home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	DEWAN RAKYAT, PARLIMEN, 
			KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	29/03/84 
Tajuk/Title  	: 	MEMBENTANGKAN KAJIAN SEPARUH 
			PENGGAL RANCANGAN MALAYSIA KEEMPAT 




Tuan Yang di-Pertua,

1. Saya dengan sukacitanya berdiri di Dewan yang mulia ini untuk
mengemukakan usul yang berikut: "Bahawa Dewan ini, menyedari kemajuan yang
telah dicapai dalam usaha melaksanakan tiga tahun pertama Rancangan
Malaysia Keempat; bersetuju dengan usaha-usaha Kerajaan melaksanakan Dasar
Ekonomi Baru untuk mencapai tujuan utama, iaitu perpaduan negara serta
mengekalkan keamanan dan keselamatan; melulus dan menyetujui Kajian
Separuh Penggal Rancangan Malaysia Keempat yang telah dirangka untuk
meliputi dasar-dasar dan program-program yang bertujuan untuk meninggikan
lagi pertumbuhan ekonomi dan melaksanakan langkah-langkah untuk membasmi
kemiskinan dan menyusun semula masyarakat seperti yang dibentangkan dalam
Kertas Perintah Bilangan 13 Tahun 1984; Bahawa dalam meluluskan Kajian
Separuh Penggal ini, Dewan ini menyeru semua rakyat Malaysia dari segenap
lapisan untuk berusaha dengan lebih gigih lagi selaras dengan hasrat
Rukunegara dan bersatu padu untuk mewujudkan negara yang adil, progresif
dan kukuh." 

Tuan Yang di-Pertua, 

2. Semenjak merdeka, Dewan ini telah berkali-kali mendengar pembentangan
rancangan-rancangan pembangunan lima tahun. Perancangan pembangunan telah
menjadi sebahagian daripada pendekatan negara dalam mempertingkatkan
prestasi ekonomi, sosial dan pembangunan kerohanian negara. Kita tidak
syak bahawa rancangan pembangunan memainkan peranan yang amat penting
dalam pembangunan negara kita Malaysia.

3. Pembentangan dan perbahasan mengenai rancangan pembangunan dan kajian
separuh penggal sudah menjadi satu daripada tugas dan tradisi Dewan
ini. Kita semua menunggu-nunggukan pengisytiharan peruntukan-peruntukan
dalam rancangan pembangunan dan kajian separuh penggal, sama seperti
menunggu durian runtuh.

4. Tetapi dalam ucapan pembentangan pada hari ini, saya akan berganjak
daripada tradisi, dan akan menumpukan perhatian bukan kepada agihan
peruntukan yang bertambah, tetapi kepada usaha yang perlu dibuat, supaya
rancangan pembangunan bukan menjadi satu proses penerimaan ganjaran yang
pasif, tetapi satu penyertaan oleh semua pihak secara lebih aktif bagi
membangunkan negara. Jumlah peruntukan dan lain-lain angka akan disebut
juga, tetapi tidaklah akan mendapat tempat yang utama seperti dahulu. Jika
Ahli Yang Berhormat dan rakyat ingin tahu dengan mendalam berkenaan dengan
peruntukan, mereka bolehlah membaca dalam dokumen Kajian Separuh Penggal
Rancangan Malaysia Keempat yang telah disediakan oleh Kerajaan Pusat
setelah berunding dengan Kerajaan-Kerajaan Negeri dan lain-lain pihak.

Tuan Yang di-Pertua,

5. Sebenarnya tahap pembangunan yang dicapai oleh Malaysia adalah jauh
lebih tinggi daripada taraf negara yang membangun, bahkan kadang-kadang
lebih tinggi daripada peringkat pembangunan negara-negara yang sudah
maju. Umpamanya di Britain setiap warganegara yang bekerja terpaksa
membayar yuran tetap untuk kemudahan perubatan yang dikatakan percuma,
tetapi di Malaysia kita menyediakan rawatan, tanpa bayaran apa-apa yuran
tetap atau bayaran jika kita tidak mampu.

6. Negara-negara, seperti juga individu, mestilah belanja dengan kadar
yang ia mampu sahaja, seperti kata orang Inggeris 'One must live within
one's means'. Jika kita berhutang pun, hutang itu tidak boleh lebih
daripada kadar yang mampu dibayar. Sebarang percubaan untuk berbelanja
lebih daripada yang kita mampu akan membinasakan negara.

7. Berhadapan dengan hakikat ini kita mempunyai dua pilihan sekarang. Kita
boleh turunkan taraf hidup kita ke paras yang kita mampu, atau kita boleh
tingkatkan kekayaan kita supaya kita mampu membiayai taraf hidup yang
telah menjadi kebiasaan kita. Untuk tujuan ini, beberapa perubahan sikap
dan pendekatan adalah perlu. Sehingga kekayaan meningkat, kita terpaksalah
mengurangkan perbelanjaan hangus dan sebaliknya meningkatkan peruntukan
pelaburan yang boleh menambah kekayaan. Insya-Allah, dengan cara ini, kita
akan dapat membiayai kehidupan yang lebih mewah di masa hadapan.

Tuan Yang di-Pertua, Persekutuan yang cuma $2,400 juta pada tahun 1970
tetapi telah meningkat kepada $18,385 juta pada tahun 1983.

10. Sebahagian besar daripada pertumbuhan ekonomi ini berasas kepada
pengeluaran bahan-bahan utama serta barangan buatan elektronik yang
dieksport. Sebenarnya 50% daripada Keluaran Negara Kasar atau GNP adalah
daripada eksport.

11. Keadaan ini berbeza daripada apa yang terdapat di negara-negera
seperti Jepun dan Amerika Syarikat di mana cuma antara 10 hingga 20%
sahaja daripada GNP bergantung kepada eksport. Dengan perkataan lain,
aktiviti ekonomi dalam negara mereka menyumbang lebih banyak kepada GNP,
atau peningkatan kekayaan negara, berbanding dengan sumbangan hasil
eksport. Sebaliknya kita terlalu bergantung kepada eksport untuk
peningkatan kekayaan.

