home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	KELANG 
Tarikh/Date 	: 	17/11/84 
Tajuk/Title  	: 	PEMBUKAAN KILANG 
			HENKEL OLEOCHEMICAL 




Y.M. Tengku Abdul Hamid Abdullah, Pengerusi Henkel Oleochemicals,
Malaysia; Dif-Dif Kehormat; Tuan-tuan dan Puan-puan.

Saya mengucapkan terima kasih kepada Lembaga Pengarah Henkel Oleochemical
kerana menjemput saya merasmikan kilangnya pagi ini.

2. Saya mengucapkan tahniah kepada Jomalina Sendirian Berhad dari Malaysia
dan Syarikat Henkel dari Jerman Barat yang menubuhkan syarikat usahasama
ini. Sebagai usahasama yang sangat maju dari segi taraf teknologinya dalam
sektor pemerosesan kimia dari kelapa sawit di negara ini, kilang ini sudah
tentu memberi sumbangan yang besar kepada perkembangan industri yang
berasaskan sumber tempatan.

3. Minyak kelapa sawit pada masa ini merupakan barangan eksport yang kedua
pentingnya bagi Malaysia, iaitu selepas hasil petroleum. Tahun lalu,
minyak kelapa sawit menduduki tempat ketiga dari nilai hasil eksport kita,
tetapi hasil keluaran ini dengan cepat meningkat ke tempat kedua pada
tahun ini. Di samping itu Malaysia merupakan negara pengeluar minyak
kelapa sawit yang terbesar di dunia, iaitu 57% dari pengeluaran
dunia. Jadi mendirikan kilang-kilang seperti ini di Malaysia adalah sangat
wajar sekali.

Tuan-tuan dan Puan-puan, 

4. Eksport minyak kelapa sawit Malaysia telah menghadapi beberapa halangan
dalam perdagangan antarabangsa. Kadangkala diskriminasi yang dikenakan
terhadap eksport minyak kelapa sawit adalah secara mengamalkan
perlindungan atau 'protectionism' oleh negara-negara pengimport utama.

Misalannya, negara-negara dalam kumpulan Komuniti Ekonomi Eropah atau EEC
telah mengenakan duti import sebanyak 12% ke atas minyak kelapa sawit yang
diproses dan 4% ke atas minyak kelapa sawit mentah. Rangka duti yang
dikenakan menunjukkan negara-negara maju itu mengutamakan import yang
mentah sahaja dari negara-negara membangun, termasuklah minyak kelapa
sawit mentah. Negara-negara maju tersebut mahu memproses sendiri
bahan-bahan mentah supaya semua tambahnilai atau "value-added" dapat
dibolot oleh mereka.

Rangka duti import itu menunjukan duti bagi minyak kelapa sawit yang
diproses ialah 3 kali ganda duti oleh EEC. Walaupun negara-negara maju
selalu melaungkan 'perdagangan bebas', amalan-amalan mereka membuktikan
mereka sebenarnya menjadi dalang perdagangan bebas tersebut.

5. Di samping itu, maklumat yang salah disebar dengan luasnya dan keraguan
yang disebabkan olehnya menjejaskan eksport bahan itu ke beberapa negara,
terutama negara-negara Islam. Dengan adanya halangan-halangan seperti ini,
kerajaan telah berusaha menjalankan beberapa strategi bagi memperluaskan
pasaran eksport minyak kelapa sawit ini, dan usaha ini akan
diteruskan. Kerajaan akan sentiasa mengkaji struktur duti eksport bahan
ini. Di samping itu, rombongan-rombongan teknikal kita ke luar negeri
telah dan akan memberi maklumat yang tepat supaya apa-apa keraguan akan
berkurangan dari masa ke semasa.

6. Kerjasama pengusaha-pengusaha minyak kelapa sawit adalah juga
diperlukan bagi memberi penerangan kepada bakal-bakal pengimport. Dengan
adanya kerjasama dari pengusaha-pengusaha berserta dengan usaha-usaha
kerajaan, permintaan terhadap bahan ini akan meningkat pada masa
depan. Eksport minyak kelapa sawit untuk 1985 dijangka meningkat kepada
3.5 juta tan metrik, berbanding kepada 3.1 juta tan metrik yang
dijangkakan sehingga penghujung tahun ini.

7. Di samping itu, Kerajaan akan terus menggalakkan penambahan pengeluaran
minyak kelapa sawit melalui pembangunan estet yang diuruskan secara
teratur. Sebaliknya kita tidak menggalakkan penanaman secara kebun kecil
yang tidak tersusun. Penanaman secara estet akan dapat memberi keutamaan
kepada penggunaan teknologi yang lebih banyak. Dengan ini kita bukan
sahaja dapat meningkatkan daya pengeluaran, tetapi juga dapat mengurangkan
kos pengeluaran.

Tuan-tuan dan puan-puan, 

8. Negara-negara maju tidak silu-silu mencari kesempatan atau peluang
mendapatkan teknologi yang lebih baik. Bagi Malaysia, kita mesti sedar
kita memerlukan teknologi moden, terutama dari negara-negara maju. Dengan
kesedaran itu kita akan mencari teknologi, dan bukan menunggu ianya
bergolek tiba atau diletakkan ke atas riba kita. Orang yang mahu sesuatu
harus melakukan apa sahaja secara ikhlas bagi mendapatkannya. Bagi kita
yang kehausan teknologi mestilah sedar kita memerlukannya. Justeru itu
semua kakitangan perusahaan usahasama dengan pengusaha asing mestilah
mempunyai kesedaran bahawa kita memerlukan teknologi terbaru dan kita
mesti berusaha bersungguh-sungguh mendapatkannya.

9. Sehubungan dengan ini saya berharap kakitangan syarikat-syarikat
usahasama yang melibatkan pemindahan teknologi akan sentiasa menebalkan
kesedaran ini semoga kita tidak menunggu kakitangan asing menyogok-nyogok
pengetahuan dan pengalaman mereka mengenai sesuatu teknologi itu. Memang
benarlah terdapat beberapa orang dari mereka yang kurang senang memberi
pengetahuan teknologi mereka, meleceh-lecehkan dan sebagainya, tetapi
kalau kita agresif dan betul-betul bersedia, usaha kita itu akan berhasil
akhirnya.

10. Usahasama oleochemical ini adalah di antara lain bertujuan untuk
mendapatkan teknologi yang diperolehi oleh firma Jerman berkenaan dalam
lapangan kimia yang berasaskan satu bahan tempatan iaitu kelapa
sawit. Pihak pengurusan dan kakitangan syarikat ini haruslah menyusun
strategi bagi memperolehi teknologi yang diperlukan secepat mungkin.

Tuan-tuan dan puan-puan, 

11. Akhirnya saya berharap kilang oleochemical ini akan dapat menjaga
dengan rapi keselamatan para pekerja dan keselamatan serta kebersihan alam
sekitarnya. Saya telah diberi jaminan tentang keselamatan kilang dan alam
sekitarnya, dan saya berharap kilang ini akan dapat membukti dan
menunjukkan contoh yang baik kepada pekilang-pekilang lain. Dengan harapan
ini, saya dengan sukacitanya membuka kilang Henkel Oleochemical ini dengan
rasminya.

Terima kasih. 
 

 



 
Google