home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	DEWAN RAKYAT 
Tarikh/Date 	: 	04/12/86 
Tajuk/Title  	:	MEMBENTANGKAN RANG UNDANG-UNDANG 
			AKTA DADAH BERBAHAYA (PINDAAN) 1986 
			(BACAAN KALI YANG KEDUA) 




 Tuan Yang di-Pertua,
    Saya   mohon   mencadangkan  iaitu  Rang  Undang-Undang
bernama Suatu Akta untuk meminda Akta Dadah Berbahaya, 1952,
dan bagi perkara-perkara yang berkaitan dengannya, dibacakan
kali yang kedua sekarang.
Tuan Yang di-Pertua,
     Sejajar dengan  hasrat  untuk  memerangi  dan  membasmi
ancaman serta masalah dadah, Kerajaan dengan sokongan rakyat
telah  mengambil  berbagai  langkah  semenjak beberapa tahun
kebelakangan  ini  untuk  memperbaiki   dan   memperkukuhkan
usaha-usahanya  dalam bidang pencegahan, penguat-kuasaan dan
pemulihan.   Salah satu langkah  utama  yang  telah  diambil
ialah  menyemak dan meminda Akta Dadah Berbahaya, 1952 untuk
mewujudkan penalti yang lebih berat bagi kesalahan-kesalahan
dadah.
2.   Langkah-langkah   ini   telah   membolehkan    Kerajaan
bertindak  dengan  lebih tegas dan berkesan terhadap ancaman
dadah yang dihadapi oleh negara, sehingga Malaysia  terkenal
dan   disanjung  sebagai  salah  satu  negara  yang  sanggup
memerangi ancaman dadah dengan  penuh  keazaman  dan  tenaga
yang perlu.
Tuan Yang di-Pertua,
3.   Namun demikian, pengedaran dadah di negara ini didapati
masih  dalam  tahap  yang  merbahaya.    Ini  dapat dilihat,
misalnya, daripada jumlah penagih dadah  yang  dilapor  atau
dikesan.    Bagi  jangkamasa 1970 hingga Oktober 1986 jumlah
kumulatif penagih dadah yang dikesan  buat  pertama  kalinya
ialah  119,713  dan  jumlah  penagih  baru yang dikesan bagi
tahun ini sahaja iaitu hingga bulan Oktober ialah 5,897.
4.   Di samping itu,  adalah  diperhatikan  bahawa  semenjak
Akta Dadah Berbahaya, 1952 dipinda dalam tahun 1983 dan 1984
untuk  mewujudkan  penalti  yang  lebih berat bagi kesalahan
memiliki 5 gram atau lebih heroin atau morfin, atau 250 gram
atau lebih candu mentah dan candu  masak,  pengedar-pengedar
dadah   telah  mengubah  corak  pergerakan  mereka.    Ramai
daripada mereka yang ditangkap  sekarang  didapati  memiliki
dadah  kurang  daripada  jumlah  yang  ditetapkan  itu untuk
mengelak daripada hukuman yang terdapat sekarang.
Tuan Yang di-Pertua,
5.   Kajian juga menunjukkan bahawa  penggunaan  ganja  atau
kanabis  telah  meningkat  dalam beberapa tahun kebelakangan
ini.  Begitu juga dengan masalah  pemilikan  daun  koka  dan
kokain.    Penagihan  berasaskan  kokain sedang meningkat di
dunia barat dan mungkin akan  merebak  ke  rantau  ini  jika
langkah-langkah pencegahan awal tidak diambil.
6.   Memandangkan  kenyataan  dan  perkembangan-perkembangan
yang   saya   telah   huraikan    itu,    adalah    didapati
peruntukan-peruntukan  tertentu  dalam Akta Dadah Berbahaya,
1952 perlu dipinda untuk mengenakan penalti yang lebih berat
lagi bagi kesalahan-kesalahan tertentu  sebagai  satu  usaha
pencegahan  atau  'deterrent'.   Di samping itu pindaan juga
perlu untuk mengubah-suaikan peruntukan-peruntukan berkenaan
dengan  perkembangan-perkembangan  baru   dalam   pengedaran
dadah,  dan  menyelaraskan  penalti-penalti  yang ditetapkan
bagi kesalahan-kesalahan yang sama serius.
Tuan Yang di-Pertua,
7.   Penalti  yang  lebih  berat  yang  dicadangkan  sebagai
'deterrent' yang lebih  berkesan  dalam  Rang  Undang-Undang
berkenaan melibatkan  pengwujudan  atau  penambahan  hukuman
sebat  mandatori, hukuman penjara atau hukuman denda.  Walau
bagaimanapun, penekanan adalah diberi kepada  hukuman  sebat
sebagai alat 'deterrent' yang nyata lebih berkesan.  Penalti
penjara  dan  denda  dicadang  untuk  ditingkatkan cuma bagi
kesalahan-kesalahan yang melibatkan jenis  dadah-dadah  yang
tertentu  di  mana  penalti sekarang didapati terlalu ringan
dan tidak seragam dengan penalti-penalti yang  diperuntukkan
bagi kesalahan-kesalahan lain yang sama serius.
Tuan Yang di-Pertua,
8.   Saya juga ingin menegaskan di sini bahawa hukuman sebat
adalah  ditujukan  kepada  pengedar-pengedar  yang kesalahan
mereka tidak mendedahkan mereka  kepada  hukuman  mati  yang
mandatori.    Hukuman  sebat  ini  bukanlah  untuk kesalahan
menjadi penagih.  Kerajaan berharap dengan  adanya  tindakan
tegas  terhadap  pengedar-pengedar  ini,  masalah  penagihan
juga, insya-Allah, dapat dibendung.    Bagi  penagih-penagih
pula,  sudah ada undang-undang untuk menghukum mereka dengan
cara menahan mereka di tempat-tempat pemulihan.  Di  samping