12. Kekayaan negara bukanlah sesuatu yang jadi dengan sendirinya. Ianya
boleh merosot atau meningkat mengikut kecerdasan dan kepintaran
penduduknya. Memiliki sumber kekayaan seperti bijih, atau tanah yang subur
atau lautan yang penuh dengan ikan, tidak dengan sendirinya menjadikan
sesebuah negara dan penduduknya kaya. Penduduk mestilah pandai
mengeluarkan hasil dan meningkatkan nilai keluaran mereka dengan memproses
hasil itu sebelum mereka dan negara dapat menjadi kaya. Tenaga manusia dan
kepintaran mereka adalah punca kekayaan yang pertama dan utama.

13. Kerana Malaysia terlalu bergantung kepada eksport, apabila saja
ekonomi dunia merosot maka akan merosotlah ekonomi negara. Sementara kita
perlu mempertingkatkan lagi eksport kita, tetapi pertumbuhan ekonomi
hendaklah juga diasaskan kepada aktiviti di dalam negara. Untuk ini kita
perlu memberi perhatian kepada bermacam-macam kegiatan yang boleh
menyumbang kepada kekayaan negara.

14. Punca utama kekayaan ialah tabungan pendapatan kita supaya dapat
diguna untuk melabur. Tabiat menyimpan sebahagian daripada pendapatan kita
amatlah penting. Tetapi jikalau kita simpan sahaja, kita tetap akan rugi
kerana harga barang akan meningkat, dan wang yang kita simpan dahulu tidak
akan dapat membeli sebanyak yang kita boleh beli di waktu kita
menyimpannya.

15. Wang tabung kita mestilah disimpan supaya boleh diguna untuk
pelaburan, iaitu di bank, termasuklah Bank Islam, Bank Simpanan Nasional,
atau untuk dilabur dalam saham amanah, ataupun terus untuk membeli saham
syarikat yang terkenal.

Jika sudah terkumpul banyak, kita boleh mengadakan perniagaan dan
perusahaan kita sendiri dengan dibantu oleh sedikit modal pinjaman.

16. Punca kedua kekayaan ialah pusingan wang. Wang yang disimpan dalam
bantal tidak akan meningkatkan kekayaan penyimpan ataupun
negara. Sebaliknya jika wang itu dilabur dan terus dilabur, hasil akan
bertambah. Satu ringgit yang dilabur sepuluh kali setahun adalah sama
dengan sepuluh ringgit. Oleh itu adalah penting wang itu bergerak secara
langsung atau tidak langsung.

17. Punca ketiga kekayaan ialah daya pengeluaran. Jika seseorang itu tidak
bekerja sama sekali, tidak akan ada apa-apa sumbangannya kepada dirinya,
atau masyarakat atau negara. Sebaliknya jika seseorang memberi khidmat
atau mengeluarkan sebahagian atau sesuatu barang, dianya akan menyumbang
kepada kekayaan negara. Sudah tentu jika ia bekerja kuat, memberi lebih
banyak khidmat atau mengeluarkan lebih banyak hasil daripada tenaganya,
sumbangannya adalah lebih tinggi.

18. Tetapi sumbangan yang lebih tidak bermakna dari segi peningkatan
kekayaan negara, jika upahan meningkat lebih daripada tambahan
pengeluaran, atau mengambil masa yang lebih panjang dari jumlah masa yang
diperlukan oleh orang yang lembab kerjanya. Oleh itu untuk
mempertingkatkan daya pengeluaran, setiap orang mestilah menambah khidmat
atau hasil kerja lebih daripada peningkatan upahan yang kita terima.

19. Peningkatan daya pengeluaran akan menentukan sama ada kita dapat
bersaing dengan negara-negara lain dalam bidang industri dan
perdagangan. Jika kita berjaya maka kekayaan negara akan bertambah dan
pendapatan semua penduduk Malaysia akan bertambah. Rakyat Malaysia akan
menjadi pasar yang lebih berkeupayaan membeli banyak barang perlu dan
barang mewah, yang mana ini akan meningkatkan kegiatan ekonomi
negara. Peningkatan ekonomi negara akan mewujudkan lebih banyak peluang
kerja dan peluang berniaga. Kerajaan pula akan dapat lebih banyak hasil
yang boleh diguna bukan sahaja untuk menambah gaji tetapi untuk
menyediakan bermacam-macam kemudahan infrastruktur yang dituntut oleh
rakyat.

20. Penjelasan ini terpaksa dibuat kerana tekanan dalam semua Rancangan
Pembangunan terdahulu daripada ini lebih tertumpu kepada peruntukan yang
akan dibuat. Masing-masing mahu lebih banyak peruntukan untuk Kementerian
mereka, untuk negeri mereka, untuk kawasan mereka, untuk projek mereka dan
seterusnya. Soal dari mana akan datang wang untuk semua ini tidak diberi
perhatian. Mereka yang sering mengecam Kerajaan kerana hutang terlalu
banyak, tidak berfikir dua kali bila mendesak Kerajaan untuk memperuntukan
wang bagi maksud itu dan ini.

21. Kerajaan tidak dapat mengelakkan diri daripada berhutang untuk
projek-projek pembangunan, dan Kerajaan sanggup berhutang. Tetapi paras
hutang yang boleh dipikul oleh sesebuah negara bergantung kepada
kekayaannya dan kekayaan negara adalah hasil daripada tiga faktor yang
telah saya sebutkan tadi, iaitu tabungan wang rakyat, kegiatan 22. Jika
pembayaran hutang luar negeri mencapai paras 20% daripada eksport maka
kita akan menghadapi masalah kewangan yang besar. Alhamdulillah kita belum
sampai ke peringkat itu, dan kita tidak akan sampai ke peringkat itu jika
kita berjimat dalam perbelanjaan kita.

23. Jika kita perlu tingkatkan perbelanjaan kita dan hutang negara,
terlebih dahulu hendaklah kita tingkatkan kekayaan kita. Ini bermakna kita
perlu tabungkan wang kita, kita perlu melabur dan kita perlu tingkatkan
daya pengeluaran kita.

Tuan Yang di-Pertua, 

24. Dalam tempoh 1981-83, negara-negara membangun, khususnya yang
bergantung kepada eksport bagi pertumbuhan ekonominya, telah menerima
tekanan teruk daripada kemelesetan ekonomi dunia. Kita di Malaysia tidak
terkecuali. Harga barangan utama yang kita eksport telah
merosot. Sebaliknya, harga import terus kekal pada paras yang
tinggi. Perkembangan ini telah menyebabkan negara mencatatkan kurangan
akaun luar negeri yang besar, berjumlah $19,400 juta. Kuasa membeli secara
keseluruhan telah merosot, dan ini telah menjejaskan aktiviti sektor
swasta. Langkah-langkah telah diambil oleh Kerajaan bagi mengurangkan
kesan kemelesetan dengan cara meningkatkan perbelanjaan sektor awam bagi
tempoh dua tahun yang pertama Rancangan Malaysia Keempat. Langkah-langkah
ini telah membolehkan ekonomi mencapai pertumbuhan sebanyak 6.2% setahun,
satu kadar yang boleh dibanggakan.

