home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	PASIR GUDANG, JOHOR 
Tarikh/Date 	: 	21/04/84 
Tajuk/Title  	: 	PERASMIAN KILANG PERSTIMA 




 Yang Berbahagia Dato' Basir Ismail, Pengerusi Lembaga Pengarah
PERSTIMA; Dif-Dif Kehormat; 

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian.

Saya mengucapkan terima kasih kepada Perusahaan Sadur Timah Malaysia atau
PERSTIMA kerana memberi peluang kepada saya untuk merasmikan kilang sadur
timah kepunyaannya. Kilang ini adalah sebuah kilang perusahaan sadur timah
yang pertama di Malaysia.

2. Bijih timah merupakan sumber yang kedua pentingnya bagi negara kita
dari segi eksport dalam dekad pertama kemerdekaan. Tetapi sekarang ini
sumbangan timah kepada kekayaan negara telah menurun ke tempat yang kelima
dari segi nilai eksportnya. Walau bagaimanapun bijih timah masih lagi
penting kepada kekayaan negara dan Kerajaan telah mengambil beberapa
langkah bagi mempastikan harga bijih timah tetap stabil. Antara langkah
yang penting sekali ialah Malaysia telah memainkan peranan utama dalam
menubuhkan Majlis Timah Antarabangsa, atau ITC, dan Pertubuhan
Negara-Negara Pengeluar Timah atau ATPC.

3. Seperkara lagi berkenaan dengan bijih timah ialah kebanyakan
daripadanya telah dieksport tanpa diproses menjadi barangan siap atau
separuh siap terlebih dahulu. Peratus pengeluaran yang diproses dalam
negara adalah sangat kecil. Sebelum tertubuhnya PERSTIMA ini, timah
digunakan dalam negara cuma untuk barangan pewter sahaja. Dengan itu, saya
sungguh berbangga kerana PERSTIMA merupakan perusahaan sadur timah yang
pertama di negara ini yang menggunakan timah sebagai salah satu bahan
untuk 'tin-plate', iaitu bahan untuk membuat 'tin-cans' dan lain-lain.

4. Adalah menjadi satu dasar Kerajaan untuk menggalakkan bahan-bahan
mentah negara ini diproses dalam Malaysia untuk barangan siap dan separuh
siap. Justeru itu kita telah menggalakkan lebih banyak firma-firma atau
perusahaan menggunakan getah, minyak sawit, kayu-kayan, bijih timah dan
lain-lain, supaya digunakan dalam pengeluaran barang buatan di dalam
negeri. Langkah ini bukan sahaja dapat menambah nilai atau 'value added'
kepada bahan-bahan utama itu sebelum dieksport, tetapi juga dapat menambah
peluang pekerjaan serta meningkatkan teknologi dalam negara kita. Sebagai
satu langkah menggalakkan penggunaan timah dalam negeri, Kerajaan telah
menawarkan rebat cukai, atau 'tax rebate', sebanyak $700.00 bagi setiap
tan metrik kepada bijih timah yang digunakan dalam negeri. PERSTIMA
merupakan salah satu syarikat yang mendapat rebat cukai ini. Dengan
galakkan seperti itu, Kerajaan berharap pengusaha-pengusaha tempatan akan
menggunakan lebih banyak bijih timah dalam perusahaan mereka.

5. Menyentuh tentang usahasama, tujuan mengadakannya dengan pemodal asing
ialah supaya modal luar akan mengalir ke dalam negara kita, atau untuk
mendapatkan pasaran eksport atau untuk 'expertise' dan teknologi. Saya
telah menghuraikan dengan panjang lebar baru-baru ini berkenaan dengan
pemindahan teknologi kepada kita. Pemindahan ini bukan 'one-sided' iaitu
pihak yang ada teknologi menyampaikannya sahaja. Supaya pemindahan
benar-benar berlaku, kita sendiri mestilah menyediakan diri, dan mengejar
teknologi yang hendak dipindahkan. Kita mesti menyoal dan mengkaji serta
membuat kerja-kerja sendiri, walaupun kita sudah berpangkat tinggi dan
tidak dikehendaki mengotorkan tangan kita lagi. Jikalau kita tinggal dalam
pejabat dan semua kerja-kerja 'on the shop floor' ditinggalkan kepada
pekerja-pekerja kilang, pekerja mungkin menjadi cekap, tetapi teknologi
tidak akan berpindah kepada kita. Teknologi yang diperolehi dari buku atau
dari kuliah, tidak bermakna sehinggalah ianya diuji dan diamal secara
praktikal 'on the shop floor'. Jurutera yang tidak mahu bersama dengan
pekerja dalam menjalankan segala jentera dan proses dalam kilang, tidak
mungkin menjadi jurutera yang cekap yang boleh diakui sebagai pemilik
teknologi.

