home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	BALAI BUDAYA, DEWAN BAHASA DAN 
			PUSTAKA, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	11/02/84 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS PENYAMPAIAN HADIAH PERADUAN 
			MENGARANG DAN MELUKIS 
			SEJARAH MALAYSIA 




  Saya berasa gembira kerana berpeluang bersama di upacara penyampaian
hadiah Peraduan Mengarang dan Melukis Sejarah Malaysia, anjuran Persatuan
Sejarah Malaysia ini. Sukalah saya mengambil kesempatan ini mengucapkan
setinggi tahniah di atas usaha Persatuan Sejarah Malaysia untuk
menimbulkan minat dan kegemaran terhadap hal ehwal sejarah melalui
pertandingan mengarang dan melukis seperti yang dianjurkannya ini, di
samping menjalankan pelbagai kegiatan yang lain seperti pengeluaran
majalah dan makalah kajian sejarah. Semoga usaha ini akan terus
dipergiatkan demi untuk perasaan cintakan negara, bangsa serta warisan
yang dihayati bersama.

2. Pengetahuan tentang warisan dan sejarah negara memungkinkan kita
berfikir dan membuat perhitungan yang waras bagi menyelesaikan
masalah-masalah masa kini dan masa depan. Apa yang dinilaikan sebagai baik
seharusnya dijadikan pedoman dan yang buruk pula dijadikan
sempadan. Mereka yang tidak belajar dari sejarah akan didera dengan
mengulangi kesalahan berkali-kali.

3. Salah satu kesan sejarah yang boleh dijadikan contoh atau pedoman ialah
masyarakat akan maju atau mundur mengikut apa yang sepatutnya bagi
masyarakat itu. Dalam bahasa Inggeris 'We get what we deserve', yang
bermakna jika kita malas dan tidak bertanggungjawab, kita akan rasai kesan
darinya; tetapi, jika kita rajin kita akan mendapat hasilnya. Tidak ada
gunanya kita menyalahkan orang lain. Soalkan diri sendiri dahulu.

4. Satu perkara yang tidak sepatutnya terlalu mengkagumkan kita ialah
kenangan tentang keagungan kita di zaman silam. Masyarakat yang sering
bercakap tentang zaman gemilang dahulu ialah masyarakat yang sudah jadi
mundur sekarang dan tidak ada lain yang hendak dibanggakan melainkan
sejarahnya sahaja. Yang kita hendak ialah pelajaran dari sejarah lama dan
kejayaan di zaman ini.

5. Ramai dari kita meraba-raba mencari 'hero' dalam sejarah
kita. Kadang-kadang kita tidak begitu menyoal apakah benar 'hero' kita itu
sebenarnya 'hero'. Kita lupakan sahaja akan keburukannya dan kita
mendewa-dewakannya. Untuk apa? Supaya kita boleh kata kita dari keturunan
yang megah. Tetapi semua ini adalah khayalan dan sudahpun tidak ada dan
tidak berkesan lagi. Yang penting ialah pencapaian kita sekarang
ini. Apakah benar kita boleh berbangga dengan pencapaian kita hari
ini? Jika tidak, apakah kita harus khayal dengan yang lama ataupun kita
tentukan di mana kita silap dalam sejarah kita dan kita elak dari
melakukan kesilapan yang sama sekali lagi. Inilah peranan sejarah, bukan
untuk berkhayal dengan 'hero-hero' ciptaan kita, tetapi untuk menentukan
di mana kita salah dan apa yang harus kita buat. Kalau rebutan takhta
menyebabkan penyerahan negara kita kepada bangsa asing, hari ini jangan
kita ada lagi rebutan di kalangan orang yang berkuasa -- iaitu
rakyat. Kita patut bersatu hati dan kita tumpukan segala usaha untuk
memperkuatkan negara kita. Tidak ada gunanya penukaran sistem jika amalan
lama yang melemahkan kita diteruskan. Penerusan amalan lama yang buruk
bermakna kita tidak dapat apa-apa pelajaran daripada sejarah kita.

6. Dalam sejarah negeri-negeri dalam Malaysia, tidak ada satu masa yang
lebih berpeluang daripada sekarang. Sebelum penjajahan British,
negeri-negeri Melayu di Semenanjung dan di Pulau Borneo adalah
negeri-negeri yang kecil, yang terasing antara satu dengan yang lain dan
pula kerap berperang sesama sendiri. Dalam tiap-tiap negeri itu rebutan
tempat dan kuasa berlaku dan kuasa asing sering dijemput untuk membantu
pihak ini dan pihak itu. Akhirnya kesemua negeri-negeri ini jatuh ke
tangan British dan menjadi tanah takluk British.

7. Tetapi sekarang kita sudah merdeka dan semua negeri-negeri di
Semenanjung dan utara Pulau Borneo adalah disatukan. Kita menjadi sebuah
negara yang besar dan boleh menentukan nasib kita, kemajuan negara kita,
dan kebahagian hidup rakyat kita. Tetapi, oleh kerana kita tidak
mengetahui dan mempelajari dari sejarah kita, maka kita timbulkan
bermacam-macam halangan terhadap pembangunan negara kita.