25. Malangnya, 'expansionary spending' oleh Kerajaan tidak boleh
diteruskan terlalu lama. Ia melibat pinjaman yang besar dan akan membawa
kesan buruk kemudian melainkan jika ekonomi pulih dengan prestasi yang
amat tinggi. Dalam tempoh 1981-83 pinjaman bersih luar negeri berjumlah
$13,000 juta. Walaupun jumlah ini masih boleh dipikul, tetapi tambahan
hutang akan membebankan negara dengan teruk menjelang tahun 1986 dan
seterusnya. Oleh itu, Kerajaan tidak lagi boleh mengamalkan peningkatan
perbelanjaan sektor awam bagi menampung kelembapan pelaburan dalam sektor
swasta.

26. Kemelesetan ekonomi juga memberi kesan kepada kedudukan
gunatenaga. Dalam tempoh Kajian, jumlah pekerjaan bertambah sebanyak
428,000. Ini adalah lebih rendah daripada tambahan tenaga buruh yang telah
meningkat kepada jumlah 471,000 orang. Akibat daripada perkembangan ini,
kadar pengangguran telah meningkat daripada 5.7% dalam tahun 1980 kepada
6% dalam tahun 1983. Bagaimanapun, perlu dinyatakan di sini, bahawa
masalah pengangguran di negara kita adalah terkawal. Sebahagian besar
pengangguran ini disebabkan oleh pilihan pekerja sendiri.

Tuan Yang di-Pertua, 

27. Kemerosotan harga barangan utama seperti yang dinyatakan telah juga
memberi kesan kepada usaha-usaha membasmi kemiskinan. Kadar kemiskinan
bagi Semenanjung Malaysia, umpamanya, telah meningkat sedikit, iaitu
daripada 29% dalam tahun 1980 kepada 30.3% dalam tahun 1983.

28. Di sini perlu dijelaskan apa yang ditakrif sebagai
kemiskinan. Kemiskinan mutlak atau 'absolute poverty' seperti yang
terdapat di setengah-setengah negara membangun yang malang, di mana
kelihatan orang kebuluran meraba-raba ke dalam tong sampah untuk mencari
makanan, atau terlantar di kaki lima tidak terdapat di
Malaysia. Penjelasan ini adalah perlu kerana apabila pakar luar negeri
membaca pendapatan yang kita tentukan sebagai garis pemisah antara miskin
dan tidak miskin dibuat tanpa mengambilkira pengurangan perbelanjaan sara
hidup akibat daripada kemudahan yang disediakan oleh Kerajaan atau keadaan
setempat. Pembinaan sekolah dan klinik umpamanya mengurangkan
perbelanjaan. Demikian juga subsidi berbentuk barang perlu. Di samping itu
penduduk yang tinggal di tempat yang terpencil tidak perlu membayar
berbagai cukai dan membuat lain-lain perbelanjaan. Walaupun faktor-faktor
ini amat berkesan dari segi sara hidup, ia tidak diambilkira.

29. Oleh itu angka-angka kemiskinan dalam Kajian ini tidaklah boleh
dianggap sebagai tepat. Ia cuma menjadi 'indicator' pendapatan sahaja dan
tidak menjadi 'indicator' kuasa membeli.

30. Seperkara yang perlu dielak ialah tindakan pembasmian kemiskinan
melalui pembayaran 'dole' atau subsidi sara hidup yang sudah menjadi
amalan beberapa negara Barat. Pemberian 'dole' telah menyebabkan
kemerosotan ekonomi beberapa negara Barat sehingga mereka tidak lagi dapat
bersaing dengan negara lain yang maju dan yang membangun. Sebenarnya,
apabila sahaja pendapatan dijamin, sama ada bekerja atau tidak, maka minat
bekerja akan hilang. Dan, di waktu ekonomi negara merosot dan pendapatan
Kerajaan berkurangan, di waktu itulah pengangguran dan 'dole' akan
bertambah. Dengan perkataan lain di waktu pendapatan Kerajaan merosot, di
waktu itulah perbelanjaan 'dole' meningkat.

31. Di Malaysia mereka yang tidak bekerja akan menjadi beban kepada
keluarga. Oleh itu seseorang itu tidak suka menganggur dan menjadi beban
kepada keluarganya. Sistem kekeluargaan atau 'extended family system' kita
akan kekal dan menolong menstabilkan masyarakat dan negara. Keretakan
sistem keluarga di Barat membawa kepada keruntuhan akhlak sehingga anak
tidak lagi menghormati ibu bapa, orang muda tidak kenal orang tua, dan
institusi perkahwinan diketepikan. Balasan kepada keruntuhan akhlak sudah
pun menimpa dengan penyakit-penyakit baru yang tidak dapat diubati yang
menyerang masyarakat yang tidak berakhlak. Jika kita membenarkan diri kita
dipengaruhi oleh konsep 'welfare state' yang tidak terhad, akan hancurlah
keluarga sebagai unit masyarakat serta sistem akhlak yang berpunca
daripada hidup berkeluarga.

32. Walaupun bantuan wang akan diberi oleh Kerajaan dalam keadaan
tertentu, dalam usaha kita untuk membasmi kemiskinan, kita akan bergantung
lebih kepada membekal ilmu dan kemahiran dan mewujudkan peluang dan
rancangan yang akan membolehkan rakyat mendapat pendapatan dengan usaha
mereka sendiri. Proses ini dapat dilihat, umpamanya daripada skim FELDA,
di mana orang yang tidak memiliki tanah menjadi peneroka dalam
rancangan. Anak kepada peneroka pula sudah berpeluang mendapat pelajaran
tinggi. Pendapatan peneroka meningkat tetapi pendapatan anak peneroka
meningkat lebih lagi dengan tenaga mereka sendiri selepas diberi asas dan
peluang oleh Kerajaan. Di samping itu, dengan pengeluaran getah, kelapa
sawit, minyak serta lain-lain, negara dapat menambah pendapatan yang boleh
digunakan untuk menolong orang lain pula yang belum mendapat
pertolongan. Sebaliknya, jika orang yang tidak memiliki tanah diberi elaun
atau 'dole' kerana tidak ada pendapatan, masyarakat dan negara akan
menanggung beban yang akan meningkat sepanjang masa.

