home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	BANGUNAN PNB, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	04/05/85 
Tajuk/Title  	: 	UPACARA PERASMIAN BANGUNAN PNB 




Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

Yang Amat Berhormat Datuk Musa Hitam; Yang Berbahagia Tun Ismail Mohamad
Ali; Yang Berhormat-Yang Berhormat; Dif-dif Kehormat; Tuan-tuan dan
Puan-puan sekalian.

Saya berasa sangat gembira dan bangga kerana dapat bersama tuan-tuan dan
puan-puan sempena perasmian Bangunan Permodalan Nasional Berhad pada malam
ini.

2. Pada bulan April 1981, iaitu empat tahun yang lalu, saya telah berucap
di Majlis Pelancaran Sekim Amanah Saham Nasional. Saya telah menerangkan
latarbelakang dan peranan tiga organisasi yang diberi tanggungjawab
mempercepatkan peningkatan penyertaan masyarakat Bumiputera di sektor
coporate. Organisasi yang dimaksudkan ialah Yayasan Pelaburan Bumiputera,
Permodalan Nasional Berhad dan Amanah Saham Nasional Berhad.

3. Ketika itu peranan dan penubuhan ketiga organisasi ini belum begitu
terkenal, tetapi setelah Sekim ASN dilancar dan menerima sambutan yang
baik, ianya kini tidak payah di perkenalkan dengan lanjutnya. Sejak ia
ditubuhkan, Yayasan Pelaburan Bumiputera telah menerima peruntukan
Kerajaan sebanyak $2,731.5 juta. Peruntukan ini adalah di antara yang
terbesar sekali di kalangan agensi-agensi Kerajaan yang ditugas untuk
menjalankan program-program Penyusunan Semula Masyarakat dalam bidang
perdagangan dan perindustrian. Yayasan ini pula telah menyalurkan
peruntukan itu kepada PNB untuk dilabur. Dengan adanya sumber yang besar
ini, PNB telah berkembang sebagai sebuah institusi pelaburan terbesar di
negara ini.

4. Perkembangan PNB boleh diukur dari saiz pelaburannya. PNB memulakan
operasinya dipertengahan tahun 1978 dengan modal dibayar sebanyak 100 juta
ringgit. Pada akhir tahun tersebut, PNB telah melabur dalam 21 buah
syarikat dengan kos pelaburan sebanyak 51 juta ringgit. Sehingga kini PNB
dan Sekim ASN telah melabur sebanyak 5,515 juta ringgit dalam 178 buah
syarikat. Satu lagi petunjuk prestasi PNB ialah keuntungannya -- daripada
4.5 juta ringgit keuntungan sebelum cukai pada tahun 1978 kepada 295.3
juta ringgit pada tahun lalu. Ini jelas menunjukkan bahawa dalam tempoh
enam tahun, PNB telah berkembang dan bertapak sebagai sebuah institusi
pelaburan terulung di negara ini.

5. Kejayaan yang sama juga telah dicatit oleh Sekim ASN. Sehingga kini
lebih satu pertiga mereka yang berkelayakan, iaitu kira-kira 1.73 juta
orang, telah menyertai Sekim ASN. Sekim ASN juga telah berjaya
mengumpulkan kira-kira 1,719 juta ringgit simpanan para pelabur.

6. Kejayaan PNB dan ASN setakat ini bolehlah dibanggakan bukan sahaja oleh
kakitangan PNB, tetapi juga oleh semua pihak yang terlibat seperti
agensi-agensi awam yang telah bersama-sama menjayakan sekim penabungan dan
pelaburan ini. Di samping kita berbangga dengan pencapaiannya setakat ini,
adalah diharapkan pihak PNB dan Sekim ASN akan terus mengamalkan
pengurusan yang cekap bagi mempastikan kejayaan yang dicapai ini bukan
sahaja dapat diteruskan, tetapi juga dipertingkatkan lagi. Sekarang PNB
sudahpun mempunyai bangunannya sendiri dan diharapkan ianya akan diuruskan
dengan lebih berkesan lagi dan memberikan perkhidmatan yang lebih
cemerlang kepada pelabur-pelabur Sekim ASN. Saya berharap apa-apa kejayaan
yang dicapai jangan melalaikan kita dengan berpuas hati tentang kejayaan
yang lepas. Sebaliknya kejayaan yang dicapai harus dijadikan penggalak
untuk kita bertapak dengan lebih yakin, lebih cekap dan tepat lagi.

