home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	MUZIUM NEGARA, KUALA LUMPUR 
Tarikh/Date 	: 	28/08/86 
Tajuk/Title  	:	HARI PERASMIAN PAMERAN 




Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh, Yang Berhormat Dato' Seri
Sanusi Junid, Menteri Pertanian, merangkap Pengerusi Jawatankuasa Perayaan
Hari Kebangsaan 1986; Yang Berhormat Dato' Seri Najib Tun Razak, Menteri
Kebudayaan, Belia dan Sukan Malaysia; Yang Berbahagia Dato' Shahrum bin
Yub, Ketua Pengarah Jabatan Muzium; Dif-dif Kehormat; Tuan-tuan dan
puan-puan sekalian.

Terlebih dahulu saya ingin merakamkan berbanyak terima kasih kepada
Ahli-ahli Jawatankuasa Pameran ini kerana sudi mengundang saya untuk
melakukan upacara perasmian pameran yang bertemakan 'Bangsa Tegas Negara
Teguh' pada hari ini.

2. Kita bersyukur ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana
nikmat-nikmatNya yang tidak terhingga banyaknya dicurahkan kepada negara
kita ini yang sekarang sudah 29 tahun usianya. Ini adalah sebesar-besar
pengurniaan yang harus kita syukuri dan memeliharanya dengan sebaik-baik
penjagaan.

3. Dalam masa 3 hari lagi, insya-Allah, kita akan merayakan ulangtahun
Hari Kebangsaan Negara kita -- satu-satunya hari yang sangat besar
pengertiannya kepada setiap warganegara Malaysia. Kita merayakan Hari
Kebangsaan pada setiap tahun bukanlah kerana kita terpaksa merayakannya,
tetapi adalah salah satu cara untuk mengingatkan kita akan penjajahan
negara dan bangsa kita selama 400 tahun, dan betapa mencabarnya usaha
untuk membebaskan semula negara kita. Ketegasan dan keikhlasan serta
keutuhan perpaduan pejuang-pejuang kemerdekaan dahulu merupakan satu
hakikat sejarah yang tidak boleh dilupakan. Obor suci perjuangan mereka
dahulu seharusnya terus hidup menyala di dalam jiwa generasi sekarang dan
menjadi azimat dalam perjuangan mereka untuk mengisi dan mencorakkan
kemerdekaan negara ini ke matlamat yang kita hajati.

4. Oleh sebab kita sentiasa berada dalam suasana aman damai, sudah biasa
dengan kesenangan dan tidak banyak pergolakan yang mencabar berlaku,
sedikit sebanyak akan menjadikan kita terlupa kepada matlamat hidup yang
sebenar dan lupa kepada tanah tempat kita berpijak dan langitnya yang kita
junjung. Dalam hal ini sukalah saya menegaskan di sini bahawa semangat
cintakan nusa dan bangsa hendaklah menjadi titik tolak dan menjadi
matlamat pokok dalam apa jua tugas dan perjuangan yang hendak kita
tegakkan di negara ini. Tidak ada sesiapa pun yang akan memperjuang dan
mempertahankan negara dan bangsa kita melainkan kita sendiri.

5. Para pemimpin masyarakat, cerdik pandai, pegawai-pegawai Kerajaan dan
sesiapa juga yang terlibat dalam usaha-usaha untuk membangunkan negara ini
mesti tegas dalam perkara ini. Setiap dasar, perancangan dan perlaksanaan
projek dan aktiviti-aktiviti mereka hendaklah mempunyai matlamat dan
digerakkan ke arah cintakan tanahair dan bangsa. Ini adalah tanggungjawab
kita bersama yang tidak ada tolak ansur demi untuk menjaga kedaulatan,
keteguhan dan kemakmuran negara dan bangsa kita.

Saudara-saudara dan saudari-saudari sekalian, 

6. Dalam sejarah umat manusia yang pernah terakam di dunia ini,
kebiasaannya kemunculan keagungan sesuatu tamadun bangsa di sesebuah
negara itu terletak kepada kewibawaan dan kebijaksanaan pemerintahnya
untuk mentadbirkan negara. Sesebuah Kerajaan yang ideal dapat menegakkan
sebuah negara yang kukuh sekiranya didokong oleh lapisan pemimpin
bijaksana yang berilmu, tegas dalam pendirian, ikhlas dan mempunyai
ciri-ciri keperibadian yang tinggi dan kepemimpinan yang unggul dan
terpuji. Negara akan menjadi lemah, pentadbiran negara akan menjadi
kucar-kacir dan rakyat akan hilang pedoman sekiranya pemimpin-pemimpin
yang diamanahkan untuk mentadbirkan negara lari daripada tanggungjawab
sebenar mereka. Maka akan berlakulah seperti apa yang pernah berlaku dalam
sejarah kehancuran sesuatu tamadun bangsa atau sesuatu regim pemerintahan
dahulu.

