home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	HOTEL MING COURT, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	:	12/07/85 
Tajuk/Title  	: 	MAJLIS JAMUAN MAKAN MALAM PERSATUAN 
			PENIAGA KENDERAAN MALAYSIA 




 Yang Berbahagia Dato' Jaafar Mohd. Ali, Presiden Persatuan Peniaga
Kenderaan Malaysia; Dif-dif Kehormat, Tuan-tuan dan Puan-puan.

Saya mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Peniaga Kenderaan Malaysia
kerana menjemput saya ke Majlis ini.

2. Saya difahamkan bahawa saya dijangka memperkatakan tentang industri
motor dan masa depannya, terutama mengenai peniaga-peniaga
kereta. Sebenarnya saya telahpun memperkatakan hal ini sedikit-sebanyak
tiga hari lalu semasa saya membuka kilang Kereta Nasional dan pelancaran
Proton Saga. Hasrat dan niat Kerajaan adalah jelas. Kerajaan tidak berniat
menghancurkan peniaga-peniaga kereta yang ada, iaitu ahli-ahli Persatuan
ini. Saya ulangi sekali lagi bahawa hasrat Kerajaan memasuki bidang
pembuatan kereta ini ialah supaya perniagaan ini berkembang dengan lebih
pesat. Peniaga baru dan kecil akan diberi peluang memasuki bidang ini,
sementara yang sudah maju termasuklah ahli-ahli Persatuan ini akan terus
maju.

3. Sebagai peniaga kereta, kedudukan tuan-tuan tidak akan terancam oleh
pelancaran Proton Saga sekiranya tuan-tuan dapat membuat 'adjustment' yang
diperlukan. Sebaliknya kedudukan tuan-tuan adalah terpulang kepada
keputusan yang dibuat oleh tuan-tuan sendiri sama ada menghadapinya secara
positif atau secara negatif. Edaran Otomobil Nasional Sdn. Berhad, atau
EON, iaitu pengedar Proton Saga telah menyatakan bahawa pemegang-pemegang
'franchise' yang sedang mengedar kereta yang dibekalkan oleh pihak
prinsipal masing-masing akan diberi peluang sebagai pengedar atau 'dealer'
Proton Saga. Ini bermakna aktiviti perniagaan tuan-tuan tidak akan
terjejas. Perbezaannya ialah jenis kereta yang diedarkan sahaja iaitu
Proton Saga akan menggantikan jenis dan model kereta yang sedang tuan-tuan
edarkan pada masa kini bagi lingkungan kelas kereta Proton Saga.

4. Ingin juga saya menegaskan di sini bahawa bagi ahli-ahli Persatuan yang
ingin mengekalkan tradisi perniagaannya seperti sekarang, mereka masih
berpeluang berbuat demikian dengan menjual jenis dan model kereta yang
tidak bersaing dengan Proton Saga. Adalah perlu bagi tuan-tuan untuk
memaklumkan pihak prinsipal masing-masing supaya membekalkan model-model
yang tidak bersaing dengan Proton Saga, di mana pasarannya adalah
kira-kira 30% daripada jumlah keseluruhan pasaran kereta penumpang di
Malaysia pada masa ini.

5. Adalah penting kita semua mempastikan perusahaan dan perniagaan kereta
negara ini berkembang dengan baik. Perkembangan atau penjualan yang
meningkat sama ada di dalam atau di luar negeri, jika diurus dengan baik
bermakna keuntungan. Dengan pasaran yang meningkat dan keuntungan yang
lebih barulah Kerajaan dapat memberi peluang yang lebih kepada
peniaga-peniaga kereta di negara ini. Saya akui bahawa wujudnya Kereta
Nasional memerlukan penyesuaian atau 'adjustments' bagi pihak ahli-ahli
Persatuan ini. Tetapi membuat penyesuaian memang menjadi amalan bagi para
peniaga yang pintar. Misalannya, kita tidak boleh bergantung kepada
penjualan radio apabila zaman televisyen muncul, atau menjual penyapu lidi
kelapa di zaman 'vacuum cleaner'. Sebenarnya jenis perniagaan sekarang
jauh berbeza dari tahun lima puluhan atau enam puluhan. Kerajaan
bertanggungjawab memudahkan penyesuaian ini tetapi maju mundurnya peniaga
akhirnya bergantung kepada penerimaan terhadap hakikat mengenai pengaliran
zaman.

