home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	BATU TIGA, SHAH ALAM, SELANGOR 
Tarikh/Date 	: 	01/09/85 
Tajuk/Title  	: 	PELANCARAN JUALAN KERETA NASIONAL 
			DAN PEMBUKAAN RASMI IBU PEJABAT 
			EDARAN OTOMOBIL NASIONAL 




Yang Berhormat Menteri-Menteri dan Timbalan-Timbalan Menteri; Dif-Dif
Kehormat; Tuan-tuan dan puan-puan sekalian.

Saya mengucapkan terima kasih kepada pihak Edaran Otomobil Nasional atau
EON kerana menjemput saya untuk melancarkan jualan Kereta Nasional dan
membuka dengan rasminya Ibu Pejabat EON ini.

2. Saya mengucapkan tahniah kepada pihak PROTON dan EON sempena dengan
pelancaran jualan PROTON SAGA ini. Hari ini ialah hari yang bersejarah
bagi industri kereta khususnya dan bagi industri berat negara ini
amnya. Kalau selama ini kita telah mendengar pembinaan kilang Kereta
Nasional, pembuatan Kereta Nasional, dan beberapa langkah memperkenalkan
PROTON SAGA kepada orang ramai, hari ini rakyat Malaysia akan mula membeli
dan memiliki kereta buatan kita sendiri. Saya akui bahawa sebahagian besar
daripada Kereta Nasional ini masih dibuat di luar negeri. Tetapi yang
penting ialah titik permulaan telah dibuat dan selangkah demi selangkah,
dengan cermat kita akan capai matlamat kita, Insya-Allah.

3. EON telah pun menubuhkan cawangan-cawangannya di seluruh negara. Saya
berharap EON akan dapat memenuhi semua pesanan yang dibuat dengan cekapnya
dan dengan secepat mungkin. Satu perkara yang penting dan yang mesti
dirancang dengan teliti oleh pihak EON ialah perkhidmatan sokongan atau
'back-up services'. EON hendaklah mempastikan sebarang keperluan alat-alat
gantian Kereta Nasional ini mudah diperolehi di mana-mana. Saya yakin EON
telah pun membuat kajiannya sendiri terutama ke atas operasi agensi-agensi
pasaran kereta yang telah lama bertapak di negara ini.

4. Harga Kereta Nasional ini adalah sangat-sangat berpatutan dan
'competitive'. Sebabnya bukanlah kerana kualiti rendah tetapi kerana
Kerajaan ingin melihat seberapa ramai daripada rakyat Malaysia memiliki
kereta buatan Malaysia ini.

Tuan-tuan dan Puan-puan, 

5. Satu unsur penting dalam strategi perindustrian negara ialah penumpuan
yang akan diberi kepada pembangunan industri berat. Bagi setengah-setengah
orang, terutama bagi para pengkritik, industri berat bermakna HICOM dan
beberapa industri yang sungguh besar. Yang sebenarnya industri berat
mengikut tafsiran pembangunan negara kita termasuklah kilang-kilang simen,
besi berongga, besi waja, loji ammonia-urea, kilang kertas dan palpa,
kilang petrokimia, serta projek-projek tenaga. Bagi pengkritik HICOM,
mereka terlajak dengan mengkritik industri berat keseluruhannya, tanpa
menyedari banyak industri berat di negara ini telah lama wujud dan telah
mencapai kejayaan. Masa akan membuktikan kejayaan HICOM dan Kereta
Nasional ini. Janganlah kerana ingin membuktikan kebenaran kritikan mereka
itu, para pengkritik sengaja berusaha menggagalkan projek-projek industri
berat kita.

6. Faedah daripada pembangunan industri berat adalah banyak. Berbagai
faedah sampingan dan rantaian kepada ekonomi negara, atau 'linkages to
domestic economy', akan kita perolehi. Pertamanya industri-industri berat
akan dapat menggunakan lebih banyak sumber tempatan dalam pengeluaran
mereka. Keduanya ialah penjimatan pertukaran asing. Sekiranya
barang-barang yang menggunakan modal yang tinggi ini tidak dikeluarkan di
negara kita, kita terpaksa mengimport dari luar negeri. Proses
industrialisasi tidak akan lengkap sehingga kita berkeupayaan dalam
industri berat. Memang menjadi amalan semua negara yang ingin menjadi
negara perindustrian atau industrialised country, mengadakan industri
berat untuk menjadi asas dan penggerak ke arah matlamat perkembangan
industri.

