home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : PUSAT ISLAM, KUALA LUMPUR Tarikh/Date : 05/05/85 Tajuk/Title : SEMPENA PERASMIAN MUSABAQAH MEMBACA AL-QURAN PERINGKAT KEBANGSAAN (DISAMPAIKAN OLEH Y.A.B. TIMB. PERDANA MENTERI DATO MUSA HITAM) Assamulai'kum Warahmatullahi Wabarakatuh. Bismillahir Rahmanir Rahim Saya mengucapkan syukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala oleh kerana dengan limpah kurnia dan izinNya maka Musabaqah Membaca Al-Quran Peringkat Kebangsaan dapat kita adakan lagi. Semoga kita semua mendapat hidayah dan keredaan Allah Subhanahu Wataala. Di samping itu adalah diharapkan Musabaqah ini akan melahirkan kesedaran yang lebih tebal terhadap kemuliaan serta kesucian ayat-ayat Allah Subhanahu Wataala yang diturunkan untuk panduan hidup manusia di dunia dan akhirat. 2. Majlis Musabaqah membaca ayat-ayat suci Al-Quran yang diadakan pada setiap tahun adalah sebahagian daripada usaha-usaha serta ikhtiar pihak Kerajaan ke arah mempertingkatkan kebahagiaan serta kesempurnaan hidup, sepertimana yang dituntut oleh Islam. Oleh itu adalah diharapkan majlis ini akan menimbulkan keinsafan kita akan kesucian agama Islam, di samping memahami serta menghayati intisari Al-Quran di dalam segenap aktiviti kehidupan di dunia ini bagi mencapai kebahagiaan di akhirat kelak. Muslimin dan Muslimat sekalian, 3. Perpaduan merupakan satu kunci kejayaan. Dengan perpaduan kita dapat bersatu tenaga dan fikiran untuk melaksanakan sesuatu untuk kebajikan bersama. Tenaga seseorang individu dengan sendirinya tidak mampu mengatasi berbagai tugas hidup. Sebaliknya tenaga ramai yang disatupadukan boleh menghasilkan kejayaan yang luar biasa. Sebab itu apabila terdapat umat Islam bersatupadu, maka kejayaan yang cemerlang akan dicapai. Sebaliknya apabila perpecahan berlaku di kalangan umat, maka buruklah akibatnya. Atas sebab inilah kita telah memilih "Perpaduan Asas Keutuhan Ummah" sebagai tema Musabaqah tahun ini. 4. Walaupun di zaman ini kita sedang melihat kesedaran beragama yang luar biasa di kalangan umat Islam, tetapi kesedaran ini tertumpu kepada beberapa perkara sahaja. Persaudaraan di kalangan umat Islam sering diperkatakan tetapi sebaliknya kita lihat negara-negara Islam berperang sesama sendiri; kita lihat orang Islam terbahagi kepada beberapa puak dan mereka bermusuh di antara satu dengan yang lain. Kumpulan-kumpulan baharu diciptakan dan mereka mengasingkan diri dari yang lain, bahkan ada yang menganggap cuma mereka sahaja yang Islam. 5. Keadaan ini amat menyedihkan. Kita disuruh menyeru kepada kebaikan. Di antara yang baik ialah perpaduan umat. Tetapi semasa kita mendengar seruan ini, di masa itu juga suara yang sama melaungkan unsur-unsur yang menidakkan seruan perpaduan itu. Perkara-perkara titik-bengik yang boleh memecahkan umat diutarakan sehingga berlakulah bermacam-macam masalah yang melemahkan umat dan akhirnya umat Islam diperkecilkan oleh pihak lain. Semua ini adalah jelas dan nyata tetapi perpecahan di kalangan umat Islam masih juga berterusan. 6. Sejarah Islam bermula dengan perpaduan. Di bawah pimpinan Rasullullah s.a.w., pengikut-pengikut Islam yang segelintir itu sekata, sehati, berdakwah secara sulit atau sesama sendiri, kemudiannya bermuafakat berdakwah secara terbuka selepas Islam dianuti oleh lebih ramai lagi penduduk Mekah. Mereka bersama-sama berhijrah ke Madinah, dan kemudiannya dengan perpaduan antara Muhajirin dan Ansar, mereka dapat mendirikan Kerajaan Islam yang kukuh yang kemudian dapat kembali ke Mekah dengan jayanya. Perpaduan juga diamalkan oleh ke empat-empat Khalifah Al-Rashidin -- penyerahan kuasa dilakukan dengan mengambil kira perpaduan iaitu pemilihan mengikut suara terbanyak, dan tindak-tanduk tidak memihak kepada sesuatu suku kaum, serta tidak mengikut hawa-nafsu. Akhirnya Islam dapat berkembang ke seluruh dunia berkat daripada perpaduan dan contoh teladan yang baik dan positif. 