kebebasan, dan apabila sesuatu mudarat berlaku kerana peraturan-peraturan dilonggarkan, ataupun kerana mereka menjalankan kebebasan tanpa batas dan mengakibatkan bencana, yang mereka kritik pula ialah pihak yang bertanggungjawab. Inilah yang dikatakan kebebasan dan kritik tanpa moral dan tanggungjawab, dan inilah salah satu pengaruh yang tidak membina yang dibawa oleh Barat. 10. Setiap kebebasan ada tanggungjawabnya. Setiap orang yang menuntut hak kebebasannya mesti sanggup bersikap bertanggungjawab apabila kebebasan itu diberikan kepadanya. Apakah erti tanggungjawab, dan tanggungjawab kepada siapa? Pertamanya, sebagai anggota sesuatu masyarakat, tentulah kita perlu bertanggungjawab kepada masyarakat atau bangsa. Kedua, sebagai masyarakat yang beragama, tentulah kita perlu bertanggungjawab kepada agama. Ketiga, sebagai rakyat sesebuah negara, tentulah kita perlu bertanggungjawab kepada negara. Ini semua bermakna bertanggungjawab kepada diri kita sendiri. 11. Apabila kita bertanggungjawab terhadap sesuatu, bererti kita perlu menjaga dan memeliharanya daripada sebarang ancaman atau bencana. Tanggungjawab kita terhadap bangsa misalnya, memerlukan supaya kita menjaga maruah dan keselamatan bangsa walaupun kita harus menggadai nyawa. Begitulah jika kita bertanggungjawab kepada agama, kita perlu memelihara agar ia tidak tercemar -- kita perlu berusaha seperti seorang mujahid supaya ia berkembang dan dihormati walaupun di kalangan musuh kita. 12. Golongan penulis, sebagai anggota dalam masyarakat, tentulah tidak terlepas daripada tanggungjawab terhadap agama, bangsa dan negara. Dalam konteks inilah kebebasan dan tanggungjawab penulis mesti dilihat dan dikaji. Penulis boleh menulis mengenai penderitaan dan kemelaratan dalam masyarakat. Kerana memang masih ada kemiskinan dan penderitaan dalam masyarakat. Bukan sahaja penulis berhak menulis mengenainya, bahkan ia adalah satu tanggungjawab. 13. Tetapi jikalau sesebuah karya amat menekankan unsur-unsur negatif, dan ini mungkin terjadi dengan cara langsung atau tidak langsung kerana kurang pertimbangan terhadap kesan psikologi, ia boleh meruntuhkan sesebuah masyarakat. Mungkin ada penulis yang ingin menggambarkan kurangnya kudrat untuk berusaha atau sikap terlalu menyerah kepada nasib sehingga tiada ikhtiar untuk mengatasi masalah. Penulisan seperti ini tentulah tidak mengandungi unsur tanggungjawab kerana ia tidak menggalakkan manusia supaya berusaha mengatasi keadaan azab dan penderitaannya itu. Ia tidak memberi rangsangan supaya manusia mengubah sikapnya daripada sikap negatif kepada sikap positif. Ia tidak dapat mengajak manusia supaya berani menghadapi cabaran dan tidak menyerah kepada nasib. Ia tidak akan berjaya menyemaikan semangat seseorang supaya berusaha bersungguh-sungguh untuk mengatasi masalah. Ringkasnya, karya begitu tidak akan berjaya untuk meningkatkan dayatahan dan dayasaing manusia. Dayatahan dan dayasaing adalah kekuatan dalam diri seseorang yang boleh menjamin kejayaan, bahkan survivalnya. 14. Begitu juga dengan kegemaran kepada yang pelik dan ajaib. Cerita hantu Kum-Kum dibesar-besarkan sehingga meletakkan masyarakat Melayu dalam ketakutan yang memalukan. Kita ketawakan wanita hamil di Indonesia yang menyembunyikan diri di bawah katil kerana takut gerhana. Tetapi apakah kita berbeza dari mereka ini. Kenapakah histeria berlaku cuma di kalangan murid wanita Melayu sahaja. Tidakkah tumpuan kepada cerita seram yang ditulis oleh kita memainkan peranan dalam peristiwa ini? 15. Dalam setiap tamadun, golongan penulis bukan sahaja menjadi pencatat zamannya tetapi dalam banyak hal mereka juga menjadi pemimpin pemikiran masyarakatnya. Hakikat ini juga benar dan jelas dalam sejarah masyarakat kita. 16. Penulis-penulis kita telah memberikan sumbangan yang tidak ternilai dalam zaman rakyat memperjuangkan kemerdekaan, begitu juga sewaktu kita mula-mula hendak mengisi kemerdekaan itu. Dalam semua peringkat itu golongan penulis mendapat kebebasan yang sewajar dan secukupnya dan mereka telah menggunakan kebebasan itu dengan penuh rasa tanggungjawab mengikut kehendak dan ketentuan zamannya. 17. Zaman yang sedang kita hadapi dan akan kita hadapi ini adalah zaman yang lebih mencabar. Pertamanya, kerana keadaan negara kita sendiri yang jauh lebih maju. Kedua dan yang sangat penting pula ialah keadaan masyarakat dunia yang tidak henti-henti berlumba mengejar kemajuan dalam pelbagai bidang. 