home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : PUSAT ISLAM, KUALA LUMPUR Tarikh/Date : 04/02/86 Tajuk/Title : PERASMIAN MUZAKARAH KESEDARAN ISLAM PEGAWAI- PEGAWAI KERAJAAN Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Dato Dr. Yusof Nor, Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri; Dif-Dif Kehormat; Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian. Saya bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dapat kita berkumpul dan hadir bersama-sama di Majlis Perasmian Muzakarah Kesedaran Islam ini. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia yang sudi menjemput saya merasmikan Muzakarah ini. Saya berdoa dan berharap mudah-mudahan Muzakarah ini akan membuka jalan kepada kefahaman ajaran Islam yang lebih luas lagi di kalangan pegawai-pegawai Kerajaan. 2. Islam bukan sahaja satu kepercayaan atau agama seperti yang dimaksudkan dengan agama-agama yang lain. Islam adalah cara hidup - satu agama yang menyeluruh, yang bukan sahaja bermakna kepercayaan kepada Allah Subhanahu Wataala, Malaikat, Rasul dan Hari Kiamat, atau ibadat sembahyang, puasa, zakat dan mengerjakan ibadat haji tetapi setiap gerak-geri penganut Islam tertakluk kepada hukum-hukum tertentu. Islam tidak ada kecacatan. Jika semua ajaran Islam dituruti, maka nescaya kehidupan seseorang atau sesuatu masyarakat akan menjadi bahagia dan berjaya. Sudah tentu jika semua pegawai dan kakitangan Kerajaan mengikut panduan Islam dalam menjalankan tugas, kita akan memperolehi Kerajaan yang adil dan berkesan. 3. Malangnya, tafsiran dan tekanan terhadap ajaran Islam dibuat oleh manusia biasa. Walaubagaimana alim seseorang pengajar atau pengembang agama Islam, ia adalah seorang manusia biasa dan sebagai manusia biasa ia tidak sunyi daripada kesilapan. Oleh kerana ini, kita dapati umat Islam juga tidak terlepas daripada hidup merana, miskin, tidak berilmu, tidak dapat menyediakan pertahanan sendiri, sering berperang sesama Islam dan sebagainya. Ini semua disebabkan oleh tafsiran, ajaran dan amalam Islam yang salah atau penolakkan ajaran Islam oleh orang Islam sendiri. 4. Kita dapati bahawa Kerajaan-Kerajaan Islam pun lemah, tidak cekap, diserang oleh berbagai jenayah, bertentangan antara satu sama lain dan sering diperalatkan oleh musuh-musuh umat Islam. Kekayaan yang ada pada orang Islam disalah-gunakan, atau dikuasai oleh orang yang bukan Islam, sehingga kadang-kadang diguna untuk membiayai gerakan anti Islam termasuk memerangi orang-orang Islam. 5. Semua ini berlaku kerana ajaran Islam yang sebenar tidak dipatuhi, terutama ajaran berkenaan dengan nilai-nilai yang mulia yang diwajibkan oleh agama Islam. Nilai-nilai ini amatlah penting kerana daripada pengamalan nilai-nilai inilah akan datang segala kebaikan kepada umat Islam. 6. Nabi Muhammad s.a.w. menanam nilai-nilai yang mulia bukan sahaja melalui ajaran tetapi juga melalui teladan. Kita tentu tahu bahawa Nabi Muhammad s.a.w. dikenali dengan gelaran Al-Amin kerana Baginda adalah orang yang beramanah. Apa juga yang ditugaskan kepada Baginda, Baginda melakukannya dengan penuh tanggungjawab. Harta orang dijaga sama seperti harta sendiri olehnya. Hasil daripada ajaran dan amalan inilah maka bukan sahaja agama Islam berkembang, tetapi penganut Islam memperolehi kejayaan dan kebahagiaan di zaman Nabi dan Khulafah Rashidin, iaitu sebelum terlalu ramai manusia yang membuat tafsiran tentang ajaran Islam. Tuan-tuan dan Puan-puan, 7. Apabila Kerajaan mengisytiharkan dasar penerapan nilai-nilai Islam dalam pentadbiran Kerajaan, maksud Kerajaan ialah nilai-nilai yang mulia seperti amanah, kejujuran, kesetiaan, kerajinan, dan lain-lain lagi. Nilai-nilai ini juga dimuliakan oleh orang yang bukan Islam. Hanya dengan kerana orang bukan Islam juga memuliakan nilai-nilai ini tidak bermakna orang Islam tidak boleh memuliakannya. Apa yang dimuliakan oleh orang Islam akan terus dengan kemuliaannya, walaupun orang lain juga mempunyai pendapat yang sama. Sebaliknya oleh kerana nilai-nilai ini juga diterima oleh orang-orang bukan Islam, maka adalah lebih mudah bagi semua kakitangan Kerajaan tanpa mengira kaum dan agama mengamalkannya. 8. Kesedaran berkenaan dengan pandangan Islam terhadap sesuatu yang kita lakukan amatlah penting. Di sini harus kita ingat bahawa agama Islam bukan agama yang negatif, yang cuma menyenaraikan apa yang kita tidak boleh buat. Sebaliknya lebih banyak yang positif daripada larangan-larangan. Jika ada larangan, tujuannya ialah untuk mencegah kegiatan yang boleh membinasakan orang Islam, dan bukan untuk menyekat kemajuan. Tetapi malangnya umat Islam telah menyalah-ertikan larangan ini dan terlalu memberi tumpuan kepadanya sehingga kurang membuat apa yang diseru oleh Islam. Akibatnya ialah masyarakat Islam menjadi mundur dan lemah. 