6. Satu lagi perkara yang penting berkenaan teknologi ialah ianya tidak
statik. Teknologi yang 'latest' atau 'state of the art' hari ini, akan
menjadi teknologi usang dan kolot dalam beberapa tahun sahaja. Jika kita
menguasai sesuatu teknologi, kita tidak boleh berpuas hati dan berdiam
diri. Selain daripada kita mengikuti perkembangannya, kita sendiri mesti
memikirkan cara-cara untuk memperbaiki lagi teknologi yang kita telah
kuasai. Jika tidak, maka kita akan ketinggalan dalam sekejap masa sahaja
dan tidak akan dapat bersaing dari segi produktiviti dan 'cost
efficiency'. Teknologi dahulu tidak efisien seperti teknologi hari
ini. Tetapi teknologi hari ini tidak akan efisien seperti teknologi masa
depan.

7. Memandangkan kepada hakikat inilah, maka kita semua perlu lebih
aggresif dan lebih cergas dalam kerja-kerja yang kita buat. Kilang seperti
PERSTIMA ini perlu bergerak sebagai satu unit yang berpadu. Pemisahan
antara eksekutif dan bukan eksekutif tidak patut terlalu ketara. Semua
pihak mestilah tahu sedikit sebanyak mengenai semua kegiatan dalam
perusahaan ini. Eksekutif dan jurutera mestilah kerap berada di
'production line', mestilah tahu kerja-kerja yang dijalankan bukan secara
teori tetapi secara praktikal. Pakaian seragam tidak perlu membezakan
antara eksekutif dengan pekerja melainkan di masa-masa tertentu. 'Esprit
de Corp' atau semangat berpasukan atau kekitaan mestilah wujud dalam
kilang. Perasaan bangga dengan kejayaan kilang sendiri hendaklah menjadi
sebahagian daripada peribadi pegawai dan pekerja. Kesetiaan juga mesti
dipupuk. Saya yakin dengan cara ini bukan sahaja kilang ini akan berjaya
tetapi juga semua kakitangannya akan mendapat faedah.

Tuan-tuan dan puan-puan, 

8. Saya telah menyentuh baru-baru ini berkenaan dengan 'in-house union'
bagi industri baru. Mengikut konsep ini, pekerja-pekerja sesebuah syarikat
menubuhkan satu kesatuan sekerja di peringkat syarikat atau kilang itu
sahaja, dan tidaklah seperti yang terdapat sekarang di mana kesatuan
sekerja mewakili pekerja-pekerja dalam satu-satu perusahaan atau industri
yang mungkin mempunyai berpuluh-puluh syarikat atau kilang. Konsep ini
diutarakan kerana bukan semua syarikat dalam satu-satu industri itu sama
besar atau sama kukuh kedudukan kewangannya. Sementara syarikat gergasi
mampu memberi bermacam-macam faedah dan kemudahan, syarikat yang baru dan
yang kecil akan gagal terus jika terpaksa memberi faedah dan kemudahan
yang sama. Jika tuntutan dibuat berasaskan kepada kerja yang sama dan
imbuhan yang sama, maka akan tenggelamlah semua perusahaan yang kecil dan
yang baru. Akibatnya ialah pengangguran pekerja-pekerja sendiri. Negara
pula tidak dapat membangun dengan pesat dan ekonomi akan lembab. Kita
telah merasai kesan kemelesetan ekonomi dan kita tahu betapa ia merugikan
kita semua.

9. Di samping itu kita harus ingat bahawa Malaysia baru sahaja memasuki
bidang perindustrian. Kerana kita tidak mempunyai teknologi dan segala
alat perkilangan untuk industri, kita terpaksa beli dari negara lain, maka
kos industri kita adalah jauh lebih tinggi. Pasaran tempatan pula terlalu
terhad untuk 'economies of scale'.

10. Satu daripada 'comparative advantage' yang ada pada kita ialah 'labour
cost' yang agak rendah. Ianya rendah kerana sara hidup (cost of
living) kita juga rendah. Jika kita tidak memelihara dengan baik
'comparative advantage' kita yang satu ini, maka kita tidak mungkin
mengadakan industri yang ekonomik di negara kita. Dan jika kita tidak ada
industri, pekerja semua akan menganggur.

11. Oleh itu kita perlu berhati-hati tentang penggunaan hak
pekerja. Orang-orang asing dan pengikut-pengikut mereka dalam negara kita,
sering mendesak supaya apa juga yang diamalkan di negara yang sudah maju,
diamalkan juga di negara kita. Bahawa kita tidak ada 'comparative
advantage' negara yang sudah maju, tidak disebutkan. Jika kita terpikat
dengan saranan mereka ini, maka akan gagallah kita dan negara maju akan
terus menjual barang-barang mereka kepada kita. Mereka akan menaikkan lagi
harga, dan pekerja mereka akan mendapat gaji yang lebih tinggi sementara
pekerja kita menganggur.