7. Kalau kita renungkan kembali akan kelahiran kemerdekaan negara ini
dahulu nescaya akan tersualah kita dengan barisan pejuang-pejuang bangsa
yang begitu gigih berani, tegas dan ikhlas dalam memperjuangkan nasib
negara, bangsa dan agama mereka. Barisan pejuang-pejuang kemerdekaan yang
bersatu di bawah bendera UMNO dan akhirnya bergabung dalam Perikatan
dengan MCA dan MIC dahulu kebanyakannya bukanlah terdiri daripada golongan
cendikiawan atau hartawan. Malahan sebilangan besarnya terdiri daripada
golongan rakyat biasa yang serba kekurangan, tetapi oleh sebab mereka
bersatu, yakin dan tegas dalam perjuangan, serta dipimpin oleh orang-orang
yang bertanggungjawab, maka mereka beroleh kejayaan.

8. Tugas mereka dahulu telah selesai dan kita pada hari ini merasa
bersyukur dan terhutang budi atas perjuangan mereka yang telah membolehkan
kita mengecapi nikmat hidup di dalam sebuah negara yang berdaulat dan
merdeka. Tanggungjawab dan perjuangan kita pada hari ini merupakan
penerusan daripada apa yang telah diperjuangkan dahulu iaitu memenuhi
cita-cita rakyat untuk mencorakkan negara ini mengikut dasar-dasar yang
telah ditentukan dan mengekalkan kemerdekaan dan kemakmuran negara ini
buat selama-lamanya serta mengekalkan sistem pemerintahan demokrasi yang
ada sekarang.

9. Ini merupakan satu amanah dan tanggungjawab berat yang sukar
dilaksanakan sekiranya kita tidak cukup persediaan untuk menghadapi ujian
dan cabaran yang mesti dihadapi atau tidak sanggup berkorban untuk
kepentingan negara ini. Kejayaan pejuang-pejuang kemerdekaan dahulu yang
tidak pernah patah semangat walaupun dalam keadaan serba kekurangan
seharusnya menjadi teladan kepada kita khususnya anak-anak muda yang akan
mewarisi kepemimpinan negara ini kelak.

Saudara-saudara dan saudari-saudari sekalian, 

10. Kita memilih tema 'Bangsa Tegas Negara Teguh' bagi menzahirkan sikap,
harapan, tindakan dan pedoman cita-cita kita untuk menjadikan bangsa dan
negara kita ini dihormati dan disegani oleh negara-negara lain. Kita tidak
mahu negara dan bangsa kita dipandang hina dan menjadi contoh sebagai
sebuah negara yang tidak baik.

11. Apa jua dasar yang kita buat dan tindakan-tindakan tegas dalam hal-hal
tertentu, seperti menguat-kuasakan undang-undang dalam menghadapi ancaman
musuh negara dan penjenayah-penjenayah yang boleh merosakkan rakyat dan
negara ini dan sebagainya, adalah semata-mata untuk menjaga kesejahteraan
dan keamanan negara. Tindakan tegas ini dilakukan supaya sesiapa juga yang
tinggal di negara ini akan merasa aman dan selamat. Ketegasan dan
keteguhan pendirian kita dalam tindakan-tindakan seperti ini tidak
memberikan pengertian bahawa kita ini adalah satu bangsa yang sombong,
angkuh, tidak berbudi bahasa dan tidak boleh bertolak ansur. Tidak ada
siapa yang dapat menafikan yang berbudi bahasa dan bersopan santun telah
lama diamalkan oleh rakyat negara ini dan telah menjadi identiti bangsa
kita.

12. Apa yang seharusnya kita ubah sekarang ialah sikap kita supaya lebih
berani, tegas serta teguh pendirian kita dalam menghadapi musuh-musuh
negara yang sentiasa berusaha untuk mewujudkan suasana ketegangan dan huru
hara di kalangan rakyat dengan menaburkan racun-racun fitnah dalam
perkara-perkara yang boleh mencetuskan sentimen dan emosi rakyat.

Saudara-saudara dan saudari-saudari sekalian, 

13. Saya berharap Pameran ini akan dapat memberikan gambaran kepada
pengunjung-pengunjung bahawa inilah perjuangan, harapan dan cita-cita
rakyat Malaysia dalam menghadapi berbagai pergolakan dan cabaran yang
berlaku di negara ini.

Tuan-tuan dan puan-puan, 

14. Sekali lagi saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Muzium
Negara dan Jawatankuasa Perayaan Hari Kebangsaan 1986 kerana telah berjaya
mengadakan Pameran ini. Dengan ini saya dengan sukacitanya membuka pameran
'Bangsa Tegas Negara Teguh' ini dengan rasminya.

Sekian, wabillahitaufik walhidayah wassalamu'alaikum warahmatullahi
wabarakatuh
 



 
Google