home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	:	JALAN TUN ISMAIL, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	26/09/85 
Tajuk/Title  	: 	UPACARA PERASMIAN KOMPLEKS 
			UMNO MALAYSIA 




 Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Teramat Mulia Tunku
Abdul Rahman Putra Al-Haj; Yang Amat Berbahagia Tun Hussein Onn; Yang
Berhormat-Yang Berhormat; Dif-Dif Kehormat; Tuan-tuan dan puan-puan
sekalian.

Pada hari yang bahagia ini kita berkumpul untuk menyaksikan satu upacara
yang amat bermakna dalam sejarah politik UMNO, bahkan dalam sejarah
politik negara. Kita bukan sahaja akan merasmikan pembukaan sebuah
kompleks bangunan yang terbesar sekali yang pernah dimiliki oleh sebuah
parti politik di Malaysia, (ada setengah pihak yang berkata terbesar
sekali di dunia), tetapi juga kita akan melihat satu langkah raksaksa atau
'giant step' dalam kemajuan orang Melayu dan bumiputera di negara kita
ini.

2. Pada tahun 1946, apabila Kongres Pertubuhan-Pertubuhan Melayu dari
seluruh Semenanjung dan Singapura bersidang di Kelab Sultan Sulaiman di
Kampung Bahru, Kongres ini telah merancang penubuhan sebuah parti politik
orang Melayu yang dinamakan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu, atau
United Malays National Organisation atau ringkasnya UMNO. Kuala Lumpur
pada ketika itu, hampir tidak mempunyai sebuah pun rumah kedai yang
dimiliki oleh orang-orang Melayu. Pada ketika itu, orang-orang Melayu
seolah-olah orang asing di ibukota ini. Iklan dan papan tanda dalam bahasa
Melayu hampir tidak terdapat sama sekali.

3. Tetapi, hari ini bangunan yang terbesar sekali di Kuala Lumpur -
Kompleks UMNO Malaysia - dimiliki oleh orang-orang Melayu. Pemilik
kompleks ini ialah UMNO, parti politik orang Melayu yang terbesar di
Malaysia.

4. Kita sudah melangkah jauh semenjak UMNO ditubuhkan. Ibu Pejabat UMNO
pada mulanya ditempatkan dalam sebuah kedai kecil di Johor Bahru. Kemudian
ibu pejabat itu berpindah ke Kuala Lumpur. Pada tahun 1955, sebuah
Bangunan Ibu Pejabat UMNO telah dibina di Jalan Tuanku Abdul Rahman, atau
Batu Road pada ketika itu.

5. Walau bagaimanapun bukan ibu pejabat UMNO di Kuala Lumpur sahaja yang
mempunyai bangunan yang indah. Dengan kejayaan usaha Kerajaan meningkatkan
ekonomi orang-orang Melayu dan dengan kerjasama antara kaum yang
dihasilkan oleh Perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional, bilangan
bangunan-bangunan kepunyaan UMNO telah bertambah. Selain daripada UMNO
negeri, bahagian-bahagian dan cawangan-cawangan UMNO juga berjaya
mendirikan bangunan masing-masing. Sekarang kebanyakan bandar-bandar di
Malaysia mempunyai bangunan UMNO. Ini membuktikan bahawa UMNO adalah parti
untuk rakyat yang dianggotai dan disokong oleh rakyat. Sebagai bukti
bilangan ahli-ahli UMNO sudah meningkat lebih daripada satu juta orang.

6. Semua ini membuktikan kejayaan usaha Kerajaan Perikatan dan kemudiannya
Kerajaan Barisan Nasional untuk meningkatkan ekonomi orang-orang Melayu
dan bumiputera lain. Di samping terdirinya bangunan-bangunan UMNO, sudah
banyak bangunan-bangunan dan kedai-kedai orang-orang Melayu dan bumiputera
terdapat di bandar-bandar. Dengan itu, bandar-bandar pun bertukar wajah
menjadi lebih ke-Malaysiaan dan mencerminkan pembahagian harta kekayaan
yang lebih adil di antara kaum.

Tuan-tuan dan puan-puan, 

7. Kompleks ini selain daripada menjadi ibu pejabat UMNO Malaysia, juga
merupakan satu lambang peringatan dan penghargaan kepada tokoh-tokoh UMNO
yang telah meneroka dan membangunkan UMNO sebagai sebuah parti politik
yang berkesan dan berjaya di Malaysia. Oleh itu kita telah mengabadikan
nama tokoh-tokoh parti kita di bangunan-bangunan di Kompleks ini.

