home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	IBU PEJABAT PERNAS JALAN RAJA LAUT, 
			KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	06/04/84 
Tajuk/Title  	: 	UPACARA PEMBUKAAN RASMI BANGUNAN 
			IBU PEJABAT PERNAS 




  Saya bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan berkat
dan limpah kurniaNya dapat kita bersama-sama hadir di upacara perasmian
pembukaan Bangunan Ibu Pejabat PERNAS ini. Saya terlebih dahulu ingin
mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Pengerusi serta Lembaga Pengarah
Pernas kerana memberi penghormatan kepada saya untuk merasmikan pembukaan
Bangunan ini.

2. PERNAS adalah salah sebuah agensi yang telah ditubuhkan bagi pencapaian
matlamat Dasar Ekonomi Baru Kerajaan. Kini PERNAS telahpun berusia lima
belas tahun. Dari mulanya PERNAS telah melibatkan diri dalam lapangan
perniagaan, insuran, pembinaan dan perlombongan. Kini agensi ini telahpun
mempelbagaikan kegiatannya dalam berbagai bidang yang lain, termasuk hotel
dan pembangunan, perladangan, kewangan, perkapalan, kejuruteraan dan
telekomunikasi. Setakat ini, PERNAS terlibat dalam seratus buah syarikat
di negara ini.

3. Kepada pelabur-pelabur asing pula, PERNAS merupakan rakan usahasama
yang telah menunjukkan perkembangan dan keupayaan sebagai salah sebuah
'conglomerate' yang terbesar di negara ini yang kini telahpun mempunyai
harta yang bernilai hampir dua ribu juta ringgit. Bahawa PERNAS telah
berjaya, dapat diukur daripada bilangan syarikat miliknya yang telah
dipindahkan kepada Permodalan Nasional Berhad. Sepertimana kita semua
maklum cuma syarikat-syarikat yang berjaya sahaja yang akan diambil-alih
oleh PNB. Walaupun syarikat-syarikat yang untung ini sudah terlepas dari
tangan PERNAS, PERNAS masih berjaya mendapat keuntungan dari
syarikat-syarikat yang masih dimiliki olehnya.

4. Sekaligus, pemisahan syarikat-syarikat yang baik dari badan-badan
seperti PERNAS adalah tidak adil dan menjadi beban kepada mereka. Tetapi
harus kita ingat bahawa badan-badan perniagaan yang ditubuhkan oleh
Kerajaan bukanlah untuk mencari untung bagi Kerajaan. Badan-badan ini
adalah pemegang amanah bagi rakyat bumiputera keseluruhannya. Kita tidak
boleh memindahkan syarikat-syarikat yang berjaya ini kepada individu
bumiputera atau kumpulan bumiputera yang kecil kerana ini bererti mengguna
wang Kerajaan untuk kepentingan beberapa orang sahaja. Sebab itulah kita
menubuhkan Amanah Saham Nasional supaya keuntungan daripada pelaburan
Kerajaan akan dinikmati oleh seberapa ramai rakyat bumiputera yang
mungkin. Jadi pemindahan syarikat-syarikat yang berjaya kepada PNB dan ASN
adalah memenuhi tujuan penubuhan badan-badan seperti PERNAS, dan mereka
tidak harus berasa kecewa.

5. Saya berharap agensi-agensi awam akan terus berusaha menjayakan
anak-anak syarikat mereka dan menyerahkannya kepada badan-badan yang mana
bumiputera menjadi pemilik saham seperti ASN. Setakat ini, PERNAS telah
berjaya memindahkan ekuiti dan sahamnya dalam sebelas buah syarikat kepada
kaum bumiputera menerusi Permodalan Nasional Berhad. Ini merupakan
bilangan yang terbesar sekali yang telah dipindahkan daripada mana-mana
agensi amanah kepada Permodalan Nasional Berhad. Syarikat-syarikat yang
telah dipindahkan kepada PNB itu adalah syarikat-syarikat yang telah
mencapai tahap keuntungan yang tinggi dan mempunyai masa hadapan yang
cerah. Saya percaya PERNAS berkeupayaan memindahkan ekuiti dan sahamnya
dalam beberapa buah syarikat lain lagi di masa hadapan. Saya mengucapkan
syabas kepada PERNAS kerana jelas di sini bahawa usaha PERNAS memindahkan
hak milik syarikat-syarikat Kerajaan kepada kaum bumiputera sedang
dilaksanakan dengan lancar dan jayanya.

6. Usaha penyerahan syarikat-syarikat Kerajaan ini adalah wajar dari segi
pengagihan kekayaaan negara. Walau bagaimanapun pemilikan ekuiti secara
begini adalah penyertaan bumiputera dalam alam perniagaan dan
perindustrian secara pasif. Pelabur-pelabur bumiputera, melalui ASN dan
kemudahan tabungan yang lain, tidak memainkan peranan yang aktif, tidak
menyertai pengurusan dalam membuat keputusan-keputusan dan
lain-lain. Pelabur-pelabur tidak menanggung risiko dan tidak bersama-sama
dengan naik-turun sesuatu perniagaan itu.

7. Kita akui bahawa tidak semua orang dapat melibatkan diri secara aktif
dalam perniagaan dan perindustrian. Justeru itu saham-saham amanah ini
perlu terus wujud sebagai alat penabungan dan pelaburan. Penabungan adalah
langkah pertama yang penting bagi meningkatkan pelaburan dan penyertaan
ekuiti bumiputera. Oleh kerana ini, Kerajaan akan terus menggalakkan
penabungan. Di samping kita menggalakkan penabungan dan penyertaan ekuiti
oleh bumiputera melalui ASN dan lain-lain kemudahan penabungan, kita
mestilah mempastikan bilangan bumiputera yang aktif secara langsung dalam
perniagaan dan perindustrian terus meningkat. Kita mesti mempastikan
bilangan pengusaha atau 'entrepreneur' bumiputera bertambah dari tahun ke
tahun.