33. Proses agihan kekayaan tidak berhenti dengan usaha ini sahaja. Untuk
menentukan rakyat Malaysia menikmati kekayaan negara, Kerajaan dan pihak
swasta telah membeli balik beberapa perusahaan yang dimiliki oleh orang
asing. Permodalan Nasional Berhad adalah di antara beberapa agensi yang
telah berjaya membawa balik syarikat-syarikat gergasi dalam bidang
perlombongan, estet, kewangan dan lain-lain.

34. Kerajaan telah menetapkan bahawa syarikat-syarikat milik Kerajaan akan
dibahagikan kepada sebanyak-banyak rakyat yang berminat. Dengan penubuhan
Amanah Saham Nasional, setiap orang rakyat bumiputera yang mempunyai $10/-
boleh memiliki saham dalam syarikat-syarikat yang menggunakan modal
Kerajaan. ASN sudah menjadi 'Unit Trust' yang terbesar di dunia dari segi
bilangan pemegang saham, dengan jumlah 1.4 juta semuanya. Hingga kini
pelaburan oleh mereka sudah meningkat kepada $985.1 juta.

35. Tetapi pemilikan saham secara pasif, walaupun adil dari segi
pembahagian kekayaan negara, tidak akan meningkatkan kecekapan pengurusan
atau bilangan pengurus bumiputera. Oleh itu, adalah penting bagi Kerajaan
menolong bumiputera yang berminat berniaga sendiri, dan mengambil alih
beberapa syarikat asing. Sebenarnya, satu daripada kelemahan negara kita
ialah kurangnya pengurus yang cekap. Oleh sebab itu Universiti Keenam
diberi tugas khas melatih bakal pengurus, terutama daripada kalangan
bumiputera.

36. Kita percaya, dengan tindakan-tindakan yang telah disebut di sini dan
juga lain-lain tindakan, masyarakat dan negara akan maju dengan lebih
pesat lagi, dan akan memperolehi kekayaan, yang boleh diagih dengan adil
untuk mengurangkan kemiskinan. Tidak sepatutnya ada kemiskinan di Malaysia
di waktu ini, jika kita semua sanggup bekerja kuat dan tidak meminta
bermacam syarat sebelum bekerja.

Tuan Yang di-Pertua, 

37. Peranan Kerajaan di dalam pembangunan sesebuah negara ialah untuk
menyediakan asas-asas yang kukuh supaya satu struktur ekonomi yang
progresif dan stabil akan wujud. Atas kesedaran ini, Kerajaan telah
membelanjakan kira-kira $40,400 juta dalam tempoh tiga tahun pertama
Rancangan Malaysia Keempat dan ini merupakan 94.4% daripada peruntukan
lima tahun. Perbelanjaan yang besar ini adalah bagi mengatasi kesan
daripada kemelesetan ekonomi dunia seperti yang telah saya sebutkan
tadi. Saya tidaklah bercadang untuk menyentuh kemajuan daripada
usaha-usaha tersebut secara terperinci. Memadailah bagi saya menyatakan di
sini bahawa negara kini mempunyai satu sistem infrastruktur yang lebih
baik, asas ekonomi yang lebih kukuh dan mutu kehidupan yang lebih tinggi.

Tuan Yang di-Pertua, 

38. Sekarang saya ingin pula meninjau prospek bagi tempoh 1984-85. Prospek
bagi tempoh ini menunjukkan bahawa negara akan mencapai pertumbuhan
ekonomi yang menggalakkan, iaitu 6.7% setahun. Dalam Ucapan Belanjawan
Menteri Kewangan tahun 1984 di Dewan ini pada bulan Oktober yang lalu,
Kerajaan telah meramalkan bahawa pertumbuhan ekonomi negara bagi tahun
1984 ialah pada kadar 6%. Kadar pertumbuhan yang terbaru sebanyak 6.7% ini
adalah lebih tinggi kerana ramalan ini telah mengambilkira
perkembangan-perkembangan terbaru. Ramalan ini juga berdasarkan
pertumbuhan antara 3 hingga 3.5% bagi negara-negara perindustrian. Dari
segi keluaran, sektor pertanian, perlombongan dan pembuatan akan menjadi
bertambah baik, manakala sektor-sektor lain pula akan berkembang dengan
sederhana. Bagi sektor pertanian, perkembangan keluaran akan bergantung
kepada kelapa sawit, manakala bagi sektor perlombongan, sumber pertumbuhan
adalah daripada gas asli.

39. Peranan sektor awam dalam pertumbuhan ekonomi bagi dua tahun ke
hadapan akan dikurangkan memandangkan bahawa penglibatan Kerajaan pada
masa ini adalah terlalu luas. Bagi tempoh 1981-83, perbelanjaan sektor
awam kepada jumlah perbelanjaan negara telah mencapai 33.4%. Di samping
itu, Kerajaan juga perlu menyusun semula peranannya bagi memperbaiki
jurang antara sumber kewangan dengan perbelanjaan. Selaras dengan ini,
perbelanjaan pembangunan sektor awam bagi tempoh 1984-85 adalah berjumlah
$19,200 juta. Jumlah ini, secara purata tahunan, adalah 29% lebih rendah
daripada yang dibelanjakan dalam tempoh 1981-83. Walau bagaimanapun, usaha
mengurangkan perbelanjaan telah dijalankan dengan berhati-hati bagi
mempastikan pertumbuhan yang berterusan dalam jangka panjang serta
mengelakkan kesan yang tidak diingini ke atas perlaksanaan program-program
pembangunan, khususnya yang memberi sumbangan kepada pencapaian objektif
Dasar Ekonomi Baru.

