home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : DEWAN BANKUET, BANGUNAN PARLIMEN Tarikh/Date : 06/12/85 Tajuk/Title : UPACARA PENYAMPAIAN DIPLOMA MAKTAB TURUS ANGKATAN TENTERA Yang Berbahagia Tan Sri Jeneral Ghazali Che Mat, Penglima Angkatan Tentera; Dif-Dif Kehormat; Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian. Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Lembaga Maktab Turus Angkatan Tentera yang telah memberikan penghormatan untuk saya berucap dan seterusnya menyampaikan hadiah-hadiah, serta diploma-diploma kepada para graduan yang telah berjaya menamatkan kursus di Maktab Turus Angkatan Tentera bagi tahun 1985 ini. Kepada graduan-graduan sekalian, saya ucapkan tahniah di atas kejayaan saudara-saudara menyempurnakan latihan di Maktab ini. Adalah diharapkan saudara-saudara akan dapat menyumbang tenaga bakti dalam meningkatkan mutu perkhidmatan masing-masing serta cuba meninggikan lagi taraf professional saudara-saudara. 2. Sesungguhnya saya berasa gembira yang Maktab Turus ini telah dapat melatih pegawai-pegawai daripada negara sahabat, di samping melatih pegawai-pegawai tempatan. Penyertaan pegawai-pegawai luar negeri merupakan satu penghormatan dan pengiktirafan di atas sistem latihan tentera kita dan dengan secara tidak langsung dapat memperkayakan mutu pengajian serta prestasi Maktab ini ke taraf yang sejajar dengan maktab-maktab turus di negara-negara yang lebih maju. Persefahaman dan pertukaran pendapat di antara pegawai-pegawai tempatan dan pegawai-pegawai luar negeri semasa berkuliah di Maktab ini diharapkan akan dapat memupuk semangat kerjasama antarabangsa dan hormat menghormati antara satu sama lain. 3. Sehubungan dengan ini, saya suka mengingatkan bahawa tugas utama Angkatan Tentera adalah mempertahan dan memelihara keamanan, kemerdekaan dan kedaulatan negara agar penduduknya dapat hidup bebas untuk mengamalkan cara hidup masing-masing bagi mencapai kemakmuran. Kita tidak boleh berpuashati dengan kemakmuran dan keamanan yang wujud sekarang ini. Sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat, kita mesti terus menyusun benteng pertahanan dan sedia menghadapi segala ancaman dari dalam atau luar negeri. Saya suka menegaskan bahawa penyusunan sistem pertahanan yang tidak bersungguh-sungguh akan mendatangkan kekecewaan, penderitaan dan kemusnahan belaka. Kita telah saksikan keadaan ini berlaku di Vietnam Selatan dan Kampuchea di mana kegagalan pertahanannya telah mengakibatkan penderitaan, kehilangan kebebasan hidup, perampasan harta benda dan kemusnahan industrinya. Untuk melepaskan diri daripada penderitaan, rakyat Vietnam dan Kampuchea sanggup menyabung nyawa untuk melarikan diri ke negara-negara lain. 4. Kita, rakyat Malaysia nescaya akan mengalami nasib yang sama seperti ribuan pelarian-pelarian Vietnam yang mendarat di merata-rata pantai negara kita, sekiranya kita lalai atau tidak mempunyai sistem pertahanan yang kukuh. Untuk mengelakkan daripada kekalahan dan menyelamatkan rakyat jelata daripada kehancuran, kita mestilah menyusun satu sistem pertahanan dan keselamatan yang berkesan. Sistem ini mestilah berupaya menangkis segala bentuk ancaman dari dalam mahupun luar negeri. Inilah sahaja cara kita menjamin keamanan negara kita. 5. Strategi pertahanan kita mestilah sanggup mendokong satu konsep keselamatan yang menyeluruh yang merangkumi segala aspek kekuatan tentera, keutuhan ekonomi, kestabilan politik, keteguhan jentera pentadbiran, ketahanan psikoloji dan perpaduan rakyat. Jika dilihat daripada segi kepentingan negara, strategi ini adalah berdasarkan kepada cita-cita untuk menghindari sebarang peperangan, dan sebaliknya pula untuk menjamin hidup aman, damai, bebas dan berkecuali di samping jiran-jiran yang bersahabat dan hormat-menghormati antara satu sama lain. 6. Pembangunan sesuatu sistem pertahanan yang serba moden memerlukan pelaburan besar daripada segi pembelian senjata dan peralatan. Kita mudah terperangkap di dalam perlumbaan pasaran senjata yang hanya mementingkan kemajuan teknologi yang semakin mahal. Sebagai sebuah negara yang sedang membangun kita tidak mampu memiliki senjata dan peralatan 'state of the art' yang serba lengkap bukan sahaja disebabkan oleh harganya, tetapi juga kekerapan ianya diganti dengan sistem yang lebih sofistikated. Sebaliknya kita mestilah berpandu kepada pemilihan senjata dan alat peralatan yang sesuai bagi keperluan kita dan seterusnya memperhebatkan daya tempurnya dengan cara peningkatan pengendalian dan teknik pengerahannya. 