8. Peranan yang boleh disumbangkan oleh badan-badan awam seperti PERNAS
adalah terhad. Sehabis-habisnya badan-badan ini hanya boleh memberi
'exposure' pertama dalam perniagaan. Ini sudah tentu tidak sama dengan
pengalaman yang boleh diperolehi apabila risiko dan pahit-maung dalam
perniagaan ditanggung sendiri. Pengalaman secara langsung sahajalah yang
akan menjadikan pengusaha kita lebih gigih dan tahan lasak atau
'resilient'. Kerajaan, melalui beberapa dasarnya, menggalakkan penyertaan
bumiputera dalam perniagaan dan perindustrian. Sekarang kita mesti
berusaha meningkatkan bilangan pengusaha bumiputera yang berkecimpung
secara aktif dalam lapangan perniagaan dan perindustrian.

9. Di antara perkara yang mendukacitakan bila kita bercakap tentang
pengurus-pengurus bumiputera di sektor swasta ialah gejala bertukar kerja
dari satu institusi perniagaan ke satu institusi perniagaan semata-mata
kerana mengejar gaji yang lebih. Badan-badan perniagaan harus sedar bahawa
pengurus-pengurus seperti ini tidak akan menjadi asset kepada
mereka. Orang seperti ini sampai bila-bila pun tidak akan mempunyai
kesetiaan kepada organisasi -- di kepala mereka cuma terdapat perkiraan
gaji, 'perks' dan lain-lain. Kepada pengurus-pengurus seperti ini, ingin
saya sebutkan bahawa sikap mereka akan menjejaskan pencapaian bumiputera
keseluruhannya. Mereka harus sedar bahawa sikap sedemikian menjadikan
mereka bahan jual-beli. Dari segi jangka panjang, pengurus-pengurus
bumiputera yang bersikap seperti ini tidak dapat mengumpul pengalaman yang
cukup dalam satu-satu sektor atau jenis perniagaan atau
perindustrian. Sikap seperti ini akan merugikan bumiputera juga
akhirnya. Saya berharap pengurus-pengurus bumiputera akan lebih
mementingkan keuntungan jangka panjang, iaitu mengumpul seberapa banyak
pengalaman dan pengetahuan dalam satu-satu bidang perniagaan dan
perindustrian. Selepas itu mereka perlu mengenal-pasti jenis perniagaan
yang betul-betul secocok dengan pengalaman dan kepakaran mereka dan mereka
boleh melabur tenaga, fikiran dan modal di dalamnya. Insya-Allah mereka
mungkin lebih berjaya. Kepada eksekutif yang khuatir mereka terlepas
peluang, ingin saya tegaskan bahawa bagi yang berpengalaman dan cekap,
peluang ada bila-bila masa sahaja. Sebenarnya, di waktu ini pun terdapat
beribu peluang perniagaan dan beribu lagi akan menjelma sepanjang
masa. Oleh itu janganlah khuatir. Bila sahaja anda sudah cukup bersedia,
anda boleh rebut salah satu daripada beribu peluang yang terbuka kepada
anda.

10. Sebagaimana juga keadaannya dengan syarikat-syarikat di sektor swasta,
agensi seperti PERNAS ini wujud dalam suasana dan keadaan sekeliling yang
sentiasa berubah. Dalam keadaan kemelesetan ekonomi yang telah dan yang
masih kita alami, sudah tentu kita akan menghadapi banyak cabaran dan
persaingan dalam menjalankan aktiviti-aktiviti perniagaan kita. Dalam
keadaan yang sedemikian, amatlah penting bagi semua kakitangan PERNAS
sentiasa sensitif terhadap segala perkembangan, bukan sahaja di sekitar
negara kita, tetapi juga di peringkat antarabangsa untuk menjamin
kebolehan kita untuk terus bertanding dalam dunia perniagaan moden. Di
samping itu, agensi-agensi perniagaan Kerajaan perlulah mengamalkan sikap
'berdikari' dan memupuk pengalaman semua teknik yang boleh meningkatkan
prestasi dalam semua lapangan. Janganlah menunggu dan bergantung kepada
peluang berniaga dengan Kerajaan sahaja. Dan jangan sekali-kali berharap
'business' dari Kerajaan akan datang dengan sendirinya kerana kita adalah
syarikat milik Kerajaan. Syarikat milik Kerajaan pun mesti 'aggresive'
dalam usaha mendapat kontrek-kontrek Kerajaan.

11. Bangunan Ibu pejabat PERNAS ini akan dikenali dengan nama 'Menara Tun
Razak' bagi mengenang jasa-jasa Allahyarham Tun Abdul Razak kepada negara
amnya, dan kepada PERNAS khususnya. Saya ingin merakamkan ucapan terima
kasih kepada Yang Amat Berbahagia Tun Hajjah Rahah serta keluarga, kerana
telah merestui supaya bangunan ini dinamakan 'Menara Tun Razak'.

12. Akhirnya, saya sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada Pengerusi
dan Lembaga Pengarah Pernas, dan dengan sukacitanya membuka 'Menara Tun
Razak' ini dengan rasminya.

Wabillahi taufik walhidayah wassalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh. 
 



 


 











 
Google