home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : MELALUI RADIO DAN TELEVISYEN MALAYSIA (RTM) Tarikh/Date : 30/08/85 Tajuk/Title : PERUTUSAN HARI KEBANGSAAN YANG KE-28 OLEH YAB PM Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, dan salam bahagia. Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dapat kita bersama-sama menyambut Hari Kebangsaan -- Hari Kemerdekaan negara -- yang ke-28 esok. Kita bersyukur juga kepada Allah Subhanahu Wataala kerana kita dapat menyambut Hari Kebangsaan ini, walaupun tidak begitu meriah seperti biasa, dalam keadaan aman dan sejahtera. 2. Esok genaplah 28 tahun negara kita bebas daripada cengkaman penjajah dan 28 tahun sejak jeritan 'merdeka' berkumandang di Stadium Merdeka. Esuk juga merupakan hari yang sangat bermakna bagi mereka yang menghargai kebebasan -- kebebasan mentadbirkan negara sendiri, dan kebebasan menentukan kemajuan agama, bangsa, dan negara. Tuan-Tuan dan Puan-Puan, 3. Dua daripada tiga orang penduduk negara kita adalah terdiri daripada generasi muda. Mengikut anggaran, hampir 68 peratus penduduk negara kita, yang berjumlah kira-kira 15 juta orang, adalah di bawah umur 30 tahun. Ini bermakna 2/3 rakyat negara ini tidak menyaksi perjuangan kemerdekaan. Walaupun Sabah dan Sarawak merdeka melalui Malaysia enam tahun kemudian, generasi muda yang berumur 25 tahun ke bawah di negeri-negeri itu juga tidak dapat menyertai perjuangan kemerdekaan negara. Dengan itu penduduk negara kita yang telah mengalami hidup dijajah dahulu, semakin berkurangan jumlahnya dan tahun demi tahun semakin ramai pula mereka yang meninggalkan kita selama-lamanya. Pemergian mereka bukan sahaja menyedihkan kerana mereka tidak lagi bersama-sama kita tetapi kerana kita tidak lagi dapat mengenal dan berkongsi pengalaman mereka yang begitu penting dalam menyedarkan kita akan makna hidup bebas daripada belenggu penjajahan. 4. Kenangkan dan fikirkanlah sambutan yang diberi oleh rakyat negara kita menjelangnya kemerdekaan. Berpuluh ribu menunggu di Melaka untuk menyambut rombongan Tunku Abdul Rahman Putra Alhaj balik dari London bagi mengumumkan tarikh kemerdekaan; berpuluh ribu menyaksikan bendera penjajah diturunkan dan bendera negara dikibarkan di Padang Kelab Selangor, dan berpuluh ribu juga yang menyahut seruan 'merdeka' di Stadium Merdeka. Mereka datang sendiri, tidak ramai yang berkereta, tetapi ramai yang menaiki bas atau berjalan kaki dan sebagainya. Pendek kata, sambutannya secara spontan, tidak disusun, bersendirian. Semua ini oleh kerana mereka telah merasai pahit-maung hidup dijajah, hidup ditekan, dikongkong, bahkan maruah sebagai individu, golongan atau masyarakat dihina. Apabila kebebasan diisytiharkan, inilah detik dan masa yang paling bermakna bagi mereka. Apatah lagi kebebasan dicapai berkat perjuangan mereka dan berkat semangat yang berkobar yang menusuk jiwa mereka -- semangat kebangsaan atau 'nasionalisme'. Nasionalisme inilah yang melahirkan kemerdekaan negara -- nasionalisme yang tidak angkuh. Sebaliknya nasionalisme yang menjunjung tinggi maruah dan kehormatan bangsa. 5. Dengan meningkatnya bilangan mereka yang lahir selepas merdeka, maka semakin berkuranglah penghargaan terhadap kemerdekaan berbanding dengan apa yang dirasai oleh generasi yang telah dijajah. Semakin ramai yang menganggap kemerdekaan sebagai perkara biasa; kalau menyambut Hari Kebangsaan, ini pun sebagai cuti biasa. Keadaan seperti ini boleh melalaikan kita dan akan menghalang perjuangan masa depan negara kita. Tuan-Tuan dan Puan-Puan, 6. Apakah pentingnya nasionalisme kepada penduduk sebuah negara yang merdeka seperti Malaysia? Apakah pentingnya kita mengingatkan sejarah perjuangan kemerdekaan, terutama kepada generasi muda? Beberapa unsur dapat kita ketengahkan. 7. Pertamanya, kita mestilah menentukan bahawa sejarah hidup dijajah tidak berulang lagi. Harus diingat bahawa penjajahan tidak lagi bermakna penaklukan secara langsung. Dalam dunia yang semakin kecil akibat perhubungan yang lebih mudah, gejala 'neo-colonialism' telah muncul. Dan neo-colonialism ini boleh dilakukan melalui penguasaan ekonomi, ideologi politik atau kongkongan kebudayaan. 8. Kuasa-kuasa baru sudah muncul sebagai 'neo-colonialist' dan mereka tidak perlu bergantung kepada kekuatan negara mereka. Melalui kebudayaan, umpamanya, penjajahan boleh dilakukan tanpa penggunaan tentera atau wang. 9. Penjajahan, baik apa jua jenisnya, tetap akan mencuba menyekat kebebasan kita. Sebaliknya kita tidak boleh memulaukan diri dari dunia luar. Kesan neo-colonialism telahpun dirasai oleh kita, walaupun ramai yang masih tidak sedar. Kemerdekaan yang kita perjuangkan dahulu akan menjadi sia-sia sahaja jika penjajahan baru ini dibenar menggantikannya. 