home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	ANGKASAPURI 
Tarikh/Date 	: 	02/06/86 
Tajuk/Title  	: 	PERUTUSAN HARI RAYA AIDILFITRI 1406 
			HIJRAH/1986 MASIHI 




Bismillahir rahmanir rahim.Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Allahu Akbar Allahu Akbar Allahu Akbar Walillahilhamd Syukur
Alhamdulillah, sekali lagi kita umat Islam dapat merayakan kemenangan kita
-- kemenangan melawan nafsu sepanjang bulan Ramadan yang mulia. Bulan
Ramadan adalah bulan di waktu mana terdapat berbagai dugaan bagi umat
Islam. Tetapi sesungguhnya di sebalik dugaan itu, Allah Subhanahu Wataala
Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani telah menyediakan bagi kita
berbagai-bagai hikmat dan nikmat. Dan dengan limpah rahmat Allah Subhanahu
Wataala, kita telah berpuasa dan insya-Allah telah meneguhkan iman kita.

2. Untuk selama sebulan kita telah berjaya melawan lapar dan dahaga dan
lain-lain tekanan nafsu. Berpuasa bermakna mengawal segala nafsu yang
mempengaruhi gerak-geri kita. Kehidupan manusia merupakan satu
pertandingan hebat antara nafsu dengan nilai-nilai yang mulia yang
dituntut oleh agama. Walaupun di luar bulan puasa kita boleh makan dan
minum mengikut selera, nafsu dan kemampuan kita, tetapi kesederhanaan yang
dituntut oleh agama kita serta pengalaman kita melarang kita daripada
berbuat demikian. Jika kita berjaya melawan nafsu maka kita akan hidup
lebih sihat dan bahagia. Demikian juga, jika kita melawan tabiat dan
amalan yang tidak baik seperti memfitnah, memungkir janji, membuat jenayah
dan lain-lain perbuatan yang bertentangan dengan agama Islam.

3. Tetapi pada bulan puasa, kawalan terhadap nafsu kita adalah lebih ketat
yang mana ini bukan sahaja akan melindung kita daripada mudarat tetapi
juga menjadikan kita manusia yang lebih insaf dan bertimbang rasa. Jika
kita kenal dan menginsafi pahit maung yang menjadi kelaziman bagi mereka
yang tidak berkeupayaan atau kurang kemampuan, kita akan lebih bersimpati
kepada mereka dan akan lebih mudah kita lakukan kerja-kerja kebajikan
dalam masyarakat. Agama Islam akan lebih dihormati dan lebih dimuliakan
jika orang-orang Islam selalu insaf dan sering tolong menolong. Amatlah
memalukan orang-orang Islam kerana apabila ramai umat Islam di Afrika
mengalami kebuluran, orang-orang bukan Islam yang lebih aktif menghulurkan
bantuan. Apakah kita tidak mempelajari sesuatu daripada ibadat puasa
kita? Apakah puasa mengajar kita menjadi penerima bantuan dan bukan
pemberi bantuan? Apakah kita menganggap puasa sebagai satu ritual untuk
mendapat pahala di akhirat sahaja tanpa apa-apa kesan terhadap tingkah
laku kita di dunia? Kita harus bertanya diri kita dengan ikhlas dan
menjawabnya dengan jujur. Jika tidak, akan sia-sia sahajalah ibadat kita.

Muslimin dan Muslimat sekalian, 

4. Keadaan ekonomi negara kita baru sahaja menunjukkan tanda-tanda yang
agak menggalakkan. Baru-baru ini permintaan untuk barang-barang keluaran
kilang-kilang elektronik kita telah mula bertambah. Peluang-peluang
pekerjaan dalam sektor ini nampaknya semakin cerah. Namun demikian,
janganlah kita lupa akan pengalaman buruk akibat kemelesetan. Kita yang
berpeluang harus ingat bahawa masih ramai yang terus menganggur dan sama
ada mereka akan dapat peluang bekerja bergantung kepada prestasi kerja
yang ditunjukkan oleh kita. Jikalau prestasi kita tidak baik, pelaburan
akan mengalir ke negara lain, di mana mungkin dengan belanja yang lebih
rendah, pengeluarannya lebih tinggi. Tidak ada gunanya kita mengeluh
kenapa pelabur tidak datang ke negara kita. Lebih baik lagi kita mengenal
pasti kelemahan kita dan mengatasinya.

5. Yang ingin mendapat peluang daripada kita bukan sahaja majikan. Ada
juga orang yang ingin mendapat peluang daripada adanya para pekerja yang
ramai supaya mereka mendapat tempat bagi diri mereka. Sementara yang
bekerja harus bertindak menjaga kepentingan mereka, janganlah begitu mudah
terpengaruh dengan bayangan pendapatan yang lebih dalam jangka pendek
sehingga terjejas nasib jangka panjang. Janganlah kita mengganggu peluang
mereka yang masih menganggor dengan terlalu ghairah mementingkan diri kita
sahaja.