40. Daripada jumlah $19,200 juta ini, sumbangan Kerajaan Persekutuan
adalah sebanyak $15,400 juta. Daripada jumlah tersebut, $3,065 juta atau
19.9% adalah bagi projek-projek pertanian dan pembangunan luar bandar,
$1,399 juta atau 9.1% bagi perdagangan dan perindustrian, $3,732 juta atau
24.2% bagi pengangkutan dan perhubungan dan $2,081 juta atau 13.5% bagi
kemudahan awam dan tenaga. Sektor-sektor sosial dan keselamatan pula
masing-masingnya diperuntukkan sebanyak $2,787 juta atau 18.1% dan $2,007
juta atau 13% daripada perbelanjaan pembangunan Kerajaan Persekutuan.

41. Pertumbuhan ekonomi di masa hadapan, sebahagian besarnya, akan
bergantung kepada kegiatan sektor swasta. Pelaburan dalam sektor berkenaan
di jangka berkembang pada kadar 11.5% setahun iaitu sebanyak $3,219 juta
bagi tempoh 1984-85. Dengan perkembangan ini sektor swasta akan
menyumbangkan kira-kira 67% daripada jumlah tambahan pelaburan negara
berbanding dengan 60% bagi tempoh 1981-83. Strategi utama bagi penglibatan
sektor swasta yang lebih besar ialah melalui dasar penswastaan. Strategi
ini akan juga menjamin beban kewangan Kerajaan dikurangkan, dan pada masa
yang sama, mutu perkhidmatan akan dipertingkatkan. Bagaimanapun, suka saya
memberi jaminan di sini, bahawa penswastaan akan dilaksanakan sejajar
dengan Dasar Ekonomi Baru. Malah saya percaya strategi ini akan
menambahkan lagi peluang bumiputera dari segi hakmilik, pekerjaan dan
peluang-peluang perniagaan. Pendapatan kakitangan
perkhidmatan-perkhidmatan Kerajaan yang akan diswastakan tidak akan
terjejas kerana penswastaan.

Tuan Yang di-Pertua, 

42. Pengalaman daripada kemelesetan ekonomi telah memberi faedah kepada
kita kerana ianya telah menambahkan lagi keupayaan kita untuk menghadapi
masa hadapan yang penuh dengan cabaran. Tetapi, yang paling utama, ialah
ianya telah mendedahkan kita kepada beberapa kelemahan di dalam struktur
ekonomi negara. Oleh yang demikian, kita tidak boleh berpuas hati dengan
pencapaian di masa lalu kerana apa yang penting kepada negara ini dan juga
kehidupan kita ialah matlamat untuk mencapai pertumbuhan ekonomi yang
berterusan, di samping membentuk corak pembahagian yang saksama.

Berasaskan ini, Kajian Separuh Penggal yang dibentangkan di Dewan yang
mulia ini, adalah berbeza daripada Kajian-Kajian terdahulu. Ianya bukan
sahaja merupakan satu dokumen yang merakamkan pencapaian dan prospek,
tetapi juga yang mengandungi garis panduan bagi penerapan nilai-nilai baru
dan strategi pelaksanaan yang lebih bersesuaian dengan kehendak semasa.

43. Kajian Separuh Penggal ini cuba mengemukakan satu arah baru di dalam
struktur pembangunan ekonomi negara. Pada kebiasaannya, kita mendapati
bahawa kemajuan ekonomi selalu dikaitkan dengan peningkatan jumlah
keluaran dan pendapatan. Kita sering lupa bahawa pembangunan juga
menekankan penggunaan sumber-sumber negara yang terhad secara
optimum. Oleh yang demikian, rakyat Malaysia perlu meninggikan pengetahuan
dan mengumpul pengalaman yang berfaedah dan sesuai daripada negara-negara
lain. Dalam hal ini, Dasar Pandang Ke Timur telah diperkenalkan oleh
Kerajaan, dan dasar ini mengandungi beberapa sikap dan nilai yang perlu
kita amalkan. Sikap dan nilai-nilai ini juga merangkumi aspek-aspek
peribadi dan cara hidup yang akan membantu kita dalam menghadapi cabaran
untuk maju. Malah dari sinilah lahirnya semangat untuk bekerja kuat,
berdedikasi dan berdikari. Unsur-unsur ini juga bertujuan untuk melahirkan
konsep Bersih, Cekap dan Amanah dan mengukuhkan Kepimpinan Melalui
Teladan. Semua nilai dan sikap yang perlu kita amalkan adalah secucuk dan
menjadi sebahagian daripada nilai-nilai Islam yang akan diserapkan oleh
pentadbiran negara.

44. Strategi pembangunan akan juga diarahkan bagi membina satu kerjasama
erat antara sektor awam dan swasta supaya sumber-sumber ekonomi, termasuk
keupayaan tenaga manusia, dapat digunakan dengan sebaik-baiknya. Sejajar
dengan falsafah ini, Kerajaan telah mengemukakan konsep Persyarikatan
Malaysia supaya dengan itu dapat diwujudkan satu semangat kerjasama antara
sektor awam dan swasta yang akan melicinkan proses pembangunan
negara. Dalam melaksanakan konsep ini, pendekatan dan aturcara kerja
memerlukan beberapa perubahan. Agensi-agensi Kerajaan perlu lebih
mengetahui keperluan dan masalah sektor swasta, sementara sektor swasta
pula perlu memahami hasrat dan cita-cita Kerajaan. Sehubungan dengan ini,
beberapa bidang kerjasama sedang dikenalpasti untuk dilaksanakan.

Tuan Yang di-Pertua, 

45. Usaha pembasmian kemiskinan akan terus menjadi satu daripada dua
matlamat penting pembangunan negara.

46. Semenjak Malaysia merdeka, pembangunan luar bandar telah diberi
perhatian khusus oleh Kerajaan. Di sini, luar bandar tidak bermakna
keadaan fisikal atau 'geographical' tetapi bermakna kawasan-kawasan yang
diduduki oleh petani dan nelayan yang miskin. Kawasan-kawasan estet besar
dan kawasan lombong yang dimiliki oleh orang-orang dan syarikat-syarikat
yang kaya, walaupun berada di luar kawasan bandar, tidak ditakrif sebagai
kawasan luar bandar dari segi perancangan dan program pembangunan
negara. Namun demikian perhatian diberi juga kepada kampung-kampung baru
dan kampung untuk buruh estet.

