home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : KUCHING, SARAWAK, Tarikh/Date : 10/12/83 Tajuk/Title : DI UPACARA PERLETAKAN BATU ASAS BANGUNAN SATOK Yang Amat Berhormat Datuk Patinggi Haji Abdul Taib Mahmud, Ketua Menteri Sarawak; Dif-Dif Kehormat; Tuan-tuan dan puan-puan sekalian. Saya mengucap ribuan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Sarawak dan juga kepada Lembaga Simpanan dan Kemajuan Tanah, atau LCDA, kerana sudi menjemput saya datang ke Kuching untuk merasmikan upacara Perletakan Batu Asas Bangunan Satok ini. 2. Saya datang ke Sarawak dengan perasaan penuh gembira, bukan sahaja kerana sambutan orang-orang Sarawak sentiasa begitu meriah dan bersemangat, tetapi kerana tiap kali saya datang ke sini, saya nampak pembangunannya semakin pesat. 3. Pembinaan projek Bangunan Satok ini merupakan satu projek yang akan memberi peluang kepada Bumiputera menyertai lapangan perniagaan dengan lebih teratur dan sempurna lagi. Saya berharap mereka yang akan mendapat, atau yang telah dibahagikan kedai-kedai di kawasan ini, tidak akan menjualkannya untuk mendapat keuntungan yang segera. Gunakanlah kedai-kedai yang baru itu nanti bagi membuktikan Bumiputera boleh maju seperti kaum-kaum lain dalam lapangan perniagaan. Tuan-tuan dan Puan-puan. 4. Setiap individu, setiap kaum dan masyarakat mempunyai maruah. Kita tidak ingin dicemoh, disindir dan diperkecil-kecilkan oleh orang lain. Sebagai satu golongan, bumiputera pun tidak ingin dicemoh, disindir dan diperkecil-kecilkan. Kalau begitu kemahuan kita, tangggungjawab meningkatkan maruah itu adalah ditanggung oleh setiap orang anggota masyarakat bumiputera. 5. Salah satu lapangan di mana bumiputera hendak memelihara maruahnya ialah lapangan perniagaan. Kita harus mengakui bahawa masih banyak lagi yang mesti kita usahakan dan yang kita harus lakukan untuk mencapai peringkat yang dicapai oleh kaum bukan bumiputera. Kita mestilah melangkah lebih besar lagi untuk mencapai kejayaan seperti itu. Justeru itu, sekarang ini bukan masanya untuk bumiputera mencari keuntungan jangka pendek dan mencari jalan senang bagi keselesaan hidup masa kini. Kalaulah begitu sikap kita, bumiputera bukan sahaja dicemoh dan diperkecil-kecilkan oleh kaum lain, tetapi akan dicemoh dan diperkecil-kecilkan oleh keturunan kita sendiri. Keturunan kita akan tahu bahawa ibu-bapa dan datuk-nenek mereka telah menggadai maruah dengan tidak berusaha, tidak bekerja kuat dan tamakkan wang untuk kesenangan beberapa tahun sahaja. Yang paling sedih sekali apabila sebahagian dari keturunan kita mengikut jejak langkah yang tidak sihat ini. Sekiranya ini terjadi, maka berpanjanganlah maruah bumiputera tidak dapat ditebus. 6. Sebaliknya, sekarang ini janganlah berlaku lagi gejala kurang semangat ini. Saya yakin tuan-tuan dan puan-puan di sini, dan bumiputera seluruh negara, tidak mahu ini berlaku. Dengan itu kita berusaha bersungguh-sungguh dan bertekad untuk mencapai kejayaan. Setiap usaha kita ada hasilnya. Kejayaan kita hari ini akan kita nikmati dan nikmatnya itu akan menjadi pendorong kepada generasi muda kita dan seterusnya. Semasa hayat kita, kita harus meninggalkan sesuatu yang boleh dikenang oleh keturunan kita. Kejayaan ini juga akan menaikkan maruah