8. Secara kasarnya, Kompleks UMNO Malaysia ini mempunyai sebuah pusat
konvensyen, sebuah pusat pameran, sebuah menara pejabat dan sebuah
hotel. Pusat konvensyen dan pusat pameran dinamakan Pusat Dagangan Dunia
Putra atau Putra World Trade Centre, mengambil sempena nama Bapa
Kemerdekaan dan Bapa Malaysia, Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra
Al-Haj. Selain daripada itu, kita telah mengabadikan nama para pemimpin
UMNO seperti Allahyarham Dato Onn Jaafar, Allahyarham Tun Abdul Razak,
Allahyarham Tun Dr. Ismail dan Tun Hussein Onn. Menara 42 tingkat Kompleks
ini, di mana ibu pejabat UMNO ditempatkan, diberi nama 'Menara Dato' Onn',
Yang Di-Pertua UMNO yang pertama.

9. Dewan pameran di Pusat Dagangan Dunia Putra ini dinamakan 'Dewan Tun
Razak'. Pusat persidangan di Pusat Dagangan ini mempunyai beberapa buah
dewan. Dewan pleno yang terbesar dan yang boleh menampung 3,500 orang
dinamakan 'Dewan Merdeka'. Pusat persidangan ini juga mempunyai dua dewan
persidangan atau 'conference halls', dan dewan-dewan ini dinamakan 'Dewan
Tun Ismail' dan 'Dewan Tun Hussein'. Jelaslah, bahawa nama-nama bangunan
di Kompleks UMNO ini adalah lambang peringatan dan penghargaan UMNO kepada
pemimpin-pemimpinnya.

10. Sebenarnya, ini bukanlah selaras dengan khidmat dan jasa
pemimpin-pemimpin ini kepada UMNO. Kita memang tidak dapat membalas budi
pemimpin-pemimpin kita dengan sepenuhnya. Tetapi kita ikhlas dengan hasrat
menyatakan penghargaan kita kepada bekas-bekas pemimpin kita ini.

Tuan-tuan dan puan-puan, 

11. Hari ini wajarlah kita ahli-ahli UMNO bergembira dan berbangga dengan
perasmian Kompleks UMNO ini. Ia menjadi mercu kejayaan kita setakat
ini. Tetapi kita tidak boleh khayal dengan kejayaan yang kita telah capai
setakat ini.

12. Sebenarnya Kompleks ini belum lagi menjadi milik kita
sepenuhnya. Secara tidak langsung tuan punya Kompleks ini yang sebenarnya
ialah pihak bank. Kita telah meminjam wang yang banyak untuk membangunkan
Kompleks ini dan bangunan-bangunan di Kompleks ini telah dijadikan cagaran
pinjaman itu. Haruslah kita ingat kenyataan ini.

13. Apakah sebabnya yang kita meminjam wang untuk membangunkan Kompleks
yang begini besar; yang sebenarnya lebih besar daripada yang diperlukan
oleh Ibu Pejabat UMNO? Jawapannya ialah, amatlah tidak bijak jika kita
membina bangunan yang kecil dan murah mengikut kepentingan semasa kita di
atas sekeping tanah yang nilainya amat tinggi. Sekiranya kita berbuat
demikian kita akan mempunyai bangunan, tetapi kita tidak akan dapat hasil
daripadanya. Lebih daripada itu, kita akan rugi oleh kerana nilai
berjuta-juta ringgit dalam bentuk sekeping tanah seluas dua belas ekar
yang telah kita miliki sekian lama, tidak dapat memberi apa-apa keuntungan
kepada kita.

14. Jika kita menunggu sehingga kita mempunyai ongkos yang mencukupi
melalui kutipan yuran dan derma daripada ahli-ahli, kita tidak mungkin
mendirikan apa-apa bangunan sekalipun. Lebih lama kita menunggu, lebih
tinggi kos pembinaannya. Dan berapa banyakkah yang mungkin dikutip
daripada ahli-ahli? Rancangan saya menjual setem derma supaya setiap ahli
menderma $1/- sebulan telah luput begitu sahaja. Bukan sahaja duit yang
dikutip tidak sebanyak mana, tetapi kadang-kadang setem pun hilang, bahkan
si pengutip pun hilang juga.

15. Sebaliknya, jika kita adakan kompleks yang sejajar dengan keluasan dan
nilai tanah kita ini, mudah-mudahan kita akan dapat hasil untuk membayar
balik pinjaman kita. Namun demikian kita masih memerlukan derma dan
bantuan-bantuan lain untuk membayar pinjaman. Sementara itu, kita harus
ingat bahawa Kompleks ini masih dimiliki sebenarnya oleh bank-bank dan
kita tidak boleh bergantung kepada pendapatan daripada sewa untuk
membiayai pengurusan UMNO, terutama di waktu 'kebanjiran' ruang pejabat
yang sedang dialami di Kuala Lumpur pada masa ini.

Tuan-tuan dan Puan-puan.

16. Pembinaan bangunan walaupun sebegini besar dan komplek adalah
mudah. Jika kita sanggup membayar kita akan dapat orang yang sanggup
membinanya. Walau bagaimanapun, yang penting bukan sahaja pembinaan,
tetapi juga penyelenggaraan dan penggunaannya. Kalau kita tidak tahu
menyelenggara dan menggunakan bangunan yang cantik, bangunan macam
mahligai dan kemas seperti Fort Knox sekalipun akan menjadi buruk, kotor
dan usang dalam tempuh masa yang pendek.

