home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : HOTEL PAN PACIFIC, KUALA LUMPUR Tarikh/Date : 25/04/86 Tajuk/Title : MAJLIS MAKAN MALAM PERSATUAN DOKTOR -DOKTOR PERUBATAN MALAYSIA Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong; dan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong. Ampun Tuanku. Patek telah dijemput untuk memberi sepatah-dua kata di Majlis Jamuan Makan Malam ini. Dengan itu patek memohon limpah perkenan Duli Tuanku Berdua untuk membuat ucapan kepada para hadirin sekalian. Ampun Tuanku. Yang Berhormat Datuk Mak Hon Kam, Menteri Kesihatan; Dif-dif Kehormat; Tuan-tuan dan puan-puan sekalian. Saya mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Doktor-doktor Perubatan Malaysia kerana sekali lagi menjemput saya suami isteri ke Majlis yang mulia ini. Seperti tahun-tahun yang lalu saya diminta berucap kepada para hadirin sekalian. Presiden Persatuan telah pun berucap mengenai beberapa isu yang berkait rapat dengan perubatan. Dengan itu tidaklah perlu saya membuat ucapan yang panjang lebar. Walau bagaimanapun saya ingin menyentuh satu dua perkara dari kaca-mata Kerajaan. 2. Pada umumnya Kerajaan telah berjaya mengadakan kemudahan-kemudahan perubatan untuk rakyat. Segala projek dan program kesihatan merupakan pelaburan Kerajaan bagi meningkatkan taraf kesihatan rakyat. Kita percaya bahawa rakyat yang sihat akan dapat menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara. Masyarakat dan negara yang maju pula akan dapat menyediakan kemudahan-kemudahan untuk meningkatkan lagi kesihatan rakyat. Nyata sekali bahawa pelaburan Kerajaan mempunyai kesan yang berlipat-ganda dengan sendirinya. 3. Kesan dari pelaburan ini sudahpun dapat dilihat. Kadar kematian bayi umpamanya telah berkurangan daripada 19.7 dalam tahun 1980 kepada 17.5 dalam tahun 1984 bagi setiap seribu orang penduduk. Kadar kematian kanak-kanak pula berkurangan daripada 1.8 pada tahun 1980 kepada 1.5 pada tahun 1984. Kadar kematian ibu terus berkurangan, begitu juga dengan kejadian penyakit berjangkit seperti malaria dan batuk kering yang turut menurun. Di samping itu perkhidmatan perubatan dan kesihatan serta kemudahan-kemudahan yang lain telah meningkat. Bilangan para doktor pun bertambah seribu orang dalam masa empat tahun -- daripada 3510 orang tahun 1980 meningkat kepada 4510 pada tahun 1984. Bilangan doktor pergigian juga bertambah kira-kira 340 orang dalam tempoh yang sama, menjadikan jumlahnya 1,050 orang. 4. Kerajaan akan terus memperluaskan perkhidmatan kesihatan dan perubatan di negara kita ini. Sejumlah $698 juta telah diperuntukkan bagi pembangunan dan perkhidmatan kesihatan di bawah Rancangan Malaysia Kelima. Kebanyakan peruntukan itu akan dibelanjakan untuk pembinaan hospital-hospital baru dan perkhidmatan kesihatan di luar bandar. Kerajaan akan terus memberi tumpuan kepada perkhidmatan kesihatan luar bandar bagi menambahkan kemudahan rawatan kesihatan asas kepada penduduk di kawasan-kawasan tersebut, serta mengurangkan perbezaan dalam pemberian rawatan di antara negeri-negeri. Saya yakin usaha-usaha Kerajaan melalui program dan projek kesihatan akan terus dapat meningkatkan taraf hidup masyarakat negara ini. Para hadirin sekalian, 5. Tatkala membentangkan Rancangan Malaysia Ke-5 di Parlimen baru-baru ini saya telah menggariskan pentingnya meningkatkan peranan sektor swasta bagi pembangunan negara pada tahun-tahun yang akan datang. Sektor swasta dijangka memainkan peranan yang lebih mencabar dalam usaha negara mencapai pertumbuhan ekonomi yang berterusan dan memperkukuhkan lagi asas perindustrian. Ini adalah selaras dengan langkah-langkah memperkukuhkan kedudukan kewangan sektor awam. Apatah lagi Kerajaan sekarang menghadapi masalah kewangan sehingga tidak mungkin menyediakan peruntukan kewangan yang begitu banyak seperti tahun-tahun sebelumnya. Pertumbuhan perbelanjaan sektor awam akan meningkat dengan kadar yang rendah. Dengan itu sektor swasta akan memainkan peranan yang semakin luas di bawah Rancangan Malaysia Kelima. Selaras dengan pendekatan baru ini, Kerajaan telah juga menggariskan peranan yang