home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	DEWAN TUNKU CANSELOR, UNIVERSITI 
			MALAYA, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	14/07/86 
Tajuk/Title  	: 	PERASMIAN KONVENSYEN BAHASA 
			KEBANGSAAN ANJURAN BIRO KEBUDAYAAN 	
			UMNO MALAYSIA 




Assalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh. Yang Berhormat En. Anwar
Ibrahim, Pengerusi Biro Kebudayaan UMNO; Dif-dif Kehormat; Tuan-tuan dan
puan-puan.

Saya berterima kasih kepada Biro Kebudayaan UMNO kerana memberi kesempatan
untuk saya berucap dan seterusnya merasmikan Konvensyen Bahasa Kebangsaan
ini.

Para hadirin sekalian, 

2. Sudah hampir 29 tahun kita merdeka; selama itu jugalah bahasa yang
berasaskan kepada Bahasa Melayu tegak berdiri sebagai Bahasa Malaysia,
Bahasa Kebangsaan dan bahasa rasmi negara ini. Akta yang digubal telahpun
dilaksanakan berhubung dengan kedua-dua fungsi bahasa Malaysia - iaitu
sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi.

3. Dalam perancangan bahasa bagi negara kita, kita mempunyai model yang
tersendiri yang kita tidak tiru daripada mana-mana negara. Model ini kita
bina dan perkembangkan dari dalam, yakni berdasarkan keadaan etnik
kebahasaan yang mencirikan alam kita,berdasarkan proses -proses sejarah
yang kita lalui dalam usaha mencapai kemerdekaan, dan juga berdasarkan
cita-cita kita untuk terus hidup sebagai bangsa yang maju lagiberdaulat.

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian, 

4. Berdasarkan itu semua, kita merasakan perlu untuk memberi takrif kita
sendiri kepada apa yang kita maksudkan sebagai bahasa kebangsaan dan
bahasa rasmi. Kebanyakan negara di dunia, bahkan beberapa negara jiran
kita, tidak mengadakan pembezaan fungsi bahasa seperti yang kita lakukan
itu, kerana pembezaan yang seperti itu tidak diperlukan oleh mereka. Bagi
mereka, apa yang mereka namakan "bahasa kebangsaan" itu sudah cukup untuk
menjalankan dua fungsi yang disebutkan tadi, bahkan untuk fungsi-fungsi
yang lain juga.

5. Di Semenanjung Malaysia, perbezaan dua fungsi itu jelas dan nyata
sehingga tahun 1967, apabila bahasa yang berasaskan Bahasa Melayu menjadi
bahasa rasmi yang tunggal; tidak lagi sebagai salah satu bahasa rasmi di
samping bahasa Inggeris. Semenjak tarikh itu dua fungsi sudah bercantum
menjadi satu.

6. Percantuman dua fungsi berlaku agak lambat sedikit di Sabah dan
Sarawak. Walau bagaimanapun, alhamdulillah, seluruh Malaysia sekarang ini
mempunyai satu bahasa rasmi yang tunggal, yang juga merupakan bahasa
kebangsaannya, iaitu Bahasa Malaysia.

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian, 

7. Perhimpunan raksasa untuk memperkatakan isu-isu bahasa, jarang kita
dengar dalam sepuluh atau lima belas tahun kebelakangan ini. Yang kita
dengar hanya persidangan-persidangan ilmiah atau separuh ilmiah yang
dikelolakan oleh ahli-ahli bahasa dan para penulis.

8. Hari ini sungguh istimewa, kerana perhimpunan ini digerakkan oleh
orang-orang politik. Perjuangan memaktubkan bahasa yang diasaskan daripada
Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi yang tunggal
dalam Perlembagaan Malaysia, adalah perjuangan politik.

9. Muktamad tersebut sudah tercapai dengan adanya Akta Bahasa. Kejayaan
itu disambut dengan pelaksanaan Akta tersebut oleh ahli-ahli masyarakat
yang lain -- penulis, guru, ahli akademik, pentadbir dan lain-lain lagi.

Tuan-tuan dan Puan-puan, 

10. Izinkan saya bercakap sedikit di sini tentang persepsi saya terhadap
bahasa di zaman moden ini. Yang pertamanya, tidak ada lagi dalam dunia ini
bahasa yang terkecuali atau bersih daripada pengaruh bahasa-bahasa
asing. Perkembangan ilmu dan perkembangan pesat dalam bidang komunikasi,
termasuk perjalanan dari satu tempat ke satu tempat yang lain telah
menyebabkan saling penerapan berbagai bahasa ke dalam semua bahasa lain
sehingga tidak ada satu bahasa yang terkenal yang bersih daripada
perkataan-perkataan asing. Dengan ini kita tidak lagi perlu keaslian untuk
mentakrifkan sesuatu bahasa sebagai bahasa kebangsaan.