17. Penyelenggaraan dan pengawasan Kompleks ini telah diserahkan kepada
sebuah syarikat profesional. Kita percaya mereka akan menjaga dengan
baiknya Kompleks ini.

18. Kompleks UMNO Malaysia ini akan digunakan bukan sahaja oleh ahli-ahli
UMNO di waktu mesyuarat-mesyuarat tertentu tetapi juga oleh orang
ramai. Sama ada Bangunan ini terus bersih dan terus menarik bergantung
kepada sikap kita sendiri.

19. Saya memohon maaf awal-awal lagi untuk berterus terang. Saya
berpendapat sementara kita cintakan alam sekitar yang cantik, kita tidak
pula berusaha menjaga keadaan sekitar kita. Jika ada sahaja perhimpunan
yang besar, maka sampah sarap dibuang dengan begitu bebas. Bilik-bilik air
dan tempat-tempat mencuci bukan sahaja dikotorkan, tetapi juga dirosakkan
dalam sekelip mata.

20. 'Alnazafatul Minal-Iman' - Kebersihan adalah sebahagian daripada
iman. Saya berharap kita semua akan menghayati seruan Nabi Muhammad
s.a.w. dan kita selalu mempastikan kita tidak menjadi punca kekotoran atau
kerosakan di sekitar kita. Benda yang cantik patut kita sayangi. Ahli-ahli
UMNO sekarang, memiliki bangunan yang cantik ini. Cemburuilah
kecantikannya seperti kita cemburu jika beristeri cantik! 

Tuan-Tuan dan Puan-Puan, 

21. Pusat Dagangan Dunia Putra telah dicipta sebagai pusat perdagangan di
mana bermacam-macam pameran yang kecil dan besar dapat diadakan. Kita
berharap juga dengan adanya Pusat Dagangan ini, Kuala Lumpur dan Malaysia
akan menjadi satu pusat persidangan atau 'convention centre' untuk
dunia. Kita bukan sahaja berharap kita akan memperolehi pendapatan
daripada persidangan dan pameran yang akan diadakan di sini, tetapi kita
percaya Pusat Dagangan Dunia Putra ini akan membantu Kerajaan meningkatkan
bilangan para-pelancong dan tetamu ke negara kita.

Tuan-tuan dan Puan-puan, 

22. Tanpa menjadi angkuh UMNO bolehlah bermegah dengan Kompleks ini. Ianya
patut memperingati kita bahawa perjuangan kita berhasil, walaupun masih
banyak yang perlu dibuat untuk menjadikan negara majmuk ini sebuah negara
di mana semua kaum berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah sebagai
rakyat yang setia. Ianya patut memberi semangat dan mendorong kita untuk
lebih berusaha dan membulatkan tenaga bagi meningkatkan lagi keupayaan
orang Melayu dan bumiputera. Ianya patut memperingati kita tentang
perjuangan pemimpin-pemimpin kita yang lama, menghargai perjuangan ini dan
menjadikannya sebagai contoh dan teladan. Janganlah kerana kepentingan
diri, kita hancurkan hasil usaha mereka yang mendahului kita dalam
UMNO. Janganlah kita lupa bahawa parti adalah lebih utama daripada diri
sendiri.

Tuan-tuan dan Puan-puan, 

23. Pada hari yang bersejarah ini kita telah menjemput bukan sahaja
tokoh-tokoh lama parti UMNO, tetapi juga tokoh-tokoh dari parti-parti
komponen Barisan Nasional, serta parti-parti pembangkang. Saya mengucapkan
berbanyak terima kasih atas kehadiran tokoh-tokoh yang dihormati ini. Kita
tidak berniat untuk mendapat apa-apa modal politik daripada upacara pada
hari ini, sebaliknya sekadar memperlihatkan komitmen kita kepada demokrasi
dan pengiktirafan kita terhadap masyarakat majmuk di negara ini.

Tuan-tuan dan Puan-puan, 

24. Saya berdoa supaya negara kita Malaysia dipelihara oleh Allah yang
Maha Kuasa
daripada segala malapetaka. Saya berdoa supaya kita semua dapat hidup
rukun damai. Dan saya berdoa supaya perasmian Kompleks ini akan
menimbulkan keinsafan di kalangan ahli-ahli UMNO akan tanggungjawab yang
telah diletakkan ke atas bahu mereka supaya mereka akan memikul
tanggungjawab ini dengan rela dan hati yang tabah, tanpa mengutamakan
kepentingan diri.

25. Dengan harapan ini, saya dengan segala sukacitanya membuka Kompleks
UMNO MALAYSIA ini dengan rasminya.

Wabillahi taufik walhidayah wassalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh. 
 

 



 
Google