47. Dengan perkataan lain, pembangunan luar bandar bermakna pembangunan
masyarakat desa yang miskin. Pembangunan ini merupakan satu usaha agihan
kekayaan dari bandar dan daripada yang kaya, kepada desa dan yang
miskin. Berpuluh ribu juta ringgit telah dibelanjakan untuk maksud ini dan
berpuluh ribu juta ringgit lagi akan dibelanjakan dalam
rancangan-rancangan yang akan datang. Di antara projek yang terbesar ialah
Rancangan Perairan Muda dan Kada, Jengka Tiga Segi, Pahang Tenggara, Johor
Tenggara, rancangan-rancangan FELDA dan RISDA, KEDA, pengkalan-pengkalan
nelayan di pantai timur dan barat, rancangan air dan letrik luar bandar,
jalan-jalan kampung, klinik dan sekolah desa, subsidi padi, subsidi
nelayan, dan seribu satu lagi projek dan bantuan yang dianggap penting dan
mampu dibiayai oleh negara. Cuma mereka yang buta hati sahaja yang tidak
dapat melihat usaha-usaha untuk membangunkan masyarakat desa. Seperti kata
peribahasa, "Tidak ada orang yang lebih buta daripada yang celek tetapi
tidak mahu melihat".

48. Bagi Kerajaan, kita berhak berbangga dengan dasar, pelaksanaan dan
pencapaian pembangunan luar bandar. Kita sudah pun menjadi contoh dan
teladan kepada negara-negara membangun yang lain dan kepada agensi-agensi
antarabangsa dalam pembangunan ini. Tetapi, Kerajaan tidak suka mendabek
dada dan berpuas hati dengan pencapaian kita ini. Kerajaan tidak berhenti
mengkaji dan mencari jalan dan usaha lain untuk mempertingkatkan lagi
pembangunan desa.

49. Dalam semakan setengah penggal Rancangan Malaysia Keempat, satu kajian
yang mendalam telah dibuat dan kita telah bersetuju untuk menerima satu
pendekatan baru.

50. Sebenarnya di zaman moden ini kita tidak lagi boleh menerima sistem
'peasantry' atau sistem di mana petani cuba menampung sara hidup dengan
memiliki dan mengerjakan sekeping tanah sebesar kangkang kera. Walau apa
pun bantuan diberi, hasil daripada tanah milik yang kecil ini tidak
mungkin menampung kehidupan petani.

51. Para intelektual kita yang bijaksana sering mencadang pembahagian
tanah yang kononnya dimiliki oleh 'absentee landlord', iaitu tuan tanah
yang tinggal di bandar dan menyewakan tanah mereka kepada petani yang
miskin. Para intelektual ini sebenarnya ahli teori yang terpengaruh dengan
pendapat Barat bahawa punca kemiskinan petani ialah 'absentee
landlord'. Perkara ini mungkin benar di Mesir, Pakistan dan Iran di zaman
dahulu. Di Malaysia 'absentee landlord' ini ialah mereka yang mewarisi
tanah-tanah yang terlalu kecil melalui sistem faraid Islam. Tanah yang
mereka miliki sekarang ialah sebahagian daripada tanah yang sudahpun
kecil. Dan kebanyakan mereka ini terdiri daripada anggota polis pangkat
rendah, kerani, pelayan pejabat yang bekerja di bandar kerana tidak
mungkin mereka mencari nafkah daripada bahagian tanah keluarga yang
dimiliki oleh mereka. Sebenarnya tidak ada 'zamindar' yang kaya yang
memiliki ribuan ekar tanah padi atau kebun yang disewakan kepada petani
miskin.

52. Sebagai contoh lihat Kawasan Perairan Muda, kawasan yang terbesar
sekali untuk pesawah di Malaysia. Kawasan ini ialah seluas 129,651 hektar
dan penduduknya hari ini ialah kira-kira 336,000 orang. Jika tanah dalam
kawasan ini dibahagi secara sama rata, maka setiap orang akan memiliki dan
mengerjakan kira-kira 0.386 hektar. Ini bermakna kita akan menjadikan
semua petani MADA orang yang miskin. Dan anak cucu mereka akan menjadi
lebih miskin lagi.

53. Sepatutnya kita hentikan penanaman padi dan kita import beras yang
lebih murah dari negara-negara lain. Tetapi ini adalah merbahaya kerana
jika ada kecemasan, kita tidak akan mempunyai apa-apa makanan. Kita
mestilah mengeluarkan padi sendiri. Soalnya, apakah kita perlu menjadikan
pesawah mangsa kepentingan strategi makanan negara? 54. Kerajaan
berpendapat bahawa kita tidak perlu menjadikan penanam padi dan
orang-orang di desa sebagai mangsa. Tetapi untuk memelihara mereka
daripada nasib yang buruk ini, mereka mestilah sanggup menukar, secara
beransur-ansur, cara hidup dan pergantungan mereka kepada pengeluaran
padi.

55. Di Malaysia, kita telah lihat bagaimana estet getah dan kelapa sawit
memberi lebih banyak hasil daripada satu ekar berbanding dengan hasil
kebun pekebun kecil. Sebabnya ialah estet diurus dengan cara yang lebih
efisien. Apakah penanaman padi secara estet besar boleh menjadi lebih
efisien atau tidak? Kerajaan percaya ianya boleh menjadi lebih efisien.

56. Selain daripada itu, kehidupan di kampung, walaupun mencerminkan
kebudayaan desa kita, dan amat cantik jika dilukis dengan pohon kelapa dan
bulan purnama untuk kad hari raya, tetapi hakikatnya ialah kehidupan di
kampung tradisi adalah sukar dan kos penyediaan kemudahan seperti bekalan
air, api, jalan, klinik kesihatan, sekolah dan lain-lain adalah tinggi dan
menghalang perusahaan yang boleh memberi pendapatan yang bertambah kepada
penduduknya.

57. Memandang kepada hakikat ini dan kepentingan petani di luar bandar,
maka Kerajaan berpendapat bahawa pendekatan yang bijak dan lebih
menguntungkan petani dan negara ialah dengan mengadakan program pertanian
berkelompok dan pengumpulan kampung-kampung yang berdekatan untuk
dijadikan bandar kecil.

58. Pesawah, umpamanya, akan mencantumkan tanah mereka yang sebelah
menyebelah untuk menjadi estet padi. Pengurus-pengurus estet akan dilatih
oleh Kerajaan dan dibayar gaji oleh koperasi pemilik
tanah. Jentera-jentera juga akan dimiliki oleh koperasi estet. Pemilik
tanah akan mendapat saham dalam estet mengikut saiz tanah mereka sebagai
peratusan daripada saiz estet. Hak milik serta geran mereka akan kekal
sebagai hak mereka dan zuriat mereka. Saham mereka juga boleh diniagakan
sama seperti geran dan akan tertakluk kepada syarat asal
geran. Misalannya, jika tanah itu adalah simpanan Melayu, saham juga akan
tertakluk kepada syarat-syarat simpanan Melayu.

