home
Speechs in the year
2003
2002
2001
2000
1999
1998
1997
1996
1995
1994
1993
1992
1991
1990
-->
   
Oleh/By		:	DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD 
Tempat/Venue 	: 	MELALUI RADIO DAN TELEVISYEN 
			MALAYSIA (RTM), ANGKASAPURI 
Tarikh/Date 	: 	31/12/86 
Tajuk/Title  	: 	PERUTUSAN TAHUN BARU 1987 




Assalamu'alaikum warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera.

Tuan-tuan dan puan-puan, Syukur kita ke hadrat Allah Subhanahu Wataala
kerana dengan limpah rahmatNya kita telah sama-sama melalui tahun 1986
dengan sejahteranya. Kita juga bersyukur bahawa berbagai cabaran yang kita
hadapi sepanjang tahun 1986 telah dapat kita atasi dengan jayanya.

2. Tahun 1986 memperlihatkan tekanan ekonomi yang paling teruk. Hampir
semua barangan eksport kita telah mengalami kejatuhan harga dan permintaan
yang berkurangan. Dengan itu pengeksport-pengeksport barangan ini,
termasuk komponen elektronik, telah mengalami kerugian atau jika sekiranya
untung, keuntungan mereka amat kecil. Kilang-kilang dan lombong-lombong
terpaksa ditutup dan pekerja-pekerja diberhentikan. Oleh kerana pendapatan
daripada eksport jatuh dengan teruknya, pelaburan dalam negara juga turun
ke paras yang amat rendah. Ini menyebabkan ramai lagi pekerja terus
menganggur dan perniagaan kecil dan besar cemas kerana kehilangan
pelanggan. Kerajaan sudah tentu tidak dapat mengutip hasil dan cukai
dengan mencukupi untuk perbelanjaan pengurusan.

3. Di masa kemelesetan ekonomi ini berlaku, ada pihak-pihak yang sengaja
menciptakan masalah ekonomi dan politik. Semenjak awal 1986, berita-berita
angin sengaja disebarkan bahawa para anggota Kerajaan berbelah-bahagi dan
lemah. Majoriti rakyat kononnya sudah hilang kepercayaan kepada
Kerajaan. Perkara-perkara yang berlaku kerana kemelesetan ekonomi atau
kecuaian orang-orang di luar Kerajaan sengaja dikaitkan dengan
Kerajaan. Fitnah dilempar kononnya anggota Kerajaan terlibat dengan
beberapa skandal. Semua ini memburukkan lagi iklim ekonomi dan menghindar
pelabur-pelabur asing dan dalam negeri daripada melabur dan mewujudkan
peluang-peluang pekerjaan. Dengan itu rakyat lebih menderita.

4. Untuk meyakinkan rakyat dan negara bahawa Kerajaan Barisan Nasional
masih mendapat sokongan daripada majoriti rakyat negara ini, pilihanraya
umum telah diadakan dalam bulan Ogos yang lalu, iaitu kira-kira setahun
lebih awal daripada yang disyaratkan oleh undang-undang. Keputusan
pilihanraya ini membuktikan dengan jelas bahawa Kerajaan Barisan Nasional
masih mendapat sokongan yang besar daripada rakyat. Barisan Nasional
memenangi empat per lima daripada kerusi-kerusi Dewan Rakyat.

5. Sepatutnya keputusan yang jelas ini menghentikan tuduhan bahawa
Kerajaan tidak lagi dipercayai oleh rakyat. Malangnya, kumpulan-kumpulan
tertentu dan parti-parti politik yang kalah masih berusaha untuk
menghalang pemulihan ekonomi negara ini. Mereka dan lain-lain kumpulan
menyebarkan berita bahawa bermacam-macam peristiwa yang tidak baik akan
berlaku dalam Kerajaan. Mereka menolak hak majoriti membuat dasar dan
tindakan, bahkan mereka menolak hak majoriti untuk memerintah
negara. Sekali lagi mereka mendakwa bahawa terdapat krisis kepercayaan
terhadap Kerajaan.

6. Tindakan-tindakan dan berita-berita angin oleh mereka berjaya
mengurangkan keyakinan pelabur-pelabur asing dan tempatan daripada melabur
di negara ini. Banyak wang Malaysia yang dibekalkan oleh Bank Negara untuk
menampung kekurangan wang dalam pasaran wang telah mengalir ke luar
negara. Tindakan Kerajaan meminda Akta Penyelarasan Perindustrian atau
Industrial Coordination Act dan melonggarkan syarat-syarat Dasar Ekonomi
Baru diperkecilkan oleh golongan tertentu untuk menghalang pemulihan
ekonomi.

7. Tentulah jelas bahawa usaha pemulihan ekonomi oleh Kerajaan terjejas
kerana kepentingan politik kumpulan-kumpulan tertentu. Namun demikian
Kerajaan telah berjaya membendung sebahagian daripada kesan buruk tindakan
kumpulan-kumpulan tersebut dan telah dapat mempertahankan ekonomi
negara. Sebahagian besar daripada kejayaan menghadapi tekanan ekonomi yang
meleset disebabkan oleh sokongan yang kuat daripada majoriti rakyat. Kita
telah lalui tahun 1986 yang penuh cabaran dengan tabah hati dan kita telah
menentukan asas-asas yang baik bagi memulihkan semula ekonomi kita.

