home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	ANGKASAPURI 
Tarikh/Date 	: 	28/07/86 
Tajuk/Title  	: 	SEMPENA PILIHANRAYA UMUM 1986 
			MELALUI RANGKAIAN NASIONAL 
			RADIO MALAYSIA 




Assalamu alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan salam sejahtera. Pada
penghujung minggu ini para pengundi di seluruh negara akan keluar mengundi
bagi memilih wakil-wakil mereka ke Dewan Rakyat dan semua Dewan Undangan
Negeri melainkan Sabah dan Sarawak. Gunakanlah peluang ini sebaik-baiknya
untuk memilih sebuah Kerajaan yang kukuh dan yang berkesan bagi menjamin
kestabilan dan kesejahteraan negara ini dan rakyatnya.

Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian.

2. Perikatan dan sekarang Barisan Nasional telah mentadbir Malaysia selama
29 tahun terus menerus. Selama 29 tahun juga pakatan parti-parti semua
kaum yang memerintah ini telah memperjuangkan nasib rakyat dalam semua
bidang ekonomi, sosial, politik, keagamaan dan sebagainya. Pencapaian
negara ini semenjak merdeka jelas terbukti dalam semua bidang.

3. Parti tertua dalam Barisan Nasional iaitu UMNO telah berusia 40 tahun,
dan telah memulakan perjuangannya dengan menentang 'Malayan
Union'. Selepas itu bersama-sama MCA dan MIC, Perikatan diwujudkan dan
gabungan ini telah menghasilkan kemerdekaan negara. Enam tahun kemudian,
rakyat dan parti-parti politik bergabung bagi mewujudkan Malaysia dan
melaluinya merdekalah Sabah dan Sarawak. Malang menjenguk juga dengan
berlakunya peristiwa 13 Mei, tetapi Kerajaan berjaya memulihkan keadaan,
bahkan lebih bertekad lagi untuk menjamin kesejahteraan negara sehingga
wujudnya Dasar Ekonomi Baru yang bertujuan mengimbang dan menyatupadukan
rakyat.

4. Usaha perpaduan diteruskan dengan membentuk Barisan Nasional yang
memberi tempat kepada parti-parti lawan dalam Kerajaan. Dengan penyertaan
semua pihak dalam Kerajaan, pembangunan negara sejak tahun tujuh puluhan
menjadi lebih pesat lagi.

5. Pembangunan negara dirancang dengan teliti dan teratur dan setakat ini
enam rancangan lima tahun telah dilancarkan. Kesan dan hasilnya sungguh
menyeluruh -- kalau disebut pendidikan, tersergam beratus buah sekolah,
berpuluh buah kolej dan enam universiti baru ditubuhkan; kalau kesihatan,
bukan sahaja hospital besar bertambah di bandar, bahkan beratus pusat
kesihatan, kelinik dan kelinik desa dibina; kalau pertanian, beribu hektar
tanah hutan diterokai, sistem talian air bersilang-seli di
sana-sini; kalau kemudahan asas pula, beribu kilometer jalan baru dibina
dan yang lama diperbaiki, bekalan air sudah sampai ke hulu-hulu, dan
bekalan letrik menerangi rumah-rumah desa, estet dan kampung baru; yang
miskin telah berkurangan, bahkan bilangan profes- sional, pengusaha dan
cerdik-pandai bertambah; dan kalau industri, bukan sahaja kilang-kilang
dan industri kecil bertambah, bahkan bilangan industri besar juga
meningkat. Bandar-bandar telah membesar, menjadi lebih bersih dan
nyaman. Kampung-kampung baru juga telah diperbaiki dan dilengkapkan dengan
jalan dan letrik.

6. Segarnya Barisan Nasional terbukti sehingga sanggup memperjuangkan satu
pemerintahan yang bersih, cekap dan amanah. Segala keburukan dan kelemahan
yang sekian lama tersembunyi telah didedahkan dan pembersihan
diusahakan. Semua ini membuktikan hasrat Kerajaan bahawa membela nasib
rakyat memang menjadi tradisi Perikatan dan Barisan Nasional.

