home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : PASIR GUDANG, JOHOR Tarikh/Date : 03/11/84 Tajuk/Title : MAJLIS PEMBUKAAN RASMI KOMPLEK PEMBINAAN PEMBINAANDAN PERKHIDMATAN KERETAPI MSE Yang Berhormat Datin Paduka Rafidah Aziz, Menteri Perusahaan Awam; Yang Amat Berhormat Dato Ajib bin Ahmad, Menteri Besar Johor; Dif-Dif Kehormat; Tuan-tuan dan puan-puan sekalian. Saya berasa gembira dengan undangan MSE pada hari ini untuk merasmikan Komplek Pembinaan dan Perkhidmatan koc dan gerabak keretapinya. Saya mengucapkan tahniah kepada semua pekerja MSE di atas usaha dan semangat penerokaan mereka. Saya percaya usaha-usaha ini akan menjadi satu 'catalyst' dan akan membuka jalan bagi perusahaan-perusahaan baru ditubuhkan dan secara tidak langsung menyelamatkan pertukaran wang asing. 2. Dalam akhir tahun 1978, Kerajaan telah mencadangkan kepada MSE supaya mengkaji kebolehan membina koc dan gerabak keretapi sekiranya sesuai. Idea ini adalah berikutan dengan kemudahan dan kelebihan MSE daripada segi tempatnya, besar tanahnya dan juga mempunyai perkhidmatan kejuruteraaan yang lengkap. Kerajaan berpendapat bahawa Keretapi Tanah Melayu harus menumpukan segala usahanya kepada operasinya dan rancangan pembinaan koc-koc baru dan kerja-kerja rehabilitasi koc-koc yang ada patut diberi kepada sektor swasta. Saya berasa gembira MSE telah menyambut cabaran itu dan telah berusaha menjayakan idea itu, walaupun menghadapi kesulitan pada peringkat permulaannya. Sungguhpun begitu MSE telah berjaya memulakan pembinaan koc dan gerabak dalam tahun 1982. Dengan ini saya bersama-sama gembira dengan semua yang bertanggugjawab di MSE ini bersempena upacara pagi ini. Tuan-tuan dan puan-puan, 3. MSE membuat koc-koc dengan kerjasama syarikat Korean Shipbuilding and Engineering Corporation. Dengan ini akan timbullah persoalan mengenai pemindahan teknologi atau 'transfer of technology'. Apabila kita sebut sahaja pemindahan teknologi maka akan berbunyilah keluhan bahawa orang lain tidak mahu buat pemindahan dengan jujur. Saya percaya bahawa terdapat kurang kejujuran oleh pihak lain.Tetapi apakah mereka sahaja yang bersalah? Apakah kita tidak salah sedikit pun? 4. Saya mendapati di beberapa tempat di mana projek usahasama dijalankan tidak adapun jurutera atau pembantu teknik tempatan yang ditugaskan untuk bekerja bersama-sama dengan orang asing. Jika adapun, tumpuan diberi kepada 'desk-work', kerapkali sebagai sambilan kerana ramai orang profesional di negara kita lebih gemar menjadi 'taukeh' daripada menjadi pekerja dengan sesiapa. Kerapkali tidak ada orang yang berkelayakan di 'work-site'. 5. Untuk menjayakan pemindahan teknologi, pihak yang ingin mendapatkannya perlu membuat persediaan. Mereka perlu membaca rencana-rencana mengenai teknologi baru yang sedia ada. Mereka perlu melihat dengan teliti kerja-kerja yang dibuat. Mereka perlu bertanya bermacam-macam soalan. Mereka perlu rujuk pula kepada 'literature' yang sedia ada. Mereka juga perlu membuat kajian dan mencatatkan semua yang mereka pelajari dalam kertas mereka sendiri sebagai satu kajian, lengkap dengan lukisan kejuruteraan dan sebagainya. Mereka perlu teruskan dengan mengkaji 'state of the art' daripada lain-lain punca. Akhirnya, mereka harus menerbitkan esei atau tesis mereka dalam jurnal profesional. 6. Jika kita mempunyai persediaan untuk menerima teknologi, barulah teknologi dapat dipindahkan. Sebelum orang Jepun dan Korea mendapat teknologi, mereka menghadapi masalah yang lebih besar lagi. Pihak barat tidak mahu sama sekali memindahkan teknologi. Tetapi mereka bertekun dan berjaya sedikit kemudiannya. Ada negara barat yang sekarang inipun mengenakan syarat yang menyekat pemindahan teknologi apabila menjual barangan mereka. 7. Kerajaan boleh mendesak dan mengenakan syarat kepada orang asing supaya pemindahan teknologi dilakukan. Tetapi selagi kita tidak bersedia dan sanggup menghadapi rintangan dan halangan kita tidak akan berjaya. Soal yang kita perlu tanya ialah mengapa orang lain boleh mendapat teknologi daripada orang asing, tetapi kita tidak? Tuan-tuan dan puan-puan, 8. Keretapi adalah satu cara pengangkutan awam yang penting bagi negara kita. Adalah menjadi hasrat Kerajaan untuk memperbaiki dan mempermodenkan keretapi supaya cara pengangkutan ini akan lebih cekap, selamat dan sederhana tambangnya kepada orang ramai yang menggunanya. Rancangan permodenan keretapi ini sedang dipertimbangkan oleh satu jawatankuasa yang akan melibatkan beberapa fasa, termasuklah mengganti koc dan gerabaknya yang lama dengan yang baru. Bagi permulaan, koc-koc yang baru yang dibekalkan oleh MSE dengan