8. Di sini ingin saya menegaskan bahawa pemulihan ekonomi tidak boleh
dijayakan semata-mata dengan pindaan atau penguat-kuasaan undang-undang
atau dasar-dasar ekonomi. Dalam analisa yang terakhir, pemulihan ekonomi
bergantung kepada sikap dan sifat-sifat yang ada pada kita. Sebenarnya,
apa yang akan memulihkan ekonomi negara kita ialah kemampuan kita bersaing
dengan negara-negara lain dalam mengeluar dan memasarkan barangan dagangan
kita. Kita cuma boleh bersaing dengan jayanya jika kos pengeluaran kita
rendah tanpa menjejaskan kualiti dan tempoh penghantaran atau delivery
kita. Untuk tujuan ini, walaupun tindakan menurunkan gaji boleh membantu,
tetapi yang lebih penting ialah kos pengeluaran sesuatu yunit barangan itu
hendaklah lebih rendah. Jika para pengurus dan para pekerja dapat
mengeluarkan apa juga barangan dagangan dengan lebih banyak tanpa
meningkatkan kos, dan kita dapat membekal dengan jadual yang tepat, maka
kita boleh bersaing dengan sesiapa sahaja dengan jayanya. Segala tindakan
yang meningkatkan kos akan menjadikan kita kurang mampu bersaing atau
tidak competitive dan ini akan menjejaskan pemulihan ekonomi negara kita.

9. Kerajaan berharap kita semua sedar dan menerima hakikat ini. Walaupun
tindakan orang asing boleh menjejaskan ekonomi kita, keburukan yang
berlaku boleh dihindar dengan kita menghadapi cabaran dengan hati yang
tabah dan sikap yang positif. Jika kita terus mengamalkan cara-cara yang
tidak sesuai dengan keadaan ekonomi yang meleset, kita akan mengambil masa
yang lebih panjang untuk memulihkan ekonomi kita. Mungkin juga kita tidak
akan dapat mengembalikan prestasi ekonomi kita sama sekali.

10. Penghujung tahun 1986 dan permulaan tahun 1987 adalah ketika yang
sesuai untuk kita membuat resolusi mengubah sikap kita supaya ekonomi
negara kita akan pulih semula. Yang pertamanya, semua rakyat harus membuat
resolusi untuk menolak segala berita angin yang disebarkan oleh
orang-orang yang tidak bertanggungjawab dan berkepentingan diri. Kita tahu
berita-berita mereka tidak berasas kerana segala dakwaan mereka sehingga
kini telah didapati palsu. Tidak ada satu sebab mengapa kita harus
mempercayai berita-berita angin ini.

11. Yang keduanya, kita harus membuat resolusi untuk menunaikan segala
tanggungjawab kita dengan penuh minat dan dedikasi. Dengan ini prestasi
dan daya pengeluaran kita akan meningkat dan kita akan menjadi lebih
competitive di pasaran dunia. Ini tidak bermaksud hanya mereka yang
terlibat secara langsung dengan pengeluaran bahan dagangan sahaja yang
perlu menjadi lebih produktif. Setiap orang daripada kita, walau apa juga
tugasnya, yang meningkatkan daya pengeluarannya akan menolong mengurangkan
kos pengeluaran kita keseluruhannya. Sudah tentu pekerja dalam Kerajaan
yang meningkatkan kecekapan atau efficiency Kerajaan akan membantu
mengurangkan kos pengeluaran barangan kita. Dengan sifat bertanggungjawab
dan dedikasi semua rakyat, bukan sahaja kita akan dapat bersaing dengan
negara-negara lain tetapi juga kita akan dapat mengukuhkan lagi ekonomi
negara.

12. Jika kita semua dapat membuat dan mengamalkan dua resolusi ini untuk
tahun 1987, insya-Allah ekonomi negara kita akan pulih semula dan kita
akan hidup sejahtera.

Tuan-tuan dan Puan-puan, 

13. Dalam tahun 1986 kita telah diuji dengan berbagai
cabaran. Alhamdulillah, kita telah berjaya menyelamatkan negara kita
melalui ketegasan kita. Rakyat Malaysia boleh berbangga dengan kejayaan
ini. Ketegasan dan ketabahan hati yang kita tunjukkan dalam tahun 1986
harus diteruskan dalam tahun 1987.

14. Pada tahun 1987 ini, marilah kita musnahkan unsur-unsur negatif yang
terdapat dalam masyarakat kita. Sebaliknya, kita semua bersama-sama
berganding bahu menghadapi segala cabaran dan rintangan. Insya-Allah, kita
akan berjaya.

15. Akhir kata, saya mengucapkan Selamat Tahun Baru dan saya berdoa semoga
tahun 1987 akan membawa kebahagiaan kepada kita semua.

Wabillahi taufik walhidayah wassalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh. 
 

 



 
Google