6. Kerajaan dalam menggubal dasar-dasar negara tidak akan lupa bahawa para
peniaga dan pengusaha adalah sebahagian daripada masyarakat
negara. Kerugian mereka tidak menguntungkan negara. Ia merugikan kerana
bukan sahaja pemodal yang kaya yang terlibat, tetapi juga pekerja mereka
turut terlibat. Cukai negara juga akan berkurangan. Justeru itu dalam
menggubal dasar Kereta Nasional, Kerajaan memikirkan kepentingan ekonomi
dan proses perindustrian keseluruhannya. Pembuatan Kereta Nasional akan
membawa berbagai faedah sampingan serta rantaian kepada ekonomi negara,
atau 'linkages to domestic economy', yang jauh lebih menguntungkan
daripada semata-mata membeli kereta asing atau memasangkannya
sahaja. Antara faedah sampingan itu ialah memberi peluang kepada para
pengeluar 'components' kereta tempatan meningkatkan pengeluaran mereka dan
bagi meningkatkan lagi pemindahan teknologi. Kedua-dua ini akan dapat
memberi faedah kepada lain-lain industri.

7. Kepentingan ekonomi negara jangka panjang ini tidak semestinya
mengenepikan kepentingan sesuatu sektor atau sekumpulan kecil dalam jangka
pendek. Kerajaan akan menimbangkan langkah-langkah yang sesuai supaya
penjejasan ke atas sesuatu sektor ekonomi dapat dikurangkan. Peniaga
kereta di negara ini yang terjejas dengan perlaksanaan Kereta Nasional
telah dan akan dipertimbangkan dengan langkah-langkah yang sesuai supaya
penjejasan tersebut dapat dikurangkan. Saya difahamkan Persatuan tuan-tuan
akan menemui Menteri Kewangan bagi tujuan yang sama. Kesediaan pihak
Kerajaan mengadakan perjumpaan dan perbincangan ini membuktikan bahawa
perniagaan tuan-tuan mendapat perhatian Kerajaan yang sewajarnya.

8. Mengenai 'margin' yang akan dinikmati oleh pengedar dan penjual Proton
Saga, suka saya menyatakan bahawa dalam menetapkan harga jualan Proton
Saga, Kerajaan akan mengamalkan sistem pengawalan harga seperti lain-lain
kereta pemasangan tempatan sekarang. Oleh itu pengedar Proton Saga akan
menikmati margin yang serupa. Jika para pengedar cekap dan dapat
meningkatkan bilangan Kereta Nasional yang dijual, tentulah mereka lebih
untung. Oleh kerana Proton Saga lebih murah harganya, saya yakin
kemungkinan menjual lebih banyak Proton Saga adalah lebih baik.

9. Saya ingin menekankan sekali lagi bahawa pihak Persatuan haruslah
menerima hakikat mengenai Proton Saga ini. Tuan-tuan haruslah mengambil
sikap yang positif iaitu bersama-sama berusaha untuk memasarkan Kereta
Nasional ini dengan penuh tenaga dan dayausaha seperti yang telah
tuan-tuan lakukan bagi jenis dan model yang dibekalkan oleh prinsipal
masing-masing. Dalam masa yang sama pihak pengedar hendaklah sentiasa
membantu PROTON dan EON dengan memberi pandangan-pandangan yang membina
seperti strategi jualan, penerimaan pasaran ke atas Proton Saga, rupa
bentuk kereta pada masa akan datang dan kesesuaian daripada segi harga
kereta.

Tuan-tuan dan puan-puan, 

10. Kerajaan telah mengenal-pasti komponen-komponen yang dirancangkan
untuk dikeluarkan secara tempatan dan digunakan oleh Proton Saga di bawah
rancangan kandungan tempatan atau 'local content programme' yang menjadi
matlamat utama projek Kereta Nasional ini. Sudah sampailah masanya bagi
pihak Persatuan mengubah-suai aktiviti perniagaan sekarang dengan
menerokai juga pengeluaran komponen seperti yang dikehendaki. Saya
berpendapat inilah masanya untuk pihak tuan-tuan mempelbagaikan aktiviti
perniagaan daripada semata-mata menjadi pengedar dan penjual kereta kepada
pengeluar komponen-komponen kereta. Di samping itu janganlah terlalu
gopoh. Kita bukan sahaja mengutamakan kebolehan mengeluarkan
komponen-komponen tetapi juga mengeluarkannya dengan harga yang rendah
supaya ianya tidak meninggikan kos Kereta Nasional. Sudah tentu kualiti
barang-barang ini tidak boleh rendah daripada mutu yang telah ditetapkan.

11. Walau bagaimanapun saya yakin ahli-ahli Persatuan ini akan sentiasa
memberi kerjasama dan keutamaan dalam menjayakan projek Kereta Nasional
ini dengan menyumbangkan sepenuh tenaga dan dayausaha sebagai pengedar,
pembuat dan pembekal komponen, ataupun dengan memberi pandangan-pandangan
positif dan membina yang difikirkan perlu diambil oleh pihak PROTON dan
EON pada masa akan datang.

Tuan-tuan dan puan-puan, 

12. Saya yakin tuan-tuan telahpun menjiwai satu semangat baru dan saya
berharap semangat ini dapat dikekal dan ditingkatkan. Akhirnya, sekali
lagi saya mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Peniaga Kenderaan
Malaysia kerana menjemput saya ke Majlis ini.

Terima kasih. 
 
 



 
Google