11. Bahasa yang kita kenali sebagai Bahasa Kebangsaan Malaysia bermula
dengan Bahasa Melayu. Tetapi semasa Bahasa Melayu ini ditentukan sebagai
Bahasa Kebangsaan, ia sudahpun menyerap bahasa-bahasa Arab, Parsi,
Sanskerit, Portugis, Inggeris serta juga beberapa bahasa atau dailek yang
ditutur di gugusan Pulau-Pulau Melayu. Dengan perkataan lain, Bahasa
Melayu tulin atau asli daripada segi perkamusannya sudah tidak wujud di
waktu kita bersetuju mengadakan Bahasa Kebangsaan Malaysia.

12. Di samping itu pula, Bahasa Melayu harian yang digunakan di
negeri-negeri Semenanjung, Sabah dan Sarawak, berbeza antara satu sama
lain. Demikianlah berbezanya bahasa tempatan ini sehingga diceritakan
bahawa seorang hakim yang berasal dari Kedah terpaksa menggunakan
jurubahasa untuk memahami bahasa pihak yang dituduh yang berasal dari
Kelantan.

13. Apabila Bahasa Kebangsaan ditentukan, ia dengan segera menyerap
perkataan dan loghat yang baru yang diciptakan oleh pakar-pakar bahasa. Di
waktu yang sama, orang awam, akhbar dan penulis juga mencipta dan
menggunakan istilah-istilah baru ciptaan mereka. Tidak cukup dengan itu,
kita cuba menyelaraskan Bahasa Malaysia dengan Bahasa Indonesia.

14. Kesan daripada semua usaha ini ialah Bahasa Malaysia bukan sahaja
terasing daripada bahasa-bahasa lain-lain keturunan di Malaysia, tetapi
juga berbeza daripada Bahasa Melayu asal sendiri. Apa yang kita iktiraf
sebagai Bahasa Kebangsaan bukan lagi Bahasa Melayu, tetapi adalah
benar-benar Bahasa Malaysia, satu bahasa yang baru dan moden yang boleh
menerima cabaran perkembangan pengetahuan semasa. Penguasaan dan
penggunaannya dalam kehidupan harian, sama ada rasmi atau tidak rasmi,
tidak menjadikan seseorang itu orang Melayu. Ia hanya menentukan seseorang
itu adalah 'Malaysian'.

15. Penerimaan Bahasa Kebangsaan oleh kaum-kaum di Malaysia tidak akan
menukarkan bangsa kaum itu. Sepertimana Kerajaan tidak melarang kegunaan
loghat Kelantan atau Sarawak atau lain-lain, Kerajaan juga tidak melarang
penggunaan bahasa ibunda kaum-kaum di Malaysia. Sikap Kerajaan Malaysia
amatlah liberal dan Bahasa Kebangsaan tidak harus menjadi kontroversi
lagi.

Tuan-tuan dan Puan-puan, 

16. Seperkara yang memerlukan perhatian dalam usaha mengembangkan
penggunaan Bahasa Malaysia ialah sikap dan tabiat para pengguna Bahasa
Malaysia, terutamanya orang-orang Melayu. Apabila kita mendengar orang
bukan Melayu menggunakan Bahasa Malaysia, kita kerapkali mengikut dan
meniru loghat yang salah yang digunakannya. Kadang-kadang, kita
seolah-olah tidak yakin orang lain boleh bertutur dalam Bahasa
Malaysia. Justeru itu, kita membalas percakapan mereka dalam Bahasa
Inggeris. Inilah di antara sebabnya mengapa di Malaysia orang-orang asing
jarang sekali faham Bahasa Malaysia walaupun mereka tinggal bertahun-tahun
lamanya di sini; sementara orang-orang asing yang tinggal di Indonesia
dengan mudahnya belajar Bahasa Indonesia.

17. Kadang-kadang pula, masih ada di antara orang-orang kita yang gelihati
mendengar kesalahan yang dibuat oleh orang-orang bukan Melayu apabila
bercakap dalam Bahasa Kebangsaan. Tabiat ini mengurangkan minat orang lain
menggunakan Bahasa Kebangsaan. Jika orang Inggeris ketawa mendengar
kesilapan orang lain apabila bercakap dalam Bahasa Inggeris, hari ini
Bahasa Inggeris tidak mungkin jadi bahasa dunia.

