home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	MELALUI RADIO DAN TELEVISYEN 
			MALAYSIA (RTM) 
Tarikh/Date 	: 	15/09/85 
Tajuk/Title  	: 	SEMPENA AWAL MUHARAM MELALUI RADIO 
			DAN TELEVISYEN MALAYSIA 




 Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Alhamdulillah, syukur kita kepada Allah Subhanahu Wataala, kerana dengan
limpah kurnia dan izinNya, dapat kita bersama-sama sekali lagi menyambut
tahun baru Hijrah 1406 ini.

2. Bahawa Hijrah Nabi Muhammad s.a.w. dari Mekah ke Madinah menjadi
permulaan kalendar Islam mempunyai makna yang amat besar. Hijrah berlaku
12 tahun selepas Nabi menerima wahyu untuk menegakkan Islam. Hijrah juga
berlaku lebih kurang 11 tahun sebelum agama Islam di sempurnakan dan
wafatnya Nabi Muhammad s.a.w. Penentuan Hijrah sebagai Awal Muharam
tentulah bermakna bahawa Hijrah adalah satu peristiwa yang penting dalam
sejarah menegak dan mengembangkan Islam. Pada hari yang mulia ini,
bersama-samalah kita merenungkan akan hikmat dan panduan dari peristiwa
Hijrah.

3. Apakah yang berlaku dalam peristiwa Hijrah? Yang pertamanya, Nabi
Muhammad s.a.w. telah meninggalkan kota Mekah yang disayanginya untuk
menyelamatkan penganut- penganut Islam, para sahabat serta diri Baginda
sendiri dengan berpindah ke Madinah. Perjalanan Nabi amat bahaya dan
Baginda diburu oleh musuh dari Mekah. Baginda terpaksa bersembunyi dalam
gua pada satu ketika dan Allah Subhanahu Wataala telah menyelamatkan
RasulNya apabila musuh datang ke pintu gua. Akhirnya Allah Subhanahu
Wataala telah membuka hati orang-orang Yathrib atau Madinah supaya
menyambut baik kedatangan Nabi. Orang-orang Muhajirin dari Mekah dan
orang-orang Ansar dari Madinah telah menerima masing-masing sebagai
saudara dan melupakan apa-apa sengketa antara mereka. Dari tarikh itu,
Islam berkembang dengan amat pesat dan segala halangan dari musuh-musuh
Islam telah dapat diatasi oleh Rasulullah s.a.w.

4. Hijrah bukan sahaja bermakna 'berpindah' dari satu tempat ke tempat
lain, tetapi ianya juga bermakna berpindah atau meninggalkan satu
perbuatan atau pekerjaan yang boleh membawa keburukan supaya akhirnya
kejayaan dicapai. Berhijrah bererti merancang dengan mengambilkira
kelemahan diri sendiri dan tidak berdegil dan mengikut nafsu. Sebelum
daripada peristiwa Hijrah orang Islam telah dihantar ke negara Habsyah
untuk menyelamatkan diri -- sekali lagi menunjukkan betapa Islam sanggup
berundur setapak ke belakang supaya dapat melangkah dua tapak ke
hadapan. Jelaslah bahawa peristiwa Hijrah membawa banyak pelajaran kepada
orang Islam yang boleh menyelamatkan mereka dan membawa kemajuan bagi
mereka.

5. Rasulullah s.a.w. tidak berhijrah semata-mata untuk menyelamatkan diri
Baginda. Hijrah Junjungan Besar kita ialah supaya Baginda dapat meneruskan
kerja-kerja mengembangkan syiar Islam yang pada ketika itu belum lengkap
lagi dan belum selesai bentuknya. Hasil daripada pengunduran sementara ke
Madinah ialah agama Islam seperti yang kita tahu hari ini, lengkap dengan
fardhu 'ain dan fardhu kifayah dan panduan-panduan hidup yang menyeluruh.

6. Sebenarnya Allah Subhanahu Wataala boleh melindung suruhanNya daripada
apa sahaja malapetaka kerana Allah Mahakuasa. Tetapi peristiwa Hijrah
menunjukkan walaupun Pesuruh Allah Subhanahu Wataala diberi segala
perlindungan, ini tidak bermakna bahawa semuanya harus diserah kepada
Allah Subhanahu Wataala semata-mata. Ikhtiar mestilah ada dan penghijrahan
Nabi dari Mekah ke Madinah ialah satu ikhtiar dan ikhtiar itu telah
dibantu dengan pertolongan Allah Subhanahu Wataala sepanjang
waktu. Tentulah orang Islam tidak boleh menyerahkan segala-galanya kepada
Allah Subhanahu Wataala tanpa berikhtiar dalam apa juga usaha. Doa dan
sembahyang dan lain-lain yang diwajibkan perlu kita amalkan, tetapi
ikhtiar dan usaha mesti ada selagi kita hidup, selagi ada orang Islam,
masyarakat Islam dan negara Islam. Ikhtiar dan usaha ini pula mestilah
dijalankan mengikut rancangan yang mengambilkira kedudukan penganut Islam.