7. Perpaduan adalah juga ciri yang penting yang telah menyumbang kepada tamadun Islam yang gemilang. Islam telah berkembang secara besar-besaran hingga ke negara-negara di luar Semenanjung Arab selepas wafat Nabi Muhammad s.a.w. Islam bertapak di Sepanyol dan Perancis di barat, dan China dan Filipina di timur. Pengembang dan para pendakwah Islam di negara-negara tersebut bukan sahaja arif tentang agama tetapi arif juga mengenai beberapa bidang ilmu. Mereka bukan dikenali dengan kuda dan unta, tetapi pakar dalam bidang astronomi, pelayaran, senibina, bermacam-macam aspek perubatan, mencipta ilmu hisab baru seperti aljibra dan berbagai lagi ilmu yang telah memanfaatkan tamadun manusia. 8. Malangnya selepas kira-kira lapan abad Islam berpengaruh di barat Eropah, tamadun Islam telah merosot. Salah satu faktor penting yang mengakibatkan merosotnya kegemilangan Islam itu ialah perpecahan ummah. Kemerosotan tidak berakhir di barat Eropah, tetapi berterusan di timur Eropah pada abad yang ke-18. Ini diikuti di Asia Tengah pada suku pertama abad ini dan ianya masih berlaku dengan terlepasnya beberapa wilayah Islam kepada pengaruh asing. Ada negara-negara Islam yang berperang sesama sendiri atau terlibat dalam peperangan proksi dan ramai orang-orang Islam yang telah terkorban. Yang lebih sedih lagi ialah ramai umat Islam terpaksa melarikan diri ke negara-negara bukan Islam bagi mendapatkan perlindungan. Memang benar di zaman nabi ada orang Islam yang terpaksa melarikan diri ka Habsyah, tetapi ketika itu tidak ada negara Islam. 9. Perpecahan umat Islam masih berterusan. Bukan sahaja perbalahan berlaku sesama sendiri, bahkan peperangan saudara dan peperangan antara negara-negara Islam juga berlaku. Inilah satu sebab kita dihina dan dipermain-mainkan. Beberapa negara Islam yang lemah diperalatkan sebagai proksi bagi pertelagahan antara kuasa-kuasa besar. Umat Islam yang berpecah-belah dan lemah itu sedar akan hal ini tetapi kerana tidak berpegang kepada prinsip perpaduan umat, maka berbunuh-bunuhlah mereka sesama sendiri. 10. Perpecahan bukan sahaja tidak membolehkan kita menggubal sesuatu yang jitu dan yang merangkumi jangka panjang untuk kebajikan bersama, tetapi ianya memberi kesempatan kepada musuh-musuh Islam untuk menjatuhkan serta menghancurkan pembangunan negara dan umat Islam. Ini sangat membimbangkan dan sekiranya ia terus berlaku, kita umat Islam akan menghadapi zaman kegelapan. Kita akan menghadapi satu zaman yang lebih gelap daripada apa yang pernah kita alami sebelum ini. 11. Sekarang sudah tiba masanya bagi kita semua mengingati sesama sendiri akan pentingnya perpaduan sebagai unsur utama menjaga keutuhan ummah, dan sebagai asas kejayaan masa depan. Kita hendaklah mengembangkan mesej atau pesanan yang dituntut oleh Allah Subhanahu Wataala dengan penuh keyakinan semoga mendapat keredhaanNya. Umat Islam hendaklah bertekad supaya usaha ini berjaya. Para Muslimin dan Muslimat sekalian, 12. Adalah jelas bahawa masalah perpecahan yang berlaku di kalangan masyarakat kita pada hari ini berpunca daripada sikap dan tindak tanduk umat Islam sendiri. Di dalam kitab suci Al-Quran, Allah menjelaskan bahawa segala kerosakan yang berlaku di atas muka bumi ini adalah akibat daripada tindakan manusia. Dengan itu kita haruslah berusaha dan mengambil langkah-langkah yang wajar supaya hasrat kita untuk menebalkan semangat perpaduan akan tercapai. 