home Speechs in the year 2003 2002 2001 2000 1999 1998 1997 1996 1995 1994 1993 1992 1991 1990 --> |
Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD Tempat/Venue : HOTEL PAN PACIFIC, KUALA LUMPUR Tarikh/Date : 23/11/86 Tajuk/Title : MAJLIS PERJUMPAAN DAN MAKAN MALAM POLIS-SEBARAN AM Dif-dif Kehormat; Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian, Saya mengucapkan terima kasih kerana dijemput untuk menghadiri Majlis 'Polis - Sebaran Am' buat pertama kalinya sejak Majlis seperti ini dianjurkan tiap-tiap tahun mulai tahun 1975 lagi. Saya berbangga melihat kemesraan perhubungan yang terjalin rapat antara kakitangan media massa dengan anggota-anggota Polis Diraja Malaysia. 2. Sesungguhnya, media massa merupakan unsur penting dalam perhubungan antara polis dengan masyarakat umum. Orang ramai biasanya mengetahui mengenai kegiatan-kegiatan polis, hal-hal jenayah, tindakan-tindakan penguatkuasaan dan pencegahan yang diambil, menerusi apa yang dibaca dalam surat-surat khabar atau apa yang didengar di radio dan dilihat di televisyen. Pendeknya, media massa boleh membentuk persepsi orang ramai terhadap pasukan polis menerusi penulisan atau persembahan mereka. 3. Usaha-usaha pihak media massa untuk menerbitkan sesuatu berita mengikut selera atau sudut pandangan mereka boleh membantu atau menggagalkan usaha-usaha polis. Media massa boleh meningkatkan kegelisahan orang ramai terhadap kesejahteraan rakyat dan keselamatan negara; media massa juga boleh meningkatkan suasana penjenayahan atau 'criminal environment'. Namun demikian, usaha-usaha pihak media massa juga berupaya untuk membongkar kegiatan jenayah dan mengenalpasti penjenayah-penjenayah; melindungi orang ramai daripada mereka yang korap dan mendorong orang ramai melibatkan diri dalam kegiatan pencegahan jenayah dan lain-lain aktiviti untuk menegakkan kedaulatan undang-undang negara. 4. Pihak media massa boleh mendapatkan daripada pihak polis berita-berita yang tepat dan benar untuk disiarkan. Banyak tenaga dan masa dapat dijimatkan kerana pihak media massa tidak perlu lagi menyiasat dengan mendalam untuk mengumpul fakta-fakta dan bukti-bukti. Jelaslah bahawa perhubungan yang erat antara pihak polis dengan pihak media massa adalah penting. 5. Selain daripada kepentingan-kepentingan yang bertujuan untuk kebaikan kedua-dua pihak, saya rasa yang lebih penting ialah hakikat bahawa perhubungan yang erat antara polis dengan media massa adalah perlu untuk mewujudkan masyarakat Malaysia yang aman, damai dan bertanggungjawab. Pihak polis mewujudkannya menerusi usaha-usaha menegakkan kedaulatan undang-undang negara dan keluhuran perlembagaan sementara pihak media massa pula menerusi pemupukan daya intelek yang sihat, harmonis dan dinamik. Pendeknya, perhubungan yang erat antara kedua-dua pihak dapat memanfaatkan orang ramai amnya. Saya berbangga kerana Majlis seperti ini dapat dianjurkan tiap-tiap tahun sejak tahun 1975. Saya yakin media massa kini tentunya dapat memahami dan menghayati keikhlasan dan kejujuran pasukan polis untuk memupuk persahabatan ini. 6. Oleh kerana sebahagian besar daripada tugas-tugas polis menguatkuasakan undang-undang, maka tindakan-tindakan anggotanya adalah terdedah kepada penafsiran dan kritikan daripada pihak media massa. Media massa hendaklah memperlihatkan fakta-fakta yang benar, tepat dan adil serta penganalisaan yang kritikal tetapi konstruktif mengenai isu yang dihadapi. Media massa janganlah menyalahkan pasukan polis keseluruhannya atas perbuatan segelintir anggota-anggota polis yang engkar atau tidak beretika. Mungkin pihak media massa dapat menyalurkan teguran dan pendapat yang membina mengenai cara-cara yang baik dan praktikal untuk mengatasi sesuatu masalah itu. Pasukan polis sentiasa bersedia untuk menerima kritikan atau teguran demi untuk meningkatkan daya dan mutu perkhidmatannya. Tuan-tuan dan Puan-puan, 7. Perhubungan yang erat adalah juga perlu antara pihak media massa dengan kakitangan Kerajaan yang lain. Dalam sebuah negara yang membangun di mana masyarakatnya pula adalah berbilang kaum, kita memerlukan suasana yang aman dan sejahtera untuk pembangunan negara. Rentak pembangunan negara kita adalah juga bergantung kepada sikap dan kekuatan mental dan fisikal setiap golongan rakyat untuk menghadapi cabaran-cabaran masa kini dan di masa hadapan. Unsur-unsur negatif yang boleh menghalang perpaduan dan pembangunan hendaklah dikikis dan dijauhi. Media massa yang bertanggungjawab dan cintakan masyarakat dan negara akan berusaha memupuk nilai-nilai yang murni di kalangan pembaca dan pendengar sebagai sumbangan mereka untuk memajukan negara. 8. Perhubungan yang erat antara pihak media massa dengan kakitangan Kerajaan adalah penting supaya program-program pembangunan dapat dilaksanakan dengan berkesan. Mengkritik secara melulu adalah satu kerja yang mudah tetapi mencari jalan penyelesaian memerlukan sifat-sifat yang bertanggungjawab, rajin dan mempunyai daya pemikiran yang tajam dan bernas. Dengan itu, pihak media massa hendaklah menanamkan semangat dan sikap yang positif supaya cita-cita kita untuk membina sebuah negara yang lebih kukuh dapat dicapai. Tuan-tuan dan Puan-puan sekalian, 9. Sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur kerana menjemput saya ke Majlis ini. Saya percaya pasukan polis dan media massa akan terus berusaha untuk meningkatkan lagi kerjasama mereka bagi kebaikan bersama. |