home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	DEWAN MERDEKA, PUSAT DAGANGAN 
			DUNIA PUTRA 
Tarikh/Date 	: 	09/11/85 
Tajuk/Title  	: 	JAMUAN MAKAN MALAM PERSATUAN 
			PERKHIDMATAN TADBIR DAN DIPLOMATIK 




Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh, dan salam sejahtera; Yang
Mulia Pengerusi Majlis; Yang Berbahagia Dato' Dr. Abdullah Sanusi Ahmad,
Presiden PPTD; Tan Sri-Tan Sri; Dato-Dato; Tuan-Tuan dan Puan-Puan.

Saya mengucapkan terima kasih kepada Dato' Presiden dan ahli-ahli
Persatuan Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik kerana menjemput saya dan
isteri saya ke majlis makan malam tahunan Persatuan ini dan juga untuk
memberi sedikit pandangan tentang perkhidmatan awam.

2. Sepertimana tuan-tuan dan puan-puan sedia maklum Kerajaan telah
menegaskan perlunya usaha meningkatkan produktiviti di kalangan semua
sektor di negara kita termasuklah perkhidmatan awam. Menteri Kewangan di
dalam ucapan belanjawannya telah mengariskan kedudukan kewangan
negara. Antara lain beliau telah menarik perhatian Parlimen dan
keseluruhan negara terhadap saiz perkhidmatan awam kita yang amat besar
dibandingkan dengan beberapa negara jiran, negara-negara membangun dan
negara-negara maju. Malah pada tahun 1983 seorang dari tiap 17 orang
penduduk negara adalah pegawai Kerajaan berbanding dengan seorang bagi
tiap 29 orang di Brunei, 33 orang di Thailand, 37 orang di Singapura dan
43 orang di Filipina. Di kalangan negara- negara maju pula bilangannya
ialah seorang bagi tiap-tiap 25 penduduk di Jepun, dan seorang bagi 84
penduduk di Britain. Perbandingan ini menunjukkan bahawa negara kita
mempunyai begitu ramai pegawai untuk mentadbir negara yang bilangan
penduduknya begitu kecil. Peruntukan bagi emolumen atau gaji kakitangan
sektor awam merupakan 25% atau 1/4 daripada jumlah belanjawan negara
sebanyak $30.8 billion. Keadaan ini dengan sendirinya membuktikan
produktiviti yang rendah.

3. Kita seharusnya mengambil langkah mengecilkan saiz perkhidmatan awam
ini sambil meningkatkan keupayaan mentadbir. Beban kewangan yang dipikul
sekarang adalah terlalu besar dan akan menjadi lebih besar apabila
kakitangan yang bersara meningkat sementara pengganti mereka mengekalkan
paras bilangan yang tinggi.

4. Pengurangan saiz perkhidmatan awam tidak seharusnya menurunkan
keupayaan pentadbiran negara. Penggunaan mesin-mesin dan komputer-komputer
di pejabat sepatutnya mengurangkan beban pentadbiran. Juga dengan
pembentukan sistem kerja yang baru, masa untuk menyelesaikan sesuatu tugas
sepatutnya dapat dikurangkan. Di samping itu, dengan pengswastaan beberapa
tugas Kerajaan maka bilangan kakitangan Kerajaan dapat dikurangkan lagi.

5. Pekerja tidak akan rugi dengan pengswastaan kerana pendapatan mereka
dijamin tidak akan kurang daripada apa yang mereka terima semasa dalam
Kerajaan. Walaupun pendapatan Kerajaan akan dipindahkan kepada swasta, 40%
daripada pendapatan itu akan dipungut balik oleh Kerajaan sebagai
cukai. Di samping itu, pemindahan milik harta jabatan berkenaan akan
memberi hasil kepada Kerajaan yang bukannya sedikit.

6. Oleh kerana Kerajaan tidak lagi dikehendaki membayar gaji kakitangan
jabatan yang diswastakan, maka perbelanjaan Kerajaan dapat
dikurangkan. Wang yang diselamatkan ini boleh diagihkan untuk kakitangan
yang masih ada dalam Kerajaan dan untuk pembangunan. Dengan itu rakyat
tidak akan kehilangan perkhidmatan, pekerja tidak akan rugi dan Kerajaan
juga tidak akan rugi.