9. Dewasa ini, desakan agama Islam supaya menguasai ilmu, supaya menyediakan pertahanan ummat, mencari rezeki di dunia, memerhati dan memahami segala kejadian Allah Subhanahu Wataala dan lain-lain lagi yang positif sudah tidak diberi perhatian lagi. Sebaliknya terdapat usaha untuk mengharamkan berbagai kegiatan yang dituntut oleh agama Islam. Di samping itu, tekanan diberi kepada perkara titik-bengik yang sengaja diada-adakan. Tuan-tuan dan Puan-puan, 10. Kesedaran terhadap Islam cuma bermakna jika ajaran Islam yang sebenar difaham dan diamalkan. Kesedaran tidak akan mempunyai makna jika diasaskan kepada ajaran yang sempit atau salah. Sebab itu, Kerajaan memberi perhatian bukan sahaja kepada kesedaran tetapi juga kepada ajaran Islam yang sebenar. Jika tidak, kesedaran cuma akan membawa masalah. 11. Dalam Islam bukan semua ajaran atau hukum-hukumnya sama wajib atau sama setaraf. Ada hukum yang tegas atau wajib dipatuhi oleh semua umat Islam. Ada yang sunat dipatuhi dan ada pula yang diletak di antara sunat dan wajib. Sekarang sudah ada aliran untuk menjadikan yang sunat itu wajib. 12. Sebab itu, apabila Kerajaan berusaha untuk menerapkan nilai-nilai Islam, ada di antara mereka yang melaksanakannya tidak memberi perhatian secara serius kepada nilai-nilai yang mulia yang begitu penting untuk pembangunan umat Islam. Bersih, cekap, amanah, disiplin, kesetiaan, rajin dan tekun dan lain-lain lagi tidak mendapat tempat yang sewajarnya dalam penyedaran tentang agama Islam. 13. Sepertimana kita sedia maklum, tidak ada paksaan dalam Islam. Jika nilai-nilai yang mulia ini hendak diserapkan, caranya ialah dengan pujukan, teladan dan penerangan. Menekan pendapat seseorang berkenaan dengan amalan ajaran Islam dengan cara tekanan sosial atau pergaulan bukanlah cara yang disuruh oleh agama Islam. Kegemaran kepada cara ini dalam pejabat-pejabat Kerajaan hendaklah dihentikan. 14. Oleh itu, kita hendaklah berhati-hati dalam usaha kita menyedarkan anggota-anggota Kerajaan supaya kesedaran itu diasaskan kepada ajaran Islam yang sebenar. Kita tidak mahu melihat satu 'backlash' akibat daripada tindakan kita. Kita tidak mahu sesiapa menjauhkan diri daripada Islam, kerana penggunaan paksaan menyebabkan reaksi yang negatif. Ketua-Ketua Jabatan dan mereka yang diberi tugas untuk memandu anggota Kerajaan dalam hal agama Islam, hendaklah berhati-hati supaya niat baik Kerajaan tidak membawa masalah kerana pelaksanaan tidak seperti yang dikehendakki oleh agama Islam. Tuan-tuan dan Puan-puan, 15. Pegawai dan kakitangan Kerajaan adalah pelaksana dasar dan rancangan Kerajaan. Sama ada dasar dan rancangan-rancangan mencapai maksud dan matlamatnya bergantung kepada kebolehan dan dedikasi pegawai dan kakitangan. Sebagai manusia biasa, semua pegawai dan kakitangan Kerajaan mempunyai berbagai kelemahan. Di samping itu, kita juga tahu bahawa kelemahan ini boleh dikurangkan melalui berbagai cara. Pelajaran, latihan dan pengalaman adalah di antara cara-cara yang berkesan bagi mengatasi kelemahan. Tetapi sifat-sifat yang ada pada pegawai dan kakitangan juga memainkan peranan yang penting. 16. Untuk membentuk sikap yang baik dan berkesan, tidak ada jalan yang lebih baik daripada kesedaran keagamaan dan kefahaman terhadapnya. Sebagai sebuah negara Islam, amatlah tepat kita memilih Islam sebagai panduan kita ke arah yang baik. Sebab itulah penyedaran agama Islam dianggap penting bagi mendirikan Kerajaan yang baik dan berkesan. 17. Saya berharap Muzakarah ini akan berjaya menyedarkan kakitangan Kerajaan tentang Islam dan ajaran-ajarannya. Jika ajaran yang disampaikan adalah ajaran Islam yang sebenar, maka bukan sahaja Kerajaan akan mendapat khidmat yang lebih baik tetapi individu itu sendiri akan mencapai kebahagiaan di dunia dan di akhirat. Tidak syak lagi bahawa negara yang mendapatkan khidmat daripada kakitangan Kerajaan yang amanah, jujur, rajin dan lain-lain lagi nilai yang baik, akan menjadi negara yang kuat dan kukuh dengan penduduk yang bahagia. Demikianlah harapan kita terhadap Muzakarah Kesedaran Islam ini. 18. Saya berdoa semoga tujuan dan cita-cita yang mulia ini akan kita capai. 19. Dengan doa ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Muzakarah Kesedaran Islam anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia ini. Wabillahi taufik walhidayah wassalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh. |