kerjasama Samsung dan Korean Shipbuilding adalah merupai koc generasi baru yang mencerminkan kecantikan dan kebudayaan negara kita. Sebahagian besar daripada koc-koc ini telahpun digunakan oleh KTM, tetapi banyak lagi yang akan diperkenalkan. Pembinaan koc-koc di MSE ini adalah di bawah pengawasan yang teliti oleh satu badan professional yang dilantik oleh KTM supaya keselamatan dan kualiti pembinaannya tidak diabaikan. Tuan-tuan dan puan-puan, 9. Penyelidikan dan pembangunan atau 'research and development' adalah penting bagi kemajuan sesuatu perusahaan itu. Bahkan penyelidikan dan pembangunan ini menjadi tulang belakang untuk beberapa industri, seperti industri teknologi tinggi, industri penerbangan, industri farmasi, dan industri pengangkutan jalan. 10. Lagi maju sesebuah firma itu, lebih tinggi peratusan pendapatannya yang diperuntukkan bagi penyelidikan dan pembangunan. Begitu juga dengan negara-negara maju -- peruntukan penyelidikan oleh Kerajaan dan firma keseluruhannya sangatlah tinggi. Bagi Malaysia sebagai negara yang sedang pesat membangun, kita berharap lebih banyak firma-firma yang akan memberi penekanan kepada penyelidikan dan pembangunan ini. Pada masa ini peruntukan untuk penyelidikan dan pembangunan bagi kedua-dua sektor awam dan swasta di negara kita adalah sangat berkurangan. 11. Walaupun terdapat beberapa institusi awam dan swasta di negara kita yang telah menubuhkan bahagian penyelidikan dan pembangunan mereka sendiri, kita mesti sedar bahawa kejayaannya masih lagi bergantung kepada sifat-sifat yang kreatifnya setiap orang kakitangan penyelidikan berkenaan. Peruntukan kewangan, peralatan dan kemudahan lain untuk penyelidikan memang penting tetapi kita tidak boleh lupa faktor manusia ini. Kita berharap adunan rapi antara kemudahan dan peralatan penyelidikan yang disediakan dengan kakitangannya yang berdedikasi dan kreatif akan menempa kejayaan masa depan. 12. Kerajaan tidak setakat membuat seruan sahaja. Dalam belanjawan tahun lalu, Kerajaan telah memperkenalkan galakan cukai atau 'tax incentives' untuk mendorong sektor swasta menjalankan usaha penyelidikan dan pembangunan. Galakan tersebut merupakan tambahan kepada kelonggaran cukai atau 'additional tax allowances' bagi perbelanjaan yang ditanggung dalam sesuatu usaha penyelidikan dan pembangunan itu. Untuk tahun-tahun akan datang, Kerajaan berharap usaha-usaha penyelidikan ini akan diperluaskan dikedua-dua sektor awam dan swasta. 13. Galakan penyelidikan dan pembangunan yang seharusnya diberi perhatian dan keutamaan ialah usaha-usaha penyelidikan dan pembangunan yang selaras dengan strategi perindustrian negara. Ini bermakna kita menggalak usaha-usaha penyelidikan terutamanya bagi industri yang berasaskan sumber atau komoditi tempatan seperti getah, kayu-kayan, dan minyak kelapa sawit. Pada masa ini industri-industri yang berasaskan sumber utama tempatan banyak menggunakan teknologi asing. Melalui usaha ini sahaja kita berharap akan dapat memajukan keupayaan tempatan bagi memperbaiki proses pengeluaran, rekabentuk dan pembungkusan. 14. Walaupun galakan utama diberikan kepada industri-industri yang berasaskan sumber tempatan, usaha-usaha penyelidikan dan pembangunan haruslah ditingkatkan di semua bidang terutama oleh sektor swasta. Usaha penyelidikan oleh syarikat-syarikat asing di negara ini pada amnya dijalankan oleh syarikat-syarikat induk atau 'parent companies' di luar negeri. Kerajaan mungkin tidak dapat mempengaruhi syarikat-syarikat asing ini menjalankan penyelidikan mereka di Malaysia, tetapi syarikat-syarikat tempatan haruslah dapat meningkatkan usaha-usaha penyelidikan ini. 15. Bagi MSE, kumpulan penyelidikan dan pembangunannya hendaklah berusaha supaya permodenan gerabak dan koc keretapi untuk Keretapi Tanah Melayu akan dapat dilaksanakan dari masa ke semasa. Oleh kerana kedua-dua badan ini mempunyai kepentingan Kerajaan, saya berharap beberapa susunan atau 'arrangement' dapat diadakan demi kebaikan bersama. Janganlah berlaku keadaan sehingga terdapat misalnya penempahan gerabak dan koc di firma swasta lebih murah dan lebih bermutu daripada MSE. Justeru itu, pasukan penyelidikan dan pembangunan dan juga pengurusan MSE keseluruhannya hendaklah sentiasa berusaha untuk mendapatkan pembaharuan yang memberi manfaat dan keuntungan. Tuan-tuan dan puan-puan, 16. Saya yakin kakitangan MSE akan terus berusaha untuk menjayakan segala aktiviti pembinaan, pembuatan dan lain-lain yang dijalankan oleh syarikat ini. Dengan harapan ini, saya dengan sukacitanya membuka Komplek Pembinaan dan Perkhidmatan Keretapi MSE ini dengan rasminya. Terima Kasih. |