7. Kita mesti sedar bahawa salah satu tujuan Sekim ASN ini ialah
membahagi-bahagikan kekayaan dan faedah dari pelaburan dalam
syarikat-syarikat kepada seramai-ramai bumiputera di negara ini. Lagi
ramai bumiputera yang melabur melalui ASN, lagi berjayalah kita
mengagihkan hasil pelaburan di bawah Sekim ini. Dengan itu banyak lagi
usaha dan pelaburan yang mesti dilakukan ke arah mencapai matlamat ini dan
justeru itu setiap kakitangan PNB hendaklah jangan lupa akan matlamat
akhir penubuhan organisasi ini.

8. Di samping itu, masih ramai lagi bumiputera yang layak melabur melalui
Sekim ASN ini yang belum menyertainya. Diharapkan mereka yang belum
berbuat demikian, terutama pekerja bergaji di sektor swasta, akan sedar
bahawa peluang seperti ini tidak mungkin terdapat di negara-negara
lain. Gunakanlah peluang keemasan ini untuk menjamin masa depan
masing-masing, serta membantu usaha negara mengimbangkan kedudukan ekonomi
antara kaum-kaum di negara ini.

Tuan-tuan dan Puan-puan, 

9. Kerajaan telah menubuhkan beberapa perbadanan dan syarikat, termasuklah
PNB ini, Bank Bumiputera, Bank Pertanian, UDA, PERNAS dan lain-lain
lagi. Dengan sokongan Kerajaan kebanyakan perbadanan dan syarikat ini
telah mengalami kemajuan dan perkembangan yang menggalakkan. Malangnya
terdapat juga satu-dua perbadanan atau syarikat yang terlalu cepat
berbangga dengan pencapaian awalnya dan unsur-unsur kelalaian mulai
meresap di peringkat pengurusan. Akibatnya, tahap pencapaian mulai
menurun, manakala kos mulai meningkat pula. Walaupun hal ini tidak begitu
menular sangat, tetapi secara kasarnya gejala ini sudah lama terdapat dan
masih lagi menjadi unsur yang kurang disenangi.

10. Walaupun disokong oleh Kerajaan dan diberi keutamaan dalam apa-apa
urusan dan permohonan, badan-badan dan syarikat-syarikat Kerajaan ini
patutlah mengganggap unsur kos, seperti kos pengurusan, kos projek dan kos
penyenggaraan atau 'maintenance', sebagai unsur penting seperti dalam
pengurusan firma-firma swasta. Usaha mengurangkan kos operasi ini
hendaklah sentiasa difikirkan supaya kejayaan yang lebih besar dapat
dicapai. Kejayaan serta keuntungan bagi negara dan masyarakat mestilah
sentiasa tertanam dihati para pengurus sekalian. Apa-apa keuntungan adalah
bagi masyarakat. Harus diingat bahawa firma-firma swasta pun mempunyai
tanggungjawab sosial, apatah lagi badan-badan dan firma-firma yang
ditubuhkan oleh Kerajaan. Perbadanan-perbadanan dan syarikat-syarikat
Kerajaan bertanggungjawab menghasilkan sebanyak manfaat yang boleh kepada
negara dan masyarakat.

