home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	MENARA TABUNG HAJI, JALAN TUN RAZAK 
Tarikh/Date 	: 	30/04/86 
Tajuk/Title  	:	MAJLIS PENYAMPAIAN HADIAH BAHASA 
			PERSATUAN LINGUISTIK MALAYSIA DAN 
			PUBLIC BANK 




Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat Encik Anwar
Ibrahim, Pengerusi Panel Hakim Hadiah Bahasa; Yang Berbahagia Tan Sri
Datuk Teh Hong Piow, Pengerusi Public Bank Bhd; Dif-dif
Kehormat; Saudara-saudari yang saya hormati.

Saya bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan izinNya
dapat saya ikut serta dalam Majlis Penyampaian Hadiah Bahasa anjuran
Persatuan Linguistik Malaysia dan Public Bank Bhd. ini. Kepada kedua-dua
penganjur, saya mengucapkan terima kasih kerana mengundang saya ke Majlis
ini.

2. Soal bahasa, ilmu dan budaya adalah soal yang sama pentingnya dengan
bidang-bidang lain seperti politik, ekonomi, keselamatan dan perhubungan
antarabangsa. Sejarah menunjukkan bahawa sesuatu tamadun hanya muncul
dengan adanya gabungan antara bahasa, budaya dan ilmu.

3. Dalam hubungannya dengan pembinaan tamadun kita, syarat yang sama tetap
berlaku. Jika kita menoleh ke zaman gemilang rantau ini sebagai pusat
kebudayaan, perdagangan dan kuasa politik, kita dapat melihat perkembangan
bahasa, budaya dan ilmu sekaligus. Kegemilangan empayar Melayu pada zaman
silam bukan terletak pada kekuatan politik dan ekonomi semata-mata, malah
diimbangi oleh kekuatan mental pujangga dan pemikir Melayu. Tokoh seperti
Tun Seri Lanang, Hamzah Fansuri, Nuruddin Al-Raniri, Syamsuddin Pasai,
Abdul Rauf Singkel dan beberapa tokoh yang lain adalah bukti perkembangan
bahasa, ilmu dan pemikiran yang turut menjulang tamadun Melayu silam.

4. Pada zaman yang lebih lewat, tradisi ilmu itu dilanjutkan oleh tokoh
seperti Abdul Samad Al-Falambani di Palembang, Pengiran Syahbandar
Muhammad Salleh di Brunei, Arsyad al-Banjari di Banjarmasin, dan
Mohd. Ismail Daud Pattani di Patani. Kita tahu juga bahawa dari abad ke-19
hingga awal abad ke-20, kegiatan intelektual Melayu berpusat di Pulau
Penyengat, Riau. Di antara ahli-ahli ilmu di situ, Raja Ali Haji merupakan
yang paling terkenal. Kemudian muncul pula Abdullah Munsyi yang dianggap
memulakan persuratan Melayu baru itu.

5. Saya menimbulkan lintasan sejarah tentang tradisi ilmu dalam bahasa dan
budaya Melayu itu supaya kita semua insaf bahawa kita sudah mempunyai
pengkalan dan akar yang kukuh untuk melanjutkan pembinaan tamadun
kita. Selain daripada itu, dengan wujudnya tokoh-tokoh ilmu dan persuratan
Melayu pada zaman silam itu, saya berharap perkembangan yang telah dilalui
itu dapat dijadikan contoh dan cabaran kepada ahli-ahli ilmu kita pada
zaman ini. Jika pada zaman yang teknologinya masih rendah, beribu-ribu
kitab dan tulisan ilmiah dapat dihasilkan, maka tidak ada alasan kenapa
pada zaman yang serba maju ini saudara-saudari tidak dapat menghasilkan
karya ilmiah yang lebih banyak.

Saudara-saudari sekalian, 

6. Apabila saya membuat seruan supaya rakyat Malaysia mempelajari
bahasa-bahasa antarabangsa untuk melengkapkan diri dengan ilmu dan
teknologi moden, ada golongan yang menyatakan bahawa kita tidak cinta
kepada bahasa kebangsaan kita. Ada yang menyatakan kita telah mula semula
menekankan pembangunan Bahasa Inggeris dan meringan-ringankan pembangunan
Bahasa Malaysia.