7. Sebelum Junjungan kita berhijrah dari Mekah ke Madinah pada tahun ke 12
kerasulan, sudah terdapat perhubungan yang rapat antara orang Islam di
Mekah dengan kaum Ansar yang sudah ramai memeluk agama Islam, termasuk
beberapa orang kenamaan dan pembesar-pembesar mereka. Di samping itu
sebelum Rasullullah dan orang Islam Mekah berhijrah ke Madinah, sudah pun
ada perjanjian atau sumpah setia orang Islam Madinah menjaga Rasullullah
dan penganut-penganut Islam Mekah apabila berhijrah ke Madinah. Inilah
yang dipanggil 'Perjanjian Aqabah'. Ketibaan orang Islam Mekah ke tempat
baru adalah dengan penuh kerelaan orang-orang Madinah, walaupun yang
beragama Islam di antara mereka tidak begitu ramai. Selepas penganut Islam
bertambah ramai di Madinah dan selepas terdapatnya satu perjanjian,
Rasullullah s.a.w. dan penganut-penganut Islam tidak terburu-buru
merancang untuk balik ke Mekah. Mereka bersabar dan berusaha mendirikan
Kerajaan Islam di Madinah. Ekonomi Madinah juga diperkukuhkan dan sudah
tentu pertahanannya. Beberapa percubaan yang dibuat oleh kaum Jahiliah
untuk menawan Madinah telah ditewaskan oleh pengikut-pengikut Rasulullah
s.a.w. Akhirnya, apabila Madinah sudah cukup kuat, maka barulah
usaha-usaha dibuat untuk kembali ke Mekah. Di sini kita mendapat panduan
bukan sahaja tentang kesabaran tetapi juga tentang pentingnya menentukan
kemampuan sebelum sesuatu rancangan diselenggarakan. Sebelum kuat,
Rasulullah lebih suka menggunakan diplomasi.

8. Dapat kita rumuskan bahawa Hijrah orang Islam ke Madinah bukan
dilakukan dengan terburu-buru tetapi dengan penuh persediaan dan
perancangan. Di samping berbagai hikmah dan pengajaran yang boleh kita
dapati daripada peristiwa Hijrah, peristiwa itu menonjolkan juga
pengajaran tentang betapa pentingnya perancangan yang teliti.

9. Di Malaysia, Kerajaan mengamalkan perancangan jangka panjang dalam
semua program atau rancangan pembangunannya. Begitulah juga halnya dalam
usaha Kerajaan untuk meninggikan syiar Islam di negara ini. Kita tidak
melaungkan sesuatu yang berkaitan dengan Islam bagi tujuan menarik
sokongan rakyat kepada Kerajaan. Perancangan Kerajaan mengenai Islam
termaktub dalam sistem pelajaran, perancangan pembangunan kita dan
beberapa perancangan lain yang sesuai dengan taraf Islam sebagai agama
rasmi negara ini. Apabila kita menyebut tentang penerapan nilai-nilai
Islam, Kerajaan, mengikut perancangannya, berpendapat bahawa adalah lebih
baik usaha-usaha ini dimulakan dahulu di dalam pentadbiran
Kerajaan. Nilai-nilai Islam yang kita terapkan ini juga merupakan
nilai-nilai universal yang mudah difahami oleh semua rakyat. Oleh sebab
itulah maka nilai-nilai ini disambut dan diterima oleh setiap lapisan
masyarakat majmuk negara ini. Tujuan kita mengenal dan menerapkan
nilai-nilai ini adalah untuk menjamin wujudnya masyarakat Malaysia yang
berdisiplin, bermaruah dan bertamaddun, insyaAllah. Masyarakat seperti ini
tetap akan menyelamatkan orang-orang Islam dan juga orang-orang lain.

10. Kerajaan juga mengadakan perancangan yang teratur mengenai
projek-projek yang berlandaskan prinsip-prinsip Islam. Kita mengambil masa
bagi memikir dan merancang sebelum melaksanakan Universiti Islam
Antarabangsa, Bank Islam dan baru-baru ini Syarikat Takaful
pula. Sekiranya perancangan tidak diutamakan, mungkin kita terburu-buru
melaksanakan apa-apa sahaja yang menggunakan nama Islam yang mungkin
mengakibatkan kegagalan akhirnya.

11. Perancangan yang kita buat mengambilkira bukan sahaja keupayaan kita,
tetapi juga kelemahan kita yang harus kita akui. Keangkuhan kuasa dan
nafsu tidak boleh dibiarkan mempengaruhi rancangan yang kita
buat. Perhitungan yang teliti amat perlu jika sesuatu rancangan hendak
mencapai matlamatnya. Jika perhitungan ini silap, terutama jika didorong
oleh nafsu, maka keburukan yang akan menimpa kita amatlah berat. Para
perancang yang bertanggungjawab mestilah mengambilkira semua faktor,
walaupun akhirnya yang akan menentukan kejayaan atau kegagalan sesuatu
perancangan itu ialah Allah Subhanahu Wataala. Nabi Muhammad s.a.w. adalah
contoh yang mulia bagi kita dan Hijrah Baginda adalah contoh yang kita
harus teladani sebagai umat Islam yang setia.

12. Oleh itu, bersempena tahun baru Hijrah 1406 ini, sewajarnyalah kita
mengubah sikap dan memperbaharui azam dengan semangat maju ke hadapan
untuk menepati hikmat Hijrah Rasullullah s.a.w.

Wabillahitaufik walhidayah wassalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh. 
 

 



 
Google