lebih penting kepada pihak swasta bagi menyediakan keperluan perubatan kepada penduduk negara ini. 6. Dalam pembangunan perkhidmatan kesihatan, Kerajaan telah merangkakan supaya sektor awam dan swasta memainkan peranan yang saling melengkap atau 'complementary roles' bagi menjayakan dasar perubatan negara. Pengamal perubatan swasta atau 'private practices', sama ada perseorangan atau kumpulan, rumah-rumah rawatan atau rumah-rumah bersalin, telah membuktikan keupayaan untuk berkembang dengan pesat sepanjang tahun-tahun lapan puluhan ini. Di samping itu, sehingga pada tahun 1984, 54 peratus daripada jumlah bilangan doktor di negara ini terdapat di sektor swasta. Justeru itu saya yakin perkhidmatan perubatan swasta keseluruhannya mempunyai kemampuan untuk memainkan peranan yang lebih penting dalam memenuhi keperluan-keperluan perubatan bagi rakyat negara ini. 7. Walaupun kita bangga dengan perkembangan seperti ini, seperkara yang kurang memuaskan ialah perkembangan perubatan swasta ini tertumpu di kawasan-kawasan bandar, lebih-lebih lagi di kawasan-kawasan bandar di negeri-negeri yang berpendapatan tinggi seperti Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Perak. Perkembangan kemudahan perubatan swasta di bandar-bandar kecil tidaklah begitu memuaskan, apatah lagi di luar bandar yang mengalami perkembangan perubatan swasta yang sangat perlahan. Dengan itu Kerajaan mungkin terpaksa juga meneliti dan memberi penekanan selanjutnya kepada perubatan kepada penduduk-penduduk luar bandar. 8. Walaupun begitu Kerajaan berharap Persatuan Doktor-doktor Perubatan Malaysia akan membantu Kerajaan mencari langkah bagi mengalakkan lebih ramai lagi pengamal perubatan swasta atau institusi-institusi perubatan swasta yang telah wujud mengembangkan kemudahan-kemudahan perubatan mereka ke bandar-bandar kecil. Dengan usaha bersama ini, saya yakin kita akan berjaya meningkatkan kemudahan-kemudahan perubatan swasta ke bandar-bandar kecil secara berperingkat. 9. Satu lagi dasar Kerajaan yang melibatkan juga perkhidmatan perubatan ialah penswastaan. Kerajaan telahpun mengenalpasti beberapa perkhidmatan yang mungkin diswastakan. Setakat ini terdapat beberapa perkhidmatan bukan perubatan seperti dobi, penyediaan makanan dan penyelenggaraan hospital tertentu yang telah diswastakan. Bahkan Hospital Lady Templer di Kuala Lumpur ini telah dipajakkan kepada sebuah syarikat swasta. Walaupun baru-baru ini hospital ini menimbulkan keraguan, saya berharap masalah itu akan dapat diselesaikan. 10. Untuk beberapa tahun yang akan datang Kerajaan akan meneliti kemungkinan memajak sebahagian atau keseluruhan hospital awam kepada sektor swasta. Kerajaan juga akan mengkaji kemungkinan membenarkan doktor swasta bekerja di hospital awam mengikut jadual tertentu. Kerajaan akan mengalakkan penubuhan organisasi pengurusan kesihatan atau 'health management organisations' sebagai satu langkah bagi meningkatkan kecekapan pengendalian serta menyusun sektor perubatan swasta supaya ianya berkesan membantu kemudahan-kemudahan kesihatan awam. 11. Apa yang saya katakan tadi jelas menunjukkan cita-cita Kerajaan untuk memberi galakan kepada sektor perubatan swasta untuk memainkan peranan yang lebih kepada penduduk negara ini pada masa hadapan. Terpulanglah kepada doktor perubatan swasta untuk membuktikan bahawa mutu perkhidmatan perubatan negara ini bukan sahaja dapat dipertahankan tetapi ditingkatkan. Di samping itu saya berharap para doktor perubatan swasta akan memberi perhatian supaya perkhidmatan-perkhidmatan perubatan dapat dinikmati oleh seberapa ramai penduduk negara ini, termasuklah mereka yang berpendapatan rendah. Kita tidak boleh melupakan perlunya perkhidmatan Kerajaan kepada mereka yang berpendapatan rendah termasuklah mereka yang kurang bernasib baik. Saya mempunyai keyakinan bahawa MMA pun sentiasa memikirkan perkara ini. Tuan-tuan dan puan-puan sekalian. 12. Dengan harapan ini saya sekali lagi mengucapkan ribuan terima kasih kepada Persatuan Doktor Perubatan Malaysia kerana menjemput saya ke Majlis Makan Malam ini. Ampun Tuanku, sembah patek pohon diampun. |