13. Setiap individu mempunyai pendapat dan pandangan tersendiri terhadap sesuatu persoalan yang timbul di dalam masyarakat Islam. Pertelagahan pendapat di kalangan masyarakat Islam tidak seharusnya dijadikan sebagai racun yang akan melumpuh dan melemahkan perpaduan Islam. Ajaran Islam mengajak kita berbicara dan berunding dengan cara yang baik melalui prinsip-prinsip yang berasaskan kepada semangat persaudaraan Islam. 14. Umat Islam janganlah lebih suka menyalahkan orang lain tetapi tidak nampak kesalahan diri sendiri. Kesalahan orang lain sukar diperbetulkan kerana ia memerlukan tindakan pihak lain itu. Sebaliknya jika kita mencari dan mempastikan kesalahan sendiri, kita akan dapat bertindak membetulkannya. Kita tahu umpamanya peperangan di kalangan negara-negara Islam digalakkan oleh kuasa-kuasa besar yang sering membekal alatan perang. Mereka tidak akan berhenti memberi galakan supaya kita terus berperang. Pemilihan sama ada kita akan terus berperang atau berhenti adalah terletak pada keputusan kita. Tetapi kita memilih untuk berperang. Tidak ada gunanya kita menyalahkan orang lain. Kitalah yang salah. Kitalah yang membenarkan syaitan mempengaruhi kita. Selagi kita tidak iktiraf hakikat ini, selama itulah kita akan diperalatkan oleh orang lain. 15. Perpecahan dan pemusuhan antara orang Islam berlaku kerana keangkuhan yang ketara di kalangan kita yang membelakangkan ajaran Islam. Pada pandangan Islam, tidak sesiapa pun mempunyai hak untuk menilai keimanan dan ketakwaan seseorang yang mengakui dirinya Islam dan tidak melakukan sesuatu kesalahan besar dalam Islam seperti mempersekutukan Allah atau mengakui ada nabi selepas Nabi Muhammad. Islam dan apa yang terdapat di lubuk hati seseorang yang mengakui dirinya Islam hanya Allah Subhanahu Wataala yang mengetahuinya. Kita hanya dipertanggungjawabkan untuk mengajak manusia melakukan kebaikan dan menjauhi kejahatan. Oleh itu Islam menganjurkan supaya sesuatu usaha ke arah kebaikan mestilah dilakukan dengan cara yang baik, sederhana dan rasional. Oleh itu sebarang tindakan yang dibuat secara melulu dan kekerasan dengan mengenepikan kepentingan umum, dan bercanggah dengan ajaran Islam, serta lebih banyak membawa kesan negatif terhadap kehidupan manusia, adalah termasuk perbuatan berdosa dan sia-sia. 16. Sebaliknya kesederhanaan dalam segala aspek kehidupan adalah yang paling sesuai bagi orang Islam. Kesederhanaan ini akan menghalang kita daripada bertindak secara melampau atau ekstrim. Allah Subhanahu Wataala melarang kita daripada berkelakuan atau bertindak secara melampau seperti yang dijelaskan di dalam Al-Quran, bahawa sesungguhnya Allah Taala tidak suka orang-orang yang melampau. Sifat ini akan mengelakkan kita daripada menyakiti hati rakan dan taulan, dan sekiranya berlaku kesilapan, kita akan bersedia maaf bermaafan. Inilah salah satu nilai hidup yang akan membawa perpaduan kepada ummah. 