home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : HOTEL HILTON, KUALA LUMPUR Tarikh/Date : 28/11/84 Tajuk/Title : MAJLIS MAKAN MALAM SEMPENA ULANG TAHUN KE-30 PERSATUAN PEMBORONG- PEMBORONG BINAAN MALAYSIA (MASTER BUILDERS ASSOCIATION MALAYSIA) Yang berbahagia Dato Yeoh Tiong Lay, Presiden Persatuan Pemborong-pemborong Binaan Malaysia; Dif-Dif Kehormat; Tuan-tuan dan puan-puan. Saya mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Pemborong-Pemborong Binaan Malaysia kerana menjemput saya dan isteri saya ke Majlis ini. Saya juga mengucapkan tahniah kepada Persatuan ini sempena ulang tahunnya yang ke-30. Terima kasih juga saya sampaikan kerana pemberian pingat emas oleh Persatuan ini. 2. Memandangkan bahawa bidang pembinaan sedang bergerak dengan begitu pesat di negara kita ini, maka sudah tentulah para pengusaha pembinaan mempunyai peluang-peluang yang semakin bertambah. Kita dapat lihat bahawa pembinaan pesat ini bukan sahaja terdapat di Kuala Lumpur tetapi juga di seluruh negara. Pelawat-pelawat dari luar negeri memang kagum dengan kadar pembinaan di negara ini. Ini adalah salah satu bukti bahawa negara kita stabil, ekonomi kita berkembang dan bertambah maju dari hari ke hari. Tuan-tuan dan puan-puan, 3. Kerajaan yang stabil, negara yang aman dan ekonomi yang kukuh memang dikehendaki oleh semua, terutama sekali oleh ahli-ahli perniagaan seperti tuan-tuan dan puan-puan sekalian. Dengan terdapatnya keadaan yang sedemikian, banyak lagi perniagaan dapat dijalankan dan ini akan membawa kepada peluang-peluang dan juga keuntungan yang lebih. Ada pula yang akan mendapat keuntungan yang lebih besar kerana lebih pintar dan lebih cekap. Memang benar, ada juga yang tidak berjaya tetapi saya rasa bilangannya tidak begitu besar dan perkara seumpama ini tidaklah asing dalam perniagaan. Tetapi pada keseluruhannya, ahli-ahli perniagaan di negara ini menikmati kejayaan dan kemakmuran yang lebih jikalau dibandingkan dengan masa-masa yang lalu terutamanya sebelum negara mencapai kemerdekaan. Lebih tepat lagi perkembangan ekonomi menjadi lebih pesat semenjak tertubuhnya Dasar Ekonomi Baru -- yang mana ini adalah bertentangan dengan ramalan-ramalan yang dibuat apabila Dasar Ekonomi Baru digubal. 4. Kerajaan memang menggalakkan lebih banyak lagi penyertaan pihak swasta dalam usaha mempercepatkan pertumbuhan ekonomi negara. Peranan swasta kian bertambah dan ia merupakan salah satu strategi Kerajaan untuk menggalakkan pelaburan oleh perlabur-pelabur tempatan dan asing. Ini bererti Kerajaan menyediakan peluang dan ianya patut mendapat sambutan daripada para pengusaha dan peniaga. 5. Sayugia diingatkan bahawa ahli-ahli perniagaan kita dalam usaha mereka untuk meluaskan perdagangan dan perniagaan mereka, mestilah menentukan bahawa usaha-usaha ini dijalankan dengan penuh tanggungjawab. Amatlah penting ahli-ahli perniagaan kita bersikap jujur, beramanah dan berdisiplin. Mereka mestilah menentukan bahawa apa-apa jua perjanjian yang dibuat hendaklah ditunaikan dan tidak berlaku sebarang penyelewengan. Jika syarat dan janji diabaikan maka kepercayaan pelanggan akan hilang. Ini bukan sahaja akan merugikan peniaga yang terlibat tetapi juga akan mengurangkan kepercayaan orang lain terhadap bangsa dan negara kita. Saya berharap para peniaga dan para pengusaha kita akan sentiasa bersikap bertanggungjawab dan tidak menyalahguna dan mensia-siakan peluang-peluang yang ada. Tuan-tuan dan puan-puan, 6. Di samping menguruskan perniagaan masing-masing, tuan-tuan haruslah sedar tentang betapa pentingnya ditingkatkan usaha untuk membantu rakan-rakan yang lain dalam perusahaan pembinaan ini khususnya kontraktor-kontraktor bumiputera supaya mereka dapat bergiat dengan lebih aktif lagi. Memang benar terdapat kontraktor-kontraktor bumiputera yang aktif dalam bidang pembinaan ini, tetapi saya rasa bidang ini boleh menampung lebih ramai lagi kontraktor-kontraktor bumiputera. Dalam erti kata lain, kerjasama yang lebih di antara kontraktor-kontraktor bukan bumiputera dengan kontraktor-kontraktor bumiputera merupakan