home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : PUSAT LATIHAN POLIS (PULAPOL) JALAN GURNEY, KUALA LUMPUR Tarikh/Date : 17/05/86 Tajuk/Title : UPACARA PENUTUP MUSABAQAH MEMBACA AL-QURAN, POLIS DI-RAJA MALAYSIA Yang Berbahagia Tan Sri Haniff Omar, Ketua Polis Negara; Pegawai-Pegawai Kanan Polis; Dif-Dif Kehormat; Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian. Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Alhamdulillah, saya bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan taufik dan hidayahNya dapat kita bersama-sama di Majlis Penutup Musabaqah Membaca Al-Quran Pasukan Polis Di-Raja Malaysia pada malam ini. 2. Saya ingin merakamkan penghargaan saya kepada semua pihak yang terlibat dalam menyelenggara dan menjayakan Majlis Musabaqah membaca Al-Quran ini. Kepada Qari dan Qariah yang berjaya, saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan kepada yang belum berjaya, saya juga memberi sanjungan yang tinggi di atas sikap dan semangat mereka menyertai Musabaqah ini. Tujuan sebenarnya kita mengadakan musabaqah membaca Al-Quran bukanlah kerana hadiah yang boleh didapati oleh pemenang, tetapi supaya kita dapat merapatkan diri dengan Al-Quran dan meningkatkan lagi kelancaran membacanya. Kita tidak akan mengetahui sama ada peningkatan berlaku atau tidak tanpa pertandingan secara tersusun. Pemenang diberi hadiah kerana peranannya dalam mencapai matlamat peningkatan kebolehan membaca dan merapatkan kita kepada Al-Quran. Tidak siapa boleh menafikan bahawa sejak kita mengadakan pertandingan membaca Al-Quran, kita semua lebih mengetahui isi kandungannya dan cara membaca yang terbaik. 3. Tema Musabaqah Polis Di-Raja Malaysia pada tahun ini adalah sama dengan tema Hari Polis tahun ini iaitu 'Profesionalisme Teras Perkhidmatan Polis'. Salah satu kekuatan pasukan polis di mana-mana negara jua pun ialah pandangan umum terhadap tahap profesionalisme yang diamalkan oleh setiap anggota pasukan polis. Antara lain, profesionalisme bermaksud tumpuan kepada tugas tulen dengan mutu yang tinggi yang tidak dipengaruhi oleh kepentingan diri atau yang lain daripada bidang kerja yang berkenaan. Ini memerlukan disiplin dan dedikasi yang tidak berbelah-bahagi serta kesetiaan yang tahan dicabar. Bagi polis, ini bermakna taat setia kepada negara dan perlembagaan dengan semua isi kandungannya. Kecekapan dan prestasi perlu ditingkatkan sepanjang masa supaya bukan sahaja pasukan polis berkesan tetapi dihormati oleh semua pihak. 4. Peranan pasukan polis sesungguhnya amat rumit dan mencabar. Peranan ini adalah bertepatan dengan apa yang dianjurkan oleh Al-Quran sendiri. Ini dijelaskan dalam Surah A-li 'Imraan, ayat 104, yang bermaksud: 'Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru kepada kebaikan dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya'. Dalam usaha untuk mencegah jenayah dan menguatkuasakan undang-undang, pasukan polis sentiasa menjadi sasaran penjenayah dan mereka yang tidak endahkan undang-undang. Di antara mereka ini terdapat pelampau agama yang sudah jauh lari daripada ajaran Islam sehingga sanggup membunuh anggota polis yang hanya menjalankan tugas untuk menjaga keselamatan negara. Mereka telah lupa betapa anggota polis menghadapi cabaran dan bahaya untuk keselesaan hidup mereka. Di samping itu pula, polis terpaksa menangkis dan membendung gerakan komunis di hutan. Dalam operasi-operasi polis menentang pengganas komunis, banyak kejayaan dicapai. Tetapi kerana kepentingan penerusan operasi, kejayaan ini tidak diisytiharkan sehingga orang ramai tidak mengetahui akan kejayaan polis dan betapa keselamatan rakyat terpelihara. 