7. Ramai daripada kita harus maklum bahawa dalam usaha memperolehi ilmu
dan teknologi moden, kita perlu menguasai berbagai-bagai bahasa yang
menjadi alat perkembangan ilmu dan teknologi itu. Mempelajari
bahasa-bahasa lain sama sekali tidak akan mengurangkan rasa cinta kita
terhadap - 5 - bahasa kita sendiri dan tidak akan menjejaskan penguasaan
bahasa kebangsaan, jika bahasa itu memang diajar dan dipelajari dengan
sempurna. Tambahan pula, yang perlu kita tekankan ialah mempelajari
bahasa-bahasa yang menolong kita membangunkan rakyat dan negara.

8. Kerajaan bukan sahaja menggalakkan pengajaran Bahasa Inggeris,
sebaliknya kita menggalakkan pengajaran semua bahasa yang penting untuk
meluaskan ilmu kita. Kita juga menggiatkan pelajaran bahasa-bahasa lain
seperti bahasa Perancis, Jerman, Arab, Jepun dan Korea. Dengan menguasai
berbagai bahasa, kita akan lebih terdedah kepada ilmu yang terdapat
melalui bahasa-bahasa yang kita pelajari itu. Ini bukanlah satu perkara
yang ganjil oleh kerana banyak negara-negara maju yang mengamalkan perkara
ini iaitu menggalakkan pengajaran bahasa-bahasa asing termasuk juga
mempelajari bahasa kita, Bahasa Malaysia. Harus diingati dan diinsafi
bahawa jika tidak ada sama sekali orang Arab yang faham bahasa Melayu dan
orang Melayu yang faham bahasa Arab, tidak mungkin kita memeluk agama
Islam. Dan setelah memeluk agama Islam tidak mungkin kita mendalami ajaran
Islam jika kita faham semata-mata bahasa Melayu. Demikian juga walau
bagaimanapun kita cuba, tidak mungkin semua ilmu di dunia ini
diterjemahkan ke bahasa kebangsaan. Itu pun jika kita faham bahasa-bahasa
asing serta ilmu yang berkenaan untuk menterjemahkannya. Dengan itu, saya
ingin menegaskan bahawa pengajaran bahasa-bahasa asing adalah penting dan
tidak akan merendah-rendahkan Bahasa Malaysia. Taraf dan pentingnya Bahasa
Malaysia sebagai bahasa perpaduan dan bahasa ilmu akan terus terjamin.

Saudara-saudari sekalian, 

9. Dalam kita membincangkan soal pendidikan pula, saya ingin mengingatkan
para hadirin akan jasa dan sumbangan Allahyarham Tun Abdul Razak yang
menjadi pengasas Dasar Pendidikan Kebangsaan. Allahyarham mempunyai
pandangan yang jauh sewaktu menjadi Menteri Pelajaran sehingga dasar yang
diasaskannya kira-kira tiga puluh tahun dahulu dapat kita gunakan untuk
membina masyarakat kita. Sejak berbelas tahun yang lalu, bahasa kebangsaan
telah kita gunakan sebagai bahasa pengantar ilmu di peringkat pengajian
tinggi, sesuatu yang dianggap tidak mungkin pada satu ketika.

10. Sekarang ini di bahu saudara-saudari sebagai ahli ilmu terletak
tanggungjawab memenuhi dasar itu. Bukan saja ilmu mesti disampaikan dalam
bahasa kebangsaan untuk kuliah dan tutorial, tetapi yang lebih penting
ialah ilmu mesti diterokai, ditulis dan diterjemahkan ke dalam Bahasa
Malaysia. Jika hal ini tidak dilakukan, pusat-pusat pengajian tinggi kita
akan sarat dengan ilmu yang tidak dapat dikembangkan dan tidak dapat
disebarkan. Ilmu akan menjadi beku dalam diri ahli-ahli ilmu
semata-mata. Apatah lagi jika ahli-ahli ilmu terus-menerus menumpukan
perhatian kepada penulisan ilmiah dalam bahasa asing semata-mata. Kita
mungkin dapat menonjolkan ahli ilmiah yang diiktiraf di peringkat
antarabangsa kerana karyanya itu; tetapi kita akan kekurangan bahan bacaan
dan rujukan ilmiah dalam bahasa kebangsaan - bahasa yang kita tetapkan
sebagai pengantar ilmu. Saya menyeru saudara-saudari sekalian supaya, di
samping berusaha mempertahankan pengiktirafan antarabangsa, fikirkanlah
juga tanggungjawab saudara-saudari kepada anak-anak bangsa kita yang
terdidik dari sekolah rendah hingga ke universiti dalam bahasa
kebangsaan. Merekalah golongan yang menentukan sumber ilmu yang tertulis
dalam bahasa kebangsaan, dan jumlah golongan ini amatlah besar.