7. Pemindahan teknologi telah selalu saya perkatakan. Pemindahan teknologi
bagi sektor ini adalah sangat luas, dan ianya adalah salah satu faedah
yang besar dalam industri berat. Di samping itu, industri-industri berat,
terutamanya industri besi dan kejuruteraan, juga akan menyediakan asas
untuk memajukan teknologi tempatan atau 'home-grown technology'. HICOM,
misalnya, bukan sahaja dapat mewujudkan peluang-peluang pekerjaan, tetapi
juga merupakan tempat bagi para jurutera dan ahli-ahli teknikal kita
menggunakan pengetahuan, mengasah kemahiran dan membuat eksperimen ke atas
idea baru masing-masing. Bahkan saya yakin industri-industri berat
merupakan satu tempat untuk mencungkil teknologi pembinaan dan
kejuruteraan yang unggul. Penubuhan industri-industri berat akan
memberikan cabaran yang sewajarnya kepada para jurutera, ahli-ahli sains
dan juru teknologi negara kita. Lebih banyak industri seperti ini, maka
lebih mencabarlah teknologi-teknologi ini kepada mereka. Namun demikian
tidak akan berlaku pemindahan teknologi jika kita cuma menunggu teknologi
datang bergolek kepada kita. Kita mesti mencari dan mengejar teknologi
dengan penuh minat dan ketabahan hati di mana sahaja teknologi berada.

8. Industri berat memberi peluang juga kepada pengurus-pengurus dan
pegawai-pegawai teknikal mengurus syarikat-syarikat perindustrian
besar. Pada hari ini, lebih ramai pegawai-pegawai teknikal yang berpeluang
memegang jawatan pengurusan tinggi di syarikat-syarikat industri
berat. Kemahiran pengurusan ini adalah penting bagi proses perindustrian
negara kita, bahkan penting bagi pembangunan perindustian di negara-negara
lain. Ahli-ahli teknikal dan profesyenal mestilah mempunyai fikiran yang
terbuka supaya mereka tidak dikongkong oleh pendapat mereka semata-mata
dan tidak mengambil-kira pendapat orang lain.

9. Dari perspektif pengagihan kekayaan, industri berat tidak ditumpukan di
negeri-negeri yang maju sahaja, tetapi sebaliknya ditempatkan juga di
negeri-negeri yang kurang maju. Kilang-kilang simen, kertas dan palpa,
besi waja, kompleks petro-kimia dan lain-lain didirikan di negeri-negeri
yang kurang maju. Penempatan dan pertumbuhan setengah daripada
industri-industri ini akan dapat membantu mengurangkan perbezaan
pendapatan antara negeri-negeri di negara kita. Di samping itu baru-baru
ini telah tersiar di akhbar-akhbar pendapat yang menyatakan proses
industrialisasi akan menjejas prestasi pertanian di negara-negara
membangun. Pendapat seperti ini yang selalunya tidak berasas dan sering
pula salah, tidak perlu diberi layanan oleh orang-orang yang berfikiran
waras. Perancang-perancang ekonomi negara bukanlah terdiri daripada
orang-orang yang tidak berpengetahuan luas dan berpengalaman.

Tuan-tuan dan puan-puan, 

10. Kejayaan atau kegagalan sesuatu rancangan yang kita buat bergantung
kepada diri kita sendiri. Demikian juga dengan rancangan industri berat
dan Kereta Nasional ini. Jika kita hanya tumpukan kepada
kelemahan-kelemahan kita dan kita melemahkan semangat dan kesanggupan
untuk bekerja keras, sudah tentu kita akan gagal. Jika kita menerima
pendapat pengkritik-pengkritik, hari ini bukan sahaja kita tidak akan
melihat PROTON SAGA, tetapi mungkin juga kita tidak akan ada ladang getah,
kelapa sawit atau koko atau perindustrian petroleum. Jika kita lihat
laporan-laporan dalam akhbar-akhbar di masa dahulu, semua industri ini
juga telah dikritik kerana kononnya tidak praktikal, merugikan dan
sebagainya.