8. Jika sejarah menjadi panduan kita maka apa yang perlu kita buat
sekarang ialah mengukuhkan perpaduan, mengurus pemerintahan dengan baik,
merancang pembangunan, melaksanakan rancangan ini dengan penuh minat dan
dedikasi dan seterusnya jika ada apa-apa yang terkurang maka tindakan
mestilah diambil untuk mengisi kekurangan ini. Jika kita kurang ilmu, maka
hendaklah kita berusaha mempelajari dan mengumpul ilmu-ilmu ini. Jika kita
kekurangan kecekapan maka hendaklah kita latihkan diri sehingga kita
cekap. Jika kita miskin maka hendaklah kita berusaha untuk mendapatkan
kekayaan.

9. Mungkin ada halangan dan rintangan. Mungkin ada pengorbanan yang perlu
dibuat. Semua masalah boleh kita atasi asalkan sahaja kita tahu tentang
akibat buruk yang akan menjadi nasib kita jika kita tidak membuat apa yang
perlu seperti yang kita pelajari daripada sejarah kita.

10. Jika sejarah negara-negara di dunia dikaji, maka kita tidak dapat
tidak akan kagum bagaimana banyaknya negara-negara yang mengalami nasib
yang lebih kurang sama. Kita akan dapati bahawa negara-negara biasanya
muncul, menjadi maju, meningkat ke puncak kemajuan dan selepas itu akan
mula merosot dan menjadi daif.

11. Ada kalanya negara-negara ini terus hilang dari muka bumi. Demikianlah
dengan Carthage, Old Egypt, Byzantium, Rome, Empayar Mogul, Empayar Inca,
Empayar Islam, Majapahit, Sri Vijaya dan lain-lain lagi. Tetapi ada pula
yang berjaya membangun semula setelah beberapa kurun lemah atau
dijajah. Ada pula yang kemajuannya terhad dan tidak pernah meningkat ke
puncak.

12. Soal yang perlu ditanya ialah apakah sebabnya yang sesuatu bangsa yang
biasa maju boleh menjadi mundur sehingga ditenggelami sejarah. Di sinilah
pengetahun sejarah yang mendalam amat berguna untuk kita mencapai kemajuan
dan mengelak dari nasib buruk yang mungkin menimpa kita setelah maju. Jika
sejarah dikaji, maka kita akan lihat peranan nilai-nilai yang mulia dalam
menjayakan sesuatu bangsa. Biasanya bangsa yang akan berjaya memberi nilai
yang tinggi kepada kerajinan, keberanian, amanah dan kejujuran. Ilmu
pengetahuan dimuliakan dan demikian juga kecekapan dalam bidang-bidang
tertentu. Apabila nilai-nilai ini sudah menjadi sebahagian daripada
kebudayaan sesuatu bangsa, maka bangsa dan negara itu akan mencapai
kejayaan yang cemerlang. Pengaruh mereka akan berkembang dan mereka akan
dihormati dan disegani.

13. Buat beberapa lama kedudukan tinggi mereka akan terpelihara. Tetapi
kerapkali kemewahan dan kesenangan mengubah nilai hidup mereka. Kerajinan
dan keberanian tidak dihargai lagi. Mereka mengguna hamba atau orang-orang
di bawah takluk mereka untuk tugas berperang atau bekerja berat. Mereka
tidak menuntut ilmu lagi. Amanah merosot. Kadang-kadang mereka terlalu
asyik dengan keseronokan atau dengan falsafah tinggi atau dengan
kepercayaan yang tidak berasas. Sedikit demi sedikit mereka pun mula
menjadi lemah dan mundur. Semakin lemah dan mundur mereka, semakin banyak
mereka bergantung kepada orang lain untuk bermacam-macam kepentingan
mereka. Akhirnya orang yang mereka kuasai dahulu menguasai mereka dan
sejarah mereka pun tamat. Kadang-kadang kesedaran timbul semula dan bangsa
dan negara mereka dipulih semula. Tetapi, seperti Phoenicia dan Sri
Vijaya, kedua-duanya tidak bangun semula dan hilang dari muka bumi ini.

14. Inilah pelajaran-pelajaran yang boleh diperolehi dari
sejarah. Mempelajari sejarah sebagai bahan akademik, sebagai satu daripada
bidang kemanusiaan adalah terlalu sempit dan cetek. Sejarah mesti
dipelajari kerana kita ingin mendapat panduan daripadanya, kerana kita
ingin mengelakkan daripada malapetaka, dan dari dimusnahkan oleh
masa. Inilah peranan sejarah, inilah gunanya yang sebenar.

15. Saya berbangga dengan minat saudara-saudari terhadap sejarah. Tetapi,
janganlah lupa akan pelajaran yang boleh diperolehi darinya -- pelajaran
moral yang boleh menentukan sama ada kita berjaya atau tidak.

16. Akhirnya, sukalah saya sekali lagi mengucapkan tahniah kepada
Persatuan Sejarah Malaysia kerana berjaya menganjurkan Peraduan Mengarang
dan Melukis Sejarah ini.

Kepada pemenang-pemenang, saya mengucapkan tahniah.

Terima kasih. 
 



 


 











 
Google