17. Hanya dengan perpaduan barulah ummah, termasuk umat Islam di Malaysia, dihormati dan disanjung tinggi. Kalau keluarga jiran kita tidak sehati dan sentiasa bergaduh dan berpecah, pada kelazimannya bukan saja kita tidak senang dengan kelakuan mereka, tetapi juga akan memandang rendah terhadap keluarga tersebut. Begitu juga pandangan dan anggapan para penganut agama lain terhadap umat Islam sekiranya kita berpecah. Kepada mereka yang kurang arif mengenai Islam, agama Islamlah yang akan dipersalahkan, padahal sebenarnya umat Islam sendiri yang gagal mengamalkan lunas-lunas Islam. 18. Usaha bagi memupuk perpaduan di kalangan masyarakat Islam adalah tanggungjawab semua umat Islam. Golongan alim ulamak dan cendikiawan Islam perlu bekerjasama serta memberikan pandangan yang positif bagi mengatasi masalah yang dihadapi. Umat Islam di zaman ini perlu mempunyai fikiran yang terbuka dengan mengambil kira perkembangan dan keperluan semasa. Umat Islam pada hari ini juga harus memahami serta mengakui realiti disekeliling mereka. Oleh itu bagi mengatasi persoalan yang dihadapi, maka kita amat memerlukan pandangan yang positif dan praktikal, sesuai dengan kehendak ajaran Islam yang menolak segala unsur-unsur negatif dan ekstrim. 19. Kita dapati ramai juga dari umat Islam yang seolah-olah tidak puas hati dengan kelonggaran yang diberi oleh Allah s.w.t. supaya agama Islam tidak menjadi beban yang berat kepada penganutnya. Mereka ini menolak segala kelonggaran dalam Islam dan menjadikan yang sunat itu wajib. Apabila mereka melihat orang lain tidak mahu menerima cara mereka, maka mereka dengan mudahnya mengecamkan orang lain itu sebagai tidak Islam. Dengan ini maka terbentuklah bermacam-macam kumpulan di kalangan umat Islam yang bermusuh-musuhan antara satu dengan yang lain. 20. Kita berusaha untuk mewujudkan perpaduan dan keharmonian sebagai menunaikan kewajipan yang dituntut oleh Islam dan bagi menghidupkan Sunnah Rasulullah s.a.w. yang menghendaki supaya umatnya hidup secara berjemaah dan bertindak secara kolektif dalam menyelesaikan persoalan masyarakat. Rasulullah dan para sahabat serta pengikut Baginda berjaya menyebarkan syiar Islam atas asas-asas perpaduan yang kukuh di kalangan mereka walaupun masyarakat Islam pada masa itu dianggap sebagai golongan minoriti. 21. Di samping itu kita hendaklah mengikis fikiran sempit atau mengelakkan daripada mentafsir Islam secara sempit. Pengajaran Al-Quran keseluruhannya hendaklah kita fahami benar-benar supaya fahaman agama kita tidak terkongkong dengan tafsiran-tafsiran yang tidak selaras dengan pengajaran Islam yang sebenarnya. Kalau tidak, maka akan timbullah berbagai tafsiran sehingga ada yang menyatakan dunia ini dimiliki oleh orang kafir. Dengan anggapan yang salah itu mereka mengasingkan diri dari hal-hal dunia sehingga mereka menjadi golongna yang kolot yang mudah jatuh ke bawah kuasa-kuasa lain. Setelah jatuh di bawah kuasa lain maka dengan mudahnya mereka di pisah dari agama Islam. Para Muslimin dan Muslimat, 22. Kita semua mempunyai cita-cita dan matlamat yang sama ke arah mewujudkan sebuah masyarakat dan negara sepertimana dituntut oleh Islam. Bagi mencapai hasrat tersebut maka setiap umat Islam di negara ini harus mempunyai sikap yang bertanggungjawab, amanah serta bersih daripada segala sifat-sifat keji dan daripada tindak-tanduk yang hanya akan menjatuhkan maruah umat Islam sendiri. Kita perlu mendisiplinkan diri dengan melakukan amalan-amalan hidup seperti yang dianjurkan oleh Islam. 23. Akhir kata, dengan nama Allah Yang Amat Pemurah Lagi Amat Mengasihani, saya dengan sukacitanya membuka Musabaqah Membaca Al-Quran Peringkat Kebangsaan yang Ke-27 ini dengan rasminya. Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh. |