11. Saya sedar bahawa keuntungan bukan kriteria yang paling utama bagi
perbadanan dan syarikat Kerajaan. Tetapi kekesanan dari segi kos dan
pencapaian objektif-objektif adalah relevan. Dengan itu
perbadanan-perbadanan dan syarikat-syarikat Kerajaan hendaklah menyusun
langkah bagi menurunkan kos. Pihak pengurusan pun janganlah cuba
berlumba-lumba membandingkan diri mereka dengan 'kelumayanan' pihak
pengurusan swasta. Yang sebenarnya kita mudah nampak kelumayanan
pengurusan swasta yang berjaya sahaja, tetapi tidak pula nampak terhadap
nasib dan risiko mereka yang gagal. Risiko dan kegagalan yang ditakuti
oleh pihak swasta tidak relevan sangat kepada perbadanan-perbadanan dan
syarikat-syarikat Kerajaan. Ini adalah kerana risiko dan kegagalan akan
ditanggung bersama oleh Kerajaan dan masyarakat. Oleh itu adalah
diharapkan pihak pengurusan perbadanan-perbadanan dan syarikat-syarikat
Kerajaan tidak akan membandingkan dengan kelumayanan yang diterima oleh
rakan-rakan sejawat masing-masing di firma-firma swasta yang berjaya
sahaja.

12. Saya yakin pihak pengurusan PNB dan Sekim ASN tidak akan membiarkan
kelalaian seperti ini menjadi satu gejala pada masa depan. Adalah
diharapkan kakitangan PNB akan berusaha lebih kuat lagi bagi mencapai
objektif-objektif yang telah pun disusun bagi organisasi
ini. Berlumba-lumbalah mencapai kejayaan semoga kejayaan ini akan dihargai
oleh negara dan masyarakat kita.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian, 

13. Menyentuh tentang Bangunan PNB ini, saya berbangga ianya dapat dibina
dalam tempoh 29 bulan, iaitu seminggu lebih awal dari tarikh yang
ditetapkan. Kejayaan ini adalah satu perkara yang patut direnung oleh
kontraktor-kontraktor tempatan. Sekiranya dikaji dengan teliti, ada
beberapa perkara yang perlu kita pelajari. Yang pertamanya bangunan ini
didirikan tanpa cerucuk atau piling. Sebaliknya ia mengguna rakit atau
raft. Teknik ini jarang atau mungkin tidak pernah digunakan bagi bangunan
besar di Malaysia. Tetapi yang diutamakan ialah cara penggunaan teknologi
itu serta etika kerjanya. Kita dapati bahawa mereka yang mengurus bukan
sahaja mempunyai sistem yang baik dan disiplin yang ketat, tetapi mereka
berjaya menanam semangat dan etika kerja yang baik di kalangan pekerja dan
sub-contractor tempatan yang bekerja bersama mereka. Jika mereka gagal
mendapat kerjasama orang tempatan, mustahil mereka dapat menyudahkan
bangunan ini dalam masa yang singkat dengan qualiti yang baik. Ini
bermakna bahawa orang Malaysia mempunyai potensi yang baik jika ada
pengurusan dan sistem yang boleh mencungkil potensi ini.

14. Sekarang kita dapati banyak bangunan mencakar langit di bandaraya ini,
dan perkembangan ini melambangkan pembangunan Kuala Lumpur. Bangunan yang
cantik sahaja belum memadai dan tanggungjawab pemilik bangunan bukan
selesai di situ sahaja. Apa yang lebih mencabar lagi ialah bagaimana
mengurus bangunan tersebut supaya ianya sentiasa kelihatan cantik dan
kemas pada tahun-tahun akan datang. Kita tidak mahu melihat keadaan
bangunan dengan rekabentuk yang menarik dan menelan belanja yang besar,
tetapi kurang diambil berat tentang penyelenggaraan dan
keselamatan. Sekitar bangunan juga perlulah diberi perhatian. Orang biasa
mengatakan bandaraya yang penuh dengan bangunan yang mencakar langit tidak
ubah seperti 'hutan konkrit'. Kita boleh menyangkal pandangan ini dengan
menanam pokok dan bunga yang bukan sahaja memberi tempat berteduh tetapi
mengindahkan alam sekitar. Saya sedar semakin hari semakin banyak bangunan
yang telah melaksanakan 'landscaping' yang baik dan saya berharap
usaha-usaha ini akan diteruskan supaya Kuala Lumpur akan menjadi 'Kota
Taman' yang indah satu hari kelak.

Tuan-tuan dan Puan-puan, 

15. Dengan ini saya dengan sukacitanya membuka Bangunan Permodalan
Nasional Berhad ini dengan rasminya.

Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamu Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. 
 

 



 
Google