home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : PUSAT DAGANGAN DUNIA PUTRA, KUALA LUMPUR Tarikh/Date : 25/08/86 Tajuk/Title : MAJLIS PERASMIAN SEMINAR KEBANGSAAN KEBAJIKAN MASYARAKAT Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh, dan salam sejahtera Yang Berhormat Dato' Shahrir Samad, Menteri Kebajikan Masyarakat; Dif-Dif Kehormat; Tuan-tuan dan puan-puan sekalian. Saya bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan limpah kurnia dan izinNya dapat kita hadir di Majlis ini. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Penganjur kerana menjemput saya untuk menyampaikan sepatah dua kata dan seterusnya merasmikan Seminar Kebangsaan Kebajikan Masyarakat yang julung-julung kalinya pernah diadakan di negara kita ini. Tuan-tuan dan puan-puan, 2. Kerja-kerja kebajikan di negara kita hari ini telah berkembang dengan begitu pesat. Pertubuhan-pertubuhan kebajikan memberi perkhidmatan kepada orang tua, kanak-kanak, orang cacat, wanita yang teraniaya, penagih dadah dan sebagainya. Saya amat gembira melihat perkembangan ini oleh kerana ianya menunjukkan kesedaran masyarakat kita terhadap golongan-golongan yang kurang bernasib baik dan juga yang kurang berkeupayaan. 3. Penglibatan sebegini juga akan dapat membantu Kerajaan supaya beban dan tanggungjawab terhadap golongan yang kurang bernasib baik dapat dipikul bersama. Peranan yang dimainkan oleh pertubuhan-pertubuhan kebajikan dan sukarela ini akan memberikan lebih kekesanan sekiranya mereka dapat memupuk semangat kerjasama antara satu sama lain dalam mewujudkan kesejahteraan dan keharmonian hidup untuk golongan yang dimaksudkan itu. Persaingan-persaingan yang positif perlu diwujudkan untuk memberi satu perkhidmatan yang baik dan bermutu tinggi. Penglibatan badan-badan sukarela perlulah dilipat-gandakan di dalam menjayakan sesuatu program kebajikan. Melalui cara ini, banyak masa, kewangan dan sumber dapat dijimatkan. Tuan-tuan dan puan-puan, 4. Walaupun Kerajaan mengambil berat terhadap kebajikan rakyat, tetapi adalah menjadi cita-cita Kerajaan untuk mewujudkan satu masyarakat Malaysia yang berdikari -- satu masyarakat yang tidak sentiasa bergantung kepada Kerajaan atau institusi-institusi tertentu. Sedikit sebanyak masyarakat kita telah dimanjakan dengan subsidi dan berbagai rupa bentuk bantuan. Kerajaan secara beransur-ansur akan mengurangkan pemikiran subsidi atau 'dole-mentality' ini demi kebaikan masyarakat sendiri. 5. Justeru itu Kerajaan telah menegaskan pendiriannya bahawa segala bantuan yang diberikan hanyalah setakat untuk membantu seseorang itu dapat memulakan usaha yang produktif. Ini telah digambarkan melalui sikap Kerajaan mengenai subsidi yang sebelum ini telah dihulurkan kepada para petani, nelayan dan sebahagian daripada penduduk luar bandar. Sekarang ini bentuk subsidi akan dikaji semula supaya tidak mewujudkan tabiat suka bergantung kepada subsidi di kalangan segolongan rakyat kita. Begitu juga dengan sikap Kerajaan di sektor-sektor lain, di mana bantuan bukan diberi sehingga seseorang atau segolongan rakyat itu menjadi lemah dan bergantung sangat kepada bantuan Kerajaan. 6. Untuk aktiviti-aktiviti dan program kebajikan masyarakat pula, Kerajaan tidak menggalakkan bantuan dihulurkan sehingga menjadikan seseorang itu bergantung kepada bantuan Kerajaan untuk meneruskan hidupnya pada masa depan. Ini tidak bermakna bahawa Kerajaan tidak mempunyai sikap kebajikan untuk membantu seseorang yang benar-benar harus dibantu sepanjang hayatnya. Sebaliknya, untuk kepentingan jangka panjang negara dan kepentingan mereka yang perlu dibantu, Kerajaan akan menentukan supaya bantuan yang dihulurkan akan membolehkan mereka meneruskan hidup mereka dengan berdikari, ataupun meneruskan hidup mereka dengan bantuan yang paling minima dari pihak Kerajaan. 7. Mereka yang selalu bergantung kepada bantuan Kerajaan mungkin nampak segar untuk seketika, tetapi semangat mereka akan menjadi lemah dan terus luput dalam jangka panjang. Mereka tidak akan mempunyai inisiatif untuk berdikari, untuk memulakan sesuatu pekerjaan yang memberi manfaat kepada mereka dan keluarga, untuk berikhtiar menegakkan maruahnya tanpa mengharapkan bantuan orang lain ataupun Kerajaan; tidak bersemangat untuk membantu diri mereka sendiri. Itulah pendirian yang menyeluruh oleh Kerajaan hari ini mengenai pemberian bantuan dalam apa bentuk sekalipun. 