itu,  semasa  mereka  berada di pusat-pusat tersebut, mereka
dikehendaki menjalani rawatan dan pemulihan.
Tuan Yang di-Pertua,
9.   Apabila pindaan-pindaan  yang  dicadangkan  dalam  Rang
Undang-Undang   ini   diterima  dan  diluluskan,  maka  akan
wujudlah satu sistem penalti yang terselaras bagi  kesalahan
pemilikan  dan  pengedaran  berbagai  jenis dadah berasaskan
'toxity'.  Sistem penalti ini adalah seperti berikut:
i.   Pertama, penjara maksima 5  tahun  atau  denda  maksima
     $20,000,  atau  kedua-duanya bagi pemilik-pemilik dadah
     dalam  amaun  yang  kecil.    Amaun  ini  berbeza  bagi
     berbagai  dadah  mengikut  'toxity',  seperti  berikut:
     kurang   daripada   2   gram   heroin,   morfin,   atau
     'monoacetylmorphines';  kurang  daripada 5 gram kokain;
     kurang daripada 20 gram  kanabis  atau  resin  kanabis;
     kurang daripada 100 gram candu mentah atau candu masak;
     dan  kurang  daripada  250  gram  daun  koka.   Penalti
     penjara bagi  kesalahan  ini  sedia  wujud  dalam  akta
     sekarang  dan  tidak berubah.  Penalti denda juga sedia
     wujud sama ada  denda  maksima  $10,000  atau  $20,000.
     Tetapi  sekarang  dicadang  untuk  diseragamkan menjadi
     maksima $20,000 berasaskan 'toxity'.
ii.  Keduanya, penjara  di  antara  2  hingga  5  tahun  dan
     hukuman  sebat  3  hingga  9  kali bagi pemilik-pemilik
     dadah  yang  dianggap  pengedar   kecil-kecilan,   yang
     memiliki  antara  2  hingga 5 gram heroin, morfin, atau
     'monoacetylmorphines'; 5  hingga  15  gram  kokain;  20
     hingga  50  gram kanabis atau resin kanabis; 100 hingga
     250 gram candu mentah atau candu masak; dan 250  hingga
     750  gram  daun koka.   Mengikut undang-undang yang ada
     sekarang,  penalti  bagi  pengedar  kecil-kecilan   ini
     adalah  sama  seperti  bagi  pemilik-pemilik dadah yang
     disebutkan  di  kategori  satu  tadi.      Memandangkan
     pengedar-pengedar     kecil-kecilan     inilah     yang
     memperalatkan  penagih  dan   lain-lain   orang   untuk
     memperkenalkan  dadah  kepada  mangsa  yang  baru, maka
     penalti yang lebih berat adalah difikirkan  perlu  bagi
     mereka.
iii. Ketiga,  penjara  5 tahun hingga seumur hidup dan sebat
     tidak kurang daripada 10  kali  bagi  pengedaran  dadah
     dalam  amaun  yang  masih tidak terlalu banyak, iaitu 5
     hingga     15     gram     heroin,     morfin,     atau
     'monoacetylmorphines';  15  hingga  40  gram kokain; 50
     hingga 200 gram kanabis atau resin kanabis; 250  hingga
     1000 gram candu mentah atau candu masak; dan 750 hingga
     2000   gram   daun   koka.      Undang-undang  sekarang
     memperuntukkan penalti penjara yang  sama  dan  hukuman
     sebat tidak kurang daripada 6 kali.
iv.  Keempat,  hukuman  mati bagi mereka yang memiliki dadah
     dalam  amaun  yang  membawa  anggapan  pengedaran  atau
     'trafficking'  iaitu 15 gram atau lebih heroin, morfin,
     atau 'monoacetylmorphines'; 40 gram atau lebih  kokain;
     200  gram  atau  lebih kanabis atau resin kanabis; 1000
     gram atau lebih candu mentah atau candu masak; dan 2000
     gram atau lebih daun koka.  Perlulah saya  sebutkan  di
     sini   bahawa   hukuman   mati  ini  sedia  wujud  bagi
     kesalahan-kesalahan yang melibatkan dadah jenis heroin,
     morfin, 'monoacetylmorphines', kanabis, resin  kanabis,
     candu   mentah  dan  candu  masak  dalam  undang-undang
     sekarang.
Tuan Yang di-Pertua,
10.  Dengan ringkasnya demikianlah sistem penalti yang  akan
wujud   dengan  adanya  pindaan-pindaan  kepada  Akta  Dadah
Berbahaya, 1952 yang dicadangkan  dalam  Rang  Undang-undang
ini.    Selain  daripada  pindaan kepada sistem penalti yang
saya sebutkan tadi,  terdapat  satu  sahaja  pindaan  kecil,
iaitu  terhadap  takrif  'crude  cocaine'.    Takrif  'crude
cocaine' yang terdapat  di  Seksyen  2  Akta  sekarang  akan
digugurkan  kerana  istilah  tersebut  tidak digunakan dalam
mana-mana peruntukan lain dalam Akta itu.
Tuan Yang di-Pertua,
11.  Akta Dadah Berbahaya, 1952 merupakan  salah  satu  alat
yang  penting dalam strategi Kerajaan untuk membasmi ancaman
dadah, dan pindaan-pindaan yang dicadangkan kepadanya  dalam
Rang  Undang-Undang  ini  akan  menjadikannya lebih berkesan
lagi.  Dengan itu, saya mohon  Rang  Undang-Undang  tersebut
disokong dan diluluskan oleh Dewan yang mulia ini.
Tuan Yang di-Pertua,
12.  Saya mohon mencadangkan.

 
 



 
Google