59. Sementara sawah mereka disatukan dan diurus sebagai estet, peserta
sesuatu skim akan ditempatkan semula dalam satu kawasan yang sesuai dalam
estet itu. Oleh kerana rumah-rumah yang akan dibina akan mengikut pelan
yang tertib, tanah untuk bandar kecil yang akan diwujudkan tidak akan
dibazirkan. Dengan perkataan lain, lebih banyak tanah peserta boleh diguna
untuk ladang atau kepentingan lain yang berhasil daripada jumlah keluasan
kampung-kampung yang dicantumkan.

60. Bandar-bandar ini akan dibekal dengan kemudahan air, letrik, jalan dan
lain-lain. Sekolah dan klinik akan diadakan mengikut keperluan. Begitu
juga kedai-kedai akan diadakan.

61. Selain daripada kedai-kedai yang boleh menjadi punca pendapatan kepada
yang ingin berniaga, industri kecil yang sesuai dengan sumber alam
tempatan dan lain-lain faktor akan dikenalpasti. Pesawah yang tidak
bekerja di sawah atau yang mempunyai masa lapang boleh bekerja secara
tertib di kilang-kilang yang mungkin dimiliki sepenuhnya atau separuh oleh
koperasi pesawah. Pendapatan penduduk bandar kecil akan bertambah melalui
gaji serta keuntungan koperasi. Percubaan yang sudah dan sedang dijalankan
menunjukkan bagaimana pendapatan daripada industri kecil kerap melebihi
pendapatan sebagai pesawah.

62. Rancangan ini bukanlah untuk pesawah sahaja. Nelayan, pekebun kecil
dan orang-orang yang tidak memiliki tanah sama sekali, boleh juga
menyertai rancangan ini. Pembangunan akan disesuaikan dengan keadaan
tempat, latarbelakang dan kemampuan golongan-golongan yang terlibat.

63. Masalah dan halangan terhadap skim ini akan tetap dialami. Penduduk
desa sendiri mungkin akan menentang penyatuan tanah mereka dan penempatan
semula mereka di bandar-bandar kecil yang dirancangkan. Daripada
pengalaman yang didapati di Kedah dan Kelantan, dan beberapa negeri lain,
kecurigaan dan tentangan mereka boleh diatasi melalui penerangan yang
jelas dan pelaksanaan yang berhati-hati.

64. Yang akan menjadi masalah besar ialah percubaan ahli politik dan
orang-orang yang ingin menjadi jaguh, untuk menjadikan usaha baik Kerajaan
ini sebagai satu isu. Di waktu Rancangan Perairan Muda dilaksanakan,
orang-orang jenis ini telah muncul untuk kononnya mempertahankan hak
petani. Di antara hujah yang disebarkan oleh mereka berkenaan dengan MADA
ialah "Petani akan mati kerana terpaksa kerja sepanjang tahun", "Kain
mereka tidak akan kering kerana bekerja dalam sawah sepanjang masa",
"Tanah akan menangis kerana tidak dapat rehat", "Penanaman padi dua kali
setahun adalah bercanggah dengan kehendak Tuhan", "Harga padi akan turun
kerana terlalu banyak padi", dan bermacam lagi hujah yang ganjil.

65. Tetapi, hari ini orang yang sama, setelah melihat pendapatan petani
MADA bertambah, telah mengecam Kerajaan kerana kononnya tidak adil. Mereka
mendakwa ada tempat-tempat yang tidak mendapat air dari Ampangan Muda, dan
tidak dapat tanam dua kali setahun. Pendapatan petani di luar kawasan MADA
dikatakan rendah oleh kerana kesilapan Kerajaan.

66. Waris orang-orang yang sama, serta satu golongan cerdik-pandai
tertentu, sudah tentu akan menjadikan rancangan penyusunan semula penduduk
luar bandar ini sebagai sasaran mereka. Sudah tentu ada orang yang akan
berkata sekim ini bermakna akan hilanglah kecantikan kampung Melayu, dan
akan hilanglah kebudayaan asli. Mereka akan mengecam oleh kerana tuan
tanah kononnya dijadikan pekerja bergaji, rancangan tidak ekonomik,
merugikan dan bermacam-macam lagi tohmahan yang mana fikiran normal tidak
dapat menciptakannya tetapi mereka boleh ciptakan. Sudah tentu hadis dan
firman akan dicari, dikerat-keratkan, disalah tafsir dan dilempar bagi
menggagalkan usaha baik ini, semata-mata kerana ingin menonjol kecerdikan
atau kerana kepentingan politik.

67. Tidak cukup dengan memburukkan rancangan ini, saya yakin mereka akan
menghasut penduduk desa sendiri supaya membangkang dan menghalang projek
ini.

68. Saya ingin tegaskan di sini bahawa Kerajaan akan terus berusaha untuk
menjayakan rancangan memulih keadaan di desa dan penduduk
desa. Pegawai-pegawai akan diberi taklimat kebahagiaan masyarakat
desa. Saya yakin skim ini adalah langkah yang penting dan utama yang akan
membawa petani dan nelayan dari abad ke sembilan belas ke abad dua puluh,
serta menyediakan mereka untuk menghadapi cabaran abad kedua puluh satu.

69. Inilah satu daripada usaha baru Kerajaan ke arah pembasmian kemiskinan
khususnya di desa.

Tuan Yang di-Pertua, 

70. Dalam usaha memesatkan lagi pembangunan wilayah, Kerajaan akan
mengemukakan beberapa pendekatan baru dalam strategi yang akan
dijalankan. Peranan dan sumbangan sektor swasta akan diambilkira
sepenuhnya dalam proses pembangunan negara, terutamanya pembangunan
industri. Perancangan pembangunan yang selama ini berasaskan kepada
sempadan negeri, akan disusun semula supaya menekankan konsep pembangunan
wilayah yang lebih menyeluruh. Pendekatan perancangan yang sedemikian akan
dapat memberi faedah yang optimum kepada setiap negeri di samping
mengurangkan persaingan yang kurang sihat antara negeri yang berjiran.