7. Salah satu daripada usaha-usaha untuk meningkatkan produktiviti ialah
kempen 'Kepimpinan Melalui Teladan' yang dilancarkan oleh Kerajaan pada
tahun 1983. Kita semua adalah manusia biasa. Oleh itu, walaupun kita
berusaha untuk menunjuk teladan yang baik, kadangkala kita tidak dapat
mengelakkan diri daripada melakukan sesuatu yang tidak menjadi teladan
baik. Janganlah kerana satu amalan yang tidak baik di antara banyak amalan
yang baik, maka kita canangkan yang tidak baik ini sebagai alasan kenapa
kita tidak harus mengamalkan teladan yang baik. Justeru itu kita semua
hendaklah cuba mencontohi dan menunjukkan teladan yang baik tanpa
berselindung dengan apa-apa alasan. Jadikanlah cogan kata 'Kepimpinan
Melalui Teladan' sebagai panduan gerak-geri dan khidmat kita. Insya-Allah,
kita semua akan dapat kebahagiaan daripada amalan ini, sementara negara
akan menikmati perkhidmatan yang membina.

Tuan-tuan dan puan-puan.

8. Kemelesetan ekonomi yang kita semua anggap sebagai satu fenomena jangka
pendek masih berterusan dan kita tidak boleh berharap bahawa ekonomi akan
pulih dengan sendirinya. Sama ada kita dapat mengatasi kesan kemelesetan
ekonomi atau tidak bergantung kepada kita. Tidaklah benar bahawa ekonomi
kita begitu terikat dengan ekonomi dunia sehingga kita tidak dapat membuat
apa-apa selagi ekonomi dunia tidak pulih. Kita masih mempunyai banyak
opsyen dan "courses of action" yang akan membantu kita menghadapi ekonomi
yang meleset dan memulihkannya.

9. Yang pertamanya ialah kita harus mengkaji dan menganalisa sikap
kita. Kita adalah negara membangun dan pendapatan per kapita kita ialah
1/5 sahaja daripada negara maju. Tetapi taraf dan cara hidup kita
mengambil ilham daripada negara maju. Undang-undang kita, methodologi dan
pendekatan kita, dan ukuran dan "standard" kita adalah berasaskan negara
maju. Sebenarnya, di waktu negara-negara maju mempunyai per kapita seperti
kita sekarang, taraf hidup mereka adalah rendah. Tetapi kita tidak
langsung mengambilkira kenyataan ini. Contoh kita ialah keadaan
negara-negara maju di waktu ini. Oleh kerana kita tidak mempunyai
kemampuan seperti negara-negara maju, maka berlakulah bermacam-macam
masalah kepada kita. Seperti perpatah Melayu 'Niat hati hendak peluk
gunung, apakan daya tangan tak sampai'. Justeru itu, tugas dan tindakan
pertama untuk mengatasi masalah kemerosotan ekonomi negara ialah menukar
sikap. Kita hendaklah akui had keupayaan kita dan kita hidup mengikut
keupayaan ini - "live within our means". Janganlah kita bersikap 'Biar
papa, asalkan bergaya'.

10. Setelah mengenal dan sanggup menukar sikap yang tidak menguntungkan
ini, maka kita harus berjimat-cermat dalam penggunaan peruntukan
kita. Jika kita kaji dengan teliti memang ada perbelanjaan yang boleh
dikurangkan. Kementerian Kewangan sedang membuat kajian mengenai hal ini
dan akan mengambil tindakan sewajarnya. Tetapi tidak kurang pentingnya
ialah kesanggupan kita menerima keputusan Kementerian Kewangan. Di samping
itu, kita juga harus bertindak sendiri mengurangkan perbelanjaan.

11. Peningkatan produktiviti telah saya sebutkan beberapa kali. Dahulu
saya telah mengesyorkan supaya kita semua sekurang-kurangnya menyumbangkan
15 minit lebih daripada waktu kerja yang ditetapkan. Ramai yang ketawa
dengan syor ini kerana kononnya tidak berkesan. Tetapi, jika kita dengan
ikhlas menjalankan kerja dalam masa 15 minit itu, kita akan menambah
sebanyak 3,500,000 "man-days" atau 10,000 "man-years" bagi tiap-tiap
tahun. Jika sekarang ini kita bekerja 7 jam sehari, bekerja 15 minit lebih
lagi bermakna tambahan 1,400 'kakitangan' Kerajaan. Sedikit sebanyak
tentulah ada hasil daripada bekerja lebih ini.

