home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : HOTEL HILTON, KUALA LUMPUR Tarikh/Date : 25/08/84 Tajuk/Title : JAMUAN MAKAN MALAM SEMPENA ULANGTAHUN KE-10 PETRONAS Yang Amat Berbahagia Tun Hussein Onn, Penasihat PETRONAS; Yang Berhormat Menteri-Menteri; Yang Berbahagia Tan Sri Raja Mohar, Pengerusi PETRONAS; Yang Berbahagia Tan Sri Abdullah Salleh, Presiden PETRONAS; Dif-Dif Kehormat; Tuan-tuan dan puan-puan. Terlebih dahulu saya mengucapkan terima kasih kepada PETRONAS kerana menjemput saya ke majlis malam ini sempena ulangtahun ke-10 penubuhannya. Dalam majlis yang berbahagia seperti ini wajarlah kita merakamkan kesyukuran kita kepada Ilahi kerana limpah rahmatNya ke atas negara kita ini dengan berbagai-bagai sumber alam yang mana dapat kita timba hasilnya untuk membangunkan negara. 2. Antara sumber alam yang kini memainkan peranan berkesan dalam kehidupan kita sehari-hari ialah petroleum. Kesan sumbangan petroleum dalam segala aspek pembangunan dan ekonomi kita menjadi semakin ketara apabila negara melibatkan diri secara langsung dalam industri itu sejak satu dekad lalu. 3. Di samping itu, dalam tempoh sepuluh tahun ini juga PETRONAS telah bertukar sifatnya daripada sebuah badan yang hanya menyelia tentang pengeluaran petroleum kepada kedudukannya sekarang sebagai sebuah syarikat minyak yang bersepadu penuh atau 'fully-integrated'. Hari ini, PETRONAS terlibat dalam hampir kesemua kegiatan yang seharusnya ada pada industri petroleum iaitu dalam kedua-dua peringkat huluan atau 'upstream' dan hiliran atau 'downstream'. 4. Strategi PETRONAS selama 10 tahun yang lalu adalah tepat dan adalah sesuai dengan nationalisme sebuah negara yang baru muncul. Tetapi keadaan dunia telah berubah dan bersama-samanya berubah juga kedudukan ekonomi dan pembangunan negara kita. Nationalisme dari segi pemilikan perlu disesuaikan dengan pembangunan negara yang pragmatik. Pemilikan semata-mata tidak berfaedah jika hasil tidak seimbang. Oleh itu satu strategi mesti disusun supaya kos pemilikan tidak terlalu tinggi dan tekanan yang lebih diberi kepada hasil yang diperolehi. Jika hasil boleh ditingkatkan dengan usahasama yang berkesan, aspek ini perlu ditimbang dengan waras tanpa 'jingoism'. Negara memerlukan hasil yang tinggi untuk pembangunan dan pembangunan ini lebih utama daripada semata-mata memiliki satu punca kekayaan negara. Seharusnya kita ingat bahawa bukan pemilikan punca kekayaan yang penting, tetapi hasil dari punca itu. Segala cara untuk meningkatkan hasil mestilah diberi perhatian. Hasrat inilah yang perlu diberi pertimbangan dalam pembentukan strategi baru bagi PETRONAS. Tuan-tuan dan puan-puan sekalian, 5. Malaysia kini sudah bersedia untuk memasuki era revolusi perindustrian. Kesediaan ini lahir dari kemajuan yang kita capai sejak beberapa tahun lalu -- dari menjadi pengeksport komoditi tradisi hingga mencapai kedudukan sebagai pengeluar barangan. Kerajaan hari ini telah memasukkan beberapa idea baru untuk memerangsang kegiatan dan pertumbuhan perindustrian negara. Sumber petroleum dan gas negara dapat mempercepatkan lagi proses ini. 6. Dengan penurunan harga minyak dunia dan dengan bekalan yang berlebihan sekarang, PETRONAS perlu mengambil inisiatif mewujudkan suasana baru bagi pelaburan dan kegiatan masa depan negara. PETRONAS mestilah membaharui pemikirannya di samping mengenal-pasti dan mengeksploitasi sepenuhnya peluang-peluang baru. Perancangan dan pemikiran yang kritis mestilah seiring dengan setiap usaha yang baru bagi memastikan negara mencapai matlamat ekonomi yang telah ditetapkan. Peranan yang boleh dimainkan oleh PETRONAS untuk memperkukuhkan lagi kedudukan ekonomi negara ialah dengan meneroka pasaran-pasaran baru di samping meningkatkan jualan minyak mentah di pasaran-pasaran tradisional yang ada. Usaha mencari pasaran ini hendaklah diperluaskan hingga meliputi bukan sahaja negara-negara maju tetapi juga negara-negara dunia ketiga. 