11. Kita akui bahawa kita tidak boleh mengikut kehendak hati. Tetapi,
janganlah anggap semua yang kita rancangkan didorong oleh angan-angan Mat
Jenin. Kita memasuki bidang pembuatan kereta setelah kajian mendalam
dibuat, setelah segala perhitungan dikaji dan dikaji semula. Kita tidak
berlari sebelum boleh berjalan. Kita mula dengan satu langkah yang kecil
dan kita mengorak langkah demi langkah dengan berjaga-jaga. Namun
demikian, mungkin juga kita akan membuat kesilapan pada satu hari. Dan
mereka yang menjadi pengkritik profesyenal akan berkata, "Ah, lihat. Aku
dah kata". Tetapi kita tidak boleh kecewa dan tidak boleh lemah
semangat. Kita harus ingat bahawa tiada industri di mana-mana pun, yang
tidak mengalami kesilapan.

12. Kita mengadakan Perusahaan Otomobil Nasional bukanlah untuk membuat
kereta semata-mata. Di samping itu juga kita menegakkan maruah bangsa dan
negara. Kereta Nasional bukan sahaja kereta yang bermutu. Ia melambangkan
kita sebagai bangsa yang bermaruah, bangsa yang sanggup menghadapi
cabaran, bangsa yang bila jatuh akan bangun semula, dan mengatasi sebarang
rintangan dan akan berjaya. Kereta Nasional adalah satu lagi langkah ke
arah menegak maruah bangsa. Langkahnya tidak besar tetapi besar
ertinya. Semua yang diusahakan oleh manusia bermula dengan satu titik
permulaan. Walaupun pada mulanya ia merupakan satu titik yang kecil tetapi
potensinya untuk membesar tidaklah terhad.

13. Justeru itu janganlah diperkecilkan usaha ini.

Janganlah dengan sengaja cuba menggagalkan Kereta Nasional
ini. Sebaliknya, berbanggalah dengannya, berbanggalah dengan kebolehan
kita, berbanggalah dengan permulaan yang telah kita terokai. Jika kita
berjaya bukan sahaja kita akan dihormati tetapi kita juga akan memperolehi
keuntungan daripadanya. Sebaliknya, jika kita gagal bukan sahaja kita akan
rugi tetapi dunia akan ketawakan kita. Orang-orang Malaysia yang berusaha
menggagalkan usaha kita ini juga akan diketawakan oleh dunia.

Tuan-tuan dan puan-puan, 

14. Saya mengucapkan tahniah kepada pihak pengurusan dan pekerja-pekerja
HICOM, PROTON dan EON. Mereka telah berusaha dengan gigih dan dedikasi
untuk menjayakan projek ini. Hasil usaha merekalah yang kita saksikan hari
ini, sebuah kereta yang bermutu tinggi yang setanding dengan lain-lain
kereta. Tentu sekali semua kakitangan HICOM, PROTON dan EON berasa bangga
dengan kejayaan mereka. Perasaan bangga atau 'pride' ini dengan sendirinya
menjadi ganjaran kepada mereka. Pride tanpa angkuh - atau 'pride with
humility' adalah sifat yang mulia dan perasaan ini harus dipupuk di
kalangan semua pekerja. Gaji atau 'wages' daripada kerja memang penting
tetapi jikalau kerja itu hina atau berbau jenayah, gaji yang tinggipun
tidak menjadi mulia. Kerja-kerja yang dibuat oleh pekerja-pekerja industri
ini dan industri-industri lain yang 'legitimate' adalah mulia walaupun
tangan kita kotor sedikit. Kerja yang dibuat dengan cekap, yang
menghasilkan barang yang bermutu tinggi adalah kerja yang amat
mulia. Tidaklah salah jika pekerja berasa bangga dengan hasil
kerjanya. Jika setiap barangan Malaysia bermutu tinggi, maka kita semua
boleh berbangga dan sudah tentu negara akan maju dan rakyat lebih bahagia.

15. Saya menyeru semua pekerja HICOM, PROTON dan EON supaya mengekalkan
sifat-sifat yang mulia ini dan terus bekerja untuk mengeluar dan
memasarkan Kereta Nasional yang mutunya tidak dapat dipertikaikan oleh
sesiapa.

16. Amatlah tepat kita melancarkan penjualan Kereta Nasional ini sejurus
selepas kita merayakan Hari Kebangsaan. Semangat kebangsaan mestilah
dicerminkan dalam kereta yang kita hasilkan. Saya yakin semua pihak yang
terlibat sedar akan hakikat ini.

17. Dengan ini saya dengan sukacitanya melancarkan penjualan Kereta
Nasional dan merasmikan pembukaan Ibu Pejabat Edaran Otomobil Nasional.

Terima kasih. 
 



 
Google