bumiputera. Saya yakin tuan-tuan dan puan-puan mempunyai semangat kuat ini dan kita akan berjaya. Tuan-tuan dan puan-puan. 7. Sarawak akan menghadapi pilihanraya tidak lama lagi. Seperti pilihanraya-pilihanraya yang lalu, saya pasti semua parti politik rancak menegak prinsip dan perjuangan parti mereka. Berbagai perkara termasuk mencaci dan mengutuk parti-parti lawan akan dilaungkan di sana-sini. Ini termasuklah dakwaan bahawa satu-satu parti itu boleh melaksanakan itu dan ini. Ada kata-kata yang boleh dikotakan, dan ada yang tinggal kata-kata sahaja. Berkata-kata itu senang, apatah lagi di musim pilihanraya ini, di mana ramai yang dapat memperkatakan dengan teori-teorinya, petikan dari rujukan dan sebagainya. Tetapi melaksanakan apa yang dikatakan susah sekali. Di musim inilah rakyat Sarawak sepatutnya berhati-hati supaya jangan memberi kepercayaan kepada mereka yang pandai berkata-kata, tetapi tidak bijak melaksanakannya. 8. Rakyat Negeri ini hendaklah juga memikirkan kestabilan dan masa depan negara ini. Berkaitan dengan kestabilan ini, parti-parti yang berpengaruh di kalangan satu-satu kaum dan puak sahaja tidak mungkin dapat menjamin kestabilan. Kebanyakan parti-parti politik di negara kita ini dapat menarik sokongan dari satu-satu suku kaum tertentu, tetapi sekumpulan parti-parti itu telah berusaha bekerjasama supaya pertimbangan dan tindakan mereka mengambil kira kepentingan semua kaum. Bagi menjaga kestabilan, perpaduan dan hubungan rapat antara kaum supaya kemajuan negara berjalan lancar, maka tertubuhlah Parti Perikatan, dan kemudiannya diperbesarkan kepada Barisan Nasional. Walaupun parti-parti komponen menarik perhatian satu-satu kaum, Barisan Nasional dapat memerintah dengan menjaga kepentingan berbagai kaum negara ini. Dengan saling bekerjasama antara semua parti komponen, maka dapatlah kita mewujudkan kestabilan. Saya harap janganlah dibiarkan emosi kita sewaktu pilihanraya ini mencacatkan perpaduan atau persaudaraan kita. 9. Dalam kontek perpaduan ini, saya berbangga bahawa Bahasa Kebangsaan tidak menjadi isu kebangsaan lagi, tetapi dihebuhkan oleh satu dua golongan semasa pilihanraya sahaja. Memang ada kelompok-kelompok kecil di sana sini yang masih membangkitkan hal ini, tetapi golongan mereka semakin lama semakin kecil, sehingga tidak menjadi isu kebangsaan, tetapi isu pilihanraya untuk satu dua kawasan tertentu. Ini disebabkan semakin hari semakin ramai dari kita yang menyedari pentingnya satu bahasa bagi menjadi alat penghubung antara rakyat negara ini. 10. Di musim pilihanraya ini timbul juga soal Kebudayaan Nasional. Seolah-olah kebudayaan semua suku kaum akan hapus, dan sebaliknya kebudayaan pribumi sahaja yang akan timbul dan yang lainnya tenggelam. Saya telah mengambil peluang menerangkan hal ini beberapa kali. Kita mengambil ciri-ciri dan pola-pola kebudayaan pribumi yang boleh menjadi identiti, atau pengenalan kepada kebudayaan negara ini. Dalam kita membentuk kebudayaan nasional, amalan kebudayaan kaum-kaum lain tidak pernah dihalang dan ini dibuktikan dengan tindak tanduk kerajaan sejak kita merdeka 26 tahun yang lalu. Selama 26 tahunlah kita telah membuktikan bahawa kita tidak memaksa seseorang mengamal kebudayaan yang asing bagi mereka. 