12. Amatlah sukar bagi kita mengukur kerja yang dijalankan oleh seseorang
itu. Ini menjadi lebih sukar kerana kita semua amat sensitif terhadap
apa-apa percubaan mengukur kerja yang dibuat oleh kita. Tetapi, tentu kita
tahu bahawa rakyat negara-negara tertentu mempunyai produktiviti yang
lebih tinggi daripada negara-negara yang lain. Kerana itu, pencapaian dan
pembangunan sesebuah negara adalah berbeza dengan sesebuah negara
lain. Kita perlu bertanya diri kita apakah produktiviti kita boleh dinilai
sebagai yang tertinggi sekali di dunia? Jika betul, maka tidak perlulah
kita berbuat apa-apa. Tetapi, jika kita akui bahawa produktiviti kita
bukan yang tertinggi sekali, maka tentulah ada ruang bagi memperbaiki lagi
prestasi kita.

13. Dalam bidang swasta, kenyataan yang tidak dapat dinafikan ialah
walaupun kita adalah sebuah negara membangun, tetapi kos pengeluaran kita
biasanya lebih tinggi daripada negara-negara lain. Banyak faktor yang
menyebabkan kos kita tinggi. Mungkin cukai terlalu tinggi, mungkin tarif
letrik tinggi, atau bahan mentah mahal. Tetapi mungkin juga kerana
pengurusan kita lemah, hasil kerja kita rendah, kita kurang effisyen,
methodologi dan pendekatan kita tidak baik atau kita kurang dedikasi atau
lain-lain. Ini jelas menunjukkan bahawa ada tindakan yang boleh diambil
oleh kita yang dapat menurunkan kos. Sebelum kita meminta orang lain
menurunkan kos, kita perlu bertindak dahulu untuk menjadikan barangan kita
lebih "competitive".

14. Apa yang benar bagi swasta, benar juga bagi perkhidmatan awam. Sebelum
kita salahkan orang lain, tidakkah lebih baik jika kita mengambil tindakan
dalam bidang-bidang di bawah kuasa kita. Saya yakin jika kita teliti
segala kuasa yang ada pada kita dan segala bidang yang boleh dipengaruhi
oleh kita, kita akan mendapati bermacam tindakan yang boleh kita ambil
untuk berjimat-cermat dan meningkatkan lagi produktiviti kita.

15. Dalam usaha kita untuk membangunkan negara dengan lebih pesat,
Kerajaan telah menggubal konsep Persyarikatan Malaysia. Dalam konsep ini,
sepertimana tuan-tuan dan puan-puan sedia maklum, negara Malaysia dianggap
sebagai sebuah syarikat dan semua pihak, sama ada swasta atau awam perlu
berusaha untuk menjayakan syarikat ini. Sudah tentu jika syarikat ini
maju, semua pihak akan mendapat dividen. Konsep dahulu ialah Kerajaan
adalah "regulator" masyarakat, iaitu badan yang mengawasi gerak-geri
masyarakat dan jika sesiapa melanggar aturan-peraturan atau undang-undang
maka Kerajaan akan bertindak terhadapnya. Dengan perkataan lain, pihak
awam dan pihak swasta berada dalam "adversary roles" dan permusuhan
biasanya tidak membuahkan hasil yang baik. Dengan Persyarikatan Malaysia,
kerjasama pihak awam dan pihak swasta akan menggantikan permusuhan, dan
produktiviti negara akan lebih mudah meningkat.

16. Konsep Persyarikatan Malaysia diasaskan juga kepada kesedaran bahawa
kewangan Kerajaan berpunca dari kegiatan pihak swasta. Jika swasta aktif
dan berjaya, maka cukai akan meningkat dan hasil daripada cukai inilah
yang sebenarnya dibelanjakan untuk membayar gaji dan pembangunan
negara. Tidak ada salah jika kita membantu pihak swasta kerana ingin
menambah cukai Kerajaan. Yang salah ialah apabila kita menolong pihak
swasta untuk mendapatkan sesuatu secara langsung bagi diri kita
sendiri. Oleh itu, mengikut Konsep Persyarikatan Malaysia, tugas
pegawai-pegawai Kerajaan ialah untuk menolong menjayakan aktiviti
swasta. Walaupun kerana kita berkata 'ya', seseorang peniaga mendapat
berjuta ringgit dan kita tidak mendapat apa-apa, kita sebagai pegawai
Kerajaan masih dikehendaki berkata 'ya'. Namun demikian, kita perlu
berlaku adil kepada semua, dan tidak berkata 'ya' kepada orang-orang
tertentu sahaja.