7. Sesungguhnya bidang perusahaan petroleum ini amatlah luas. Selain daripada pemasaran minyak mentah dan yang ditapis kegiatan 'upstream' dan 'downstream' amatlah banyak. PETRONAS perlu menentukan sejauh mana ianya ingin memasuki satu-satu bidang petroleum itu. Kita mesti ingat pepatah Melayu: "Ingin hati hendak peluk gunung, tetapi apakan daya tangan tidak sampai". Dalam bidang petroleum, kemampuan PETRONAS perlu diukur dengan keinginannya. Adalah lebih baik jika PETRONAS menghadkan penglibatannya kepada bidang yang ianya mampu sahaja, di mana kemampuan tidak bererti modal sahaja tetapi 'expertise' dan daya pengurusan. Peluang perlu diberi kepada lain-lain badan atau syarikat bagi memasuki kegiatan-kegiatan yang lebih terdaya oleh mereka. Dan di antara pihak lain ini ialah orang perseorangan dan peniaga kecil yang juga ingin mendapat peluang dari sumber minyak negara sendiri. Gejala-gelaja yang kurang sihat mungkin timbul dengan adanya penglibatan orang perseorang dan syarikat lain daripada PETRONAS, tetapi gejala ini boleh dibendung dengan amanah yang memang ada pada PETRONAS. 8. Saya telah pun melantik beberapa orang tokoh dari sektor swasta untuk menganggotai Lembaga Pengarah PETRONAS. Saya yakin langkah tersebut adalah kena pada masanya memandangkan industri petroleum kini merupakan nadi yang menggerakkan kehidupan negara. Tujuan tindakan itu ialah semata-mata bagi meningkatkan lagi kebolehan dan keupayaan Perbadanan ini memandangkan mereka adalah profesional dalam bidang masing-masing dan mempunyai pengalaman pengurusan yang luas. Langkah Kerajaan ini juga ialah selaras dengan usahanya untuk menyusun jentera pentadbiran sektor awam bagi meningkatkan 'check and balance' dalam pengurusan badan-badan perniagaan milik Kerajaan. 9. Di sini saya ingin menegaskan pula bahawa minyak dan gas bukanlah monopoli sesebuah negeri, tetapi ia merupakan hak negara. Soal-soal logistik mungkin memaksa kita menempatkan berbagai industri yang berkaitan dengan petroleum atau 'petroleum related industries' di negeri yang berdekatan dengan telaga minyak. Tetapi sebagai perusahaan milik negara, di mana soal logistik tidak menghalang, penempatan industri-industri yang berkaitan dengan petroleum hendaklah disebar ke negeri-negeri lain yang tidak bernasib baik. Ini adalah sejajar dengan dasar perindustrian negara di mana kita ingin menabur industri ke seluruh negara. Walaupun demikian pertimbangan yang serius mestilah diberi pada 'cost penalty' kerana dasar tersebut. Jika 'cost penalty' melebihi keuntungan sosio-ekonomik, dasar penaburan industri tersebut tidaklah patut diutamakan. 10. Di samping itu, industri petroleum di negara ini ialah satu sektor yang semakin berkembang luas. Dalam hubungan ini, usahawan-usahawan tempatan tidak patut hanya menunggu peluang datang menggolek kepada mereka. Sebaliknya mereka mestilah sentiasa bersedia dari segi kemahiran dan modal agar setiap kali peluang wujud, mereka dapat merebutnya. Penyertaan syarikat-syarikat tempatan akan membolehkan negara ini menjimatkan pengaliran keluar modal, dan dalam waktu yang sama pula, menguntungkan mereka dari segi input teknologi dan kepakaran. 11. Satu perkara yang sering menarik perhatian ialah peranan kontraktor tempatan dalam bidang pembekalan dan pembenaan atau 'supplies and construction'. Kerajaan dan saya yakin PETRONAS juga tidak berniat untuk memberi peluang kontrak ini kepada orang asing. Kita ingin mengutamakan syarikat-syarikat tempatan. Malangnya kerapkali didapati syarikat-syarikat tempatan bukan sahaja tidak ada kepakaran atau 'expertise', tetapi mereka tidak berusaha mendapat 'expertise' yang diperlukan. Perkongsian yang dibuat dengan syarikat asing kerapkali melibatkan individu-individu yang sudah sibuk dengan perniagaan lain dan oleh itu membiarkan rakan perkongsian mereka menjalankan semua kerja. 12. Masanya sudah sampai untuk pengusaha dan kontraktor di Malaysia ini 'specialise' dalam satu-satu bidang. Janganlah cuba memasuki semua bidang dengan harapan jumlah pendapatan yang sedikit dari tiap-tiap satu akan menjadi banyak. Adalah lebih baik mempunyai penglibatan yang bermakna dalam satu bidang supaya pendapatan dari bidang itu mencukupi. Pihak PETRONAS pula hendaklah memberi layanan kepada syarikat-syarikat seperti ini lebih dari syarikat yang mempunyai nama yang terkenal. Dengan cara ini kita akan dapat membina kecekapan dalam bidang-bidang tertentu dengan cara lebih berkesan dan lebih pesat. Sebenarnya dalam bidang 'petroleum based contruction' syarikat-syarikat gergasi antarabangsa adalah 'specialist'. Tuan-tuan dan puan-puan, 13. Negara kita mempunyai simpanan gas yang besar, iaitu kira-kira 50 trillion kaki padu, atau bersamaan kira-kira 8,500 juta tong minyak. Simpanan gas ini hampir sama banyaknya di luar pantai Terengganu dan juga luar pantai Sarawak. Gas asli telah digunakan dengan jayanya di merata-rata tempat di dunia untuk tenaga dan juga lain-lain kegunaan. Tetapi di negara kita gas asli masih memainkan peranan yang agak kecil sebagai sumber tenaga. 