11. Dari segi pembangunan, rakyat Sarawak patut berasa bertuah kerana Kerajaan Negeri yang stabil selama ini telah dapat membawa kadar pembangunan yang membanggakan di Negeri ini. Berbagai projek pembangunan dalam sektor pertanian, perindustrian dan kemudahan infrastruktur telah dilaksanakan sejak Sarawak memasuki Malaysia. 12. Walau bagaimanapun, ada golongan yang nampak pembangunan Sarawak ini di Kuching dan Bintulu sahaja. Saya tidak nafikan bahawa terdapat beberapa projek besar di dua tempat ini. Apabila sesuatu itu besar, maka senanglah nampak. Yang kecil pula jarang kita nampak, tetapi yang kecil itu banyak bilangannya. Yang sebenarnya, apa yang dikatakan kecil itu bukanlah kecil setakat dua-tiga ribu ringgit, bahkan beratus ribu ringgit hingga perpuluh juta ringgit. Dari segi pertanian, projek-projek melalui Lembaga Kemajuan Tanah dan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak, projek pertanian bersepadu, dan sekim perairan memakan perbelanjaan beratus juta ringgit. Pembangunan infrastruktur seperti jalanraya, jambatan, elektrik dan air terus diperluaskan. Pembangunan dari segi pelajaran, kesihatan dan aspek sosial yang lain berjalan terus dengan rancaknya. Kepada orang-orang tertentu, terutama pemimpin parti-parti pembangkang, kalau dilihat pun, projek-projek seperti itu diperkecil-kecilkan. 13. Seperti yang saya katakan tadi, memang terdapat beberapa projek besar seperti di Bintulu. Kita mendapati projek LNG dan projek baja urea ASEAN disana. Projek-projek seperti ini adalah projek pembangunan ekonomi yang memberi hasil kepada negara. Misalnya, penjualan gas cecair asli ke luar negeri membawa masuk aliran tukaran wang asing ke negara kita. Hasil inilah yang kita gunakan untuk projek-projek pembangunan yang lain. 14. Rakyat Sarawak di pendalaman dan kawasan-kawasan lain tidak harus berasa kurang senang apabila Kerajaan lebih membangunkan dua-tiga tempat sahaja di Negeri Sarawak ini. Kalau kita perhatikan benar-benar, projek-projek besar membuka peluang-peluang kerja yang banyak bukan sahaja untuk penduduk setempat, tetapi juga untuk penduduk Sarawak dari pendalaman dan tempat-tempat lain. Dengan itu, kita sendiri dapat melihat projek-projek besar di Kuching dan Bintulu bukan sahaja memberi peluang pekerjaan kepada penduduk setempat,tetapi dari tempat-tempat lain di Sarawak. Apabila ramai rakyat Sarawak yang berkelayakan dan mempunyai kemahiran yang diperlukan, saya pasti ramai lagi yang akan mendapat peluang pekerjaan di projek-projek besar ini. Ini termasuklah mengambil alih pekerjaan yang sekarang ini diuruskan oleh warganegara asing. Tuan-tuan dan puan-puan sekelian, 15. Saya menyeru sekali lagi supaya penduduk Sarawak memikirkan kestabilan dan kesejahteraan masa depan Malaysia dan juga masa depan Sarawak, apabila diberi peluang memilih Kerajaan Negeri di pilihanraya akan datang ini. Kerajaan Barisan Nasional dibawah pimpinan Yang Amat Berhormat Dato' Patinggi Haji Abdul Taib Mahmud telah membuktikan kebolehan dan dedikasinya memperjuangkan nasib dan taraf hidup rakyat Negeri ini. 15. Akhirnya, saya mengucapkan terima kasih sekali lagi kepada Kerajaan Negeri Sarawak dan LCDA kerana memberi peluang kepada saya melakukan upacara Meletak Batu Asas Bangunan Satok ini. Terima kasih. |