11. Di samping itu, perlulah juga kita fikirkan aspek pembudayaan
masyarakat dengan ilmu. Ilmu yang berpusat di institut pengajian tinggi
perlu diserapkan ke dalam masyarakat supaya aspek-aspek praktik ilmu itu
dapat dimanfaatkan. Dalam hal ini, bahasa yang paling sesuai tentulah
bahasa kebangsaan kerana rakyat terbanyak tidak mungkin menguasai bahasa
asing yang dikuasai oleh ahli-ahli ilmu. Dalam hubungan ini, perlu saya
tegaskan bahawa Kerajaan tidak mendirikan universiti untuk menciptakan
golongan elit intelek. Universiti didirikan untuk menjadi agen perubahan
masyarakat. Oleh sebab itu sewajarnyalah ilmu yang dibina di universiti
diserapkan ke dalam masyarakat.

12. Berkaitan dengan itulah ahli-ahli ilmu bertanggungjawab menghasilkan
karya dalam bahasa kebangsaan. Saudara-saudari mesti mewujudkan suasana
bahawa masyarakat memerlukan buku, atau apa-apa saja bentuk tulisan yang
dapat membantu memajukan mereka. Sudah sampai masanya para petani,
misalnya, mendapat faedah daripada kajian ahli sains untuk memajukan
pertaniannya dengan membaca kaedah memajukan pertanian melalui tulisan
yang mudah dalam bahasa kebangsaan.

13. Sesuatu bahasa yang diabaikan oleh golongan inteleknya akan layu dan
beku sehingga tidak berdaya untuk bertahan. Di tangan saudara-saudarilah
terletaknya nasib bahasa kebangsaan kita. Usahlah disalahkan Kerajaan
tentang soal dasar, kerana dasar telah kita bina. Dasar bahasa kebangsaan
sebagai bahasa pengantar ilmu hanya bererti apabila ada usaha
pengisiannya.

14. Jika usaha pengisian itu terhalang oleh sebab-sebab teknik seperti
dorongan dan pengiktirafan, maka hal itu dengan mudah dapat diatasi. Pihak
pentadbiran universiti pasti perlu menyusun satu rancangan induk untuk
menghasilkan buku-buku ilmiah dalam bahasa kebangsaan. Pengiktirafan
kepada karya ilmiah dalam bahasa kebangsaan mesti diberikan sebagaimana
pengiktirafan itu diberikan kepada karya ilmiah dalam bahasa
Inggeris. Jika Public Bank yang tidak bergiat dalam bidang ilmu dapat
mengadakan dorongan yang berupa Hadiah Bahasa ini, tidak ada sebab
universiti tidak dapat merancang insentif atau kemudahan untuk ahli ilmu
menghasilkan buku ilmiah dalam bahasa kebangsaan.

Saudara-saudara sekalian, 

15. Pada kesempatan ini, saya mengucapkan tahniah kepada pemenang-pemenang
Hadiah Bahasa Persatuan Linguistik Malaysia dan Public Bank Tahun
1985. Syabas kepada Persatuan Linguistik Malaysia dan Public Bank Berhad
yang mewujudkan Hadiah Bahasa ini kepada penulis karya ilmiah dalam bahasa
kebangsaan. Saya berharap Hadiah Bahasa ini akan diteruskan sebagai suatu
bentuk dorongan dan sambil itu saya berseru agar pihak-pihak lain
mengambil daya usaha mewujudkan dorongan-dorongan yang lain pula.

Wabillahi taufik walhidayah wassalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh. 
 




 
Google