5. Kerana tidak mengetahui peranan yang dimainkan oleh polis, ada golongan masyarakat yang menjadikan pasukan polis sebagai sasaran atau tumpuan kritikan apabila timbul isu-isu semasa yang melibatkan keluhuran perlembagaan, kedaulatan undang-undang dan keselamatan negara. Namun demikian, saya berasa bangga dan bersyukur kerana anggota-anggota pasukan polis tidak mudah dipengaruhi dan dilemahkan semangat oleh dakyah-dakyah palsu itu. Anggota-anggota polis telah menunjukkan sifat-sifat ketakwaan, kesabaran dan keberanian dalam menghadapi segala cabaran. 6. Sebenarnya, sebagai sebuah negara yang demokratik dan berperlembagaan yang meletakkan agama Islam sebagai agama rasmi, tidaklah ada ruang di mana penindasan atau pemerasan dapat dilakukan oleh pihak pemerintah atau agensi-agensinya seperti pasukan polis. Pasukan polis di negara ini adalah pasukan yang bertanggungjawab apabila menjalankan amanah negara dan rakyat. Dalam menguatkuasakan undang-undang, polis tidak membezakan antara kaum dan agama atau fahaman politik. Saya percaya pasukan polis akan dapat memikul tanggungjawab mereka dengan memuaskan jika sifat-sifat ketakwaan, kesabaran dan keberanian itu dikekalkan di samping meningkatkan mutu disiplin, kecekapan serta akhlak. Para hadirin sekalian. 7. Islam mahukan umatnya hidup aman dan selamat di dunia dan di akhirat. Keselamatan dan ketenteraman hanya dapat diteruskan apabila kita bersatu-padu, bekerjasama, bermuafakat dan menghindarkan permusuhan. Islam amat mementingkan perpaduan di kalangan umatnya. Allah Subhanahu Wataala berfirman dalam Surah Al-Ma'idah, ayat 2, yang bermaksud: 'Dan hendaklah kamu tolong-menolong untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa dan pencerobohan'. Pertikaian yang timbul dari sikap benci membenci, hasad dengki dan salah faham boleh menjejaskan perpaduan dan keselamatan. Menurut riwayat Muslim, ini dijelaskan oleh junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w. yang bersabda: 'Jangan benci membenci, jangan berhasad dengki dan jangan bermasam muka, sebaliknya jadilah kamu hamba Allah yang bersaudara, dan tidak harus bagi seseorang Islam memulaukan saudaranya melebihi tiga malam'. 8. Yang menyulitkan kita pada hari ini ialah keselamatan dan kedamaian adalah begitu sukar untuk dipelihara. Perbelanjaan untuk keselamatan menjadi terlalu tinggi. Beribu-ribu juta ringgit dibelanja bagi menambah kekuatan polis dan tentera. Perbelanjaan ini dapat diselamatkan dan diguna untuk lain-lain keperluan rakyat jika rakyat sendiri berdisiplin dan berpegang teguh kepada ajaran Islam yang sebenar iaitu beramanah, lurus dan melaku kebaikan serta menolak perbuatan yang mungkar. Sebab itulah, Kerajaan menganjurkan penerapan nilai-nilai Islam dan menggalakkan pembacaan Al-Quran dengan mengadakan musabaqah. Masyarakat Malaysia bukan sahaja akan menjadi lebih bahagia tetapi akan lebih dihormati kerana keadaan sentiasa aman dan selamat tanpa terlalu banyak kawalan oleh polis dan sebagainya. 9. Di dalam usaha membangunkan negara, setiap orang daripada kita mempunyai tanggungjawab dan peranan masing-masing. Setiap satunya hendaklah dilihat sebagai amanah daripada Allah Subhanahu Wataala kepada kita. Kebijaksanaan kita melaksanakan tanggungjawab dan kuasa itu akan dinilai oleh Allah Subhanahu Wataala. Kerja yang kita lakukan untuk kebaikan diri dan masyarakat adalah sebahagian daripada ibadat kita, dan kita akan menerima ganjaran dan pahala daripada Allah Subhanahu Wataala. 10. Akhir kata, saya mengambil kesempatan ini mengucapkan tahniah kepada Polis Di-Raja Malaysia kerana berjaya menganjurkan Musabaqah ini. Semoga Allah memberi taufik dan hidayahNya kepada kita semua. Wabillahi taufik walhidayah wassalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh. |