10. Pendekatan yang paling berkesan menghadapi penjajahan cara baru ini, ialah melalui penguasaan ilmu pengetahuan dalam semua bidang termasuk agama dan melengkapkan diri dengan segala kemahiran. Justeru itu, kita boleh menghalakan nasionalisme kita kepada pencapaian ilmu-pengetahuan dan segala kemahiran yang bermanfaat bagi mengekalkan kebebasan kita, serta maruah dan keutuhan agama, bangsa dan negara. 11. Kita akui kita telah maju dan dapat membangun dengan pesat. Taraf pelajaran, misalannya, telah meningkat dengan tingginya. Tetapi kita masih lagi jauh ke belakang dibandingkan dengan negara-negara maju. Semoga satu hari nanti rakyat kita boleh meneroka dasar laut bagi memperolehi hasil petroleum kita sendiri, semoga rakyat kita dapat mengeluarkan alat-alat perkilangan, serta menyaksikan keindahan pengwujudan Allah Subhanahu Wataala di langit dan di bumi. Semoga kita dapat mentafsir dan memahami ajaran-ajaran agama sehingga tidak ada yang boleh memperdayakan kita. Dengan itu generasi muda bertanggungjawab memelihara dan mengekal kemerdekaan negara melalui penguasaan semua ilmu-pengetahuan yang bermanfaat. 12. Nasionalisme mempunyai unsur-unsur positifnya sendiri. Satu-satunya unsur itu ialah perpaduan. Rakyat bersatu-padu menentang Malayan Union dan cara-cara pemerintahan British, bukan sahaja di Semenanjung, tetapi juga di Sabah dan Sarawak. Mereka bersatu padu menentang kominis sehinggalah negara dapat menamatkan darurat pada tahun 1960. 13. Dengan itu memang wajarlah sambutan Hari Kebangsaan kita tahun ini bertemakan 'Nasionalisme Teras Perpaduan'. Penerapan tema ini akan menebalkan semangat kita menentang perpecahan, pergisiran dan unsur-unsur negatif. Kita akan cuba mengelakkan sebarang unsur yang membawa kepada perpecahan. Semua ajaran dan fahaman yang wajar dan semua seruan dan amalan yang bermanfaat tentulah tidak membawa kepada perpecahan. Kita haruslah meneliti dua-tiga kali apa-apa seruan, propaganda atau emosi yang menuduh umat lain buruk, salah dan daif; kita teliti dua-tiga kali segala tindakan kita yang mungkin membawa kepada perbalahan dan perpecahan. Banyak liku-liku sejarah yang membuktikan bahawa perpecahan membawa kepada keruntuhan dan kemunduran. Tidak satu pun kemajuan yang dapat dicapai oleh satu-satu masyarakat tanpa perpaduan. 14. Inilah pentingnya pengajian atau penelitian ke atas sejarah. Janganlah diteliti sejarah negara sendiri sahaja. Hendaklah kita kaji sejarah semua tamadun di dunia ini. Apabila terdapat ketamakan, keutamaan kepada kepentingan diri daripada kepentingan ramai dan pandai mencari kesalahan orang lain sahaja dan lain-lain gejala, satu-satu masyarakat itu akan menjadi lemah dan akhirnya hancur, atau ia akan dijajah semula. Sepanjang sejarah manusia, proses ini berlaku. Ianya harus menjadi pelajaran kepada kita. Janganlah kita mendewakan perpecahan, sebaliknya hendaklah kita menerapkan perpaduan semoga apa yang telah kita capai tidak akan hancur, bahkan kemajuan yang lebih tinggi dapat dicapai. Tuan-Tuan dan Puan-Puan, 15. Kemuncak sambutan kemerdekaan negara adalah naiknya bendera negara pada malam merdeka di Padang Kelab Selangor dan perisytiharan di Stadium Merdeka. Selepas itu selama 27 tahun sambutan seluruh negara berpusat di Kuala Lumpur. Kita tidak juga lupa peristiwa pengumuman tarikh kemerdekaan di Bandar Hilir, Melaka, yang merupakan satu lagi detik sejarah kebebasan negara. Dengan itu, adalah sangat sesuai kita mengadakan sambutan peringkat nasional Hari Kebangsaan tahun ini di Melaka. Bukan itu sahaja, Melaka juga merupakan pusat empayar yang utama dalam sejarah tanahair. Semoga sambutan di Melaka akan menyemarakkan lagi semangat kemerdekaan dan semangat membela maruah bangsa -- semangat kebangsaan, semangat nasionalisme. 16. Akhirnya, marilah kita bersama-sama menerapkan semangat tema sambutan Hari Kebangsaan kita iaitu 'Nasionalisme Teras Perpaduan'. Bersyukurlah kita dengan pencapaian kita setakat ini, lebih-lebih lagi kita dapat menyambut hari bahagia ini dengan tenteram dan damai. Saya mengucapkan selamat menyambut Hari Kebangsaan yang ke-28. Wabillahi taufik walhidayah wassalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh, dan selamat sejahtera. |