18. Tentulah amat malang bagi masyarakat kita jikalau penulis-penulis kita tidak menghiraukan degup gerak kemajuan yang sedang berlaku di sekitarnya dan sebaliknya tenggelam dalam kesedihan dan rasa rendah diri yang melulu. Tentulah amat malang bagi kita jikalau golongan penulis kita tidak dapat mencari dan menggali rahsia dan hikmah kejayaan bangsa lain untuk dikemukakan kepada masyarakat. Di sinilah letaknya tanggungjawab penulis zaman ini, tanggungjawab saudara-saudara sekalian. 19. Kebebasan atau batas kebebasan menjadi lebih penting bagi penulis-penulis Malaysia kerana mereka bertugas dalam suasana dan persekitaran yang agak luar biasa iaitu negara yang berbilang bangsa, agama dan adat resam. Begitu juga taraf sosial dan ekonomi masyarakat pula tidak sama. Di samping itu masyarakat dan negara kita terdedah kepada ancaman luar yang menunggu untuk mengeksploitasikan kelemahan-kelemahan yang ada kepada kita. Jika kebebasan seperti yang dimengertikan oleh penulis-penulis Barat digunakan sebagai ukuran atau diamalkan oleh penulis-penulis tempatan, ia boleh menyebabkan kesan yang negatif kepada negara, termasuk ancaman ke atas keselamatan. Sayangnya terdapat segolongan kecil penulis tempatan yang tidak dapat menerima hakikat sebenar. Mereka terus menghayati konsep kebebasan seperti yang dimengertikan oleh penulis-penulis Barat sekalipun mereka tahu akan padahnya jika kebebasan seperti itu diamalkan di dalam masyarakat berbilang bangsa dan agama seperti di negara ini. 20. Adalah wajar kita mengingatkan diri kita dari masa ke semasa bahawa punca utama tercetusnya peristiwa 13hb. Mei, 1969 ialah kerana setengah kalangan politik waktu itu terlalu ghairah dengan kebebasan bersuara dan mengemukakan pendapat hingga lupakan had dan batasan yang boleh diterima oleh rakyat berbilang bangsa. 21. Oleh kerana kedudukan para penulis yang istimewa di dalam masyarakat negara ini, cara mereka menggunakan kebebasan menjadi lebih penting dan kritikal dari golongan lain. Kebebasan adalah senjata. Ia boleh digunakan dengan berfaedah oleh orang-orang yang bertanggungjawab atau dengan cara yang merugikan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Kerajaan sentiasa menganggap golongan penulis sebagai rakan karib dalam pentadbiran dan pembangunan negara. Saya sendiri sentiasa mengalu-alukan kritik yang membina serta maklum balas yang diberikan oleh para penulis, sama ada ia seorang sasterawan atau wartawan. 22. Oleh kerana para penulis diberi kepercayaan mengamalkan kebebasan secara terbuka, maka adalah menjadi tanggungjawab setiap penulis bukan sahaja memahami had dan batasan kebebasan itu tetapi juga melengkapkan diri mereka dengan pengetahuan yang jitu supaya kebebasan itu dapat diamalkan dengan bijaksana. Sebelum penulis mengkritik dan membuat ulasan mengenai sesuatu perkara, ia haruslah mendalami dan melengkapkan diri dengan sebanyak-banyak maklumat dan butir mengenai perkara tersebut. Komen-komen cetek dan tidak terperinci bukan sahaja mengelirukan pembaca, tetapi menyulitkan usaha Kerajaan atau mana-mana juga pihak yang berkenaan untuk menyelesaikannya. Penulis harus tahu apa yang mereka lakukan dan melakukannya dengan penuh tanggungjawab. 23. Menulis tentang kebaikan dan menyokong apa-apa yang baik yang dilakukan oleh Kerajaan bukan menjadi alat propaganda. Ia sebenarnya membuktikan keberanian seseorang penulis. Memang mudah dan popular bagi seseorang penulis mengecam atau mengkritik terutama jika ditujukan kepada orang yang berkuasa. Tetapi untuk memperdengarkan sesuatu yang facktual dan baik walaupun tidak popular amatlah berat. Demikian juga dengan lain-lain pendapat yang bertentangan dengan aliran pendapat semasa. Penulis yang berasa bertanggungjawab mestilah berani jika pembinaan negara hendak diteruskan. Pengkritik sosial mestilah berani memperkatakan yang benar di samping mengecam yang salah. 24. Di samping itu penulis juga mestilah didorongi oleh kebijaksanaan atau 'wisdom'. Bukan kebijaksanaan untuk memutarbelitkan kenyataan atau kerana apa-apa muslihat tetapi untuk menimbang antara yang baik dan yang buruk -- kebijaksanaan untuk bertindak dengan rasa penuh tanggungjawab demi kepentingan keselamatan dan kesejahteraan hidup kita dan masa depan negara kita. Tuan-tuan dan puan-puan, 25. Saya berbangga dengan usaha memulakan Fellowship Sastera Berita Harian. Saya harap usaha-usaha seperti ini akan menjadi contoh kepada lain-lain pihak dan seterusnya dapat melahirkan karyawan dan hasil-hasil penulisan yang memenuhi cita-cita Malaysia bahagia. 26. Dengan harapan ini, saya dengan sukacitanya melancarkan Fellowship Sastera Berita Harian dengan rasminya. |