salah satu faktor penting bagi menentukan kejayaan dan kemajuan bidang ini. Jikalau kita hanya mementingkan diri sendiri dan tidak sedia berkongsi, memang benar kita masih lagi mendapat keuntungan. Tetapi cara sedemikian merupakan keuntungan dari segi jangka pendek sahaja. Sekiranya ia terus dilakukan, maka akibatnya ialah kerugian kepada semua pihak dalam jangka panjang. Sebaliknya pula kontraktor-kontraktor bumiputera yang mengadakan usahasama hendaklah memainkan peranan yang bermakna dan tidak terhad kepada menjadi 'contact man' sahaja. Begitu juga dengan yang menjalankan usaha sendiri. Janganlah serah semuanya kepada 'sub-contractor' sehingga tidak langsung dilihat di 'worksite'. Janganlah menjadi kontraktor yang tidak mempunyai pegawai, jurutera dan kakitangan yang digajikan sendiri. Amalan-amalan seperti ini tidak akan meningkatkan kecekapan, kerana kontraktor binaan mesti menghadapi seribu satu masalah pengurusan yang memerlukan penyelesaian setiap hari. Cuma dengan melibatkan diri secara langsung dengan urusan harian barulah kecekapan dan kepintaran dapat diperolehi. Mereka yang mencari jalan senang dengan cuma mendapat seberapa banyak kontrak yang boleh untuk diurus oleh orang lain, akan kekal sebagai pengurus yang tidak berupaya. Kaum bumiputera tidak dapat berbangga walaupun mereka ini menjadi jutawan sepuluh kali ganda. Tuan-tuan dan puan-puan, 7. Pada akhir-akhir ini terdengar pendapat dan pandangan bahawa kononnya Kerajaan memberi keutamaan dan keistimewaan kepada kontraktor-kontraktor asing dalam memberi kerja-kerja pembinaan yang besar. Dan sesudah diberikan kerja-kerja ini, mereka juga mendapat kemudahan-kemudahan lain seperti bekalan air, elektrik dan sebagainya dengan cepat dan senang. Kononnya juga, kontraktor-kontraktor tempatan yang diberi kerja-kerja pembinaan Kerajaan tidak diberi layanan yang serupa. Juga terdengar sungutan bahawa sekiranya Kerajaan memberi kemudahan-kemudahan yang diberikan kepada kontraktor-kontraktor asing itu kepada kontraktor-kontraktor tempatan pula, maka kontraktor-kontraktor tempatan juga boleh mengendalikan kerja-kerja mereka dengan cepat, sempurna dan baik. 8. Saya ingin menarik perhatian kepada keadaan tidak lama dahulu sebelum apa yang dianggap sebagai kebanjiran kontraktor asing berlaku. Apakah keadaan pada masa itu? Tidak ada banyak projek pembinaan yang besar, baik dalam rancangan Kerajaan ataupun rancangan swasta. Swasta mempunyai cuma dua tiga projek besar sahaja. Kebanyakan daripada kontrak-kontrak binaan yang besar dimenangi oleh kontraktor-kontraktor asing dari Eropah. Prestasi mereka tidak memuaskan dan kos mereka tinggi. Beberapa daripada projek ini terbengkalai kerana beberapa sebab sehingga ada yang terpaksa dibina semula dengan belanja yang amat tinggi. Masa yang diambil untuk pembinaan biasanya panjang. Ada juga beberapa projek yang dimenangi oleh kontraktor-kontraktor tempatan. Kos mereka juga tinggi dan mereka mengambil masa yang amat panjang. Cara tradisional masih lagi digunakan. Tidak ada cara-cara baru yang diperkenalkan. Peranan bumiputera dalam kontrak yang besar hampir tidak ada. Mereka tidak menjadi kontraktor utama atau sub-kontraktor atau pekerja mahir atau tidak mahir. Hampir semua jurutera bumiputera pada masa itu bekerja semata-mata dengan Kerajaan. 9. Inilah keadaan yang terdapat di waktu Kerajaan mencadangkan sistem 'turnkey', dan sesudah itu kontraktor-kontraktor dari Timur berjaya mengganti kontraktor-kontraktor Barat. Walaupun ada satu dua kontraktor tempatan yang membuat tawaran tetapi persaingan yang sebenar ialah antara kontraktor Barat dengan kontraktor Timur. Kontraktor tempatan tidak begitu terlibat. Sudah tentu kontraktor bumiputera tidak sama sekali tersingkir kerana penyertaan kontraktor-kontraktor dari Timur. Mereka tidak pun mampu membuat tawaran. 10. Penyertaan kontraktor dari Timur telah menyebabkan berlakunya perubahan dalam bidang pembinaan. Mereka dapat mengurangkan kos, memperkenalkan sistem-sistem yang baru dan mempercepatkan kerja. Mungkin ini secara kebetulan atau 'incidental' sahaja, tetapi hakikatnya ialah tidak beberapa lama selepas kedatangan kontraktor Timur 'building boom' pun telah berlaku. 