home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	MELALUI RADIO DAN TELEVISYEN 
			MALAYSIA (RTM) 
Tarikh/Date 	: 	31/12/83 
Tajuk/Title  	: 	PERUTUSAN TAHUN BARU 1984 




Assalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan selamat sejahtera kepada
tuan-tuan dan puan-puan sekalian.

Saya bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan limpah
rahmatNya dapat sekali lagi saya berucap kepada tuan-tuan dan puan-puan
sekalian sempena tahun baru 1984.

2. Kita semua patut bersyukur kerana sepanjang tahun 1983, negara kita
sekali lagi terpelihara daripada malapetaka dan bahaya yang besar. Walau
bagaimanapun banjir telah berlaku di beberapa kawasan di Malaysia. Ianya
telah mengakibatkan kesusahan, kerosakan harta benda dan juga kehilangan
nyawa.

Namun demikian kita harus bersyukur bahawa jentera Kerajaan yang
bersiap-sedia untuk menghadapi keadaan telah menjalankan usaha-usaha
bantuan dan pertolongan dengan licin dan teratur bagi meringankan
kesusahan yang dialami oleh mangsa-mangsa banjir itu. Jabatan-jabatan
Kerajaan yang berkenaan, akan terus memberikan bantuan sewajarnya. Saya
mengucapkan terima kasih kepada semua pihak, sama ada dari Kerajaan atau
badan-badan sukarela yang telah bekerja dengan tidak mengenal penat lelah
untuk menolong membantu mangsa-mangsa banjir.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian, 

3. Keadaan politik negara kita juga stabil. Ini membolehkan ekonomi terus
kukuh dan berkembang, dan rakyat dapat menjalankan tugas tanpa merasa
takut dan bimbang.

Meskipun kita turut mengalami kesan-kesan buruk akibat kemelesetan ekonomi
dunia, tetapi dengan berjimat cermat dan dasar fiskal serta kewangan yang
realistik dan praktikal, kita dapat menghadapi kemelesetan ini dengan
lebih berkesan dan berjaya, jika dibandingkan bukan sahaja dengan
negara-negara membangun, tetapi juga dengan negara-negara
maju. Peluang-peluang perniagaan dan pekerjaan tetap wujud dan taraf
kehidupan rakyat pada umumnya tidak terjejas.

4. Keadaan keselamatan negara juga adalah terjamin dan bertambah
baik. Ancaman saki baki pengganas komunis di sempadan Malaysia-Thailand
dapat kita bendung dengan berkesan. Percubaan penyokong-penyokong mereka
dapat kita patahkan. Pasukan keselamatan kita sentiasa teguh dan sedia
menghadapi apa juga cabaran.

5. Kestabilan, kemakmuran dan suasana aman damai yang kita nikmati ini
adalah satu rahmat besar yang dikurniakan Allah Subhanahu Wataala kepada
kita. Maka adalah menjadi tanggungjawab kita semua pula, untuk menentukan
supaya keadaan stabil, makmur dan aman ini kekal abadi. Memang masih ada
rakyat yang hidup miskin dan kurang sempurna. Sebab itulah kita perlu
terus berusaha. Kerajaan akan terus menjalankan berbagai ikhtiar untuk
menghapuskan kemiskinan. Kerajaan berazam untuk menentukan kehidupan yang
wajar dan sempurna untuk seluruh rakyat yang rajin dan sanggup berusaha.