6. Barangan utama yang penting bagi ekonomi negara kita masih menghadapi
pasaran yang lembab. Kerajaan sedang melakukan segala-galanya untuk
mengatasi masalah akibat daripada kejatuhan harga ini. Di sini harus kita
ingat bahawa yang penting ialah kos pengeluaran hendaklah jauh lebih
rendah daripada harga jualan. Jika harga jualan jatuh, kita harus mencari
jalan untuk menurunkan kos pengeluaran. Ini memerlukan kecekapan
pengurusan dan peningkatan daya pengeluaran oleh para pekerja. Jika kita
mengharapkan pihak pembeli untuk menaikkan harga barangan kita, kita tetap
akan kecewa. Sebaliknya, jika kos pengeluaran kita rendah, kenaikan harga
akan menambahkan lagi keuntungan kita. Sementara menunggu hasil usaha
kita, kita hendaklah berjimat cermat dan sanggup menghadapi kehidupan yang
kurang selesa daripada dahulu. 

Muslimin dan Muslimat sekalian, 

7. Sempena menjelangnya Hari Raya Puasa ini, marilah kita renungkan akan
cabaran dan dugaan yang kita hadapi sekarang. Manusia yang beriman dan
tidak mudah kecewa, tidak akan menyerah kalah kepada tekanan yang
dihadapi. Sebaliknya, mereka bukan sahaja akan menyusun langkah bagi
mengatasi segala cabaran, tetapi menjadi lebih kuat kerana
usahanya. Sebenarnya, apa yang dihadapi oleh kita bukanlah seberat yang
dihadapi oleh negara-negara lain. Kita harus insaf dan bersyukur kerana
ringan benar tekanan terhadap kita.

8. Kerajaan berusaha menghadapi cabaran-cabaran dengan penuh realiti,
dengan penuh tekad. Insya-Allah dengan keinsafan dan kesedaran rakyat akan
konsep korban yang diajar oleh agama Islam, kita akan bersama-sama
mengatasi masalah kita. Tuhan tidak akan mengubah nasib kita melainkan
kita sendiri berusaha mengubahkannya. Inilah pegangan Kerajaan dan ini
jugalah pegangan rakyat, terutamanya umat Islam. Dengan ini maka
bertambahlah hasil ibadat puasa kita, kerana kita akan menjadi umat yang
lebih taqwa dan faham akan dugaan Allah.

9. Berjaya atau tidaknya sesuatu masyarakat tertakluk kepada nilai hidup
yang diamalkannya. Kita telah memilih nilai-nilai Islam sebagai panduan
dan pegangan kita. Janganlah sesiapa mengkhianati pilihan kita ini dengan
melemparkan fitnah yang boleh melemahkan penerimaan nilai-nilai Islam
kerana kita tahu nilai-nilai ini akan membawa manfaat kepada kita. Jika
kita gagal, sebabnya ialah kerana orang yang mengkhianati kita telah
berjaya menyekat penerapan nilai-nilai Islam dalam amalan kita. Justeru
itu, hendaklah kita perangi penghasut dan penghalang ini demi menentukan
kejayaan kita dan mengukuhkan lagi iman kita. Muslimin dan Muslimat
sekalian.

10. Umat Islam pada zaman ini banyak menghadapi cabaran. Cabaran-cabaran
yang dihadapi pula sangatlah mendesak. Kelemahan yang terdapat pada umat
Islam hari ini dieksploitasikan dengan sepenuhnya oleh pihak-pihak yang
memang merancang untuk memecah-belahkan masyarakat Islam dan menggugat
lagi ketahanan umat Islam. Rancangan mereka menjadi bertambah mudah kerana
negara-negara Islam seluruhnya banyak bergantung kepada negara-negara yang
mempunyai musuh Islam. Negara-negara Islam yang sedang membangun juga
tidak terlepas daripada menjadi sasaran. Dengan cara halus dan tidak
langsung, mereka menghasut rakyat di negara-negara ini supaya mengancam
kestabilan, yang mana kestabilanlah yang menjamin kemajuan serta ketahanan
sesebuah negara. Dengan tidak disedari orang-orang Islam telah
diperalatkan, maka berjayalah musuh Islam mencapai hasrat mereka. Oleh
itu, sedarilah dan jauhilah sengketa sesama sendiri jika orang-orang Islam
ingin mencapai kejayaan. Muslimin dan Muslimat sekalian.

11. Musuh kita tidak kenal Hari Raya. Pada hari yang mulia ini pun mungkin
mereka berusaha menyerang kita. Oleh itu, terpaksalah pasukan-pasukan
keselamatan kita meneruskan tugas-tugas mereka walaupun pada Hari
Raya. Kita tidak boleh lupakan anggota-anggota pasukan keselamatan kita
dan pengorbanan yang mereka lakukan. Kita mengucapkan berbanyak-banyak
terima kasih dan Selamat Berhari Raya di mana-mana juga mereka
berada. Kita berdoa semoga Allah Subhanahu Wataala melindungi mereka
semasa mereka dengan penuh kecekapan menjalankan tugas-tugas mereka di
Hari Raya ini.

12. Kepada saudara-saudari kaum Muslimin, saya mengucapkan Selamat Hari
Raya Aidilfitri dan semoga kita semua mendapat hidayat. Kepada
saudara-saudari yang bukan Islam, rayakanlah hari kebesaran ini
bersama-sama dengan rakan-rakan Islam anda.

13. Akhir kata, saya serta keluarga saya memohon maaf, zahir dan batin, di
atas apa juga kesilapan yang mungkin kami telah lakukan selama
ini. Selamat Hari Raya Aidilfitri.

Wabillahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Allahu Akbar Allahu Akbar Allahu Akbar Walillahilhamd. 
 

 



 
Google