12. Konsep 'in-house union' diutarakan kerana ia lebih sesuai dengan
negara yang sedang membangun yang baru memasuki bidang
perindustrian. Kerana konsep inilah maka negara Jepun telah berjaya
memecahkan monopoli industri Barat. Akhirnya pekerja Jepun telah mendapat
kehidupan yang lebih bahagia kerana pengorbanan mereka. Demikianlah
untungnya sistem 'in-house union' ini sehingga Jepun meneruskannya
walaupun ia sudah maju. Jika kita juga sanggup berkorban dahulu,
insya-Allah akhirnya pekerja kita akan dapat keuntungan yang bertambah dan
bilangan penganggur akan berkurangan.

13. Kerajaan Malaysia adalah Kerajaan yang dipilih oleh rakyat. Lebih
ramai rakyat yang terdiri daripada petani dan pekerja daripada yang
terdiri daripada golongan majikan. Sudah tentu dasar dan cara yang dipilih
oleh Kerajaan mestilah yang menguntungkan petani dan pekerja yang lebih
ramai. Jika tidak, Kerajaan demokratik tidak mungkin berkuasa. Oleh kerana
itu, apabila Kerajaan mencadangkan sesuatu seperti 'in-house union'
tujuannya bukanlah untuk menguntungkan majikan tetapi adalah untuk pekerja
yang lebih ramai lagi. Malangnya kebanyakan daripada cadangan Kerajaan
tidak boleh mendatangkan keuntungan dengan serta merta. Ini ialah kerana
keuntungan jangka pendek tidak kekal dan akan membawa kecelakaan
kemudiannya. Rancangan yang membawa keuntungan yang lebih baik dan
berkekalan adalah yang memerlukan pengorbanan pada peringkat
awal. Kaedahnya samalah dengan menuntut ilmu. Kita boleh bekerja apabila
sahaja kita lulus SPM umpamanya, tetapi walaupun kita boleh dapat gaji
lebih awal, gaji itu tidaklah tinggi. Sebaliknya jika kita korbankan
beberapa tahun lagi untuk belajar di universiti, kita akan dapat gaji yang
lebih tinggi lagi apabila lulus. Demikianlah juga dengan cadangan Kerajaan
supaya diadakan 'in-house union'. Korban awal ini akan membawa lebih
keuntungan kemudiannya. Jika kita terikut-ikut dengan saranan bahawa kita
cukup kuat untuk mendesak-desak, industri kita tidak akan menjadi
'competitive' dan akhirnya kita sendiri akan rugi walau bagaimana kuat
sekalipun kesatuan kita.

14. Saya sedar bahawa pekerja-pekerja PERSTIMA telah memilih untuk menjadi
ahli MIEU. Kita tidak melarang. Tetapi berhati-hatilah. Kesatuan yang
besar dan kuat memang boleh membuat tuntutan yang lebih menguntungkan
pekerja. Tetapi peluang bekerja wujud kerana adanya kilang. Sebelum kilang
diadakan tidak ada orang yang mengambil berat tentang pendapatan
kita. Cuma Kerajaan sahaja yang berasa bertanggungjawab untuk mewujudkan
peluang-peluang pekerjaan. Janganlah kita membakarkan jambatan setelah
menyeberangi sungai. Masih ramai yang ingin menyeberangi sungai itu.

15. Saya bercakap secara ikhlas. Jika ketenangan terdapat dalam sektor
perusahaan, kita akan maju. Kemajuan yang berkekalan akan membawa faedah
dan keuntugan yang lebih kepada semua rakyat Malaysia, samada pekerja atau
majikan. Jika kita sudah maju kita akan dapat berdiri sama tinggi dan
duduk sama rendah dengan bangsa-bangsa lain.

16. Kejayaanlah yang akan menentukan maruah kita terpelihara -- bukan
kemarahan kita kepada mereka yang menghina kita. Terpulanglah kepada kita
untuk menentukan kita berjaya atau tidak. Kerajaan tidak dapat memaksa
rakyat supaya berjaya. Kerajaan cuma boleh menyediakan peluang-peluang dan
mengadakan rancangan-rancangan. Akhirnya yang akan menjayakan kita atau
tidak, ialah kita sendiri.

17. Malaysia mempunyai potensi yang jelas untuk menjadi negara maju dalam
jangka masa yang tidak begitu panjang. Kita dikurniakan oleh Tuhan dengan
tanah yang subur, iklim yang baik, bijih dan minyak, dan seribu satu
nikmat lagi. Kita tidak didedah kepada gempa bumi, ribut taufan dan
lain-lain bencana yang besar. Jika kita belum menjadi maju kita tidak
boleh salahkan alam sekitar. Kitalah yang salah.

18. Manusia yang waras mestilah membetulkan kesalahannya. Inilah yang
sedang diusahakan oleh Kerajaan. Mudah-mudahan kita akan bersyukur dan
insaf dan kita akan balas nikmat yang dikurniakan oleh Tuhan dengan
menggunakannya secara baik dan berhasil.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian, 

19. Sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada Lembaga Pengarah
PERSTIMA kerana memberi saya peluang berucap dan melakukan perasmian
kilang PERSTIMA ini. Dengan itu, saya dengan sukacitanya membuka kilang
PERSTIMA ini dengan rasminya. 
 



 


 











 
Google