14. Memanglah terdapat banyak faktor yang menyekat atau kurang menggalakkan pembangunan gas asli jika dibandingkan dengan pembangunan minyak mentah. Dan antara perkara tersebut ialah risiko yang tinggi memandangkan modal yang amat besar diperlukan dan syarikat-syarikat minyak multinational tidak memberikan keutamaan kepada usaha untuk memelihara dan menggunakan gas asli dalam perancangan kegiatan mereka. Gas asli kerap dibakar sebagai 'waste-product' dalam perusahaan mengeluar minyak. Oleh kerana eksekutif tertinggi PETRONAS sendiri telah menyatakan betapa banyak duit kita yang dibakar tiap-tiap hari, saya yakin PETRONAS akan memeriksa dengan positif segala cadangan untuk menggunakan 'associated gas' untuk apa juga tujuan. Sikap positif ini lebih-lebih diperlukan apabila cadangan ini dibuat oleh syarikat asing untuk pasaran luar negeri. Dengan ini risiko kita akan dikurangkan, gas kita tidak dibakar dan dibazirkan. Dan kita akan dapat mengurangkan pengaliran pertukaran asing untuk modal dan mungkin kita akan dapat pertukaran asing dari penjualan luar negara. 15. Satu perkara yang menimbul keghairahan di kalangan pengusaha dan pengguna ialah penggantian minyak petrol dengan LPG untuk kereta bermoto. Memang benar LPG adalah lebih murah dari petrol sekarang, tetapi ini ialah kerana Kerajaan tidak mengenakan cukai ke atas gas yang biasanya digunakan untuk memasak. Jika LPG diguna secara meluas, penggunaan petrol akan berkurang dan hasil kutipan cukai Kerajaan akan kurang. Memandang bahawa Kerajaan memerlukan pendapatan cukai, termasuk untuk membina jalan dan lain-lain, Kerajaan tentu terpaksa mengenakan cukai ke atas LPG. Dengan ini harga LPG tidak akan murah lagi. Mungkin ramai pemandu kenderaaan akan kembali kepada petrol. Pembekal LPG dan stesyen LPG mungkin terpaksa ditutup, dan ramai yang akan rugi. Oleh itu sebelum melabur dalam bidang ini ada baiknya kajian mendalam dibuat. Dalam bidang penggunaan gas sebagai feedstock untuk berbagai jenis industri, galakan patutlah diberi jika didapati ekonomik. 16. Rancangan grid gas kebangsaan keseluruhannya menawarkan peluang perniagaan yang tidak terhad. Dalam hal ini sektor swasta bolehlah menyertai kegiatan-kegiatan hiliran yang bersumberkan gas. Sebagai contoh kontraktor-kontraktor tempatan bolehlah membekalkan saluran-saluran paip yang diperlukan untuk menyampaikan gas ke rumah-rumah dan kawasan industri di seluruh negara. Para kontraktor tempatan mestilah mengatur langkah untuk menyediakan para pekerja mereka dengan kepakaran dan kemahiran yang diperlukan untuk memenuhi keperluan itu. Mereka tidak seharusnya berpuas hati dengan hanya mendapat kontrak-kontrak kecil seperti kerja-kerja menanam rumput dan mencuci bangunan sahaja. Tuan-tuan dan puan-puan, 17. Antara matlamat utama negara kita hari ini ialah mempelbagaikan sumber-sumber pendapatan. Pembangunan satu perusahaan minyak dan gas kebangsaan yang bersepadu, dengan tekanan khas kepada keupayaan pemasaran kebangsaan bagi memenuhi keperluan pasaran minyak dan gas antarabangsa, peningkatan pemerosesan petroleum di dalam negeri, dan usaha memajukan gas asli sebagai sumber alternatif tenaga untuk industri dan penjanaan letrik adalah faktor-faktor penting yang akan menentukan peranan masa depan PETRONAS. 18. PETRONAS mestilah mengawasi dan menimbangkan pergolakan-pergolakan ekonomi dan politik yang berlaku di seluruh dunia, terutama perkembangan yang boleh membawa akibat langsung kepada perjalanan industri petroleum kita. Oleh kerana perkembangan-perkembangan itu sedikit sebanyak boleh mempengaruhi dan menjejas pengeluaran dan harga petroleum dan hasil-hasil petroleum kita, maka adalah bijak jika kita dapat merangka strategi bagi mengurangkan kesan pengaruh-pengaruh itu. 19. Akhirnya saya mengucapkan tahniah kepada Lembaga Pengarah PETRONAS dan kakitangannya sempena perayaan ulangtahun kesepuluh PETRONAS ini. Terima kasih. |