8. Saya sedar pemberian bantuan kepada mereka yang kurang bernasib baik mungkin tidak boleh disamakan sepenuhnya seperti pemberian subsidi kepada para petani, peladang dan segolongan penduduk yang miskin. Kerajaan sedar mereka yang kurang bernasib baik ini adalah terdiri daripada mereka yang cacat, buta, kanak-kanak dan wanita yang teraniaya dan sebagainya. Tetapi kelemahan tertentu ini tidak bermakna mereka tidak boleh berusaha sama sekali. Mereka yang bersemangat tetap dapat menolong diri mereka sendiri. Di sinilah terletaknya peranan pertubuhan-pertubuhan kebajikan kerana merekalah yang patut menolong melatih orang yang kurang bernasib baik ini supaya berjaya memulih maruah mereka dan tidak menjadi beban kepada sesiapa. Kerajaan akan membantu hanya sewaktu berlatih. Demikian juga pertubuhan-pertubuhan kebajikan. Apabila orang-orang yang mendapat bantuan ini sudah dapat menolong diri mereka sendiri, maka wang dan tenaga hendaklah disalurkan kepada orang lain pula yang memerlukan pertolongan. Dengan cara ini baharulah keadilan sosial dicapai. 9. Sementara yang cacat ini perlu diberi bantuan, kita harus ingat bahawa sebagai orang Timur, kita masih menghargai sistem berkeluarga besar atau 'extended family'. Keluarga tidak boleh melepas tangan dan berharap Kerajaan atau pertubuhan kebajikan sahaja berusaha memberi pertolongan. Sementara Kerajaan dan pertubuhan kebajikan boleh memberi bantuan, mereka tidak boleh memberi kasih sayang seperti yang didorong oleh kekeluargaan. Justeru itu janganlah kita lupa akan kebudayaan Timur kita dan melepaskan tangan daripada kerja-kerja memelihara dan merawat ahli-ahli keluarga kita yang tidak bernasib baik. Janganlah kita ketepi dan lupakan mereka apabila sahaja mereka mendapat pertolongan orang lain. 10. Walaupun mungkin terdapat beberapa golongan mereka yang kurang bernasib baik ini dibantu dengan diberikan kemahiran yang diperlukan, Kerajaan juga mengakui bahawa terdapat juga satu-dua golongan yang memerlukan pertolongan yang lebih lama. Kerajaan akan berikhtiar memberi bantuan yang diperlukan sehingga ke peringkat mereka dapat berdiri di atas kaki sendiri -- dapat membantu dan mencari rezeki sendiri. Ini adalah panduan kasar sahaja dan terpulanglah kepada tuan-tuan dan puan-puan, serta kakitangan Kerajaan yang lain yang terlibat dengan kerja-kerja kebajikan, untuk menentukan peringkat atau garis pembahagian yang saya sebutkan tadi. 11. Di samping itu Kerajaan akan terus menggalakkan rakyat negara ini, melalui badan-badan sukarela, memberi bantuan kepada mereka yang kurang bernasib baik. Di sini pun Kerajaan berharap supaya harapan bagi mengelakkan timbulnya masyarakat yang berfikiran subsidi atau bergantung kepada kebajikan, akan diteliti juga oleh badan-badan sukarela. Tuan-tuan dan Puan-puan, 12. Saya mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada pekerja-pekerja kebajikan di negara ini kerana telah sudi mengorbankan masa, tenaga dan kepakaran demi kepentingan golongan yang kurang bernasib baik. Walau bagaimanapun, ada di antara pekerja-pekerja kebajikan sukarela yang masih berkurangan di dalam pengetahuan ikhtisas dan cara-cara menjalankan kerja-kerja kebajikan dengan lebih berkesan. Memandangkan bahawa negara semakin hari semakin maju dan masalah sosial pula semakin hari semakin kompleks, maka perlulah pertubuhan kebajikan mengambil tindakan bagi mengadakan kumpulan pekerja-pekerja yang mahir dan professional dengan memberi mereka kursus atau latihan. 13. Sekali lagi saya ingin mengucapkan terima kasih di atas inisiatif pihak penganjur mengadakan Seminar ini dan juga berharap bahawa Seminar ini akan benar-benar memberi faedah kepada para peserta sekalian. Dengan harapan yang sedemikian, saya dengan sukacitanya merasmikan Seminar Kebangsaan Kebajikan Masyarakat ini. Wabillahi taufik walhidayah wassalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh. |