7. Sehubungan dengan ini saya suka mengingatkan saudara-saudara sekalian mengenai pengurusan atau 'management' dalam rangka pemerintahan moden. Seperti yang saudara-saudara sedia maklum setiap pemerintah mestilah mempunyai sifat-sifat kepimpinan untuk mendorong orang-orangnya mengikut arahan, tetapi dalam Angkatan Tentera yang serba moden kuasa dan kemampuan memimpin sahaja tidaklah cukup. Untuk menjadi seorang pemerintah yang berkesan saudara-saudara perlu juga mahir dalam bidang pengurusan. Oleh itu adalah mustahak bagi setiap pegawai yang mempunyai cita-cita tersebut untuk meningkatkan kecekapan pengurusan. 8. Saudara-saudara sebagai pegawai staf atau pemerintah pasukan yang terlatih, harus menghayati bahawa keupayaan Angkatan Tentera kita semakin lama semakin meningkat. Susunan-susunan semula yang dianjurkan oleh ketiga-tiga perkhidmatan telah menghasilkan sistem pengurusan dan latihan yang lebih berkesan, sistem penyelenggaraan yang lebih efektif dan mutu kepimpinan yang lebih tinggi di semua peringkat. Peranan yang akan saudara-saudara mainkan pasti akan memberi lebih cabaran dalam menentukan kualiti anggota tentera yang saudara pimpin akan tetap terjamin. Saudara-saudara perlu juga menjamin bahawa moral, patriotisme dan kecekapan dalam segala bidang pengkhususannya adalah sentiasa terkawal. Saya dan pegawai-pegawai atasan saudara mempunyai penuh keyakinan bahawa saudara-saudara akan dapat memenuhi hasrat ini dan mencapai kejayaan yang dapat dibanggakan. Tuan-tuan dan puan-puan, 9. Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk memberi sepatah dua kata kepada pegawai-pegawai dari luar negeri yang berada bersama-sama kita di Majlis ini. I would like to say a few words to the foreign officers who have attended the course at the Staff College. 10. I would like to congratulate you all for having successfully completed the course. I sincerely hope you had had an enjoyable stay in this country. I am made to understand that during the course of your stay, you were given ample opportunity to study and understand our Malaysian way of life. You may have noticed that our system of Government is not far different from any other free nation although we do have our own peculiarities. We make no apologies for these peculiarities as we are convinced that they are essential in a developing multi-racial country. 11. The pace of development in this country since independence has been unusually fast. We attribute this to political stability and the general desire of Malaysians to improve their standard of living and to take their legitimate place in the community of nations. 12. There are the usual discontented people who are only too ready to vent their personal frustrations by complaining to whoever is prepared to listen to them. No one should be taken in by them. The best way to judge is to look around you and see the obvious achievements which contrast rather glaringly with the claims of the discontented. 13. We are now in the midst of a recession but we are not submitting passively to it. We will overcome our difficulties in time. 14. We hope that your course and your stay here has helped you understand Malaysia better. We also hope you have enjoyed your stay and that you will carry with you good memories of your sojourn here. Tuan-tuan dan Puan-puan, 15. Sebagai mengakhiri ucapan ini, saya ingin mengingatkan kepada saudara-saudara sekalian bahawa kelulusan daripada Maktab Turus Angkatan Tentera bukanlah bererti selesainya pendidikan sebagai pegawai staf atau pemerintah. Asas-asas yang dipelajari di sepanjang kursus ini perlulah diterapkan dalam amalan harian dan disesuaikan untuk keadaan yang dihadapi. Kecekapan saudara-saudara menjalankan tugas dan memikul tanggungjawab yang akan ditetapkan, akan membantu ke arah keberkesanan dan meningkatkan lagi kecekapan Angkatan Tentera dalam memainkan peranannya. Terima kasih. |