7. Justeru itu, 'Tradisi Membela Rakyat' yang dipilih oleh Barisan
Nasional sebagai cogankata untuk Pilihan Raya Umum ini adalah tepat.

Tuan-tuan dan Puan-puan, 

8. Tradisi ini juga memaksa Kerajaan Barisan Nasional mengambil tindakan
yang tidak popular dalam jangka pendek tetapi akan membawa kebaikan
akhirnya. Keberanian membuat demikian memberi kesan yang berpanjangan
dalam pembangunan negara. Jika tidak maka yang akan ditumpukan ialah
politik untuk populariti.

9. Tekanan kepada faedah jangka panjang inilah yang menghasilkan sistem
perakam waktu, manual prosedur kerja, kumpulan meningkatkan mutu kerja,
ruang pejabat terbuka, tag nama, pusat bayaran setempat dan membajai
nilai-nilai murni dalam perkhidmatan awam. Hasilnya dalam perkhidmatan
awam dalam jangka panjang telah terbukti.

10. Hasil negara datang dari kegiatan ekonomi, kebanyakannya oleh pihak
swasta. Tentulah menasabah Kerajaan menolong pihak swasta oleh kerana
ianya menolong Kerajaan menambah hasilnya. Demikian Persyarikatan
Malaysia. Di samping itu penswastaan dilaksanakan untuk mengurangkan
bebanan kewangan Kerajaan, meninggikan kecekapan dan menggalakkan
pertumbuhan ekonomi.

11. Islam sebagai agama rasmi negara telah menempa pembangunan pesat. Di
samping menanam nilai-nilai murni Islam di kalangan kakitangan awam,
Kerajaan sekarang berjaya mendirikan Universiti Islam Antarabangsa, Bank
Pembangunan Islam dan Syarikat Takaful. Undang-undang keluarga Islam telah
juga diperkenalkan di beberapa buah negeri. Sementara itu pengikut agama
lain bebas menganuti agama masing-masing.

Tidak ada paksaan dalam Islam.

12. Bagi pembangunan ekonomi, Kerajaan sekarang berpendapat industri
seharusnya menjadi tulang belakang pembangunan negara masa depan. Beberapa
projek industri berat yang memerlukan modal dan teknologi tinggi serta
tenaga pekerja mahir merupakan satu penekanan baru. Walau bagaimanapun
pembangunan kampung dan luar bandar terus mendapat perhatian. Kerajaan
menggalakkan pengurusan moden bagi kebun-kebun kecil dan sawah padi,
menggalakkan industri kampung, serta bertekad menyusun semula
kampung-kampung secara teratur. Penduduk-penduduk di kampung-kampung baru
juga diberi berbagai-bagai kemudahan untuk hidup yang lebih selesa. Begitu
juga halnya dengan penduduk di estet-estet dan ladang-ladang serta di
kawasan-kawasan pendalaman dan terpencil.

13. Setiap bangsa dan negara mempunyai maruah. Begitu juga kita mempunyai
maruah pada kacamata antarabangsa. Kita semakin dikenali bukan sahaja
kerana berpendirian tegas dalam beberapa isu antarabangsa, tetapi juga
kerana sumbangan pendapat dan pengalaman kita bagi mengatasi berbagai
masalah, termasuk pencegahan dadah. Ramai orang asing yang dihantar ke
negara kita untuk mempelajari berbagai sistem dan cara pentadbiran yang
kita pelopori.

Tuan-tuan dan puan-puan, 

14. Banyak lagi yang harus kita rancang dan laksanakan dan Malaysia
memerlukan Kerajaan yang teguh, cekap dan bertanggungjawab. Para pemimpin
Barisan Nasional mempunyai kewibawaan dan kesanggupan memimpin negara ke
arah kestabilan dan kemajuan. Bagi negara yang membangun dan berbilang
kaum dan agama seperti Malaysia ini, Kerajaan yang kuat sahaja yang dapat
mentadbir negara ini dengan baik, jujur dan dengan penuh
keyakinan. Justeru itu sama-samalah kita mempastikan sebuah Kerajaan yang
kukuh akan tertubuh melalui pilihanraya ini, insya-Allah.

Wabillahi taufik walhidayah wassalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh,
dan salam sejahtera. 
 




 
Google