11. Ramai juga 'property owners' yang mengambil kesempatan harga murah untuk memulakan rancangan pembangunan mereka. Dengan 'building boom' ini juga telah muncul ramai kontraktor tempatan termasuk kontraktor bumiputera yang sedar akan peluang-peluang kontrak yang wujud. Dalam keadaan ini, tentulah mereka terpaksa bersaing dengan kontraktor Timur. Malangnya dalam persaingan ini mereka telah gagal. Kerajaan tidak mempunyai dasar untuk menyebelahi kontraktor Jepun atau Korea. Dasar Pandang Ke Timur ialah untuk mempelajari etika kerja dan cara-cara mengurus dan bukan untuk memberi kontrak kepada kontraktor Jepun atau Korea. Jika mereka dapat kontrak, ini adalah kerana tawaran harga mereka lebih rendah. Tetapi, di samping itu kita juga dapat lihat beberapa kontraktor tempatan sudah dapat menurun kos dan menggunakan teknik baru serta bekerja dengan lebih cepat. Saya yakin mereka sekarang lebih 'competitive' dan telahpun memenangi beberapa kontrak besar. 12. Dipandang sepintas lalu, perkembangan dalam bidang pembinaan mungkin merugikan kontraktor tempatan. Tetapi ini adalah sementara sahaja. Saya yakin dengan adanya lebih banyak pembangunan dan kecekapan serta sistem dan kos baru, kontraktor tempatan akan dapat lebih banyak peluang dalam 'building boom' yang berterusan ini. Kerajaan tetap akan memberi layanan yang lebih kepada kontraktor tempatan terutama bumiputera jika kos, mutu kerja dan kecekapan mereka hampir sama dengan kontraktor asing. Ini ialah kerana kita tidak suka pengaliran tukaran wang ke luar negeri. Kontraktor-kontraktor tempatan hendaklah menggabungkan diri mereka supaya mereka berupaya bersaing dengan kontraktor asing. 13. Secara tidak langsung pembanjiran kontraktor dari Timur telah membawa perkembangan yang baik bagi 'construction industry' dan kepada ekonomi negara. Di mana dahulu tidak ada kontraktor tempatan, sekarang sudah ada ramai, termasuklah kontraktor bumiputera. Sedikit demi sedikit, projek-projek telah berjaya direbut oleh kontraktor tempatan. Usahasama, 'sub-contract', pekerja terlatih semuanya telah bertambah. Jika kontraktor-kontraktor tempatan dapat menyerap sistem binaan dan pengurusan yang baik dan dapat pula mendirikan syarikat-syarikat pembinaan yang lebih besar dan cukup lengkap, saya yakin satu hari nanti kontraktor Malaysia akan dapat bersaing dan memenangi kontrak-kontrak antarabangsa. Oleh itu, janganlah nampak yang negatif sahaja. Banyak kebaikan kerana kedatangan kontraktor dari Timur dan kita akan dapat keuntungan daripada perkembangan ini. Tuan-tuan dan puan-puan, 14. Bukan menjadi dasar Kerajaan untuk membiayai orang asing. Kerajaan sanggup rugi sedikit asalkan rakyat sendiri mendapat nikmat. Tetapi janganlah kita lekas menyalahkan Kerajaan sebelum kita periksa dengan teliti sesuatu perkara itu dan mengkaji peranan diri sendiri. Kaji juga kontrak-kontrak yang dahulu tidak mungkin kita dapat tetapi sekarang sudah kita dapat -- termasuklah kontraktor-kontraktor bumiputera. Kaji juga bagaimana sekarang kita sanggup mencari sistem baru dan menurunkan kos. Kaji juga peluang-peluang latihan dan peluang-peluang kerja terutama kepada bumiputera. Apakah benar tidak ada sedikit pun kebaikan yang telah berlaku akibat daripada penyertaan kontraktor dari Timur walaupun bukan kerana dasar Kerajaan? Jika kita mahu keadilan daripada Kerajaan, lakukanlah keadilan kepada Kerajaan. Lihatlah apa yang telah terjadi kepada orang lain di zaman kemelesetan ekonomi dunia ini. Apakah pembangunan yang sedang berlaku di Malaysia memberi gambaran adanya kemelesetan di sini? Bersyukurlah, kerana di waktu orang lain dilanda kesusahan, kita dapat menikmati kesenangan. Tuan-tuan dan puan-puan, 15. Akhir kata, saya mengucapkan tahniah sekali lagi kepada Persatuan Pemborong-pemborong Binaan Malaysia sempena ulangtahunnya yang ke-30 dan berharap agar Persatuan ini akan terus memberi sumbangan kepada usaha-usaha pembangunan di negara ini. Terima kasih. |