18. Memang benar bahawa ada pihak yang sengaja tidak suka menggunakan
Bahasa Kebangsaan. Tetapi hakikatnya ialah Bahasa Kebangsaan sudah
berkembang luas di Malaysia dan penggunaannya sebagai bahasa ilmu tidak
boleh dipertikaikan lagi. Jika keluasan penggunaannya masih tidak
memuaskan, selain daripada sebab-sebab yang telah saya sebutkan tadi, satu
lagi faktor ialah orang-orang yang menggunakan Bahasa Kebangsaan masih
berkurangan dalam berbagai bidang ilmu yang terdapat sekarang.

19. Sekarang ini yang diperlukan bukan lagi galakan dan kempen. Yang
diperlukan ialah kefahaman bagaimana sesuatu bahasa secara semulajadi
membangun dan berkembang dan bagaimana proses ini dapat dibantu oleh semua
pihak. Penekanan patut ditumpukan kepada pembangunan bangsa yang
menggunakan Bahasa Malaysia. Kemajuan bangsa itu dengan sendirinya akan
memajukan Bahasa Malaysia.

Tuan-tuan dan Puan-puan, 

20. Ketika ini, kita tidak bersusah payah menarik orang-orang di negara
asing belajar bahasa kita, seperti halnya mereka belajar bahasa Inggeris,
Perancis atau Arab. Jika kita mempunyai cita-cita untuk menjadikan Bahasa
Malaysia sebagai bahasa antarabangsa, itu adalah cita-cita yang sungguh
baik. Tetapi, terlebih dahulu, eloklah kita memperbaiki keadaan dalam
rumahtangga kita sendiri. Kukuhkanlah dahulu kedudukan Bahasa Malaysia
sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa ilmu di negara kita. Perkayakanlah
kepustakaan bahasa kita dengan ilmu-ilmu daripada berbagai bidang
kehidupan.

21. Kita tidak seharusnya bergantung kepada hasil terjemahan
semata-mata. Walaupun terjemahan itu baik untuk memperkayakan ilmu dalam
bahasa kita, cerdik-pandai kita sendiri hendaklah membuktikan kemampuan
mereka menghasilkan karya-karya mereka sendiri. Dengan cara ini, mereka
akan mewujudkan keyakinan orang terhadap kemampuan bahasa Malaysia sebagai
bahasa ilmu.

22. Dalam usaha mencapai matlamat mendaulatkan Bahasa Malaysia, kita
janganlah menanam sikap yang negatif di kalangan rakyat kita terhadap
penguasaan bahasa-bahasa lain, terutama sekali bahasa dunia, seperti
bahasa Inggeris, bahasa Perancis, bahasa Arab dan lain-lain. Penguasaan
bahasa asing itu akan memperkayakan ilmu yang ada di dada kita dan membuka
mata kita kepada alam yang lain daripada alam kita. Selain daripada itu,
orang-orang tertentu di kalangan orang Melayu hendaklah juga mempelajari
bahasa kaum-kaum lain di Malaysia ini, seperti bahasa Cina dan bahasa
Tamil untuk memahami kebudayaan dan saikologi mereka. Dengan itu,
kemungkinan berlakunya perbuatan-perbuatan yang menyinggung perasaan kaum
dapat dihindar dan sebaliknya kefahaman ditingkatkan.

23. Selain daripada memperkayakan ilmu, pembelajaran bahasa yang lain
daripada bahasa kita itu memberi pengalaman yang baru kepada kita daripada
segi proses pembelajaran atau 'learning process'. Ini membantu dalam
mempertajamkan daya pemikiran kita yang sangat berguna dan
mempertingkatkan kecekapan kita menjalankan tugas harian.

Tuan-tuan dan Puan-puan, 

24. Saya harap Konvensyen Bahasa Kebangsaan ini dapat meneliti dan
membahaskan dengan hati terbuka segala isu yang berhubung dengan
pelaksanaan Dasar Bahasa Kebangsaan. Saya juga berharap bahawa apa sahaja
usul yang akan dikemukakan, ianya akan memberi manfaat kepada kita semua.

25. Dengan ini, saya dengan sukacitanya merasmikan Konvensyen Bahasa
Kebangsaan ini.

Wabillahi taufik walhidayah wassalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh. 
 

 



 
Google