home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	DEWAN RAKYAT (DR), KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	02/12/83 
Tajuk/Title  	: 	PENERANGAN MENGENAI URUSAN PARLIMEN 




Tuan Yang Di Pertua, Saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk
menerangkan kepada Ahli-Ahli Dewan yang mulia ini mengenai perkara yang
berkaitan dengan urusan Parlimen.

2. Dalam persidangan Dewan Rakyat pada bulan Julai yang lalu, Dewan ini
telah meluluskan beberapa Rang Undang-Undang yang mana kemudiannya telah
dibahas dan diluluskan pula oleh Dewan Negara. Rang Undang-Undang
berkenaan adalah:- a. Akta Paten 1983; b. Akta Lembaga Kemajuan Ternakan
Negara (Pembubaran) 1983; c. Akta Profesion Undang-Undang
(Pindaan) 1983; d. Akta Penyelarasan Pencen (Pindaan) 1983; e. Akta Probet
dan Pentadbiran (Pindaan) 1983; f. Akta Pesuruhjaya Tanah Persekutuan
(Pindaan) 1983; g. Akta Taman Negara (Pindaan) 1983 h. Akta Perlembagaan
(Pindaan) 1983 Tujuh daripada lapan Rang Undang-Undang ini telahpun
diperkenankan oleh Duli Yang Maha Mulia Timbalan Yang di-Pertuan Agong
yang menjalankan tugas-tugas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka
Baginda Yang di-Pertuan Agong yang sekarang ini masih gering. Rang
Undang-Undang yang belum diperkenankan ialah Akta Perlembagaan
(Pindaan) 1983.

Tuan Yang Di Pertua, 

3. Akta Perlembagaan (Pindaan) 1983 belum lagi diperkenankan kerana
Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja tidak bersetuju dengan beberapa
bahagian daripada pindaan yang terkandung dalam Rang Undang-Undang itu.

Bahagian-bahagian yang tidak diperkenankan ialah:- 
a. Perkara 66(5) berhubung dengan perkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke
atas Rang Undang-Undang, 
b. Perkara 150 berhubung dengan Perisytiharan Darurat, 
c. Perkara mengenai Jadual Kelapan kepada Perlembagaan yang menyentuh
perkenan oleh Raja-Raja dan Yang di-Pertua-Yang di-Pertua Negeri ke atas
Rang Undang-Undang yang diluluskan oleh dewan-dewan undangan negeri.

4. Oleh kerana Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja tidak berkenan supaya
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong
memperkenankan pindaan-pindaan itu, maka terbuntulah usaha-usaha Parlimen
setakat itu.

5. Saya sendiri selaku Perdana Menteri telah berusaha sedaya upaya merafak
sembah penjelasan dan rayuan kepada Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja
supaya Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan
Agong memperkenankan pindaan-pindaan itu waktu saya mengadap Duli-Duli
Yang Maha Mulia Raja-Raja pada 13hb. Oktober, 1983 di Kota Kinabalu. Walau
bagaimanapun, semua hujah-hujah yang saya kemukakan itu telah tidak
diperkenankan oleh Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-Raja.

Tuan Yang di-Pertua, 

6. Sebagai langkah lanjut, saya telah meminta jasa baik Majlis Tertinggi
UMNO supaya dapat mencari formula jalan keluar. Melalui saluran UMNO Ini
kita telah menawarkan beberapa cadangan yang tidak mencemar maruah
mana-mana pihak.

7. Walau bagaimanapun, cadangan-cadangan yang telah dikemukakan oleh
wakil-wakil UMNO kepada Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja pada
20hb. November yang lalu di Istana Kayangan, Shah Alam telah tidak
diperkenankan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia.

8. Cadangan-cadangan itu semua merupakan pindaan-pindaan kepada
pindaan-pindaan asal yang difikirkan boleh mengatasi kekhuatiran Duli-Duli
Yang Maha Mulia Raja-Raja. Penyembahan tawaran pindaan-pindaan yang
berkenaan meliputi ke semua Perkara 66(5), Perkara 150 dan Jadual
Kelapan. Kerajaan berasa kecewa kerana kegagalan usaha ini.

9. Untuk mengelakkan kegelisahan rakyat, perutusan UMNO itu telah merafak
sembah memohon Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja untuk membuat satu
kenyataan, dan kenyataan inilah yang telah disiarkan atas nama Duli-Duli
Yang Maha Mulia Raja-Raja, selepas majlis mengadap pada 20hb. November
itu.

10. Perkembangan-perkembangan ini telahpun saya laporkan kepada Jemaah
Menteri. Dalam konteks ini pihak Jemaah Menteri berpendapat adalah menjadi
tanggungjawab Jemaah Menteri supaya perkara ini dilaporkan kepada
Parlimen. Maka inilah saya memaklumkan perkembangan-perkembangan ini
kepada Ahli-ahli Yang Berhormat di Dewan yang mulia ini pada hari ini.

Tuan Yang di-Pertua, 

11. Ingin saya tegaskan di sini bahawa tujuan Kerajaan mencadangkan
pindaan-pindaan Perlembagaan adalah untuk melicinkan lagi pentadbiran
negara supaya tidak timbul salah tafsiran mengenai peruntukan-peruntukan
dalam Perlembagaan. Dengan adanya pindaan-pindaan itu perjalanan sistem
Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan akan menjadi lebih jelas
dan tepat. Tetapi saya merasa dukacita kerana ada pihak-pihak yang tidak
bertanggungjawab yang telah mengambil kesempatan memutar-belitkan perkara
ini sehingga menjadi kecoh di kalangan rakyat.

12. Walau bagaimanapun pihak Kerajaan sedang berusaha untuk menyelesaikan
masalah ini. Insya-Allah, usaha ini akan mencapai kejayaan akhirnya.

Terima kasih.

 



 


 











 
Google