6. Sebagai satu bangsa yang sentiasa membuat perubahan dan melaksanakan
rancangan yang boleh membawa kemajuan, kita sentiasa saja berhadapan
dengan masalah, tuntutan dan cabaran. Salah satu cabaran yang paling
menarik perhatian umum dalam tahun 1983 ini, ialah perkara pindaan
perlembagaan. Alhamdulillah, salah faham dan kebimbangan yang timbul
daripada hal ini telah dapat kita selesaikan menurut cara dan tradisi
kita. Kejayaan ini memperkuatkan keyakinan Kerajaan, bahawa dengan
sumbangan dan sokongan, serta perpaduan rakyat, tidak ada masalah yang
tidak dapat kita selesaikan. Kita akan terus memelihara sistem demokrasi
berparlimen dan raja berperlembagaan.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian, 

7. Sepanjang tahun 1983 ini, saya telah mengajak tuan-tuan dan puan-puan
bekerja kuat dan mengamalkan etika kerja yang baik. Saya juga telah
meminta tuan-tuan dan puan-puan sama-sama ikut menjayakan Dasar Pandang ke
Timur, Persyarikatan Malaysia, Pengswastaan dan konsep serta dasar-dasar
lain. Saya telah meminta tuan-tuan dan puan-puan sama-sama mengamalkan
konsep Kepimpinan Melalui Teladan dan menerapkan nilai-nilai Islam dalam
segala bidang kehidupan.

8. Tidak ada dasar atau konsep dalam dunia ini yang baik
seratus-peratus. Tentulah ada keburukan dan kelemahan padanya. Tetapi
sebagai makhluk yang boleh berfikir kita boleh buang yang keroh dan ambil
yang jernih. Dasar dan konsep yang telah kita tentukan tidaklah mempunyai
banyak aspek yang keroh. Oleh itu kita tidak perlu menghabiskan masa
membahas dengan panjang lebar kebaikan dan keburukan sementara dasar dan
konsep tadi dibiarkan tanpa diamal dan dilaksanakan.

9. Di samping itu kita tidak sepatutnya terlalu taksub dengan kebendaaan
dan mengukur sesuatu semata-mata dari segi keuntungan jangka pendek bagi
diri kita. Kita juga harus berfikir tentang keuntungan bagi masyarakat
dalam jangka panjang. Keuntungan masyarakat akhirnya akan membawa manfaat
dan kebaikan kepada kita. Juga orang lain yang perlukan bantuan akan
mendapat nikmat tanpa mengurangkan nikmat yang kita terima. Perasaan
tamak, jika dijadikan asas kehidupan kita, tetap akan merosakkan
masyarakat dan membawa bermacam malapetaka. Oleh itu dalam menjalankan
tugas, janganlah kita fikir semata-mata tentang upahan, tetapi juga
terhadap kemuliaan khidmat yang baik dan jujur. Insya-Allah, kita tidak
akan rugi kerana kebaikan dan kejujuran kita.

10. Berkenaan dengan penerapan nilai-nilai Islam janganlah kita tumpukan
semata-mata kepada larangan dalam Islam tetapi sebaliknya hendaklah kita
amalkan tabiat dan sikap yang baik yang diutamakan oleh Islam. Kerajinan,
amanah, kejujuran, bertimbangrasa, bertanggungjawab adalah nilai-nilai
yang mulia dalam Islam dan masyarakat Islam mestilah mengamalkannya. Bagi
orang bukan Islam nilai-nilai ini juga dipandang mulia dan tidaklah timbul
percanggahan jika mereka juga mengamalkan nilai-nilai ini. Dengan ini maka
masyarakat majmuk di Malaysia akan lebih kuat perhubungannya dan segala
kebaikan yang datang dari amalan yang baik ini akan dikecapi oleh semua
rakyat dari semua kaum dan agama.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian, 

11. Pada saat-saat menjelang tahun baru 1984 ini, marilah kita berganding
bahu, bekerja dan menunaikan kewajipan masing-masing dengan tekad dan azam
yang lebih kuat. Matlamat kita ialah mewujudkan satu keadaan di mana
setiap rakyat -- di mana juga mereka berada -- dapat hidup bahagia dan
sempurna, dan menegakkan negara Malaysia yang maju dan bermaruah. Selamat
tahun baru dan selamat sejahtera. Semoga Allah Subhanahu Wataala
memberkati segala usaha kita.

Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamu'alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

 



 


 











 
Google