71. Sebagaimana Ahli-ahli Yang Berhormat sedia maklum, Malaysia yang
luasnya 334,000 kilometer persegi mempunyai jumlah penduduk seramai 14.8
juta. Berbanding dengan Britain yang luasnya 245,000 kilometer persegi
dengan 55 juta orang penduduk, dan Filipina dengan 300,000 kilometer
persegi dan 45 juta orang, dan lain-lain negara maju dan membangun,
bilangan penduduk Malaysia adalah kecil. Bilangan yang besar tidak
bermakna kemewahan, tetapi bilangan yang terlalu kecil membawa banyak
masalah. Di antaranya ialah pasaran dalam negeri adalah terlalu kecil
untuk menampung 'mass consumption industry'. Memandang kepada inilah maka
Kerajaan telah menentukan bahawa Malaysia harus mempunyai jumlah penduduk
seramai 70 juta akhirnya.

72. Matlamat ini bukanlah tidak bersyarat. Penduduk yang ramai tidak akan
membawa kebahagiaan melainkan mereka rajin bekerja dan berdisiplin. Oleh
itu, dari sekarang lagi sifat-sifat yang baik termasuk kerajinan dan
disiplin mestilah dipupuk di kalangan semua penduduk, terutama generasi
baru. Teladan yang baik mesti ditunjuk oleh ibu bapa, guru-guru dan
ahli-ahli politik juga. Insya-Allah, dengan bilangan penduduk yang besar,
berdisiplin dan rajin, Malaysia akan menjadi sebuah negara yang berjaya
dan dihormati oleh semua.

73. Kita telah maju setapak lagi dalam usaha memperkukuhkan sektor
perindustrian negara. Daripada struktur industri yang menumpukan kepada
perusahaan gantian import barang-barang pengguna, kita kini telah memasuki
era baru di mana tumpuan telah diberikan kepada pembangunan industri
gantian import peringkat kedua dan industri berat. Dengan tertubuhnya
industri-industri berat, berbagai faedah sampingan atau rantaian akan
dihasilkan terutamanya dari segi mengguna sumber-sumber asli negara dan
menyediakan asas untuk memajukan teknologi tempatan. Industri-industri
berat ini, selain daripada menjimatkan pertukaran wang asing akan juga
menyediakan peluang untuk menambahkan kemahiran yang boleh digunakan dalam
industri-industri lain di samping memberi peluang mempelajari cara-cara
mengurus perusahaan-perusahaan perindustrian besar. Ini akan secara
langsung meluaskan lagi asas ekonomi negara. Di samping itu galakan
istimewa akan diberi kepada industri kecil. Kerajaan sendiri akan
mengenalpasti dan menyediakan kajian kemungkinan atau 'feasibility
studies', di mana perlu, supaya penduduk luar bandar akan dapat menyertai
perkembangan perindustrian.

74. Dari sudut perancangan pula, satu Pelan Induk Perindustrian yang
menyeluruh sedang dirangka. Secara khusus, ianya akan mempastikan
terbentuknya rantaian yang lebih lengkap antara sektor, penggunaan sumber
yang optimum dan pertumbuhan perindustrian yang lebih sejajar antara
kawasan.

75. Di sini perlu ditegaskan sekali lagi bahawa jaya atau tidaknya
strategi dan pelaksanaan rancangan perindustrian tidaklah bergantung
semata-mata kepada dasar, modal dan teknologi. Lebih penting daripada tiga
asas ini ialah kecekapan pengurusan dan minat serta kesanggupan bekerja.

76. Negara-negara yang sekarang sudah maju dalam bidang industri telah
membuat pengorbanan yang banyak sebelum berjaya. Pekerja mereka bekerja
kuat dan tidak mengutamakan kepentingan diri. Cuma apabila mereka maju
sahaja barulah fikiran ditumpukan kepada nikmat yang lebih untuk diri
sendiri.

77. Rancangan perindustrian Malaysia akan gagal jika awal-awal lagi
bermacam-macam tuntutan dan ugutan dibuat oleh kakitangan. Kita tidak
ingin pekerja diperhambakan, tetapi pekerja pula tidak harus mengguna
kuasa mogok dan sebagainya dengan tidak memikir kesan jangka panjang. Jika
rancangan perindustrian kita gagal, bukan sahaja syarikat yang terlibat
yang akan rugi, tetapi pekerja sendiri akan rugi. Dan seterusnya semua
rakyat akan rugi dan Malaysia akan terus dijajah dari segi ekonomi.

78. Dalam industri baru, cuma 'in-house union' sahaja patut
diadakan. Mereka yang berminat untuk mengguna tindakan perusahaan sebagai
asas kuasa bagi diri sendiri tidak ada tempat. Malaysia, sebagai negara
yang membangun, tidak mampu mengamal cara dan permainan negara yang
maju. Jika ekonomi negara yang sudah maju pun boleh runtuh kerana tindakan
perusahaan yang tidak bertanggungjawab, apatah lagi negara membangun
seperti Malaysia. Berkorbanlah dahulu. Kebahagiaan akan datang kemudian.

Tuan Yang di-Pertua,

79. Kekuatan kita sebagai sebuah negara yang merdeka telah teruji dalam
saat-saat kita menghadapi kemelesetan ekonomi.

Kita masih mampu untuk mencatatkan kemajuan dan ini adalah hasil daripada
semangat dan ketekunan bekerja. Walaupun telah ada tanda-tanda bahawa
kemelesetan akan berakhir, ini tidaklah bermakna yang kita sudah boleh
berpeluk tubuh dan menuntut itu dan ini. Kita kini memasuki satu era
baru. Kekuatan ekonomi kita akan bergantung sepenuhnya kepada peningkatan
daya pengeluaran dan keupayaan untuk bertanding dengan negara-negara
lain. Saya berpendapat bahawa satu-satunya harta yang paling bernilai bagi
negara ini ialah semangat penduduknya untuk berjaya dan kesungguhan
bekerja. Marilah kita sama-sama menyambut cabaran zaman dan bekerja dengan
lebih gigih bagi mempastikan kemajuan yang lebih besar. Semoga Allah
Subhanahu Wataala memberkati usaha-usaha kita dan meneguhkan semangat kita
untuk menghadapi segala ujian.

Tuan Yang di-Pertua, saya mohon mencadangkan. 
 



 


 











 
Google