17. Tidak ada tempat untuk iri hati kerana kerja kita menyebabkan orang
lain menjadi kaya. Yang perlu kita ingat ialah kekayaan individu
menyumbang kepada kekayaan negara. Lebih ramai individu yang kaya, lebih
kaya negara; dan lebih kaya negara, tidak dapat tidak kita juga akan
menikmati kekayaan itu. Selain daripada kenaikan pendapatan rakyat dalam
sesebuah negara yang maju, kita juga tahu bahawa negara yang maju dapat
membekalkan berbagai-bagai kemudahan sosial dan fizikal kepada
rakyatnya. Dengan perkataan lain, penerimaan konsep Persyarikatan Malaysia
ialah supaya kedua-dua pihak iaitu awam dan swasta dapat menyumbangkan
segala potensi yang ada pada mereka untuk meningkatkan taraf hidup rakyat
keseluruhannya. Sistem cukai yang kita amalkan akan menentukan tujuan ini
dicapai. Begitu juga bagi orang Islam, zakat akan bertambah dan mereka
yang berhak akan mendapat habuan mereka.

Tuan-tuan dan puan-puan.

18. Di antara dasar-dasar utama Kerajaan yang sedang diutarakan ialah
penerapan nilai-nilai Islam di dalam pentadbiran. Seperti juga dengan
beberapa dasar lain, jurang di antara dasar dan pelaksanaan adalah amat
luas oleh kerana interpretasi dasar oleh pegawai-pegawai kadangkala dibuat
tanpa rujukan. Misalnya, apabila saya mengutarakan Dasar Pandang ke Timur,
banyak yang mentafsirkan dasar itu ialah supaya kita membeli barangan,
memberi kontrak dan sebagainya kepada negara-negara Timur ataupun
syarikat-syarikat mereka. Tafsiran itu nyata tidak betul. Demikian juga
dengan penerapan nilai-nilai Islam. Ramai yang menganggap dasar ini
sebagai 'open-cheque' bagi mereka berbuat apa sahaja atas nama penerapan
nilai-nilai Islam.

19. Adalah menjadi kewajipan pegawai-pegawai kanan Kerajaan bersama dengan
pemimpin-pemimpin politik untuk menjadikan dasar ini satu realiti. Tugas
yang utama, ialah untuk memahami dasar ini dan bagaimana ianya hendak
dilaksanakan. Sebenarnya apa yang dimaksudkan oleh dasar ini ialah bahawa
nilai-nilai seperti amanah, tanggungjawab, keikhlasan, dedikasi dan
lain-lain nilai yang murni dan mulia di sisi Islam dijadikan nilai-nilai
utama bagi diamalkan di dalam jentera dan pentadbiran Kerajaan. Ciptaan
rupa bentuk Islam yang ditekankan dengan lebih ghairah daripada tekanan
kepada nilai-nilai suci yang telah saya sebutkan, tidak akan mewujudkan
pentadbiran yang berkesan yang boleh dibanggakan oleh orang Islam dan
dihormati oleh orang lain. Ia tidak akan menjadikan Islam sebagai satu
cara hidup yang menarik. Sebaliknya oleh kerana kegagalan pentadbiran yang
dilaungkan sebagai berasaskan kepada nilai Islam, maka iman orang Islam
sendiri akan menjadi lemah dan pihak lain akan memandang hina kepada
Islam. Sesiapa yang dengan sengaja memesongkan tujuan penerapan
nilai-nilai Islam tidak syak lagi menghianati agama Islam.

Tuan-tuan dan puan-puan.

20. Saya telah membangkitkan beberapa perkara yang pernah saya huraikan
dahulu. Walaupun demikian saya mengulanginya pada malam ini oleh kerana
perkara-perkara ini memerlukan peringatan dan perhatian yang berat oleh
kita sepanjang masa.

21. Tidak sesiapapun yang suka dihinakan oleh orang lain. Tidak ada bangsa
atau negara yang mahu dipandang rendah dan dibelakangkan oleh
dunia. Tetapi semata-mata kerana kita tidak suka dihinakan tidak akan
menghindar orang lain daripada menghina kita. Yang akan menjamin supaya
dunia menghormati kita ialah nilai yang murni dan mulia yang kita amalkan
dan kejayaan yang pasti kita capai hasil daripada amalan ini. Oleh itu,
amalkanlah nilai-nilai tinggi yang disaran oleh Kerajaan dan berkhidmatlah
untuk kejayaan bangsa dan negara. Insya-Allah kita akan dihormati dan
disegani. Insya-Allah kita akan memperolehi kebahagiaan .

Tuan-tuan dan puan-puan.

22. Akhir kata, saya sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada Presiden
dan ahli-ahli Persatuan yang telah menjemput saya dan isteri saya ke
majlis ini. Saya juga berharap bahawa tuan-tuan dan puan-puan akan
berusaha dengan lebih gigih untuk meningkatkan lagi perkhidmatan awam demi
kepentingan bangsa dan negara.

Terima kasih.

Wabillahi taufik walhidayah wassalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh. 
 




 
Google